Serambi Dakwah

IconMusafir di bumi Ilahi, aku singgah untuk menuntut ilmu untuk meneruskan perjalanan yang masih panjang.....

Showing posts with label Bidaah. Show all posts
Showing posts with label Bidaah. Show all posts

Syarat-syarat Harakah Islamiyah

Syarat-syarat inilah yang sedikit sebanyak boleh dijadikan ukuran atau penilaian untuk kita menerima sesebuah organisasi atau pertubuhan yang memakai nama Islam itu sebagai Harakah Islamiyyah (Gerakan Islam).

Antaranya adalah:
a) Perlembagaan atau sumber rujukannya yang tertinggi adalah Al-Qur’an dan Hadith.
b) Amar Ma’aruf dan Nahi Mungkar dijalankan secara serentak – maksudnya gerakan ini bukan hanya mengambil amar ma’aruf, tetapi meninggalkan nahi mungkar atau sebaliknya.
c) Dakwah adalah program utama mereka – maksudnya setiap gerak kerja mereka semata-mata dilakukan untuk mengembalikan manusia kepada Allah dan mengenal Islam.
d) Melaksanakan jihad dan siasah – maksudnya gerakan Islam mestilah sentiasa terkehadapan dalam menangani isu-isu ummah dan melibatkan diri dengan siasah iaitu berusaha untuk memerintah.

http://khazanahnasional.files.wordpress.com/2006/09/aesmi1.jpg

Walaubagaimanapun, saya akur bahawa disana terdapat pelbagai kriteria yang dibuat oleh para ulama’ ul ‘Amilin (ulama’ yang bekerja/berjuang untuk Islam) tentang syarat-syarat sebuah Harakah Islamiyyah. Antaranya, Ust Fathi Yakan yang menulis buku Apa Ertinya Saya Menganut Islam. Didalamnya juga dibahaskan mengenai kewujudan organisasi Islam yang pelbagai rupa bentuk seperti memperjuangkan ekonomi Islam, akhlak Islam, ibadah dan kesufian, politik Islam dan sebagainya.

Pun begitu, amat sukar untuk ditemui organisasi Islam yang memperjuangkan Islam yang syumul iaitu dari pelbagai sudut dan perkara dalam Islam yang melayakkan mereka digelar Harakah Islamiyyah. Sebab itu, untuk menilainya, kita mesti kembali kepada gerakan Islam yang dilancarkan oleh Rasulullah. Orientasinya kembali kepada 2 perkara yang berupa tugasan dakwah dan siasah, kerana memang dakwah adalah tugas umat Islam dan Islam perlu diberi kuasa memerintah dengan pendekatan Siasah (politik).

Hadaf dan Ghayah Harakah Islamiyyah

Kalimah ini sering kita dengar dan rata-ratanya cukup memahami. Sekadar ulangan sahaja. Hadaf boleh difahami sebagai objektif jangka masa pendek dan ghayah adalah objektif jangka masa panjang. Maka, hadaf kita boleh dipelbagaikan seperti untuk membentuk individu Muslim, Baitul Muslim, Masyarakat Muslim, Negara Islam serta Khilafah Islam dan lain-lain lagi yang terbatas di dunia. Adapun Ghayah kita kita sudah tentu semata-mata untuk mencari keredhaan Allah sebagaimana yang sering kita laungkan ‘Allah Ghayatuna’ iaitu Allah matlamat kami!.

Tiada khilaf lagi bahawa matlamat kita sudah jelas baik jangka masa panjang mahupun jangka masa pendek. Tinggal lagi, kita hanya berhadapan dengan masalah pendekatan, cara, method, kaedah, wasilah atau manhaj pergerakan.

http://pasabah.files.wordpress.com/2008/02/bendera-8.jpg

Ketika kita membicarakan soal keperluan mengembalikan sistem Khalifah, ada sebahagian organisasi Islam yang beranggapan kita perlu melalui pendekatan ceramah, seminar, edaran risalah, kempen dan seumpamanya. Disisi lain, ada yang mengambil pendekatan untuk memasuki wilayah politik sebagai parti politik Islam untuk mengambil alih kuasa dari mereka yang tidak berminat melaksanakan Islam. Ada juga yang mengambil pendekatan agresif dengan demonstrasi berpanjangan dengan nama Revolusi baik bersenjata atau tidak. Semua ini kita namakan sebagai pendekatan untuk mencapai matlamat yang sama iaitu mengembalikan ‘izzah Islam.

Harakah Islamiyyah dan Demokrasi

Saat ini, kita hampir-hampir kecewa dengan sikap segelintir kelompok yang sering melakukan ‘serangan-serangan’ sesama gerakan Islam semata-mata berbeza pendekatan. Apabila ada Harakah Islamiyyah yang menyertai arena demokrasi, bergerak sebagai parti politik Islam, terlibat dengan pilihanraya dan semumpamanya, maka sangat ringan lidah kita mendakwa tindakan ini adalah bid’ah, tidak syar’ie, Rasulullah tidak pernah buat dan segala macam lagi. Lebih dari itu, menghukum berdosa kerana terlibat dengan demokrasi yang dibuat oleh orang kafir.

http://www.ujanailmu.com.my/prod_images_large/Abdul_Hadi_Awang_-_Islam__Demokrasi1.JPG

Secara peribadi, saya tidak akan menjelaskan disini tentang Demokrasi kerana terlalu banyak buku-buku yang telah membicarakannya. Antaranya buku Islam dan Demokrasi karangan Tn.Guru Hj.Abdul Hadi Awang. InsyaAllah, penjelasan didalamnya mampu menguraikan kekusutan. Benarkah demokrasi datang dari Barat dan jika dari Barat (kafir) adakah tidak boleh digunakan langsung oleh umat Islam untuk menghadapi pihak musuh yang juga menggunakan senjata demokrasi, sejauhmana kita boleh mengambil manfaat dari demokrasi, apakah dalil-dalil yang mengharuskan menggunakan demokrasi, apakah maksud Muwajahah bis Silmiyyah dan Muwajahah bil Quwwah, apakah tidak ada dalam sejarah Islam atau para sahabat yang memakai sistem yang dibuat oleh orang kafir dan sebagainya. Buku ini telah menjelaskannya. Saranan saya…bacalah.

Bahkan jika dikatakan melibatkan diri dengan demokrasi tidak syar'ie, bagaimana pula dengan Ikhwan Muslimin yang kini terlibat dengan plihanraya Mesir, Hamas dengan pilihanraya Palestin, Jama’ah Islami dengan plihanraya di Pakistan dan lain-lain? Tidak adakah ulama’ didalam mereka yang membahaskan isu ini jika ianya bid’ah atau tidak syar’’ie?

Selain masalah ini, timbul juga pertikaian isu tarbiah organisasi dan perekrutan anggota ke dalam organisasi. Sebagai contoh, ada yang mendakwa merekalah paling baik sistem tarbiah, paling baik sistem perekrutan anggota dan seumpamanya.

Pertikaian ini tidak akan selesai dan kita juga meyakini betapa sukarnya untuk menyatukan organisasi-organisasi ini dibawah satu payung. Hanya satu sahaja perkara yang boleh kita sebut iaitu jika mana-mana pihak meyakini pendekatannya baik dan efektif, ya silakan diikuti. Namun, sikap menafikan, memperlecehkan, merendah-rendahkan dan memburuk-burukkan organisasi Islam lain, bukanlah cara yang terbaik. Jika anda tidak mampu berdemonstarsi, jangan perlekehkan peranan orang yang sanggup berdemonstrasi. Jika anda tidak mampu berceramah, jangan nafikan peranan dakwah melalui ceramah dan sebagainya. Didalam 10 nasihat Al-Banna, salah satunya adalah beliau melarang untuk menyerang dan memburuk-burukkan mana-mana organisasi khasnya yang memperjuangkan Islam.

Jalankan tugas masing-masing dengan pendekatan yang diyakini, hentikan menafikan peranan mana-mana gerakan Islam jika kita mahu melihat Hadaf dan Ghayah kita tercapai. Titik utamanya adalah keikhlasan kepada Allah. Itulah yang boleh menyelamatkan sikap kurang baik diatas disaat kita terpaksa menghadapi gerombolan tentera Ahzab moden yang terlalu ramai.Wallahua’alam

 
 

Bida'ah

[DSC00171.JPG]

Artikel ini ditulis di atas permintaan sahabat untuk memahami permasalahan mengenai bidaah. Saya tidak bercadang untuk membawa dalil-dalil dari kitab-kitab yang besar untuk menerangkan masalah yang tiada berkesudahan ini. Sekadar pemerhatian, saya dapati sudah banyak artikel mengenainya ditulis yang dipetik daripada kitab ulamak dan juga dalil al-Quran dan al-Hadis. Namun apa yang ingin saya kongsikan bersama suatu kefahaman yang perlu ada kepada kita untuk memahami permasalahan ini yang sengaja dibesar-besarkan agar umat Islam terus berselisih sepanjang zaman sehingga melupakan perkara yang lebih besar daripada membincangakn masalah khilafiyah yang sudah diselesaikan oleh ulamak terdahulu beratusan tahun.

Namun, kerana wujudnya segelintir golongan yang tidak ingin berpedoman dengan kalam ulamak bahkan mereka lebih suka untuk menggunakan kalam mereka sendiri menyebabkan mereka hanyut dalam kefahaman yang mereka cipta sendiri. Ulamak dikatakan manusia biasa. Mempunyai potensi untuk melakukan kesilapan namun persoalannya apakah kita luar biasa? Apakah pandangan kita tidak ada potensi untuk silap? Sudah tentu pandangan kita yang dangkal dan tidak dipandukan dengan dowaabit syariyyah yang betul, lebih berpotensi untuk silap berbanding ulamak-ulamak kita yang jika dihitung kitab dan tulisan mereka tidak termampu oleh kita untuk merenangi lautan ilmu mereka. Justeru, menyebabkan kita hanyut di lautan yang luas bersama rakit kecil.

Sayugia difahami, untuk memahami nas syar’iyyah kita memerlukan penguasaan ilmu alat. Ilmu alat merupakan suatu sifir dan formula yang disusun oleh ulamak bersumberkan al-Quran dan al-Hadis. Formula ini disusun setelah mereka merenangi lautan ilmu yang luas daripada kalamullah dan kalam Rasulillah SAW. Bukan hanya berakit ke hulu lalu merasakan diri sudah hebat dan jaguh di lautan ilmu Allah SWT. Kesilapan memahami hadis Rasulillah SAW merupakan suatu pendustaan ke atas nama Nabi SAW yang dijanjikan “seat” kelas VVIP di dalam api neraka Allah SWT seperti mana yang telah disabdakan oleh junjungan besar SAW.

Bidaah bukan suatu hukum. Jika kita mempelajari ilmu usul fiqh kita tidak akan menemui satu hukum yang dinamakan sebagai bidaah. Hukum ada 5 yang disebut sebagai hukum takhlifi iaitu wajib, haram, sunat, makruh dan harus. Jadi, sesuatu perkara bidaah hendaklah dihukumkan dengan 5 hukum ini samada ia bidaah yang wajib, bidaah yang haram, bidaah yang sunat, bidaah yang makruh atau bidaah yang harus. Maka kita tidak boleh hukumkan semua bidaah adalah haram kerana terdapat bidaah yang wajib seperti menyusun al-Quran di dalam satu mushaf yang kita tahu ia berlaku pada zaman Sayyidina Uthman R.A. iaitu zaman sahabat Radhiallahu ‘Anhum. Tidak berlaku pada zaman Nabi SAW. Maka Islam tidak menganggap ia sesuatu yang haram bahkan wajib kerana jika tidak disusun di dalam satu mushaf yang dikenali sebagai mushaf uthmani pada zaman kita ini maka keaslian al-Quran tidak akan terjamin kerana masing-masing akan membaca mengikut lahjah (loghat) mereka.

Saya boleh membincangkan topik ini daripada sudut bahasa arab itu sendiri. Adakah kullu yang digunakan oleh Nabi SAW menunjukkan tidak terkecuali yakni semua atau sebahagian sahaja? Tidak ada takhsis dan sebagainya. Mengapa digunakan lafaz nakirah pada perkataan bidaatin? Kenapa digunakan perkataan muaannas iaitu bida’ah tidak digunakan bid’un sahaja namun saya tidak berhasrat untuk membincangkannya pada artikel ini. Cukuplah jika kita memahami bahawa kalam nabi SAW merupakan kalam berbahasa arab dan mesti difahami dengan menggunakan bahasa arab yang betul mengikut qawaid nahwiyyahnya. Jika kita mengetahui makna bahasa arab dengan bantuan kamus jangan merasa terlalu bijak untuk memahami kalam Nabi SAW yang agung sehinggakan penyair-penyair arab yang hebat bahasanya di zaman jahiliyyah tidak dapat menandingi kesusasteraan bahasa Nabi SAW.

Kecuaian dalam memahami istilah hadis. Apakah yang dimaksudkan dengan hadis Nabi SAW? Hadis ialah “apa yang disandarkan kepada Nabi SAW daripada perkataan atau perbuatan atau pengakuan atau sifat kejadian tubuh Nabi SAW atau akhlaknya”. Ulamak usuliyyun yakni ulamak usul fiqh tidak mengambil kira sifat kejadian Nabi SAW dan akhlak sebagai dalil hukum. Dengan perkataan yang lain. Ulamak usuliyyun mengambil kira 3 aspek daripada 5 aspek ini untuk menentukan sesuatu hukum iaitu perkataan Nabi SAW, perbuatan Nabi SAW dan akuan atau diam Nabi SAW.

Kebiasaan golongan yang suka membidaahkan umat Islam melihat kepada dua sahaja iaitu apa yang dikatakan oleh Nabi SAW dan apa yang dibuat oleh baginda dan mencuaikan yang ketiga iaitu hadis taqriri atau sunnah taqririyyah. Jika Nabi tak buat dan Nabi tak kata maka bidaah padahal di sana masih ada satu lagi kategori hadis yang dicuaikan oleh mereka iaitu sunnah taqririyyah. Sunnah taqririyyah ialah sesuatu yang Nabi diam padanya. Nabi tidak kata boleh dan Nabi tidak kata tak boleh atau haram maka dikira sebagai harus. Pernah belaku di zaman Nabi SAW, para sahabat memakan dhob (binatang padang pasir bentuknya seperti biawak) dihadapan Nabi SAW tetapi Nabi tidak memakannya dan Nabi SAW tidak melarang sahabatnya daripada makan maka ulamak menganggap ia suatu yang halal kerana jika ia suatu yang diharamkan oleh Allah SWT maka pasti dilarang oleh Nabi SAW kerana seorang Nabi tidak akan redha dengan maksiat yang dilakukan oleh umatnya dan menjadi kewajipan seorang Nabi untuk menyatakannnya. Maka inilah yang dikatakan sebagai hadis taqriri atau sunnah taqririyyah. Nabi tak kata dan Nabi tak buat tapi adakah Nabi larang? Jika tidak ada larangan daripada Nabi SAW mengapa kita memandai-mandai untuk melarang dan mengatakannnya haram?

Jika kita melarang apa yang Nabi SAW tidak larang kita juga sebenarnya melakukan bidaah yang lebih besar kerana kita mengada-ngadakan larangan sesuatu yang Nabi SAW sendiri tidak larang..

Kerana kecuaian kita dalam memahami sunnah taqririyah ini maka kita melarang apa yang Nabi SAW tidak pernah melarang seperti tahlil, berzikir selepas solat secara berjemaah, terawih secara berjemaah, talqin kepada orang yang telah mati, bacaan yasin malam jumaat dan seumpamanya bahkan nun jauh di sana ada dilalah yang membenarkan semua itu walaupun daripada sudut parktikalnya berbeza kerana ia termasuk daripada perkara yang luas dan tidak ditetapkan begini-begini. Adapun bidaah yang haram ialah seperti kita menambah bilangan rakaat solat yang secara qot’ie telah ditetapkan oleh Allah dan RasulNya.

Adapun dalam masalah baca yasin maka tidak menjadi satu kesalahan jika kita ingin membacanya pada malam jumaat atau pada malam-malam yang lain tanpa mewajibkannya. Namun dengan kelebihan surah yasin yang digelar sebagai qalbul quran (jantung al-Quran) dan kebesaran malam jumaat yang digelar sebagai sayyidul ayyam (penghulu segala hari) maka jika digabung keduanya sudah pasti kita akan mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah SWT.

Sumber