Tidak dibolehkan kencing berdiri, kerana ia bercanggah dengan sopan dan etika yang mulia, di samping mengelakkan diri daripada percikannya. Namun jika diyakini air kencing itu tidak memercik dan dapat dipastikan tidak akan terkena dirinya, maka tidak menjadi halangan baginya untuk kencing berdiri. Diriwayatkan dari Huzaifah ra yang menceritakan :
“Suatu ketika Nabi SAW singgah di suatu tempat pembuangan sampah berhampiran dengan daerah suatu kaum. Di situ, beliau membuang air kecil sambil berdiri. Melihat itu, aku segera pergi menjauh, tetapi beliau malah berkata : Mendekatlah ke mari Aku pun segera menghampirinya hingga berdiri berhampiran dengan tumitnya. Kemudian aku melihatnya berwuduk dan menyapu kedua-dua khufnya.”
(Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)
Petikan hadis di atas ini adalah untuk menunjukkan bahawa harus kencing sambil berdiri. Tetapi ia bukan untuk menunjukkan kebiasaan Rasulullah SAW kencing sambil berdiri. Kebiasaan Rasulullah ialah kencing secara duduk.
Imam An-Nawawi mengatakan kencing dalam keadaan duduk adalah lebih baik mengikutnya pandanganku, namun jika seseorang kencing dalam keadaan berdiri, maka itu juga tetap di bolehkan. Kedua-dua keadaan ini pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW.
Ada sebahagian ulamak mengatakan bahawa hukum kencing berdiri adalah makruh kecuali jika ada sebarang keuzuran. Menurut mereka perbuatan Nabi kencing berdiri adalah kerana ada keuzuran bagi baginda, kemungkinan susah bagi baginda untuk duduk pada ketika itu memandangkan tempat itu ialah tempat pembuangan sampah atau mungkin juga baginda mengalami sakit tulang belakang. Menurut Imam Syafie orang Arab jika mereka mengalami sakit belakang, mereka akan kencing berdiri.
Di kalangan para sahabat sendiri terdapat khilaf tentang kencing berdiri. Terdapat riwayat menceritakan bahawa Saidina Umar, Ali, Zaid bin Tsabit, Ibnu Umar, Abu Hurairah dan Anas ra pernah kencing sambil berdiri. Antara sahabat yang memakruhkannya pula ialah Ibnu Mas’ud dan diikuti oleh Imam as-Sya’bi dan Ibrahim bin Sa’ad.
Rumusan dari perbahasan kencing berdiri di atas, maka hukumnya adalah harus jika orang tersebut mengalami kesukaran untuk kencing duduk. Manakala hukum makruh pula jika orang tersebut melakukan kencing berdiri dengan sengaja dan ia tidak mengalami apa-apa kesukaran dan musibah. Namun yang terbaik ialah kencing sambil duduk. Ini ditegaskan oleh Imam Ibnu al-Munzir :
“Kencing sambil duduk lebih aku sukai. Namun kencing berdiri hukumnya adalah harus. Kedua-duanya ada dalil dari Nabi SAW”.
Dhuha menurut ahli fekah adalah waktu di antara ketika matahari mulai naik sehingga ketika matahari mulai condong. Oleh itu solat Dhuha adalah solat sunat yang dikerjakan pada waktu tersebut.
HUKUM SOLAT DHUHA
Pandangan para ulamak tentang hukum mengerjakan solat Dhuha adalah seperti berikut:
1. Sunat secara mutlak dan dikerjakan setiap hari
2. Sunat namun tidak didirikan setiap hari secara berterusan.
3. Tidak disunatkan.
4. Ianya disunatkan kerana faktor tertentu seperti bagi mereka yang tertinggal mengerjakan solat Qiyam al-Lail maka digantikan solat tersebut dengan mengerjakan solat pada waktu dhuha.
Pendapat yang paling tepat serta dipegang oleh jumhur ulamak adalah solat Dhuha termasuk amal sunat mu’akkadah dan dianjurkan untuk diamalkan secara rutin. Ini adalah kerana Rasulullah S.A.W. selalu mengerjakannya, menganjurkan para sahabat untuk mengerjakannya malah baginda pernah mewasiatkan perlaksanaannya kepada beberapa sahabat. Daripada Abu Hurairah r.a, dia berkata:
Kekasihku shallallahu ‘alaihi wasallam telah mewasiatkan kepadaku tiga perkara yang tidak akan pernah aku tinggalkan sehingga akhir hayatku; berpuasa tiga hari setiap bulan (hijrah), mengerjakan dua rakaat solat Dhuha dan mengerjakan solat Witir sebelum tidur (Bukhari)
Walaupun wasiat ini ditujukan kepada seorang sahabat tetapi anjuran tersebut merangkumi untuk seluruh umat Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam kecuali sekiranya terdapat lafaz yang menunjukkan ianya sememangnya khusus untuk sahabat tersebut. Ternyata lafaz tersebut berbentuk umum apatah lagi baginda juga pernah mewasiatkan perkara yang sama kepada Abu Darda’radhiallahu’ anh, dia berkata:
Kekasihku shallallahu ‘alaihi wasallam pernah mewasiatkan kepadaku tiga perkara yang tidak akan pernah aku tinggalkan sehingga akhir hayatku; berpuasa tiga hari setiap bulan (hijrah), mengerjakan solat Dhuha dan tidak tidur sebelum mengerjakan solat Witir. (Muslim)
KELEBIHAN MENGERJAKAN SOLAT DHUHA
Ianya Amalan Berbentuk Sedekah
Bagi setiap anggota sendi serta ruas-ruas tulang perlu mengeluarkan sedekah bagi menunjukkan ketaatan kita kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Justeru itu solat Dhuha adalah amalan yang dapat menunaikan tanggung jawab tersebut. Daripada Abu Dzarr r.a., daripada Nabi S.A.W., baginda bersabda:
Bagi tiap-tiap ruas dari anggota tubuh salah seorang di antara kalian harus dikeluarkan sedekahnya setiap pagi hari. Setiap tasbih (Subhaanallah) adalah sedekah, setiap tahmid (Alhamdulillah) adalah sedekah, setiap tahlil (Laa Ilaaha Illallah) adalah sedekah, setiap takbir (Allahu Akbar) adalah sedekah, menyuruh untuk berbuat baik juga sedekah, dan mencegah kemungkaran juga sedekah. Dan semua itu boleh diganti dengan dua rakaat solat Dhuha. (Muslim)
Allah Memberi Rezeki Yang Cukup Sepanjang Siang Hari
Bagi mereka yang mengerjakan solat Dhuha Allah Subhanahu wa Ta’ala sentiasa mencukupkan segala keperluan seseorang sepanjang siang hari. Daripada Nu’aim bin Hammar, dia berkata: Saya pernah mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda Allah Azza Wa Jalla berfirman:
Wahai anak Adam, janganlah engkau sampai tertinggal untuk mengerjakan solat empat rakaat pada permulaan siang (waktu Dhuha), nescaya Aku akan memberi kecukupan kepadamu sampai akhir siang. (Abu Dawud)
Mendapat Pahala Sebagaimana Mengerjakan Haji Dan Umrah
Barangsiapa mengerjakan solat Subuh secara berjemaah lalu sesudah itu dia tetap duduk (di masjid) untuk berzikir kepada Allah sehingga matahari terbit (dan meninggi), kemudian solat (Dhuha) dua rakaat maka dia akan mendapat pahala sebagaimana pahala haji dan umrah. Dia berkata (Anas), Rasulullah bersabda: Yang sempurna, Yang Sempurna, Yang Sempurna. (al-Tirmidzi)
TATACARA PERLAKSANAAN SOLAT DHUHA
Waktu Mengerjakan Solat Dhuha
Waktu untuk mengerjakan solat Dhuha adalah sewaktu matahari mulai naik iaitu sebaik sahaja berakhirnya waktu yang diharamkan solat setelah solat Subuh (28 minit setelah waktu Syuruk) sehingga sebelum matahari condong atau tergelincir ketika tengahari (10 minit sebelum masuk waktu Zuhur atau untuk lebih berhati-hati laksanakannya sebelum 15 minit). Menurut Syaikh al-‘Utsaimin di dalam Asy-Syarhul Mumti’:
Jika demikian, waktu solat Dhuha dimulai setelah keluar dari waktu larangan solat pada awal siang hari (pagi hari) sampai adanya larangan saat tengah hari.
Jumlah Rakaat Solat Dhuha
Jumlah rakaat solat Dhuha paling minimum adalah dua rakaat dan ia boleh dikerjakan tanpa batasan jumlah rakaat yang tertentu. Sebelum ini penulis telah memaparkan hadis-hadis berkaitan solat Dhuha yang dilaksanakan dengan dua dan empat rakaat. Berikut adalah dalil yang menunjukkan ianya juga boleh dikerjakan dengan sebanyak enam, lapan dan dua belas rakaat.
Daripada Anas bin Malik r.a. bahawasanya Nabi S.A.W. pernah mengerjakan solat Dhuha sebanyak enam rakaat (Tirmidzi)
Daripada Ummu Hani’, dia berkata: Pada masa pembebasan kota Makkah, dia bertemu Rasulullah S.A.W. ketika baginda berada di atas tempat tertinggi di Makkah. Rasulullah S.A.W. beranjak menuju tempat mandinya lalu Fathimah memasang tabir untuk baginda. Selanjutnya Fathimah mengambilkan kain dan menyelimutkannnya kepada baginda. Setelah itu baginda mengerjakan solat Dhuha sebanyak lapan rakaat (Bukhari)
Dalam riwayat al-Thabarani daripada hadis Abu Darda’ secara marfu’ disebutkan:
Barangsiapa solat Dhuha dua rakaat, maka tidak ditulis sebagai orang-orang lalai, barangsiapa solat Dhuha empat rakaat maka ditulis sebagai orang-orang yang bertaubat, barangsiapa solat Dhuha enam rakaat, maka dicukupkan untuknya pada hari itu, barangsiapa solat Dhuha lapan rakaat, maka ditulis dalam golongan ahli Ibadah, dan barangsiapa solat Dhuha dua belas rakaat maka dibangunkan untuknya rumah di syurga. – rujuk Fathul Baari, jilid 6, ms. 349 ketika al-Hafidz mensyarah hadis Shahih al-Bukhari no: 1176. Namun status hadis ini diperselisihkan olah para ulamak hadis. Musa bin Ya’qub al-Zami’i yang terdapat dalam sanad hadis ini telah didha’ifkan oleh Ibnu al-Madini namun dinilai tsiqah pula oleh Ibnu Ma’in dan Ibnu Hibban. Al-Hafidz sendiri berkata sanad hadis ini lemah namun diperkuatkan oleh hadis Abu Dzar yang diriwayatkan oleh al-Bazzar hanya sahaja sanadnya juga lemah dan apa yang lebih tepat hadis ini dha’if. Wallahu’alam.
Berkaitan dengan dalil yang menunjukkan jumlah rakaat solat Dhuha ini tidak ada batasan yang tertentu adalah:
Daripada Mu’adzah, dia berkata: Aku bertanya kepada ‘Aisyah: Berapa rakaat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam mengerjakan solat Dhuha?
Dia menjawab: Sebanyak empat rakaat lalu baginda menambahnya lagi menurut yang dia kehendaki. (Muslim)
Ringkasan Tatacara Mengerjakan Solat Dhuha
Rakaat Pertama
1) Berniat di dalam hati untuk mengerjakan solat Dhuha
2) Takbiratul Ihram
3) Doa Iftitah
4) Membaca surah al-Fatihah
5) Membaca Surah al-Qur’an
6) Rukuk
7) Iktidal
8) Sujud
9) Duduk antara dua sujud
10) Sujud kali kedua
11) Bangun untuk rakaat kedua
Rakaat Kedua
1) Ulang seperti rakaat pada pertama dari nombor (4) hingga (10)
2) Duduk untuk tahiyyat akhir
3) Memberi salam ke kanan dan ke kiri
Sesekali, sama-sama fikirkan, ribuan wang ringgit yang kita infaqkan, masa bersama keluarga kita gadaikan, seluruh tenaga kita dihabiskan.
1- Namun selepas segala perit maung, akhirnya, bilangan peserta yang datang ke program kita hanya sedikit. Adik-adik lebih tertarik untuk ke program lain. Komen daripada peserta yang baru saja balik dari program lain itu pun berbunyi "alaa tak best la program ni. Jom Heboh lagi best!"
Mampukah kita masih tersenyum? Adakah kita akan kecewa? Kalau tidak terlintas sedikit pun perasaan kecewa itu, Alhamdulillah. Takut-takut kalau sedikit kekecewaan itu terdetik di hati, maka, muhasabahlah, adakah kita buat segalanya kerana Allah atau kerana orang lain?
2- Selain itu, kalau bilangan pendaftaran peserta yang datang ke program kita tiba-tiba meningkat mendadak. Walaupun kena bayar tapi peserta masih nak datang. Adik-adik yang baru balik dari program lain berkata "memang bestlah program ni! Nasib baik saya datang! Tak sia-sia yuran yang saya bayar!". Maka kita pun gembira dan terasa puas hati.
Tanya semula pada diri, adakah kepuasan hati itu terasa sebab kita dah penat usaha? Terdetik atau tidak perasaan "tak sia-sia usaha aku selama ni"? Takut-takut kita ada lintasan fikiran sebegitu maka istighfarlah, dan kata pada diri "Alhamdulillah, semua ini tidak lain tidak bukan adalah atas rahmat Allah swt, tidak sedikitpun sebab aku".
Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah,
Bilamana perlumbaan itu diwar-warkan, maka akan ada yang kalah dan menang. Bilamana perlumbaan semakin sengit, maka orang pasti akan membanding-bandingkan yang mana lebih baik. Jangan nanti perkataan 'fastabiqul khairat' itu hanya kata-kata manis di bibir.
Jauh sekali niat untuk bersangka buruk, cuma ingin mengingatkan saja, mudah-mudahan kita sentiasa perbetulkan niat kita, semua benda yang kita buat pun Lillahi Taala, dan apa yang kita kejar ialah redha Allah swt. Dan semua kebaikan yang datang selepas itu juga tak lain tak bukan atas rahmat Allah swt.
Supaya kita tidak kecewa jika kita 'kalah di mata manusia' dan supaya kita tidak bangga jika kita 'menang di mata manusia'.
Biarlah dalam kita
'fastabiqul khairat' (berlumba dalam melakukan kebaikan), kita juga 'saari'uu ilaa maghfirah' (bersegera memohon keampunan)
وَسَارِعُواْ إِلَى مَغْفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ () الَّذِينَ يُنفِقُونَ فِي السَّرَّاء وَالضَّرَّاء وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ وَالْعَافِينَ عَنِ النَّاسِ وَاللّهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ
Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa () (yaitu) orang-orang yang menginfakkan (hartanya), baik di waktu lapang maupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan. (ali-Imran :133-134)
Mudah-mudahan Allah jauhkan perasaan riak dan campakkan keikhlasan dalam hati, mudah-mudahan Allah jauhkan perasaan benci membenci dan hasad dengki, mudah-mudahan Allah redha dengan setiap apa yang kita lakukan, mudah-mudahan Allah tingkatkan darjat kita dengan Taqwa.

Sabda Rasulullah SAW.: "Tiga perkara yang barangsiapa terdapat (ketiga-tiga perkara itu) padanya nescaya dia memperolehi kemanisan iman (iaitu)
Allah dan Rasul-Nya adalah lebih dia cintai daripada selainnya, dan dia
mencintai seseorang semata-mata kerana Allah, dan dia
benci untuk kembali kepada kekufuran (maksiat) sebagaimana dia benci dilemparkan ke dalam api neraka".
(Hadis Sahih Riwayat Bukhari dan Muslim)
Sentiasa tanamkan dalam hati kita 3 sifat ini (yg tersebut dalam hadith di atas) agar 'kemanisan iman' itu benar-benar dirasai.
Mengapa perlunya kemanisan iman? Kerana dengan kemanisan iman, kita tidak pernah mengeluh dengan keletihan dan kepenatan dalam berdakwah. Dengan kemanisan iman, kita sentiasa redha dan tawakkal dengan semua ujian yg Allah berikan kepada kita. Dengan kemanisan iman, kita sentiasa bersiap siaga untuk Islam.
Kadang kala, kita terasa penat dan lemah dalam berdakwah. Kadang kala kita rasakan yang kita telah banyak menyumbang untuk Islam tapi apa yg kita dapat hanyalah keletihan, kesedihan dan sebagainya. Kadang kala mad'u kita kelihatan seperti tidak menghargai apa yang kita kongsikan. Kadang kala sahabat-sahabat lain pun kurang
acknowledge kerja kita.
Tetapi ingatlah, kerja dakwah ni bukan kerja dengan manusia tapi kerja dengan Allah. Dengan kemanisan iman, hanya kepada Allah kita meletakkan sepenuh pengharapan. Dengan kemanisan iman, kita akan sentiasa yakin dan percaya dengan
'the hidden blessing' yang Allah janjikan.
"Maka tidak seorang pun mengetahui apa yg disembunyikan untuk mereka iaitu (bermacam-macam nikmat) yang menyenangkan pandangan mata sebagai balasan terhadap apa yg mereka kerjakan" [32:17]
Dukacita sebahagian penceramah, menjadikan masjid dan surau sebagai platform mengiklankan barang-barang jualan mereka. Atau mengiklan produk-produk mereka yang disokong oleh dalil-dalil yang kebanyakannya tidak benar. Namun masyarakat umum yang telah memberi kepercayaan, ramai yang termakan.
Akhirnya masjid menjadi pusat iklan barangan untuk kepentingan pihak-pihak tertentu. Sedangkan peniaga-peniaga lain tidak ada peluang. Kalau satu syarikat diizinkan, mengapa syarikat yang lain tidak? Jika semuanya diizinkan, jadilah masjid bagaikan ‘pasar lambak’ tempat peniaga mengiklankan barangan mereka. Nabi s.a.w menyebut:
مَنْ سَمِعَ رَجُلًا يَنْشُدُ ضَالَّةً فِي الْمَسْجِدِ فَلْيَقُلْ لَا رَدَّهَا اللَّهُ عَلَيْكَ فَإِنَّ الْمَسَاجِدَ لَمْ تُبْنَ لِهَذَا
“Sesiapa yang mendengar seseorang mengistiharkan barangan hilang dalam masjid, maka hendaklah dia berkata: “Semoga Allah tidak akan mengembalikannya kepadamu, sesungguhnya masjid tidak dibina untuk ini”. (Riwayat Muslim)
Jika mengumumkan barangan hilang dalam masjid kerana itu dilarang kerana memalingkan maksud atau tujuan masjid sebagai pusat tumpuan ibadah, bagaimana mungkin untuk mereka berkempen barang jualan di dalamnya?
إِذَا رَأَيْتُمْ مَنْ يَبِيعُ أَوْ يَبْتَاعُ فِي الْمَسْجِدِ فَقُولُوا لَا أَرْبَحَ اللَّهُ تِجَارَتَكَ
“Jika kamu melihat seseorang menjual atau membeli di masjid, maka katakanlah: ALLAH tidak akan menguntungkan perniagaanmu..” (Riwayat al-Tirmizi, disahihkan oleh al-Albani)
Maka perbuatan tersebuat adalah dilarang berdasarkan nas-nas di atas.
Allah Lebih Mengetahui
Dr. Mohd Asri Zainul Abidin
Artikel ini ditulis di atas permintaan sahabat untuk memahami permasalahan mengenai bidaah. Saya tidak bercadang untuk membawa dalil-dalil dari kitab-kitab yang besar untuk menerangkan masalah yang tiada berkesudahan ini. Sekadar pemerhatian, saya dapati sudah banyak artikel mengenainya ditulis yang dipetik daripada kitab ulamak dan juga dalil al-Quran dan al-Hadis. Namun apa yang ingin saya kongsikan bersama suatu kefahaman yang perlu ada kepada kita untuk memahami permasalahan ini yang sengaja dibesar-besarkan agar umat Islam terus berselisih sepanjang zaman sehingga melupakan perkara yang lebih besar daripada membincangakn masalah khilafiyah yang sudah diselesaikan oleh ulamak terdahulu beratusan tahun.
Namun, kerana wujudnya segelintir golongan yang tidak ingin berpedoman dengan kalam ulamak bahkan mereka lebih suka untuk menggunakan kalam mereka sendiri menyebabkan mereka hanyut dalam kefahaman yang mereka cipta sendiri. Ulamak dikatakan manusia biasa. Mempunyai potensi untuk melakukan kesilapan namun persoalannya apakah kita luar biasa? Apakah pandangan kita tidak ada potensi untuk silap? Sudah tentu pandangan kita yang dangkal dan tidak dipandukan dengan dowaabit syariyyah yang betul, lebih berpotensi untuk silap berbanding ulamak-ulamak kita yang jika dihitung kitab dan tulisan mereka tidak termampu oleh kita untuk merenangi lautan ilmu mereka. Justeru, menyebabkan kita hanyut di lautan yang luas bersama rakit kecil.
Sayugia difahami, untuk memahami nas syar’iyyah kita memerlukan penguasaan ilmu alat. Ilmu alat merupakan suatu sifir dan formula yang disusun oleh ulamak bersumberkan al-Quran dan al-Hadis. Formula ini disusun setelah mereka merenangi lautan ilmu yang luas daripada kalamullah dan kalam Rasulillah SAW. Bukan hanya berakit ke hulu lalu merasakan diri sudah hebat dan jaguh di lautan ilmu Allah SWT. Kesilapan memahami hadis Rasulillah SAW merupakan suatu pendustaan ke atas nama Nabi SAW yang dijanjikan “seat” kelas VVIP di dalam api neraka Allah SWT seperti mana yang telah disabdakan oleh junjungan besar SAW.
Bidaah bukan suatu hukum. Jika kita mempelajari ilmu usul fiqh kita tidak akan menemui satu hukum yang dinamakan sebagai bidaah. Hukum ada 5 yang disebut sebagai hukum takhlifi iaitu wajib, haram, sunat, makruh dan harus. Jadi, sesuatu perkara bidaah hendaklah dihukumkan dengan 5 hukum ini samada ia bidaah yang wajib, bidaah yang haram, bidaah yang sunat, bidaah yang makruh atau bidaah yang harus. Maka kita tidak boleh hukumkan semua bidaah adalah haram kerana terdapat bidaah yang wajib seperti menyusun al-Quran di dalam satu mushaf yang kita tahu ia berlaku pada zaman Sayyidina Uthman R.A. iaitu zaman sahabat Radhiallahu ‘Anhum. Tidak berlaku pada zaman Nabi SAW. Maka Islam tidak menganggap ia sesuatu yang haram bahkan wajib kerana jika tidak disusun di dalam satu mushaf yang dikenali sebagai mushaf uthmani pada zaman kita ini maka keaslian al-Quran tidak akan terjamin kerana masing-masing akan membaca mengikut lahjah (loghat) mereka.
Saya boleh membincangkan topik ini daripada sudut bahasa arab itu sendiri. Adakah kullu yang digunakan oleh Nabi SAW menunjukkan tidak terkecuali yakni semua atau sebahagian sahaja? Tidak ada takhsis dan sebagainya. Mengapa digunakan lafaz nakirah pada perkataan bidaatin? Kenapa digunakan perkataan muaannas iaitu bida’ah tidak digunakan bid’un sahaja namun saya tidak berhasrat untuk membincangkannya pada artikel ini. Cukuplah jika kita memahami bahawa kalam nabi SAW merupakan kalam berbahasa arab dan mesti difahami dengan menggunakan bahasa arab yang betul mengikut qawaid nahwiyyahnya. Jika kita mengetahui makna bahasa arab dengan bantuan kamus jangan merasa terlalu bijak untuk memahami kalam Nabi SAW yang agung sehinggakan penyair-penyair arab yang hebat bahasanya di zaman jahiliyyah tidak dapat menandingi kesusasteraan bahasa Nabi SAW.
Kecuaian dalam memahami istilah hadis. Apakah yang dimaksudkan dengan hadis Nabi SAW? Hadis ialah “apa yang disandarkan kepada Nabi SAW daripada perkataan atau perbuatan atau pengakuan atau sifat kejadian tubuh Nabi SAW atau akhlaknya”. Ulamak usuliyyun yakni ulamak usul fiqh tidak mengambil kira sifat kejadian Nabi SAW dan akhlak sebagai dalil hukum. Dengan perkataan yang lain. Ulamak usuliyyun mengambil kira 3 aspek daripada 5 aspek ini untuk menentukan sesuatu hukum iaitu perkataan Nabi SAW, perbuatan Nabi SAW dan akuan atau diam Nabi SAW.
Kebiasaan golongan yang suka membidaahkan umat Islam melihat kepada dua sahaja iaitu apa yang dikatakan oleh Nabi SAW dan apa yang dibuat oleh baginda dan mencuaikan yang ketiga iaitu hadis taqriri atau sunnah taqririyyah. Jika Nabi tak buat dan Nabi tak kata maka bidaah padahal di sana masih ada satu lagi kategori hadis yang dicuaikan oleh mereka iaitu sunnah taqririyyah. Sunnah taqririyyah ialah sesuatu yang Nabi diam padanya. Nabi tidak kata boleh dan Nabi tidak kata tak boleh atau haram maka dikira sebagai harus. Pernah belaku di zaman Nabi SAW, para sahabat memakan dhob (binatang padang pasir bentuknya seperti biawak) dihadapan Nabi SAW tetapi Nabi tidak memakannya dan Nabi SAW tidak melarang sahabatnya daripada makan maka ulamak menganggap ia suatu yang halal kerana jika ia suatu yang diharamkan oleh Allah SWT maka pasti dilarang oleh Nabi SAW kerana seorang Nabi tidak akan redha dengan maksiat yang dilakukan oleh umatnya dan menjadi kewajipan seorang Nabi untuk menyatakannnya. Maka inilah yang dikatakan sebagai hadis taqriri atau sunnah taqririyyah. Nabi tak kata dan Nabi tak buat tapi adakah Nabi larang? Jika tidak ada larangan daripada Nabi SAW mengapa kita memandai-mandai untuk melarang dan mengatakannnya haram?
Jika kita melarang apa yang Nabi SAW tidak larang kita juga sebenarnya melakukan bidaah yang lebih besar kerana kita mengada-ngadakan larangan sesuatu yang Nabi SAW sendiri tidak larang..Kerana kecuaian kita dalam memahami sunnah taqririyah ini maka kita melarang apa yang Nabi SAW tidak pernah melarang seperti tahlil, berzikir selepas solat secara berjemaah, terawih secara berjemaah, talqin kepada orang yang telah mati, bacaan yasin malam jumaat dan seumpamanya bahkan nun jauh di sana ada dilalah yang membenarkan semua itu walaupun daripada sudut parktikalnya berbeza kerana ia termasuk daripada perkara yang luas dan tidak ditetapkan begini-begini. Adapun bidaah yang haram ialah seperti kita menambah bilangan rakaat solat yang secara qot’ie telah ditetapkan oleh Allah dan RasulNya.
Adapun dalam masalah baca yasin maka tidak menjadi satu kesalahan jika kita ingin membacanya pada malam jumaat atau pada malam-malam yang lain tanpa mewajibkannya. Namun dengan kelebihan surah yasin yang digelar sebagai qalbul quran (jantung al-Quran) dan kebesaran malam jumaat yang digelar sebagai sayyidul ayyam (penghulu segala hari) maka jika digabung keduanya sudah pasti kita akan mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah SWT.
Sumber
Beberapa minggu lepas, ana ditanya oleh beberapa rakan tentang hukum membaca Qunut Nazilah seorang diri di dalam solat fardhu. Alhamdulillah, bertemu dengan jawapannya pagi ini. Terdapat beberapa pandangan ulama' tentang hal ini.
Pendapat pertama: Pendapat yang masyhur dalam mazhab Hanbali: Tidak boleh membaca qunut nazilah kecuali hanya pemimpin utama umat Islam di dalam sesebuah negara Islam (Rujuk: Al-Syarh al-Kabir 4/136)
Pendapat kedua: Pendapat mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan satu riwayat dari mazhab Hanbali: Doa qunut ini boleh dibaca oleh semua imam yang menjadi imam solat jemaah. (Rujuk: Hashiyah Ibn ‘Abidin 2/390, al-Istizkar 5/175, al-Majmu’ 3/461, al-Insaf 4/136)
Pendapat ketiga: Satu riwayat dalam mazhab Hanbali, pendapat yang dipilih oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah dan satu pendapat daripada Syeikh Ibn ‘Uthaimin: Setiap orang yang menunaikan solat fardhu boleh membaca doa qunut ini, sama ada imam, makmum atau pun yang solat bersendirian. (rujuk: Majmu’ al-Fatawa 23/111)
Pendapat keempat: Satu pendapat di kalangan ulamak mazhab Hanbali dan Ibn ‘Uthaimin: Doa qunut ini adalah khas dengan izin pemimpin, jika pemimpin memberi arahan, maka ia dibaca. (Rujuk: al-Furu’ 1/484)
Pendapat yang lebih tepat (rajih):
Pendapat yang rajih -Allah lebih mengetahui- ialah pendapat yang ketiga (satu pendapat dari Imam Ahmad dan yang dipilih oleh Syeikh al-Islam) iaitu doa qunut boleh dibaca oleh semua orang yang sembahyang; imam, makmum dan juga yang sembahyang secara berseorangan. Pendapat inilah yang dipilih oleh Syeikh Ibn Baz.
Pendapat ini berdasarkan dalil hadis riwayat al-Bukhari (maksudnya): “Solatlah kamu seperti mana kamu melihat aku solat”. Hadis ini secara jelas menunjukkan bahawa perbuatan Nabi saw di dalam solat adalah disyariatkan untuk semua kaum muslimin secara umum. Tidak ada pula dalil lain yang mengkhususkan bahawa qunut nazilah ini hanya boleh dibaca oleh imam sahaja atau pemimpin utama umat Islam.
Malah terdapat riwayat lain yang menunjukkan beberapa orang sahabat yang turut membaca qunut ini sedangkan mereka bukanlah pemimpin utama umat Islam ketika itu. Antaranya ialah Abu Hurairah, Anas, Ibn Abbas, al-Barra’, Muawiyah dan lain-lain lagi.
Sumber:
Soaljawab Agama

Pendapat yang paling tepat diantara dua pandangan di kalangan para ulamak ialah tidak ada solat sunat rawatib sebelum solat Jumaat (qabliah Jumaat). Tetapi dibolehkan kepada seseorang itu apabila dia datang ke masjid untuk solat sunat sebanyak mana yang dikehendakinya secara dua rakaat-dua rakaat. Ini berdasarkan hadis Nabi saw yang bermaksud:
“Solat (sunat) di waktu malam dan siang adalah secara dua rakaat-dua rakaat”. – (Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan ahli sunan yang lain dengan sanad yang hasan, dan asalnya terdapat di dalam al-Sahih dengan tidak disebutkan perkataan “siang”).
Pendapat ini adalah berdasarkan apa yang disebutkan oleh Nabi saw di dalam hadis-hadis Baginda yang menyatakan bahawa apabila seseorang itu datang ke masjid pada hari Jumaat, maka dia boleh menunaikan sembahyang sunat sebelum keluarnya imam (untuk menyampaikan khutbah). Nabi saw pula tidak menetapkan jumlah rakaatnya samada dua atau empat atau pun lebih daripada itu. Maka semuanya adalah baik, dan sekurang-kurangnya ditunaikan dua rakaat solat tahiyat al-masjid.
Ada pun selepas daripada solat Jumaat, disunatkan untuk seseorang itu menunaikan solat sunat (ba’diah) sekurang-kurangnya dua rakaat dan paling banyak adalah empat rakaat. Ini berdasarkan hadis Nabi saw yang bermaksud:
“Sesiapa di kalangan kamu yang sembahyang (sunat) selepas daripada solat Jumaat, maka sembahyanglah sebanyak empat rakaat” – Hadis riwayat Muslim.
Nabi saw pula menunaikan solat dua rakaat di rumahnya selepas daripada solat Jumaat.
(Kitab Majmu’ Fatawa wa al-Maqalat oleh al-Syiekh al-‘Allamah Abd al-Aziz bin Abdullah bin Baaz, jil. 12, ms: 386)