Sabda Rasulullah saw :
و من أبي عبد الله خباب بن الأرت رضى الله عنه قال شكونا إلى رسول الله صلى الله عليه وسلم وهو متوسد بردة له في ظل الكعبة فقلنا : ألا تستنصرلنا ؟ ألا تدعولنا ؟ فقال : قد كان من قبلكم يؤخذ الرجال فيحفر له في الأرض فيجعل فيها ثم يؤتى بالمنشار فيوضع على رأسه فيجعل نصفين و يمشط بأمشاط الحديد ما دون لحمه و عظمه ما يصده ذلك عن دينه و الله ليتمن الله هذا الأمر حتى يسير الراكب من صنعاء إلى حضر موت لا يخاف إلا الله و الذئب على غنمه و لكنكم تستعجلون
Maksudnya: Dari Abi Abdullah Khabbab bin al Arat Rha. telah berkata : Kami telah mengadu kepada Rasulullah saw sedang Rasulullah saw pada waktu berbaring di bawah naungan Kaabah berbantalkan serban. Maka kami bertanya: Apakah Tuan tidak berdoa memohon kemenangan bagi pihak kita? Adakah tidak Tuan berdoa bagi pihak kita?
Maka berkata Rasulullah SAW: Sesungguhnya orang - orang sebelum kamu, ditangkap seorang lelaki lantas digali lubang lalu ia ditanam di dalamnya, kemudian dibawa datang gergaji lalu digergaji kepalanya sehingga terbelah dua dan disikat badannya dengan sikat besi sehingga meluruhkan daging dan tulangnya, namun demikian itu tidak memalingkan ia dari agamanya.
Demi Allah. Nescaya Allah menyempurnakan urusan ini ( agama Islam ) sehinggalah musafir dari Sana'a ke Hadhra Maut tidak lagi takut melainkan hanya kepada Allah , akan tetapi kamu adalah golongan yang gopoh.
(Riwayat Imam Bukhari)
Keghairahan untuk meraih kemenangan perlu ditenangkan seraya kita merujuk kepada manhaj perjuangan Nabi kita Muhammad SAW bagaimana baginda SAW membina kemenangan.
Hadis yang saya bawa sebagai renungan kita pagi ini memaparkan bagaimana sikap Nabi saw di saat berhadapan dengan keadaan yang sangat kritikal, apabila para sahabat rhm. sering diseksa dengan dahsyat oleh kuffar musyrikin.
Antara mereka ialah Khabbab al Arat yang disalai oleh musyrikin di atas bara api dan dikelar jasadnya dengan besi panas sehingga masak dan luluh daging jasadnya. Kesan penyiksaan tersebut meninggalkan parut yang sangat hodoh pada diri Khabbab. Satu ketika Khabbab rha inilah yang pergi bertemu Nabi SAW yang sedang beristerehat di tepi Kaabah lantas bertanya: Apakah Tuan tidak berdoa kepada Allah agar kita menang?
Sahabat sekalian:
Yang bertanya ialah insan yang berjuang malah menghadapi penyiksaan dahsyat oleh musuh dengan begitu tabah sekali. Yang bertanya ialah sahabat yang sanggup mempertaruhkan nyawa untuk pertahankan prinsip dan pegangan agama. Insan yang bertanya ialah sahabat yang telah mewaqafkan dirinya untuk Islam dan perjuangan suci ini, tiba - tiba..
Nabi SAW menjawab bahawa orang terdahulu lebih teruk menerima penyiksaan dari musuh-musuh Allah SWT sehingga ada yang digergaji kepalanya sehingga terbelah dua dan jasadnya disikat dengan sikat besi sehingga bercerai daging dari tulangnya namun mereka tetap mempertahankan agamanya.
Maka kamu yang datang meminta-minta agar di doakan kemenangan, biarpun kamu sangat perit berhadapan dengan kezaliman musuh, kamu adalah golongan yang gopoh dan tidak sabar menanti kemenangan yang dijanjikan Allah SWT .
Sifat Kemenangan
Kemenangan adalah suatu yang dianugerah oleh Allah. Ianya ( kemenangan ) tidak boleh dicipta oleh kita dengan maksud tiada kemenangan buatan kita selain ia anugerah Allah dan tiada
shortcut untuk mencapai kemenangan. Demikianlah sunnatullah terhadap kemenangan atau nusrah yang dijanjikan buat mereka.
Pengertian lain yang senada dengan maksud perbahasan ini ialah betapa tidak sekali-kali tidak kita memetik buah yang belum masak.
Sebagai analogi yang boleh saya bentangkan sebagai renungan kita bersama ialah bagaimana situasi seekor anak ayam yang masih berada di dalam cengkeram telur sebelum ia dilahirkan ke bumi yang ganas ini .
Anak ayam di dalam cengkerang telur tersebut , mahu tidak mahu ia terpaksa menunggu satu tempoh matang ia menetas dan akhirnya hidup untuk membesar seperti ayam yang lain. Andai kata anak ayam ini tidak sabar untuk menetas demi melihat alam yang indah ini lalu ia cuba untuk memecahkan cengkerang telur dari dalam dengan paruhnya yang masih muda, nescaya usahanya itu gagal dan sia-sia.
Sikap tidak sabar ibunya juga boleh membawa padah kiranya tidak sabar ingin melihat anak kesayangannya lahir atau menetas lalu ia memecahkan cengkerang telur itu dengan paruhnya yang kuat, maka keluarlah anaknya tetapi tidak mampu bertahan lama kerana belum masanya yang matang bagi ia hidup. Anak ayam itu akan mati binasa angkara sikap gopoh ibunya.
Syarat Kemenangan
Saya kira demikianlah perihal perjuangan yang kita dokong ini. Walaupun kita ini bukanlah anak ayam yang masih lemah tetapi kita mesti sabar menanti detik kemenangan yang bakal di anugerahkan oleh Allah swt setelah kita berjaya mendatangkan syarat-syarat kemenangan dengan baik dan berkesan.
Kita mesti mengambil sunnatullah dalam perjuangan suci ini dengan kita gigih berjuang, ikhtiar melepasi segala cabaran, ikhlas dan istiqamah dalam mengenderai perjuangan, tabah mendepani ujian serta halangan dan berkorban apa jua sebagai taruhan buat perjuangan mulia ini.
Jangan sekali-kali kita menerobos keluar dari landasan sunnatullah ini kerana tidak sabar hendak menang dengan hanya kita melihat riak-riak kemenangan yang tidak pasti tetapi sarat dengan janji-janji manis kemenangan kononnya.
Saya sudah menjangkakan, jika kita berfikir demikian pasti ada orang kata inilah golongan yang masih berminda pembangkang bukan minda pemerintah.
Kita bukan tidak mahu kemenangan , tetapi kita mestilah melihat kepada beberapa persoalan bersama jawapannya terlebih dahulu .
Pertama : Untuk apa kemenangan itu mahu dicapai? apakah ia bermaksud memberi kemenangan kepada Islam?
Kedua : Bersediakah kita dengan kemenangan? apakah kemenangan itu kelak tidak menjadi fitnah kepada kita dan perjuangan yang didokong ini?
Ketiga : Bagaimana kemenangan itu dicapai? apakah ia tidak melanggar batas syara' dan prinsip amal islami? kerana sudah tentu kaedah Islam ialah Matlamat tidak menghalakan cara.
Semua persoalan diatas mesti dijawab dengan hati yang jujur, jiwa yang tulus dan aqal yang ikhlas mengenai bagaimana situasi kita terhadap kemenangan yang ingin dicapai.
Ulama' seperti Tukang Tolak Kereta Buruk
Kita pasti sahaja tidak mahu mengulangi sejarah pejuang-pejuang Islam dan para Ulama' al mujahidin sewaktu mereka menentang penjajah dan menuntut kemerdekaan negara. Setelah mereka berjuang mempertaruhkan tenaga, darah dan nyawa mereka akhirnya apabila negara tersebut mencapai kemerdekaan, golongan sekular yang mengambil alih pemerintahan negara.
Inilah yang berlaku ke atas ulama' pejuang kita di Indonesia. Tengku Daud Baerueh pernah berulang kali ( 3 kali ) bertanya kepada Sukarno, Untuk apa kita menentang Belanda? soalan ini ditimbulkan setelah Sukarno berhempas pulas memujuk Tengku Daud Baerueh membantunya menentang penjajahan Belanda setelah menyedari Tengku mampu menggerakkan ummat Islam amnya dan pemimpin-pemimpin mereka khasnya.
Sukarno juga berulang kali menjawa bahawa kita mahu merdekakan negara kemudian didirikan syariat Islam di atas tanah tinggalan penjajah. Berpuas hati dengan jawapan tersebut, Tengku telah mengerahkan seluruh anak-anak muridnya serta guru-guru pasentren untuk bangkit menentang Belanda.
Akhirnya apabila Indonesia mencapai kemerdekaan, bukan sahaja Tengku diketepikan dan dipenjara malah Sukarno tidak melaksanakan Islam di Indonesia sebagaimana yang dijanjikan. Tengku dipenjara sehingga ia hanya dibebaskan di akhir pemerintahan Suharto.
Negara kita juga menyaksikan sejarah yang sama. Setelah nyawa ditaruhkan oleh Tuan Guru Hj. Hassan bin Munas, Ustaz Abu Bakar al Baqir dan Tuan Guru Hj. Abdul Rahman bin Limbung untuk menentang Inggeris, akhirnya negara merdeka menyaksikan golongan sekular yang mengambil alih pemerintahan negara.
Ulama' hanya menjadi golongan yang diajak untuk menolak kereta buruk. Apabila kereta telah hidup , ia terus meluncur laju ke hadapan tanpa sempat mengucapkan terima kasih pun sebaliknya yang ditinggalkan ialah asap hitam berkepul dari ekzos kereta buruk tersebut.
Tiada Short Cut dalam Mencapai Kemenangan
Short cut bagi mengusahakan kemenangan buat perjuangan kita yang murni ini , ia mungkin boleh tercapai tetapi ia hanyalah sebuah kemenangan yang rapuh dan
fragile.
Short cut hanya laluan yang sering digunakan oleh golongan musta'jilun ( gopoh ) yang mungkin berjuangnya tidaklah setara mana tetapi angin nak menang kelihatan berganda-ganda volumenya.
Pengalaman ditangkap, dipenjara, dimaki hamun, di ISA dan pelbagai penyiksaan tentu sahaja belum menyamai siksaan yang dialami oleh Khabbab al Arat yang telah dikelar jasadnya dengan besi panas. Bayangkanlah, betapa insan pejuang seperti Khabbab al Arat itu masih disifatkan oleh Nabi saw sebagai gopoh, maka apalah halnya kita hari ini yang masih tidak setahap mana pengorbanan untuk Islam.
Bukan bermakna kita tidak mahu menang dan selesa pula menjadi orang yang kalah, tetapi kita doakan agar kemenangan yang kita capai tidak menjadi fitnah kepada diri dan perjuangan Islam ini. Apa yang lebih jelas ialah kita berjuang dan berkorban sehabis daya dan upaya guna memastikan Islam berdaulat di atas tanahair kita dengan mengambil sunnatullah dalam perjuangan ini.
Antara sunnatullah dalam perjuangan ini:
Firman Allah swt:
لو كان عرضا قريبا و سفرا قاصدا لتبعوك و لكن بعدت عليهم الشقة
Jika sekiranya ( perjuangan ) ini suatu capaian hasil yang dekat dan perjalanan yang singkat nescaya mereka ( musyrikin ) akan mengikut engkau , akan tetapi ( perjuangan ) ini jauh perjalanannya dan dirasakan sukar ke atas mereka .
demikian juga Firman Allah swt :
و اذ يمكر بك الذين كفروا ليثبتوك أو يقتلوك أو يخرجوك و يمكرون و يمكر الله و الله خير الماكرين
dan ingatlah ketika orang - orang kafir merancang untuk memenjarakan kamu , membunuh kamu dan menghalau kamu keluar daerah , mereka merancang dan Allah swt juga merancang dan Allah swt sebaik - baik perancang .
(Surah al Anfaal: 30)
Jauh perjalanan, sukar halangannya, dipenjara, dibunuh dan dihalau adalah 5 item sunnatullah yang mesti ditempuh melengkap manhaj perjuangan ini.
Rambutnya kerinting, tubuhnya kurus keding dan kulitnya cukup hitam. Orang memandang lekeh kepadanya dan tidak selesa bertemu dengan dia. Tetapi walaupun begitu, dia telah membuktikan keberaniannya sanggup menewaskan ratusan orang musyrik dalam beberapa kali perang tanding satu lawan satu. Belum termasuk yang ditewaskannya dalam medan tempur.
Sesungguhnya dia pemberani yang pantang mundur. Khalifah ‘Umar bin Al-Khattab pernah menulis surat kepada para panglima, supaya tidak mengangkat Al Bara’ bin Malik menjadi komander pasukan, karena dikhuatirkan dengan keberaniannya yang luar biasa itu akan membahayakan tentera muslimin.
Al-Bara’ bin Malik adalah saudara kandung Anas bin Malik, khadam Rasulullah. Seandainya diceritakan kisah kepahlawanan Al-Bara’ semuanya, sudah tentu terlalu banyak. Kerana itu cukuplah sebuah kisah sahaja, mudah-mudahan dapat memberikan gambaran menyeluruh tentang kepahlawanannya.
Kisah ini terjadi tidak berapa lama sesudah Rasulullah wafat. Ketika itu beberapa kabilah ‘Arab murtad dari agama Islam secara beramai-ramai, sebagaimana mulanya mereka masuk Islam beramai-ramai. Akhirnya yang tinggal dalam Islam hanyalah para penduduk Makkah, Madinah, Thaif, dan beberapa kelompok yang berselerak di sana-sini. Mereka orang-orang yang teguh imannya.
Khalifah Abu Bakar mengkehendaki agar ancaman terhadap pembelot Islam itu dihapuskan sampai ke akarnya. Maka dibentuknya sebelas pasukan tentera, terdiri daripada kuam Muhajirin dan kaum Ansar. Lalu dikirimnya ke seluruh jazirah ‘Arab, untuk mengembalikan orang orang yang murtad dan memerangi siapa yang membangkang.
Kelompok orang-orang murtad yang paling jahat dan besar ialah kelompok Banu Hanifah yang dipimpin oleh Musailamah Al-Kazzab. Jumlah mereka tak kurang dari empat puluh ribu orang, terdiri daripada prajurit-prajurit kental dan berpengalaman perang. Kebanyakan mereka murtad dan mengikuti Musailamah kerana fanatik kesukuan, bukan kerana percaya kepada kenabian Musailamah.
Sebahagian mereka berkata, “Saya tahu Musailamah itu bohong dan Muhammad lah Nabi yang benar. Tetapi kebohongan Bani Rabi‘ah (Musailamah) lebih saya sukai daripada kebenaran Bani Mudhar (Muhammad).’
Tentera Muslimin yang pertama-tama datang menyerang Musailamah dipimpin oleh ‘Ikrimah bin Abu Jahal. Pasukan ‘Ikrimah dapat dikalahkan tentera Musailamah. sehingga kucar-kacir dan Ikrimah sendiri tewas sebagai syahid.
Sesudah itu dikirim oleh Khalifah Abu Bakar Shiddiq pasukan kedua di bawah pimpinan Khalid bin Walid. Dalam pasukan Khalid ini terdapat pahlawan-pahlawan Ansar dan Muhajirin. Di antara mereka terdapat Al Bara’ bin Malik Al-Anshary, dan beberapa pahlawan muslim lainnya.
Pasukan Khalid bertemu dengan pasukan Musailamah di Yamamah. Pertempuran segera terjadi tak dapat dihindar. Belum lama kedua pasukan itu bertempur, ternyata pasukan Musailamah lebih unggul. Mereka dapat mendesak mundur pasukan Khalid dari posisinya, hingga pasukan Musailamah berhasil menyerbu sampai ke perkhemahan Khalid bin Walid dan menghancurkan perkemahan itu. Bahkan isteni Khalid nyaris terbunuh ketika itu, seandainya tidak diselamatkan pengawal.
Melihat situasi yang tidak menguntungkan, Khalid melompat ke tengah-tengah pasukannya dan mengubah susunan pasukan. Kaum muhajirin, kaum Ansar, dan prajurit yang terdiri anak-anak desa dipisah-pisahkannya mengikut kelompok masing-masing. Tiap-tiap kelompok dikepalai salah seorang dari kelompoknya sendiri. Dengan begitu Khalid dapat mengetahui kesanggupan masing-masing, serta mengenal pasti di mana letak kelemahan tentera muslimin.
Kini kedua pasukan saling berlawan dengan sengit dan mengerikan. Kaum muslimin memperlihatkan kemampuan yang belum diperlihatkannya daripada tadi.
Tentera Musailamah bertahan di medan tempur bagaikan gunung, kukuh dan kuat. Mereka tidak peduli walaupun korban banyak jatuh di pihak mereka. Kaum muslimin memperlihatkan keberanian luar biasa, yang kalau dihitung-hitung sesungguhnya merupakan peristiwa yang sangat mengerikan.
Tsabit bin Qais yang memikul bendera Ansar. Dia melilit tubuhnya dengan kain kafan kemudian digalinya lubang setinggi betis. Lalu dia turun ke dalam lobang itu. Dia bertahan di lubang itu mengibarkan bendera kaumnya sampai tewas sebagai syahid.
Zaid bin Khattab, saudara ‘Umar bin Khattab r.a., memanggil kaum muslimin,
“Wahai kaum muslimin, bertempurlah dengan gigih! Tewaskan musuh-musuh kalian dan terus maju. Wahai manusia! Demi Allah! Saya tidak akan berbicara lagi sesudah ini sampai Musailamah dihancurkan, atau saya syahid menemui Allah. Saya akan perlihatkan kepada Allah bukti bahwa saya betul-betul syahid."
Kemudian dia maju menyerang musuh, bertempur sampai tewas sebagai syahid.
Lain pula dengan Salim maula Abu Hudzaifah, pembawa bendera kaum Muhajirin. Kaumnya khuatir dia lemah atau takut. Kata mereka kepada Salim, “Kami sangsi dengan keberanian Anda menghadapi musuh.”
Jawab Salim, “Jika kalian sangsi terhadap saya, biar saya menjadi pembawa bendera Al Quran.“
Kernudian dia menyerbu musuh-musuh Allah dengan berani sehingga Ia tewas pula sebagai syahid.
Tetapi kepahlawanan mereka belum seberapa dibandingkan dengan kepahlawanan Al Bara’ bin Malik r.a. Ketika Khalid melihat api pertempuran semakin berkobar, dia berpaling kepada Al-Bara’. Kata Khalid memerintah, “Kerahkan mereka, hai pemuda Ansar!
Al-Bara’ berteriak memanggil kaum Ansar,
"Wahai kaum Ansar, Jangan kalian berfikir-fikir hendak kembali ke Madinah. Tidak ada lagi Madinah sesudah hari ini. Ingatlah kepada Allah semata-mata. . kemudian kepada syurga.”
Sesudah berkata begitu dia maju mendesak kaum musyrikin, diikuti prajurit Ansar. Pedangnya menari lincah menebas musuh-musuh Allah. Melihat prajuritnya banyak berguguran, Musailamah dan kawan-kawan menjadi gentar. Kerana itu mereka lari berlindung dalam sebuah perkebunan. Kebun itu kemudian terkenal dalam sejarah dengan nama “Kebun Maut”, kerana banyaknya manusia yang terbunuh dalam kebun itu.
Kebun maut itu adalah tempat lari terakhir bagi Musailamah dan tenteranya. Pagarnya tinggi dan kukuh. Musailamah dan puluhan ribu tentaranya mengunci pintu rapat-rapat dari dalam. Mereka bertahan dalam kebun itu seolah-olah dalam benteng. Dari puncak pagar mereka menghujani kaum muslimin yang berusaha masuk kebun dengan panah.
Kata Al-Bara,
“Angkat saya dengan galah dan lindungi saya dengan perisai dan panah-panah musuh. Sesudah itu lemparkan saya ke dalam kebun dekat pintu. Biarlah saya syahid untuk membukakan pintu bagi kalian.”
Dalam sekejap masa sahaja Al-Bara’ sudah berada di atas sebatang galah. Tubuhnya ringan, kerana badannya kurus kecil. Sepuluh orang pemanah melemparkannya ke dalam kebun maut. Al-Bara’ meluncur di atas ribuan tentara Musailamah. Kehadirannya menyebabkan mereka ngeri bagaikan disambar petir. Sementara itu Al-Bara’ sudah berhasil memukul tewas sepuluh orang penjaga pintu. Al-Bara’ segera membukakan pintu bagi kaum muslimin. Namun begitu Al-Bara’ tak luput dari sentuhan pedang dan goresan panah yang menyebabkan sembilan buah luka menganga ditubuhnya.
Kaum muslimin tumpah ruah menyerbu ke dalam kebun maut.. Pedang mereka berkelibat di tengkuk orang-orang murtad. Lebih kurang dua puluh ribu orang korban yang tewas di pihak mereka termasuk pemimpin mereka, Musailamah Al-Kadzab.
Al Bara’ segera dinaikkan kawan-kawannya ke atas kenderaan untuk diubati. Sebulan lamanya Khalid merawat dan mengubati Al Bara’ sampai dapat menyembuhkan luka-lukanya. Dia memuji dan bersyukur kepada Allah yang telah memberi kemenangan bagi kaum muslimin.
Al Bara’ bin Malik Al-Ansary sangat merindukan kematian sebagai syahid. Dia kecewa kerana gagal memperolehnya di Kebun Maut. Maka sejak itu dia selalu menceburkan diri dalam peperangan untuk mencapai cita-cita besarnya, dan kerana rindu hendak segera bertemu dengan nabinya yang mulia.
Ketika perang penaklukan kota Tustar di Persia, tentera Persia berlindung dalam sebuah benteng yang kukuh bagi tentera Persia . Temboknya tinggi, besar, pintu-pintunya kuat dan kukuh. Kaum muslimin mengepung dengan ketat. Setelah mereka terkepung begitu lama, akhirnya mereka mendapat kesulitan. Mereka menghulurkan kait-kait besi yang panas membara dari puncak dinding untuk mengait tentera muslimin. Tentera muslimin yang terkait mereka angkat ke atas, adakalanya terus mati atau nyawa-nyawa ikan.
Dalam perang Tustar inilah dia berdo’a kepada Allah semoga dia diberi rezeki sebagai golongan syuhada. Allah memperkenankan do’anya.
Saudara kandungnya Anas bin Malik terkait oleh pengait berapi itu. Ketika Al Bara’ melihat saudaranya terkait, dia melompat ke dinding benteng dan melepaskan pengait dari tubuh saudaranya. Tangan Al Bara’ terbakar dan melepuh memegang pengait yang panas membara. Tetapi dia tidak peduli asal saudaranya lepas dari pengait itu. Kemudian dia berhasil turun dengan jari-jemari tangannya tanpa daging.
Perang kali ini dia syahid menemui Allah dengan senyum bahagia.
Moga Allah menjadikan wajahnya begemerlapan di syurga, menemani Nabinya. Amin!
Hadis Jabir bin Abdullah r.a: Rasulullah s.a.w bersabda: Aku diperlihatkan ke dalam syurga, aku melihat isteri Abu Talhah. Kemudian aku mendengar hentakan orang berjalan, ternyata beliau adalah Bilal
(HR Muslim: 4495)
Rumaysa binti Milhan adalah seorang wanita Muslim yang berpewatakan cemerlang, mempunyai daya intelektual yang tinggi serta seorang yang berdikari dan berprinsip. Dalam masa yang sama, beliau juga adalah isteri yang taat dan solehah serta ibu yang berjaya mendidik anak menjadi pejuang Islam sejati. Beliau adalah ibu kepada sahabat Nabi S.A.W., Anas bin Malik. Berikut merupakan beberapa ringkasan kisah mengenai tokoh Muslimah ini:
Kisah 1: seorang hamba yang taat
Beliau memeluk Islam selepas perjanjian Aqabah pertama. Ketika beliau memeluk Islam, suami beliau, Malik bin Nadhr tiada di rumah. Selepas pulang dari musafir, suaminya tidak menyukai ajaran yang baru di anutinya. Suaminya malahan memarahinya kerana mengajar anak mereka, Anas b. Malik (yang akhirnya menjadi perawi hadith) agama barunya itu. Namun keutuhan Rumaysa' terhadap Islam tidak merubah pendiriannya, hinggalah akhirnya suaminya mati sewaktu bermusafir dan mati sebagai seorang yang bukan Islam.
Kisah 2: seorang wanita yang mempunyai mahar yang terbaik
Selang tidak lama selepas kematian suaminya, Rumaysa' dipinang oleh Zayd ibn Sahl yang dikenali sebagai Abu Talhah. Abu Talhah yang ketika itu belum memeluk agama Islam, begitu yakin bahawa Rumaysa' tidak akan menolaknya kerana Abu Talhah merupakan seorang yang kaya dan antara lelaki yang tampan. Abu Talhah datang kerumahnya dan menyatakan hasrat utk meminang Rumaysa'.
"Aku tidak akan mengahwinimu selagi kamu tidak mengakui bahawa Allah itu adalah Tuhanmu dan Muhammad itu RasulNya"
"Apakah yang menghalangmu daripada berkahwin dengan ku Rumaysa'? Emas dan perak? aku boleh berikan apa sahaja yang kau mahukan"
"Aku bersumpah kepada mu Abu Talhah, aku bersumpah demi Tuhanku dan rasulNya, jika kau menerima Islam sebagai agamamu, aku tidak memerlukan emas dan perak. Cukuplah Islammu sebagai mahar ku"
"Tidakkah kamu tahu Abu Talhah bahawa tuhan yang engkau sembah selain Allah itu diperbuat dari tanah liat? Tidakkah kamu merasa diperbodoh2kan? Jika kamu sanggup melepaskan perbuatan yang tidak masuk akal seperti ini, dan memeluk Islam, aku akan berkahwin denganmu, tanpa sebarang emas dan perak"
Abu Talhah pulang dan merenung kembali apa yang diperkatakan Rumaysa'. Akhirnya Abu Talhah memeluk Islam dan berkahwin dengan Rumaysa'. Abu Talhah juga menjadi antara sahabat yang teguh memperjuangkan Islam disamping Rasulullah S.A.W.
Kisah 3: seorang isteri yang bijaksana
Hasil perkahwinan mereka dikurniakan cahayamata bernama Abu Umair. sewaktu Abu Talhah bermusafir jauh, Abu Umair telah meninggal dunia. Rumaysa' telah menguruskan mayat anaknya bersama penduduk kampung. Rumaysa' memberitahu juga kepada orang ramai bahawa janganlah perihal itu diceritakan kepada suaminya, melainkan dari dirinya sendiri.
Selepas Abu Talhah pulang, dalam keadaan penat, Rumaysa' melayan suaminya dengan baik, menghidangkan makanan dan melayan suaminya makan. Abu Talhah bertanya kepada Rumaysa',
"Mengapa aku tidak melihat Abu Umair?"
"Anak kita berada dalam keadaan aman sekarang"
Selepas makan, Rumaysa' melayan suaminya dengan baik. Selepas hilang letih suaminya, menjelang malam, suaminya bertanya lagi,
"Dimanakah Abu Umair?"
" Suamiku, sekiranya seseorang meminjamkan sesuatu kepada kita, jika dia mengkehendakinya kembali, wajibkah kita memulangkannya kembali?"
"mestilah perlu"
"begitulah dengan anak kita. Allah telah meminjamkan Abu Umair kepada kita dan Dia telah mengambilnya kembali"
Mengerti akan kata-kata isterinya, Abu Talhah sedih namun redha dengan pemergian anaknya. Keesokannya, Abu Talhah berjumpa dengan Rasulullah dan menceritakan perihal itu. Rasulullah kagum dengan ketabahan Ummu Sulaym dan mendoakan mereka dikurniakan zuriat yang ramai. Akhirnya mereka dikurniakan 10 orang anak yang masing-masing merupakan ulama' yang terkenal.
Kisah 4: seorang mujahadah yang tidak gentar
Sewaktu peperangan Khandaq, Rasulullah terlihat akan Rumaysa' yang sedang sibuk merawat pahlawan yang cedera membawa belati di tangannya dan bertanya apakah yang dia ingin lakukan dengan belati itu. Rumaysa' menjawab :
"ini untuk melawan mereka yang melarikan diri"
Dipetik dan disunting daripada:
SUMBER
Tidak dibolehkan kencing berdiri, kerana ia bercanggah dengan sopan dan etika yang mulia, di samping mengelakkan diri daripada percikannya. Namun jika diyakini air kencing itu tidak memercik dan dapat dipastikan tidak akan terkena dirinya, maka tidak menjadi halangan baginya untuk kencing berdiri. Diriwayatkan dari Huzaifah ra yang menceritakan :
“Suatu ketika Nabi SAW singgah di suatu tempat pembuangan sampah berhampiran dengan daerah suatu kaum. Di situ, beliau membuang air kecil sambil berdiri. Melihat itu, aku segera pergi menjauh, tetapi beliau malah berkata : Mendekatlah ke mari Aku pun segera menghampirinya hingga berdiri berhampiran dengan tumitnya. Kemudian aku melihatnya berwuduk dan menyapu kedua-dua khufnya.”
(Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)
Petikan hadis di atas ini adalah untuk menunjukkan bahawa harus kencing sambil berdiri. Tetapi ia bukan untuk menunjukkan kebiasaan Rasulullah SAW kencing sambil berdiri. Kebiasaan Rasulullah ialah kencing secara duduk.
Imam An-Nawawi mengatakan kencing dalam keadaan duduk adalah lebih baik mengikutnya pandanganku, namun jika seseorang kencing dalam keadaan berdiri, maka itu juga tetap di bolehkan. Kedua-dua keadaan ini pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW.
Ada sebahagian ulamak mengatakan bahawa hukum kencing berdiri adalah makruh kecuali jika ada sebarang keuzuran. Menurut mereka perbuatan Nabi kencing berdiri adalah kerana ada keuzuran bagi baginda, kemungkinan susah bagi baginda untuk duduk pada ketika itu memandangkan tempat itu ialah tempat pembuangan sampah atau mungkin juga baginda mengalami sakit tulang belakang. Menurut Imam Syafie orang Arab jika mereka mengalami sakit belakang, mereka akan kencing berdiri.
Di kalangan para sahabat sendiri terdapat khilaf tentang kencing berdiri. Terdapat riwayat menceritakan bahawa Saidina Umar, Ali, Zaid bin Tsabit, Ibnu Umar, Abu Hurairah dan Anas ra pernah kencing sambil berdiri. Antara sahabat yang memakruhkannya pula ialah Ibnu Mas’ud dan diikuti oleh Imam as-Sya’bi dan Ibrahim bin Sa’ad.
Rumusan dari perbahasan kencing berdiri di atas, maka hukumnya adalah harus jika orang tersebut mengalami kesukaran untuk kencing duduk. Manakala hukum makruh pula jika orang tersebut melakukan kencing berdiri dengan sengaja dan ia tidak mengalami apa-apa kesukaran dan musibah. Namun yang terbaik ialah kencing sambil duduk. Ini ditegaskan oleh Imam Ibnu al-Munzir :
“Kencing sambil duduk lebih aku sukai. Namun kencing berdiri hukumnya adalah harus. Kedua-duanya ada dalil dari Nabi SAW”.
PAS merupakan sebuah parti yang memperjuangkan Islam menjadi amalan dan teras kepada masyarakat di Malaysia. Menjadikan Islam sebagai teras perjuangan bermakna menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai rujukan utama dalam merancang perjalanan dan menentukan tindakan yang ingin diambil. Ulama pula menjadi teraju utama perjuangan PAS kerana merekalah yang lebih hampir kepada Al-Quran dan As-Sunnah, dan merekalah yang selayaknya memimpin sebuah gerakan Islam.
Islam adalah panduan, Islam juga adalah matlamat dan cita-cita perjuangan PAS. Sepertimana yang disebut oleh Saidina Omar R.A:
“Kita adalah kaum dimuliakan oleh Allah dengan Islam. Sekiranya kita mencari kemuliaan selain daripada Islam, Allah akan menghinakan kita.”
Islam tidak memerlukan teras tambahan kerana kesempurnaan kandungan yang ada pada Islam. Dibimbangi, tokok tambah yang dibuat, diambil pula daripada sumber yang tidak Islamik, menjejaskan hala tuju perjuangan Islam itu sendiri. Firman Allah Taala di dalam Al-Quran:
“Pada hari ini Aku (Allah) telah sempurnakan bagi kamu Agama (Deen = cara hidup) kamu, dan Aku cukupkan ke atas kamu nikmat-nikmatKu, dan Aku redha Islam menjadi Agama (Deen = cara hidup) bagi kamu.” (Surah Al-Maidah, 5 : 3)
Menjadikan Islam sebagai teras juga membawa makna matlamat utama perjuangan ialah mencari keredhaan Allah. Berjuang bukan kerana jawatan dan kedudukan, sebaliknya berjuang sehingga sanggup berkorban harta dan nyawa semata-mata untuk mencari keredhaan Allah dan meninggikan kalimah Allah yang Maha Tinggi. Misi Islam ialah beramal kerana Allah, Dialah yang lebih layak menjadi tempat rujukan dan menjadi pemutus dalam setiap tindakan hamba-hambaNya.
Dahulu, Tanah Melayu pernah menjadikan Islam dan segala undang-undang yang terdapat di dalamnya sebagai perlembagaan dan sumber rujukan utama. Namun, pencerobohan dan penjajahan oleh imperialis barat telah mengganggu-gugat kedudukan Islam sehinggalah pada hari ini, rakyat Malaysia sendiri lupa akan asal-usul juga sejarah yang pernah dilakarkan oleh ulama silam. Imperialis Barat bukan sahaja datang membawa misi untuk menjajah Tanah Melayu, bahkan mereka membawa doktrin dan ideologi yang memisahkan masyarakat, khususnya pentadbiran di Tanah Melayu ini daripada Islam.
Konsep demokrasi yang diperkenalkan juga merupakan antara doktrin yang berjaya mereka terapkan di dalam amalan pentadbiran Kerajaan Malaysia. Sungguhpun begitu, PAS menggunakan ruang yang ada untuk terus memastikan agenda Islam dapat diperjuangkan dalam suasana demokrasi. Malah bersama-sama dengan Pakatan Rakyat memastikan keadilan dan demokrasi dapat ditegakkan kembali di Malaysia. Ini kerana, demokrasi selagi tidak melampaui batas, adalah diterima dan boleh menjadi platform yang baik untuk memperjuangkan Islam. Hasilnya, Kerajaan Negeri Kelantan terus aman dan berkembang dan dipimpin dengan Islam menjadi teras utama kerajaan.

Demokrasi pula merujuk kepada kuasa rakyat dan penyertaan ramai dalam membuat sesuatu keputusan. Konsep majoriti merupakan asas kepada demokrasi. Dalam konteks negara demokrasi, parti yang mendapat lebih banyak undi akan terpilih sebagai parti pemerintah. Semua parti politik yang menyertai pilihanraya di Malaysia, menerima hakikat ini. Sekalipun proses demokrasi di Malaysia tidak begitu menjamin hak semua rakyat, khususnya parti politik, kita perlu bersetuju bahawa proses demokrasi ini adalah proses terbaik untuk memastikan keharmonian politik dan sosial di Malaysia.
Begitupun, Islam tidak boleh disamaertikan dengan proses Demokrasi. Kebenaran Islam tidak bergantung kepada ramainya penyokong. Apalagi hukum-hakam dalam Islam, bukanlah subjek yang boleh dipertimbangkan melalui suara majoriti. Namun, situasi dalam negara demokrasi memerlukan sokongan ramai untuk memastikan Islam berjaya ditegakkan. Maka menjadi tanggungjawab semua umat Islam di Malaysia tidak kira dari parti Umno Barisan Nasional, lebih-lebih lagi dari parti PAS untuk memperjuangkan Islam melalui lunas-lunas demokrasi.
Islam merupakan agama Allah. Ia disampaikan oleh para Nabi dan Rasul, melalui proses yang pelbagai. Namun, ia bukanlah suatu yang boleh dipertimbangkan untuk diterima atau ditolak, sebaliknya menjadi tanggungjawab setiap individu muslim untuk melaksanakan Islam dalam kehidupan.
PAS sebagai sebuah parti politik mengambil bahagian dalam pilihanraya, sebagai tanda penerimaan dan persetujuan bahawa Malaysia sebuah negara yang demokratik. PAS juga berkeyakinan penuh bahawa melalui jalan demokrasi ini, PAS mampu mencapai matlamatnya memaknakan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara. Walaupun bersetuju untuk menyertai proses demokrasi, tetapi PAS perlu kekal sebagai parti Islam yang tulen. Menggabungkan diri dalam perjuangan Islam sahaja sudah cukup indah dan sempurna tanpa menyamakannya dengan mana-mana bentuk ideologi dan pemikiran.
PAS sebagai sebuah parti politik tidak pernah menjadikan Islam sebagai bahan dagangan politik untuk mendapatkan kuasa, apa lagi menjadikan Islam sebagai mangsa demokrasi sehingga isi kandungannya boleh dipisah-pisahkan sesuka hati. Sebaliknya, PAS komited menjadikan Islam sebagai teras perjuangan dan menjadikan Malaysia ini Negara yang berkebajikan adalah selaras dengan misi ini.
Bahkan Allah Taala melantik seluruh umat manusia, tidak terkecuali walau seorangpun, sebagai khalifah yang menjadi wakil pemerintahan di muka bumi. Bermakna, manusia seluruhnya memikul tanggungjawab untuk memakmurkan dan memelihara dunia ini dengan penuh keharmonian dan keadilan.
Muhammad Ismi Mat Taib
Penolong Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat
SUMBER