Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.
Benar sekali hati adalah pusat pentadbiran manusia, rosak hati rosaklah manusia dan musnahlah peluangnya mencapai Redha dan syurga Allah. Suci dan putih hati pula membawa kepada cerahnya peluang manusia ke syurga Allah. Walau tampak seakan mustahil memiliki hati suci seputih salju, namun ia tidak mustahil kerana ia mampu “DISENTAL” dengan ilmu, iman dan ibadat.
Petang ini hati saya dihentam keras ayat Allah yang memuji orang Ansar. Patutlah nama orang Ansar dirakam mewangi dalam al-Quran sehingga kiamat, rupanya mereka memang layak menerima penghormatan itu kerana tiada hasad kepada orang lain:
Ertinya: Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, DAN TIDAK ADA PULA DALAM HATI MEREKA PERASAAN (HASAD) BERHAJATKAN APA YANG TELAH DIBERI KEPADA ORANG-ORANG YANG BERHIJRAH ITU; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya (al-Hasyr [59:9]).
Ketika mengulas ayat ini, Imam Ibn Kathir membawa sebuah kisah menyentuh jiwa tentang cubaan Abdullah bin ‘Amru bin al-‘As yang cuba menyiasat aktiviti harian seorang lelaki Ansar yang disebut Rasulullah SAW sebagai ahli syurga. Kisahnya selama 3 hari berturut Rasulullah SAW memberitahu:
يَطْلُعُ عَلَيْكُمْ الْآنَ رَجُلٌ مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ فَطَلَعَ رَجُلٌ مِنْ الْأَنْصَارِ تَنْطِفُ لِحْيَتُهُ مِنْ وُضُوئِهِ قَدْ تَعَلَّقَ نَعْلَيْهِ فِي يَدِهِ الشِّمَالِ
Ertinya: “Akan muncul sekarang kepada kamu semua seorang penghuni syurga”. Selepas itu, muncul seorang lelaki Ansar menyapu janggutnya sejurus mengambil wudhuk sedang seliparnya bergantung di tangan kiri.
Peristiwa dan kata-kata Rasulullah SAW itu berulang selama 3 hari dan lelaki yang sama juga muncul. Terdorong dengan rasa ingin tahu rahsia amalan lelaki tersebut, Abdullah bin ‘Amru bin al-‘As memikirkan cara untuk tinggal di rumah lelaki tersebut. Beliau mendakwa berselisih faham dengan ayahnya dan perlu menumpang rumah lelaki tersebut selama 3 hari.
Sepanjang beliau bersama lelaki Ansar itu, tidaklah pula si lelaki bangun solat sepanjang malam. Apa yang diperhatikannya, lelaki itu sering berbolak balik pada waktu malam dan setiap kali berbolak-balik di tempat tidurnya beliau akan bertakbir kepada Allah. Sepanjang tempoh 3 hari itu juga Abdullah tidak mendengar kata yang buruk keluar dari mulut lelaki itu. Selepas 3 hari, Abdullah sudah tidak dapat menahan diri ingin mengetahui “RAHSIA KUNCI SYURGA LELAKI” tersebut. Beliau akhirnya menceritakan apa yang disebut oleh Rasulullah SAW dan terus bertanya tanpa selindung apa rahsianya. Lelaki itu berkata:
مَا هُوَ إِلَّا مَا رَأَيْتَ غَيْرَ أَنِّي لَا أَجِدُ فِي نَفْسِي لِأَحَدٍ مِنْ الْمُسْلِمِينَ غِشًّا وَلَا أَحْسُدُ أَحَدًا عَلَى خَيْرٍ أَعْطَاهُ اللَّهُ إِيَّاهُ فَقَالَ عَبْدُ اللَّهِ هَذِهِ الَّتِي بَلَغَتْ بِكَ وَهِيَ الَّتِي لَا نُطِيقُ
Ertinya: “Aku tidak memiliki apa amalan yang istimewa melainkan apa yang kamu saksikan dalam tempoh 3 hari ini. Melainkan satu tabiatku adalah, Aku tidak berdusta kepada sesiapa pun. Aku juga tidak HASAD TERHADAP KELEBIHAN YANG ALLAH BERIKAN KEPADA ORANG LAIN.” Setelah itu, Abdullah berkata: “Inilah sifat yang menjadi sebab keistimewaanmu. Sifat ini tidak mampu kami lakukan.” (Musnad Ahmad).
Subhanallah! Nampak mudah sahaja “HATI YANG TIADA HASAD”, namun ia seumpama memecahkan gunung yang kukuh berdiri. Banyak mujahadah atau perang jiwa dan iman perlu dilakukan untuk meletupkan GUNUNG HASAD dalam hati. Mengapa saya sifatkannya seagai GUNUNG? Kerana gunung sukar dihancur dan sukar didaki, namun setelah dilakluki pandangan dari atasnya sungguh jelas sehingga hampir semua ufuk dapat dilihat. Tahu mana hasad, mana syukur dan faham hasad adalah sebenarnya rasa tidak puas hati kepada Allah yang memberikan kelebihan kepada yang lain, bukan kita. Sifat hasad adalah kuman bahaya dalam hati:
إِيَّاكُمْ وَالْحَسَدَ فَإِنَّ الْحَسَدَ يَأْكُلُ الْحَسَنَاتِ كَمَا تَأْكُلُ النَّارُ الْحَطَبَ
Ertinya: Janganlah sekali-kali kamu berhasad dengki kerana ia memakan amal kebaikan sebagimana api memamah kayu api (Sunan Abu Dawud).
Perlu disemat ke dalam hati, Hasad adalah dosa pertama di langit (keengganan Iblis tunduk kepada Adam AS) dan dosa pertama di bumi (pembunuhan Habil). Marilah kita berusaha membuang hasad dari seluruh kawasan hati kita agar kita bertemu Allah dengan hati yang suci dan lulus syarat kemasukan ke syurga.
Perihal Diri
Nama penuh beliau adalah Sa'ad bin Mu'adz bin Nu'man bin Imri'ul Qais al-Ausi al-Ansari. Beliau adalah dari Bani Aus dari Madinah. Beliau merupakan kawan baik kepada Umaiyah bin Khalaf. Lahir pada tahun 590 Masihi dan beza umur di antara beliau dengan Nabi S.A.W. adalah 19 tahun. Beliau memeluk Islam setahun sebelum Hijrah.
Kisah Pengislaman
Selepas selesai Bai'atul Aqabah yang pertama, maka Nabi S.A.W. mengutuskan bersama kumpulan yang berbai'ah ini dutanya yang pertama ke Yathrib. Tujuannya adalah untuk mengajar orang-orang Islam di sana tentang syariat-syariat Islam serta memperdalamkan kefahaman mereka terhadap agama ini. Duta ini juga berperanan menyebarkan Islam kepada mereka yang masih dalam kesyirikan. Untuk tujuan ini, baginda S.A.W. memilih seorang anak muda iaitu Mus'ab bin Umayr al-'Abdary.
Pada suatu hari, Mus'ab dan As'ad bin Zurarah (orang Islam di Madinah) pergi ke kampung Bani 'Abd al-Asyhal dan kampung Bani Zafar. Mereka masuk ke sebuah kebun Bani Zafar dan duduk di atas telaga Maraq. Mu'adz dan Usayd bin Hudayr adalah dua ketua kaum dari Bani 'Abd al-Asyhal yang pada masa itu masih syirik. Maka, apabila mereka berdua mendengar hal tersebut, berkatalah Sa'ad kepada Usayd:
"Pergilah kami kepada dua orang ini yang datang hendak memperbodohkan orang-orang kita yang lemah, dan halanglah mereka, serta larangi mereka agar jangan datang ke kampung kita. As'ad bin Zurarah itu adalah sepupuku sebelah ibu. Kalau tidak kerana itu sudah tentu aku sendiri yang akan pergi."
Usayd pun mengambil tombaknya lalu mara ke arah Mus'ab dab As'ad. Apabila As'ad melihat kedatangan Usayd, dia berkata kepada Mus'ab:
"Orang ini adalah ketua kaumnya. Dia datang kepadamu, maka cubalah tanamkan kebenaran agama Allah dalam dirinya."
Kata Mus'ab:
"Kalau dia sudi duduk maka aku akan berbicara dengannya."
Lalu Usayd pun sampai lalu berdiri di hadapan mereka. Katanya:
" Mengapa kamu berdua datang ke tempat kami? Adakah kamu hendak memperbodohkan orang-orang kami yang lemah? Kalau sayangkan diri, maka sila jauhkan diri daripada kami."
Maka Mus'ab pun berkata:
"Sudikah tuan duduk sebentar untuk mendengar? Kalau tuan puas hati tuan boleh menerimanya, dan kalau tuan tidak senang, tuan boleh halang apa yang tuan tidak senang itu."
Lalu Mus'ab menceritakan kepadanya tentang Islam dan membacakan ayat al-Quran. Lantas Usayd terpegun dengan keindahan agama ini lalu mandi, membersihkan pakaian, kemudian mengucap syahadah dan bersolat dua rakaat.
Lalu Sa'ad pula mendatangi Mus'ab. Perkara yang hampir sama berlaku lalu Sa'ad juga memeluk Islam.
Sa'ad terus mendatangi kaumnya lalu menyeru mereka kepada Islam. Lalu tidak seorang pun lelaki dan wanita di kalangan kaumnya melainkan semuanya masuk Islam, kecuali seorang lelaki yang bernama al-Usayrim. Beliau masuk Islam agak lewat iaitu semasa peperangan Uhud.
Perang Badar
Di dalam peperangan Badar, Sa'ad bin Mu'adz dipertanggungjawabkan sebagai pemegang bendera bagi pasukan Ansar.
Sebelum tercetusnya peperangan Badar, Rasulullah S.A.W. mengadakan sidang perbincangan ketenteraan untuk mendapatkan pendapat para sahabat. Tiga orang pemimpin Muhajirin iaitu Abu Bakar as-Siddiq, Umar bin al-Khattab dan al-Miqdad bin 'Amru menyatakan kesediaan mereka berperang. Justeru, Rasulullah S.A.W. ingin sekali mendengar pandangan pemimpin Ansar kerana pernanjian Aqabah tidak memestikan mereka berperang di luar kampung mereka.
Lalu Sa'ad bin Mu'adz berkata kepada Rasulullah S.A.W.:
"Boleh jadi engkau bimbang orang-orang Ansar berpandangan mereka berhak tidak membantumu kecuali di kawasan kampung halaman mereka sahaja. Sebagai mewakili orang Ansar, aku nyatakan kepadamu, pergilah ke mana yang kamu suka, hubungilah siapa yang kamu suka dan putuslah hubungan dengan siapa yang kamu suka, ambillah harta kami sebanyak mana yang kamu suka, berilah kepada kami apa yang kamu suka, tetapi kami lebih suka engkau mengambil daripada kami berbanging engkau meninggalkannya untuk kami. Apa sahaja yang diperintahkan kepada engkau, maka urusan kami tetap mengikut perintahmu. Demi Allah, jika engkau bergerak sehingga sampai ke Bark al-Ghimad, nescaya kami akan bergerak maju bersamamu. Demi Allah, kalau engkau bentangkan lautan ini kepad akami lalu rngkau seberanginya, nescaya kami akan menyeberanginya bersamamu."
Perang Ahzab
Dalam perang Ahzab (Syawal 5H), di mana Bani Qurayzah menunjukkan pengkhianatan mereka, Sa'ad terkena terjahan panah pada tangannya sehingga menyebabkan urat lengannya terputus. Lalu dia berdoa yang diakhiri dengan:
"Janganlah Engkau matikan aku melainkan sehingga aku merasa tenteram dengan pembalasan terhadap Bani Qurayzah."
Perang Bani Qurayzah
Sa'ad tidak menyertai perang Bani Qurayzah (Zulkaedah 5H) kerana kecederaan yang dialaminya dalam perang Ahzab. Maka, ketika hendak diputuskan hukuman bagi bani Qurayzah yang merupakan dahulunya sekutu kaum 'Aus, maka, dipanggil Sa'ad untuk menjatuhkan hukuman bagi mereka. Lalu Sa'ad menjatuhkan hukuman bunuh terhadap semua lelaki, wanita dan anak pinak dijadikan tawanan dan harta benda mereka dibahagikan. Rasulullah memuji keputusan Sa'ad.
Kematian
Setelah selesai urusan Bani Qurayzah, maka termakbullah doa seorang hamba yang soleh. Setelah selesai urusan Bani Qurayzah, lukanya mulai pecah dan terpancarlah darah sehingga mengalir. Perkara ini disedari Bani Ghifar dan mereka mendapati Sa'ad telah meninggal dunia kerana luka parahnya.
Berkenaan kematian Sa'ad ini, Nasbi S.A.W. bersabda:
"Arasy al-Rahman bergoncang kerana kematian Sa'ad bin Mu'adz." (Bukhari & Muslim)
Kesimpulan
Begitulah kehidupan seorang yang apabila telah melekat dengan kuat keyakinan kepada agama Allah, tiada yang lebih berharga melainkan mati di jalan perjuangan Islam. Moga kita dapat mencontohi keazaman dan kesungguhan Sa'ad bin Mu'adz r.a.
Rujukan: Al-Rahiq al-Makhtum (Sirah Nabawiyyah S.A.W.)
Oleh: Mohd Syauqi bin Md Zahir Al-Kulimi
IIUM
(pemudaiman.blogspot.com)
Pengenalan
Kemasukan para pemuka Yahudi dan Nasrani ke dalam Islam di zaman Rasulullah SAW, para sahabat dan tabi’in telah memberi impak yang baik kepada dakwah Islam yang diusahakan mereka. Ramai orang Yahudi dan Nasrani menuruti jejak langkah mereka untuk masuk Islam. Namun kemasukan mereka bukan sahaja untuk menuruti ajaran Islam. Tetapi mereka turut membawa bersama pengetahuan mengenai kitab-kitab suci mereka iaitu Taurat dan Injil. Oleh itu impak kemasukan mereka turut dirasai melalui khabar dan riwayat dari kitab mereka yang digunakan untuk memahami kisah-kisah yang didiamkan Al-Quran. Israiliyat ini secara umumnya dipandang sebagai suatu pendustaan yang perlu ditolak secara total. Namun seorang muslim perlu memahami adab berinteraksi dengan riwayat Israiliyat sebegini kerana dikhuatiri kita menyanggah Sunnah Nabi SAW dalam isu Israiliyat khususnya dalam mentafsir ayat Al-Quran.
Pembahagian Riwayat Israiliyat
Para ulama tafsir telah bersetuju bahawa terdapat 3 jenis riwayat Israiliyat dalam tafsir Al-Quran:
1. Riwayat Israiliyat yang sahih: Riwayat sebegini bertepatan dengan Al-Quran dan hadith Nabi SAW. Contohnya riwayat mengenai nama Nabi Khidir dan perkhabaran mengenai kedatangan Nabi Muhammad SAW. Riwayat sebegini dibenarkan untuk disebut dan dijadikan sebahagian dari tafsiran Al-Quran kerana tidak mendustakan perkhabaran dalam Al-Quran dan hadith.
2. Riwayat Israiliyat yang dusta dan palsu: Riwayat sebegini bercanggah dengan Al-Quran dan hadith Nabi SAW. Contohnya kisah-kisah yang merosakkan kemaksuman para Nabi. Maka riwayat sebegini dilarang dari disebut melainkan dengan disertakan ulasan mengenai kepalsuan dan pendustaan riwayat tersebut.
3. Riwayat yang tidak diketahui kebenaran atau kepalsuan. Majoriti ulama membenarkannya untuk diriwayatkan dengan syarat tidak membenarkan atau mendustakan riwayat tersebut. Selain itu kebenaran meriwayatnya juga tertakluk kepada isu yang diriwayatkan. Sekiranya berkaitan hukum syariah dan aqidah maka tidak dibenarkan untuk diriwayatkan. Sekiranya sekadar kisah hikayat semata atau sebagai maklumat tambahan maka dibolehkan unuk menyebutnya bersama penerangan sebenar mengenai riwayat tersebut.
Panduan Mengenal Riwayat IsrailiyatTerdapat beberapa manhaj yang boleh digunakan untuk mengenal pasti riwayat Israiliyat yang terkandung dalam kitab-kitab tafsir:
1. Mengenal Periwayat IsrailiyatRiwayat Israiliyat boleh dikenali secara umum dengan mengenal pasti sumber riwayat tersebut. Sumber Israiliyat adalah dari kalangan sahabat dan tabi’in yang memeluk islam dari agama Yahudi dan Nasrani. Terdapat beberapa sumber periwayat Israiliyat yang terkenal dalam kitab-kitab tafsir iaitu:
a. Abdullah Bin Salam (43H): Merupakan salah seorang sahabat baginda yang memeluk Islam ketika ketibaan Nabi di Madinah. Seorang yang diiktiraf keilmuannya dalam kitab Taurat dan Al-Quran serta seorang yang thiqah dikalangan para sahabat Nabi SAW.
b. Ka’ab Al-Ahbar (32H): Memeluk Islam ketika di zaman Khalifah Umar. Seorang yang diiktiraf keilmuaannya sehingga digelar Al-Ahbar (yang berilmu). Mahir dalam tafsir dan juga kitab Taurat. Banyak sahabat baginda SAW banyak meriwayatkan dari beliau. Selain itu Imam Muslim, Abu Daud, Al-Tirmizi, Al-Nasai turut meriwayatkan hadith dari beliau menunjukan pengiktirafan mereka terhadap ketokohan dan thiqah beliau dalam ilmu tafsir dan hadith.
c. Wahab Bin Munabbih (110H): Diiktiraf sebagai seorang ulama tabi’in. Ayahnya memeluk Islam di zaman Nabi SAW. Banyak meriwayatkan hadith dari Abu Hurairah, Abu Sa’id Al-Khudri, Ibnu Abbas, Ibnu Umar. Imam Bukhari, Muslim, Al-Nasai, Al-Tirmizi dan Abu Daud turut meriwayatkan hadith dari beliau. Seorang yang alim dengan kitab Taurat dan turut mengarang kitab. Terhimpun padanya ilmu Abdullah dan Ka’ab. Majoriti ulama mengiktiraf ketokohan dan thiqah beliau.
d. Abdul Malik Abdul Aziz Bin Juraij (150H): Tabi’in yang diiktiraf keilmuannya tapi kekuatan akhlaknya (‘adalah) dipersoalkan oleh majoriti ulama muktabar. Muhammad Husin Al-Zahabi berpendapat agar berhati-hati dengan riwayatnya disebabkan kekuatan akhlaknya beliau yang dipertikai.
e. Muhammad Bin Saib Al-Kalbi, Muqatil Bin Sulaiman, Muhammad Bin Marwan Al-Sudi: Kesemua mereka ini disepakati oleh ulama sebagai pembawa perkhabaran palsu dan dusta yang perlu ditolak segala riwayat mereka. kemasukan mereka dalam Islam berbeza dengan Abdullah bin Salam, Ka’ab al-Ahbar dan Wahab bin Munabbih yang jujur dengan Islam yang dianuti kerana mereka membawa fahaman yang berbeza dan asing dengan Islam.
Perlu difahami bahawa Abdullah bin Salam, Ka’ab al-Ahbar dan Wahab bin Munabbih hanya meriwayatkan apa yang mereka ketahui dari kitab mereka. Dan perlu juga difahami bahawa kitab mereka telah diseleweng oleh para rahib dan paderi mereka. Maka, adalah tidak adil sekiranya ada dikalangan pengkaji ilmu tafsir secara mudah dan dangkal meletakkan kesalahan ke atas mereka tanpa melihat keikhlasan mereka menganut agama Islam dan ketokohan mereka yang diiktiraf para sahabat dan imam hadith. Mungkin kelemahan mereka dalam menyaring riwayat tersebut menyebabkan terpalit pada nama mereka sebagai pendusta Al-Quran. Tetapi peranan yang dimainkan mereka dalam memberi maklumat mengenai kerosakan kitab mereka itu membantu ulama terkemudian mengetahui penyelewengan yang terdapat dalam kitab mereka itu.
2. Kisah-Kisah Dalam Al-Quran
Jika dirujuk kepada kitab-kitab tafsir, kebanyakan riwayat Israiliyat hanya terdapat pada kisah-kisah para Nabi, kisah-kisah kaum terdahulu dan peristiwa-peristiwa penting dalam al-Quran. Oleh kerana sesetengah kisah adalah berbentuk ringkas dan nama para individu yang terlibat kebanyakannya didiamkan Al-Quran, maka wujud keinginan di kalangan sesetengah tabi’in untuk mengetahui lanjut perincian kisah tersebut. Oleh itu, mereka merujuk kepada para alim Yahudi dan Nasrani yang telah memeluk Islam yang mahir tentang kitab Taurat dan Injil. Antara kisah-kisah yang terkenal dengan riwayat Israiliyat ialah: Ashabul Kahfi, Nabi Daud, Nabi Sulaiman, Nabi Ayyub, Nabi Yusuf, Nabi Idris, Nabi Nuh, Nabi Lut, Zulqarnain , dan sebagainya dari kisah-kisah yang diringkaskan penceritaannya dalam Al-Quran.
3. Ayat Al-Kawniyyah
Isu-isu mengenai rahsia alam turut menjadi persoalan di kalangan sahabat dan tabi’in kerana terdapat banyak ayat Al-Quran yang membicarakan tentang ayat al-kawniyyah. Ayat al-kawniyah bersifat ringkas dan padat namun banyak rahsia yang tidak diketahui dan ingin diketahui oleh manusia. Isu-isu seperti umur dunia, penciptaan matahari dan bulan, langit dan bumi, perubahan musim sejuk dan panas, dan sebagainya menerima pelbagai tafsiran riwayat Israiliyat yang kebanyakkannya bercanggah dengan logik akal.
4. Rahsia Hari AkhiratHari akhirat merupakan sebahagian dari kepercayaan seorang muslim kepada perkara-perkara ghaib. Isu-isu seperti bila hari kiamat akan berlaku, keadaan syurga dan neraka, kedatangan yakjuj dan makjuj, dan sebagainya menjadi perhatian para pentafsir untuk melihat riwayat yang terdapat dalam kitab Taurat dan Injil. Ini disebabkan terdapat keinginan untuk mengetahui dengan lebih terperinci mengenai isu ini. Pengaruh Israiliyat dalam isu ini hakikatnya perlu disaring dengan ayat Al-Quran dan panduan hadith yang bersih dari kepalsuan.
Tinjauan Riwayat Israiliyat Dalam Kitab Tafsir
Manhaj interaksi kitab-kitab tafsir ke atas riwayat Israiliyat boleh dibahagikan kepada tiga bentuk:
1. Tidak meriwayatkan langsung Israiliyat: Contohnya Tafsir Al-Manar oleh Syeikh Sayyid Rasyid Ridha. Beliau langsung tidak menyebut sebarang riwayat Israiliyat dalam tafsirnya. Selain itu Tafsir Ahkam Al-Quran oleh Ibnu Al-Arabi Al-Maliki juga tidak menyebut riwayat Israiliyat secara jelas. Cuma beliau mengatakan dalam tafsirnya bahawa ada ulama yang meriwayatkan sesuatu dari bani israil dan kemudian beliau akan ulas dengan tegas agar dijauhi riwayat Israiliyat.
2. Meriwayatkan Israiliyat bersama ulasan: Ruhul Ma’ani oleh Al-Alusi amat tegas dalam memberi ulasan mengenai tafsiran ayat yang mengandungi riwayat Israiliyat. Begitu juga Tafsir Al-Quran Al-Azim oleh Ibn Kathir dan Tafsir Al-Jawahir Al-Hisan Fi Tafsir Al-Quran oleh Al-Sa’labi. Mereka memberi ulasan berbentuk penerangan mengenai kemungkaran dalam setiap riwayat Israiliyat serta menolak sekiranya amat jelas kepalsuannya. Tafsir Anwar Al-Tanzil Wa Asrar Al-Ta’wil oleh Al-Baidhawi dan Tafsir Abi Sa’ud pula berbeza dangan yang lain kerana kurang riwayat Israiliyat. Setiap riwayat akan dimulai dengan kalimah ‘rawa’ atau ‘qila’ sebagai isyarat menunjukkan kedhaifan riwayat tersebut. Tafsir Madarik Al-Tanzil Wa Haqaiq Al-Ta’wil oleh Al-Nasafi pula tegas dalam isu riwayat Israiliyat berkenaan keNabian para rasul. Tetapi sekiranya riwayat tersebut tidak menjejaskan aqidah seseorang, maka akan didiamkan sahaja tanpa ulasan. Paling menarik ialah Tafsir Al-Azhar oleh Hamka apabila beliau menyebut banyak kisah Israiliyat namun bersama penilaian yang jelas.
3. Meriwayatkan Israiliyat tanpa ulasan: Tafsir Jamiul Bayan Fi Tafsir Al-Quran oleh Al-Tabari merupakan tafsir bil ma’thur yang besar lengkap dengan sanad pada setiap riwayat hadith termasuk riwayat Israiliyat. Banyak riwayat Israiliyat di dalam tafsir ini. Namun faktor tersebut tidak menjatuhkan nilai tafsir ini kerana para ulama selepasnya mendapat informasi berguna berkenaan riwayat Israiliyat dan boleh mengkajinya. Begitu juga tafsir Al-Jami’ Li Ahkam Al-Quran oleh Al-Qurtubi. Beliau banyak menyebut tafsiran mengenai kisah sehingga kadang-kadang dia turut meriwayatkan Israiliyat tanpa penjelasan. Tafsir Lubab Al-Ta’wil Fi Ma’ani Al-Tanzil oleh Al-Khazin, Al-Siraj Al-Munir oleh Al-Khatib Al-Syarbini juga meriwayatkan banyak Israiliyat tanpa ulasan yang memtashihkan atau mendhaifkan riwayat tersebut. Kecuali Al-Syirbini yang ada mengulas kebatilan riwayat Israiliyat berkenaan keNabian. Tasir Majma’ Bayan Li Ulum Al-Quran oleh Al-Tabarsi merupakan kitab tafsir Syiah yang turut tidak memberi ulasan melainkan isu aqidah yang akan diingatkan tentang pendustaan riwayat tersebut.
Pendirian Pembaca Kitab Tafsir
Analisa terhadap perbincangan berkenaan pembahagian riwayat Israiliyat, periwayat Israiliyat dan manhaj riwayat Israiliyat dalam kitab tafsir memberi panduan yang berguna kepada orang awam yang mahu memahami kebenaran Al-Quran:
1. Riwayat Israiliyat dibenarkan untuk disebut sekiranya tidak mendustakan Al-Quran dan al-Sunnah yang suci serta tidak merosakkan pegangan aqidah seorang muslim. Riwayat sebegini umumnya berbentuk perincian nama-nama individu yang didiamkan Al-Quran. Tetapi, sikap untuk tidak membenarkan atau mendustakan riwayat tersebut perlu juga disebut agar tidak berlaku kecelaruan antara tafsiran yang benar dan riwayat Israiliyat yang bersifat ihtimal.
2. Keutamaan untuk tidak meriwayatkan Israiliyat dalam tafsir Al-Quran adalah yang terbaik bagi kerana tafsiran yang terdapat dalam Al-Quran dan Sunnah Nabi SAW yang murni, bersama usaha keras para mufassir menggunakan aqal yang dipandu syarat yang tetap, sudah cukup bagi orang Islam memahami mesej yang hendak disampaikan Allah SWT dan RasulNya. Pertambahan maklumat melalui riwayat Israiliyat sebenarnya tidak memberi nilai tambah kepada pentafsiran Al-Quran kerana riwayat Israiliyat yang sahih bilangannya amat sedikit berbanding riwayat yang palsu dan maskut.
3. Sebarang riwayat Israiliyat yang melampau kepalsuannya perlu didustakan dan ditolak dari diriwayatkan oleh mana-mana individu muslim yang beriman dengan kebenaran Al-Quran dan Sunnah. Dikhuatiri sekiranya riwayat sebegini disebut secara meluas akan mengakibatkan kesucian Al-Quran dicemari oleh riwayat yang tidak boleh dipertanggungjawabkan.
4. Sifat suka dan mudah mengecam para sahabat, tabi’in dan ulama terdahulu (mutaqaddimun) yang meriwayatkan Israiliyat dalam tafsir mereka perlu dielakkan. Ketokohan ilmu dan akhlaq mereka yang diiktiraf perlu dipertimbangkan sebelum menuduh secara melulu terhadap hasil kerja mereka. Manhaj yang digunakan mereka sebenarnya membantu kita memahami riwayat Israiliyat yang salah dan palsu yang terdapat dalam kitab taurat dan injil.
Penutup
Dapat difahami di sini bahawa konotasi riwayat Israiliyat telah digambarkan sebagai suatu riwayat yang keseluruhannya batil dan palsu serta diharamkan secara mutlak segala bentuk riwayat dalam tafsir. Sedangkan, analisis terhadap pembahagian riwayat Israiliyat, kedudukan periwayat Israiliyat serta manhaj penggunaan riwayat Israiliyat dalam kitab-kitab tafsir menunjukkan sebaliknya. Apa yang penting ialah keupayaan pengetahuan untuk menyaring setiap riwayat Israiliyat yang didapati dalam kitab-kitab tafsir. Perlu juga perasaan tahzir (berhati-hati) dalam membaca riwayat Israiliyat keranan kebanyakan riwayat adalah terbukti palsu dan dusta.
Rujukan
1. Al-Zahabi, Muhammad Hussin, (2002), Al-Tafsir Wal Mufassirun, Beirut, Dar Al-Yusuf.
2. (1990), Al-Israiliyat Fi Al-Tafsir Wa Al-Hadith, Qahirah :Maktabat Wahbah
3. Abu Syahbah, Muhammad Bin Muhammad(1407H), Al-Israiliyat Wal Maudhu’at Fi Kutub Al-Tafsir, Kaherah, Maktabah Al-Sunnah.
4. Al-Uthaimin, Muhammad Bin Salih, (2007), Syarah Usul Fi Al-Tafsir , Al-Mansura, Dar Al-Gahd Al-Jadid.
5. Adam, Rozali, (1985), Al-Quran Antara Tafsir Dan Israiliyat, Kuala Lumpur, Percetakan Dewan Bahasa Dan Pustaka
Nama sebenarnya adalah ‘Amir bin ‘Abdullah bin al-Jarrah al-Fihri al-Quraisy al-Makki. Beliau salah seorang sahabat yang dijamin masuk Syurga, memiliki wajah yang berseri, tampan orangnya tinggi lampai, tidak gempal dan berjambang nipis. Beliau mudah mesra, tawaddhu' dan pemalu. Namun, di saat yang genting beliau bagaikan singa yang mencari mangsa. Kualiti iman dalam dirinya dapat kita ketahui melalui sabda Baginda Nabi S.A.W,
“Sesungguhnya setiap umat mempunyai orang kepercayaan, dan orang kepercayaan umat ini adalah Abu Ubaidah bin al-Jarrah.” (Riwayat al-Tirmizi)
Abdullah bin ‘Umar pernah menjelaskan perwatakan Abu Ubaidah ini,
“Tiga lelaki Quraish yang paling berseri wajahnya, paling baik akhlaknya, dan paling teguh sifat malunya; Jika mereka berkata kepadamu, mereka tidak berdusta. Jika kamu berkata kepada mereka, mereka tidak akan mendustakannya. Mereka adalah Abu Bakr, Uthman bin ‘Affan dan Abu Ubaidah bin al-Jarrah.”
Manakala diriwayatkan yang dinayatakan oleh Saidatuna Aishah R.A.H, beliau berkata, “Rasulullah S.A.W pernah ditanya,
Siapa yang engkau cintai (dari golongan laki-laki)?”
Baginda menjawab, “Abu Bakar.”
Lalu ditanyakan kepada Baginda lagi, “Kemudian siapa?”
Baginda menjawab, “Abu Ubaidah bin al-Jarrah.” (riwayat al-Tirmizi dan Ibnu Majah). Dalam riwayat lain mengatakan bahawa Umar al Khattab.
Abu Ubaidah bin al-Jarrah dilahirkan di Makkah, di dalam sebuah rumah keluarga suku Quraish yang dihormati dan disegani oleh pemuka kabilah masyarakat Arab. Meskipun demikian, Abu Ubaidah juga tergolong di dalam golongan yang paling awal memeluk Islam, agama yang menjadi ancaman kepada masyarakat Arab jahiliyyah ketika itu. Abu Ubaidah memeluk Islam sehari selepas pengislaman Abu Bakar dan ini adalah hasil daripada dakwah Abu Bakar kepada Abu Ubaidah.
Pengislaman Abu Ubaidah disaksikan Abdul Rahman bin ‘Auf, Uthman bin Maz’un dan al-Arqam bin Abi al-Arqam yang telah mengucapkan syahadah di hadapan Rasulullah S.A.W. Maka, ini bermakna Abu Ubaidah adalah golongan yang bersama Rasulullah daripada awal hingga akhir perjuangan mereka di Makkah. Seperti mana yang kita ketahui, pada waktu itu mereka ditimpa pelbagai seksaan disebabkan ajaran yang dibawa oleh Baginda Nabi.
Kehidupan Abu Ubaidah tidak jauh berbeza dengan kebanyakan sahabat lainnya, diisi dengan perjuangan menegakkan Islam. Ketika Baginda Rasulullah mengizinkan umat Islam berhijrah ke Habsyah, beliau turut serta berhijrah ke sana bersama rombongan Muslim yang lain di saat gelombang kedua kekejaman musyrikin Quraish demi menyelamatkan aqidahnya.
Walaupun Abu Ubaidah menghadapi pelbagai dugaan di Makkah, namun boleh dikatakan dugaan paling mencabar yang dihadapinya adalah ketika perang Badar di mana dugaan ini benar-benar melampaui jangkaan dan khayalan. Ketika peperangan itu, Abu Ubaidah menyerang musuh-musuh dengan begitu hebat sekali dengan perwatakan pahlawan mencari syahid dan tidak takutkan mati. Semangat kepahlawanan beliau telah menggerunkan tentera Musyrikin sehingga mereka berwaspada dan cuba mengelak daripada bertempur dengan Abu Ubaidah.
Dalam pada jumlah tentera Quraish yang ramai itu, ada seorang sahaja yang benar-benar ingin bertempur dan mengekang semangat kepahlawanan Abu Ubaidah itu. Keadaan ini menyebabkan Abu Ubaidah cuba mengelak daripada bertempur dengan lelaki tersebut. Setiap serangan oleh lelaki itu, Abu Ubaidah mengelak dengan segera. Lelaki itu tidak berputus asa dan dia menyekat kemaraan Abu Ubaidah dengan menghunuskan pedang ke arah Abu Ubaidah sehingga tiada pilihan lain lagi untuk beliau mengelak. Dalam keadaan terpaksa, dia menetak lelaki tersebut dan membuatkan badan lelaki itu tersungkur ke bumi. Lelaki yang jatuh menyembah bumi itu adalah ‘Abdullah bin al-Jarrah, ayah kepada Abu Ubaidah.
Allah menurunkan firman-Nya terhadap tindakan nekad Abu Ubaidah terhadap bapanya sendiri :
“Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih-mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan RasulNya, sekalipun orang-orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka, ataupun keluarga mereka. Mereka (yang setia) itu, Allah telah menetapkan iman dalam hati mereka, dan telah menguatkan mereka dengan semangat pertolongan daripadaNya; dan Dia akan memasukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka tetap kekal di dalamnya. Allah redha akan mereka dan mereka redha (serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya. Merekalah penyokong-penyokong (agama) Allah. Ketahuilah! Sesungguhnya penyokong-penyokong (agama) Allah itu ialah orang-orang yang berjaya.” (Al Mujadilah:22)
Ketika Abu Ubaidah di medan perang Uhud, beliau adalah salah seorang sahabat yang melindungi Rasulullah S.A.W. Mereka mempertahankan Nabi seolah-oleh dada dan tubuh mereka tembok yang menghalang panah dan tombak musuh. Apabila peperangan tamat, gigi kacip Rasulullah patah, kulit dahinya terkoyak dan dua mata rantai baju perisai Baginda terbenam di pipinya. Abu Bakar datang untuk mencabutnya namun Abu Ubaidah berkata, “Biarlah saya yang mencabutnya.”
Abu Bakr berundur dan memberikan laluan kepada Abu Ubaidah kerana bimbang jika dicabutnya mata rantai itu dengan tangan ia akan menyakitkan Rasulullah. Abu Ubaidah berusaha mencabutnya tetapi beliau menggunakan gigi kacipnya dengan cara menggigitnya sehingga mata rantai itu tercabut dan mengakibatkan sebahagian giginya lerai ke bumi.
Abu Bakr as-Siddiq R.A berkata, “Abu Ubaidah merupakan manusia rongak yang berakhlak mulia.” (rujuk dalam Siyar A'lam an Nubala')
Sepeninggalan Rasulullah S.A.W, Umar bin al-Khattab R.A mengatakan kepada Abu Ubaidah bin al-Jarrah di hari Saqifah, “Hulurkan tanganmu! Agar saya baiah kamu, kerana saya mendengar Rasulullah S.A.W bersabda; Dalam setiap kaum terdapat orang yang jujur. Orang yang jujur di kalangan umatku adalah Abu Ubaidah.”
Lalu Abu Ubaidah menjawab, “Saya tidak mungkin berani mendahului orang yang dipercayai oleh Rasulullah S.A.W menjadi imam kita di waktu solat (yakni Saidina Abu Bakr as-Siddiq R.A), oleh sebab itu kita sayugia memilih Abu Bakr menjadi khalifah sepeninggalan Rasulullah S.A.W.”
Di sisi lain tentang kehebatan sahabat yang satu ini adalah kezuhudannya. Ketika kekuasaan Islam telah meluas dan kekhalifahan dipimpin oleh Umar bin al-Khattab R.A hampir-hampir membebaskan Baitul Maqdis daripada belenggu Rom, Umar telah mengadakan kunjungan dan singgah ke khemah Abu Ubaidah. Namun, tidak terlihat sesuatu pun di dalamnya yang berharga kecuali pedang, perisai dan pelana tunggangannya.
Umar pun lantas berujar kepada Abu Ubaidah, “Wahai sahabatku, mengapa engkau tidak mengambil sesuatu sebagaimana orang lain mengambilnya?”
Beliau menjawab, “Wahai Amirul Mukminin, ini sahaja sudah cukup menyenangkan.”
Abu Ubaidah bin al-Jarrah menyertai dalam semua peperangan Islam, bahkan selalu mempunyai kesempatan besar untuk mengumpul kekayaan dalam setiap peperangan tersebut. Beliau berangkat membawa pasukan menuju negeri Syam, dengan izin Allah beliau berhasil menakluki semua wilayah di negeri tersebut.
Ketika wabak taun merebak di negari Syam sehingga menyebabkan ramai nyawa yang terkorban akibat penyakit itu, Khalifah Umar bin Al-Khattab mengirim surat dengan tujuan memanggil kembali Abu Ubaidah, sahabat kepercayaannya. Namun, Abu Ubaidah menyatakan keberatannya sesuai dengan isi surat yang dikirimkannya kepada khalifah yang berbunyi, “Saya tahu tujuan Amirul Mukminin terhadap saya. Beliau ingin saya terus hidup sedangkan tiada siapa yang boleh kekal hidup. Sesungguhnya saya merupakan sebahagian anggota tentera Islam. Oleh itu saya tidak ingin menjaga diri saya daripada bencana (taun) yang telah menimpa mereka. Saya tidak akan berpisah meninggalkan mereka sehingga Allah membuat keputusan-Nya untuk menyelamatkan saya dan mereka. Sama ada Dia mencabut nyawa atau menyelamatkan kami. Maka apabila surat ini sampai kepadamu, gugurkanlah tuntutanmu terhadap saya. Izinkan saya untuk terus kekal di sini.”
Tatkala Umar bin al-Khattab membaca surat tersebut, air mata beliau mengalir. Lalu para sahabat yang ada bersamanya bertanya, “Apakah Abu Ubaidah telah meninggal dunia wahai Amirul Mukminin?”
“Tidak, tetapi beliau mahu menjemput kematian,” jawab Umar teresak-esak.
Setelah beberapa hari, Abu Ubaidah diserang penyakit taun. Sedang beliau nazak bertarung dengan penyakit tersebut, beliau berpesan kepada tentera-tenteranya.
“Saya berpesan kepada kamu semua, jika kamu menurutinya, kamu akan sentiasa memperolehi kebajikan. Dirikan solat, tunaikan zakat, berpuasalah di bulan Ramadhan, bersedekahlah, tunaikan Haji dan Umrah, salinglah berpesan dan memberi nasihat kepada pemimpinmu. Jangan kamu memperdayakan mereka. Jangan kamu dilalaikan oleh dunia. Lantaran jika seseorang mampu hidup 1000 tahun sekalipun, dia tetap akan menemui kematian seperti yang kamu lihat saya sekarang. Sesungguhnya Allah Taala telah menjanjikan kematian kepada anak Adam. Oleh itu mereka pasti mati. Manusia yang paling bijak ialah mereka yang paling taat kepada Tuhannya dan paling banyak melakukan amalan sebagai persediaan untuk hari kebangkitan.”
Kemudian Abu Ubaidah berpaling kepada Mu’az bin Jabal, “Wahai Mu’az, imamkan mereka (menjadi ketua).”
Apabila Abu Ubaidah meninggal dunia, Mu’az pun bangun di hadapan rakyat dan berucap, “Wahai manusia, sesungguhnya kamu telah ditimpa kesedihan disebabkan kematian lelaki ini. Demi Allah! Saya tidak pernah kenal lelaki yang lebih berhati mulia dan jauh daripada hasad dengki, terlalu cinta dengan mati dan paling menunaikan tanggungjawab berbanding lelaki ini. Doakanlah kerahmatan untuknya, pasti Allah akan merahmati kamu semua.”
Abu Ubaidah al Jarrah meninggal dunia pada tahun 18 Hijriah di Jordan dalam wilayah Syam. Jenazahnya dikebumikan di kawasan yang pernah dibebaskannya daripada kekuasaan Rom dan Parsi. Ketika itu beliau berumur 58 tahun.
Rambutnya kerinting, tubuhnya kurus keding dan kulitnya cukup hitam. Orang memandang lekeh kepadanya dan tidak selesa bertemu dengan dia. Tetapi walaupun begitu, dia telah membuktikan keberaniannya sanggup menewaskan ratusan orang musyrik dalam beberapa kali perang tanding satu lawan satu. Belum termasuk yang ditewaskannya dalam medan tempur.
Sesungguhnya dia pemberani yang pantang mundur. Khalifah ‘Umar bin Al-Khattab pernah menulis surat kepada para panglima, supaya tidak mengangkat Al Bara’ bin Malik menjadi komander pasukan, karena dikhuatirkan dengan keberaniannya yang luar biasa itu akan membahayakan tentera muslimin.
Al-Bara’ bin Malik adalah saudara kandung Anas bin Malik, khadam Rasulullah. Seandainya diceritakan kisah kepahlawanan Al-Bara’ semuanya, sudah tentu terlalu banyak. Kerana itu cukuplah sebuah kisah sahaja, mudah-mudahan dapat memberikan gambaran menyeluruh tentang kepahlawanannya.
Kisah ini terjadi tidak berapa lama sesudah Rasulullah wafat. Ketika itu beberapa kabilah ‘Arab murtad dari agama Islam secara beramai-ramai, sebagaimana mulanya mereka masuk Islam beramai-ramai. Akhirnya yang tinggal dalam Islam hanyalah para penduduk Makkah, Madinah, Thaif, dan beberapa kelompok yang berselerak di sana-sini. Mereka orang-orang yang teguh imannya.
Khalifah Abu Bakar mengkehendaki agar ancaman terhadap pembelot Islam itu dihapuskan sampai ke akarnya. Maka dibentuknya sebelas pasukan tentera, terdiri daripada kuam Muhajirin dan kaum Ansar. Lalu dikirimnya ke seluruh jazirah ‘Arab, untuk mengembalikan orang orang yang murtad dan memerangi siapa yang membangkang.
Kelompok orang-orang murtad yang paling jahat dan besar ialah kelompok Banu Hanifah yang dipimpin oleh Musailamah Al-Kazzab. Jumlah mereka tak kurang dari empat puluh ribu orang, terdiri daripada prajurit-prajurit kental dan berpengalaman perang. Kebanyakan mereka murtad dan mengikuti Musailamah kerana fanatik kesukuan, bukan kerana percaya kepada kenabian Musailamah.
Sebahagian mereka berkata, “Saya tahu Musailamah itu bohong dan Muhammad lah Nabi yang benar. Tetapi kebohongan Bani Rabi‘ah (Musailamah) lebih saya sukai daripada kebenaran Bani Mudhar (Muhammad).’
Tentera Muslimin yang pertama-tama datang menyerang Musailamah dipimpin oleh ‘Ikrimah bin Abu Jahal. Pasukan ‘Ikrimah dapat dikalahkan tentera Musailamah. sehingga kucar-kacir dan Ikrimah sendiri tewas sebagai syahid.
Sesudah itu dikirim oleh Khalifah Abu Bakar Shiddiq pasukan kedua di bawah pimpinan Khalid bin Walid. Dalam pasukan Khalid ini terdapat pahlawan-pahlawan Ansar dan Muhajirin. Di antara mereka terdapat Al Bara’ bin Malik Al-Anshary, dan beberapa pahlawan muslim lainnya.
Pasukan Khalid bertemu dengan pasukan Musailamah di Yamamah. Pertempuran segera terjadi tak dapat dihindar. Belum lama kedua pasukan itu bertempur, ternyata pasukan Musailamah lebih unggul. Mereka dapat mendesak mundur pasukan Khalid dari posisinya, hingga pasukan Musailamah berhasil menyerbu sampai ke perkhemahan Khalid bin Walid dan menghancurkan perkemahan itu. Bahkan isteni Khalid nyaris terbunuh ketika itu, seandainya tidak diselamatkan pengawal.
Melihat situasi yang tidak menguntungkan, Khalid melompat ke tengah-tengah pasukannya dan mengubah susunan pasukan. Kaum muhajirin, kaum Ansar, dan prajurit yang terdiri anak-anak desa dipisah-pisahkannya mengikut kelompok masing-masing. Tiap-tiap kelompok dikepalai salah seorang dari kelompoknya sendiri. Dengan begitu Khalid dapat mengetahui kesanggupan masing-masing, serta mengenal pasti di mana letak kelemahan tentera muslimin.
Kini kedua pasukan saling berlawan dengan sengit dan mengerikan. Kaum muslimin memperlihatkan kemampuan yang belum diperlihatkannya daripada tadi.
Tentera Musailamah bertahan di medan tempur bagaikan gunung, kukuh dan kuat. Mereka tidak peduli walaupun korban banyak jatuh di pihak mereka. Kaum muslimin memperlihatkan keberanian luar biasa, yang kalau dihitung-hitung sesungguhnya merupakan peristiwa yang sangat mengerikan.
Tsabit bin Qais yang memikul bendera Ansar. Dia melilit tubuhnya dengan kain kafan kemudian digalinya lubang setinggi betis. Lalu dia turun ke dalam lobang itu. Dia bertahan di lubang itu mengibarkan bendera kaumnya sampai tewas sebagai syahid.
Zaid bin Khattab, saudara ‘Umar bin Khattab r.a., memanggil kaum muslimin,
“Wahai kaum muslimin, bertempurlah dengan gigih! Tewaskan musuh-musuh kalian dan terus maju. Wahai manusia! Demi Allah! Saya tidak akan berbicara lagi sesudah ini sampai Musailamah dihancurkan, atau saya syahid menemui Allah. Saya akan perlihatkan kepada Allah bukti bahwa saya betul-betul syahid."
Kemudian dia maju menyerang musuh, bertempur sampai tewas sebagai syahid.
Lain pula dengan Salim maula Abu Hudzaifah, pembawa bendera kaum Muhajirin. Kaumnya khuatir dia lemah atau takut. Kata mereka kepada Salim, “Kami sangsi dengan keberanian Anda menghadapi musuh.”
Jawab Salim, “Jika kalian sangsi terhadap saya, biar saya menjadi pembawa bendera Al Quran.“
Kernudian dia menyerbu musuh-musuh Allah dengan berani sehingga Ia tewas pula sebagai syahid.
Tetapi kepahlawanan mereka belum seberapa dibandingkan dengan kepahlawanan Al Bara’ bin Malik r.a. Ketika Khalid melihat api pertempuran semakin berkobar, dia berpaling kepada Al-Bara’. Kata Khalid memerintah, “Kerahkan mereka, hai pemuda Ansar!
Al-Bara’ berteriak memanggil kaum Ansar,
"Wahai kaum Ansar, Jangan kalian berfikir-fikir hendak kembali ke Madinah. Tidak ada lagi Madinah sesudah hari ini. Ingatlah kepada Allah semata-mata. . kemudian kepada syurga.”
Sesudah berkata begitu dia maju mendesak kaum musyrikin, diikuti prajurit Ansar. Pedangnya menari lincah menebas musuh-musuh Allah. Melihat prajuritnya banyak berguguran, Musailamah dan kawan-kawan menjadi gentar. Kerana itu mereka lari berlindung dalam sebuah perkebunan. Kebun itu kemudian terkenal dalam sejarah dengan nama “Kebun Maut”, kerana banyaknya manusia yang terbunuh dalam kebun itu.
Kebun maut itu adalah tempat lari terakhir bagi Musailamah dan tenteranya. Pagarnya tinggi dan kukuh. Musailamah dan puluhan ribu tentaranya mengunci pintu rapat-rapat dari dalam. Mereka bertahan dalam kebun itu seolah-olah dalam benteng. Dari puncak pagar mereka menghujani kaum muslimin yang berusaha masuk kebun dengan panah.
Kata Al-Bara,
“Angkat saya dengan galah dan lindungi saya dengan perisai dan panah-panah musuh. Sesudah itu lemparkan saya ke dalam kebun dekat pintu. Biarlah saya syahid untuk membukakan pintu bagi kalian.”
Dalam sekejap masa sahaja Al-Bara’ sudah berada di atas sebatang galah. Tubuhnya ringan, kerana badannya kurus kecil. Sepuluh orang pemanah melemparkannya ke dalam kebun maut. Al-Bara’ meluncur di atas ribuan tentara Musailamah. Kehadirannya menyebabkan mereka ngeri bagaikan disambar petir. Sementara itu Al-Bara’ sudah berhasil memukul tewas sepuluh orang penjaga pintu. Al-Bara’ segera membukakan pintu bagi kaum muslimin. Namun begitu Al-Bara’ tak luput dari sentuhan pedang dan goresan panah yang menyebabkan sembilan buah luka menganga ditubuhnya.
Kaum muslimin tumpah ruah menyerbu ke dalam kebun maut.. Pedang mereka berkelibat di tengkuk orang-orang murtad. Lebih kurang dua puluh ribu orang korban yang tewas di pihak mereka termasuk pemimpin mereka, Musailamah Al-Kadzab.
Al Bara’ segera dinaikkan kawan-kawannya ke atas kenderaan untuk diubati. Sebulan lamanya Khalid merawat dan mengubati Al Bara’ sampai dapat menyembuhkan luka-lukanya. Dia memuji dan bersyukur kepada Allah yang telah memberi kemenangan bagi kaum muslimin.
Al Bara’ bin Malik Al-Ansary sangat merindukan kematian sebagai syahid. Dia kecewa kerana gagal memperolehnya di Kebun Maut. Maka sejak itu dia selalu menceburkan diri dalam peperangan untuk mencapai cita-cita besarnya, dan kerana rindu hendak segera bertemu dengan nabinya yang mulia.
Ketika perang penaklukan kota Tustar di Persia, tentera Persia berlindung dalam sebuah benteng yang kukuh bagi tentera Persia . Temboknya tinggi, besar, pintu-pintunya kuat dan kukuh. Kaum muslimin mengepung dengan ketat. Setelah mereka terkepung begitu lama, akhirnya mereka mendapat kesulitan. Mereka menghulurkan kait-kait besi yang panas membara dari puncak dinding untuk mengait tentera muslimin. Tentera muslimin yang terkait mereka angkat ke atas, adakalanya terus mati atau nyawa-nyawa ikan.
Dalam perang Tustar inilah dia berdo’a kepada Allah semoga dia diberi rezeki sebagai golongan syuhada. Allah memperkenankan do’anya.
Saudara kandungnya Anas bin Malik terkait oleh pengait berapi itu. Ketika Al Bara’ melihat saudaranya terkait, dia melompat ke dinding benteng dan melepaskan pengait dari tubuh saudaranya. Tangan Al Bara’ terbakar dan melepuh memegang pengait yang panas membara. Tetapi dia tidak peduli asal saudaranya lepas dari pengait itu. Kemudian dia berhasil turun dengan jari-jemari tangannya tanpa daging.
Perang kali ini dia syahid menemui Allah dengan senyum bahagia.
Moga Allah menjadikan wajahnya begemerlapan di syurga, menemani Nabinya. Amin!
Hadis Jabir bin Abdullah r.a: Rasulullah s.a.w bersabda: Aku diperlihatkan ke dalam syurga, aku melihat isteri Abu Talhah. Kemudian aku mendengar hentakan orang berjalan, ternyata beliau adalah Bilal
(HR Muslim: 4495)
Rumaysa binti Milhan adalah seorang wanita Muslim yang berpewatakan cemerlang, mempunyai daya intelektual yang tinggi serta seorang yang berdikari dan berprinsip. Dalam masa yang sama, beliau juga adalah isteri yang taat dan solehah serta ibu yang berjaya mendidik anak menjadi pejuang Islam sejati. Beliau adalah ibu kepada sahabat Nabi S.A.W., Anas bin Malik. Berikut merupakan beberapa ringkasan kisah mengenai tokoh Muslimah ini:
Kisah 1: seorang hamba yang taat
Beliau memeluk Islam selepas perjanjian Aqabah pertama. Ketika beliau memeluk Islam, suami beliau, Malik bin Nadhr tiada di rumah. Selepas pulang dari musafir, suaminya tidak menyukai ajaran yang baru di anutinya. Suaminya malahan memarahinya kerana mengajar anak mereka, Anas b. Malik (yang akhirnya menjadi perawi hadith) agama barunya itu. Namun keutuhan Rumaysa' terhadap Islam tidak merubah pendiriannya, hinggalah akhirnya suaminya mati sewaktu bermusafir dan mati sebagai seorang yang bukan Islam.
Kisah 2: seorang wanita yang mempunyai mahar yang terbaik
Selang tidak lama selepas kematian suaminya, Rumaysa' dipinang oleh Zayd ibn Sahl yang dikenali sebagai Abu Talhah. Abu Talhah yang ketika itu belum memeluk agama Islam, begitu yakin bahawa Rumaysa' tidak akan menolaknya kerana Abu Talhah merupakan seorang yang kaya dan antara lelaki yang tampan. Abu Talhah datang kerumahnya dan menyatakan hasrat utk meminang Rumaysa'.
"Aku tidak akan mengahwinimu selagi kamu tidak mengakui bahawa Allah itu adalah Tuhanmu dan Muhammad itu RasulNya"
"Apakah yang menghalangmu daripada berkahwin dengan ku Rumaysa'? Emas dan perak? aku boleh berikan apa sahaja yang kau mahukan"
"Aku bersumpah kepada mu Abu Talhah, aku bersumpah demi Tuhanku dan rasulNya, jika kau menerima Islam sebagai agamamu, aku tidak memerlukan emas dan perak. Cukuplah Islammu sebagai mahar ku"
"Tidakkah kamu tahu Abu Talhah bahawa tuhan yang engkau sembah selain Allah itu diperbuat dari tanah liat? Tidakkah kamu merasa diperbodoh2kan? Jika kamu sanggup melepaskan perbuatan yang tidak masuk akal seperti ini, dan memeluk Islam, aku akan berkahwin denganmu, tanpa sebarang emas dan perak"
Abu Talhah pulang dan merenung kembali apa yang diperkatakan Rumaysa'. Akhirnya Abu Talhah memeluk Islam dan berkahwin dengan Rumaysa'. Abu Talhah juga menjadi antara sahabat yang teguh memperjuangkan Islam disamping Rasulullah S.A.W.
Kisah 3: seorang isteri yang bijaksana
Hasil perkahwinan mereka dikurniakan cahayamata bernama Abu Umair. sewaktu Abu Talhah bermusafir jauh, Abu Umair telah meninggal dunia. Rumaysa' telah menguruskan mayat anaknya bersama penduduk kampung. Rumaysa' memberitahu juga kepada orang ramai bahawa janganlah perihal itu diceritakan kepada suaminya, melainkan dari dirinya sendiri.
Selepas Abu Talhah pulang, dalam keadaan penat, Rumaysa' melayan suaminya dengan baik, menghidangkan makanan dan melayan suaminya makan. Abu Talhah bertanya kepada Rumaysa',
"Mengapa aku tidak melihat Abu Umair?"
"Anak kita berada dalam keadaan aman sekarang"
Selepas makan, Rumaysa' melayan suaminya dengan baik. Selepas hilang letih suaminya, menjelang malam, suaminya bertanya lagi,
"Dimanakah Abu Umair?"
" Suamiku, sekiranya seseorang meminjamkan sesuatu kepada kita, jika dia mengkehendakinya kembali, wajibkah kita memulangkannya kembali?"
"mestilah perlu"
"begitulah dengan anak kita. Allah telah meminjamkan Abu Umair kepada kita dan Dia telah mengambilnya kembali"
Mengerti akan kata-kata isterinya, Abu Talhah sedih namun redha dengan pemergian anaknya. Keesokannya, Abu Talhah berjumpa dengan Rasulullah dan menceritakan perihal itu. Rasulullah kagum dengan ketabahan Ummu Sulaym dan mendoakan mereka dikurniakan zuriat yang ramai. Akhirnya mereka dikurniakan 10 orang anak yang masing-masing merupakan ulama' yang terkenal.
Kisah 4: seorang mujahadah yang tidak gentar
Sewaktu peperangan Khandaq, Rasulullah terlihat akan Rumaysa' yang sedang sibuk merawat pahlawan yang cedera membawa belati di tangannya dan bertanya apakah yang dia ingin lakukan dengan belati itu. Rumaysa' menjawab :
"ini untuk melawan mereka yang melarikan diri"
Dipetik dan disunting daripada:
SUMBER
Durrah binti Abu Lahab adalah seorang anak yang baik. Abu Lahab adalah bapa saudara Nabi Muhammad. Nama sebenar bapa saudaranya itu adalah Abdu al-Izzi bin Abdul Muthalib.
Abu Lahab sangat benci terhadap Nabi Muhammad. Abu Lahab adalah musuh Islam yang utama. Ibu Durrah bernama Arwa binti Harb. Ibunya juga tidak suka kepada ajaran Islam. Ibunya juga tidak suka kepada Nabi Muhammad. Pernah berlaku satu peristiwa Arwa sengaja meletakkan duri-duri di atas jalan yang selalu dilalui oleh Nabi Muhammad. Walaupun begitu Nabi Muhammad tetap sabar dengan tindakan Arwa itu.
Arwa sememangnya wanita yang ingkar terhadap Islam. Dia sanggup menghabiskan harta bendanya demi menghapuskan Nabi Muhammad sehingga dia dipanggil oleh Allah dengan nama Hammalat al-Hathab yang bermakna pembawa kayu bakar.
Durrah membesar dengan pelbagai rintangan dan cabaran. Dia sering melihat kekejaman yang dilakukan oleh bapanya terhadap orang Islam. Sikap angkuh kedua ibu bapanya menyaksikan bahawa keluarganya benar-benar mahu menghapuskan Islam. Sikap angkuhnya terbukti apabila Nabi Muhammad mengajak Abu Labah beriman kepada Allah.
Abu Lahab berkata: "Sekiranya kata-kata Nabi Muhammad itu benar dan tidak salah, maka pada hari kiamat nanti saya akan tebus seluruh harta dan anak saya bagi menyelamatkan diri saya daripada seksaan api neraka". Jangkaan Abu Lahab bagi menyelamatkan dirinya daripada seksaan api neraka semuanya meleset. Allah sudah berfirman dalam surah Asyura ayat 88 dan 89 yang bermaksud: Iaitu di hari harta dan anak-anak lelaki tidak berguna kecuali orang-orang yang menghadap Allah dengan hati yang bersih. Ketika Durrah semakin membesar Allah memberi petunjuk kepada dirinya. Durrah juga sering mendengar kehebatan ajaran agama Islam yang disampaikan oleh Nabi Muhammad.
"Saya percaya segala ajaran yang disampaikan oleh Nabi Muhammad adalah benar. Islam adalah agama yang patut dianuti oleh orang yang ingin mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat," kata Durrah sendirian.
Walaupun harta kekayaan bapanya melimpah ruah, Durrah tidak termakan dengan kata-kata penghinaan bapanya terhadap Islam. Harta benda bapanya itu tidak dapat menghalang tekadnya untuk memeluk agama Islam. Akhirnya Durrah memeluk agama Islam semasa dia berada di kota Mekah. Selepas memeluk Islam, dia berhijrah ke Madinah.
Meninjau kepada kehidupan rumahtangganya, dia berkahwin dengan Naufal bin al-Haris. Hasil perkahwinan itu mereka dianugerahkan tiga anak iaitu Uqbh, al-Walid dan Abu Muslim. Suaminya terbunuh semasa perang Badar dan tidak sempat memeluk Islam. Selepas kematian suaminya itu, Durrah berkahwin pula dengan Dihyah al-Kalbi. Semasa di Madinah, Durrah mendapat tentangan daripada sekumpulan wanita yang sama-sama berhijrah ke Madinah.
Seorang wanita daripada Bani Zuraiq berkata kepada Durrah: "Awakkah anak Abu Lahab yang kejam itu?" Mengapa awak ikut kami berhijrah? Tidak ada faedahnya awak ikut kami berhijrah. Malah hijrah awak tidak mendatangkan manfaat bagi diri awak". Lalu Durrah menjawab: "Saya berhijrah bagi mendekatkan diri saya kepada Allah. Awak tidak patut berkata begitu terhadap saya. Memang benar bapa saya jahat dan kejam terhadap orang Islam. Tetapi saya tidak seperti bapa saya". Durrah agak sedih lalu meninggalkan wanita Bani Zuraiq itu. Kemudian dia berjumpa dengan Nabi Muhammad. Dia menceritakan segala apa yang berlaku kepada Nabi Muhammad. "Bertenanglah wahai Durrah," kata Nabi Muhammad.
Selepas Nabi Muhammad selesai mengerjakan sembahyang, baginda berkata kepada orang Islam yang berada di tempat itu: "Dengar sini semua. Saya tidak akan membenarkan keluarga saya diseksa atau disakiti oleh sesiapa. Kaum keluarga saya akan dapat syafaat daripada saya pada hari kiamat kelak".
Mendengar kata-kata Nabi Muhammad, wanita Bani Zuraiq itu menjadi insaf dan sedar atas kesilapannya menyinggung perasaan Durrah. Wanita Bani Zuraiq itu pun berjumpa dengan Durrah dan berkata: "Wahai Durrah saya minta maaf di atas segala kekasaran bahasa yang saya ucapkan kepada awak tempoh hari. Saya sebenarnya tidak menyangka bahawa awak adalah seorang gadis yang berhati mulia. Awak tidak seperti Abu Lahab yang kejam itu. Maafkan saya". Durrah menerima kata-kata wanita Zuraiq tersebut dan berkata: "Saya maafkan awak. Semoga persahabatan kita kekal dan diberkati Allah".
Sejarah Islam menyatakan bahawa, Durrah merupakan srikandi yang berbakat besar. Dia adalah seorang penyair daripada kalangan wanita Quraisy. Sepanjang hayatnya dia melaporkan sebanyak tiga buah hadis daripada Nabi Muhammad. Selain itu, dia merupakan wanita yang pandai menghasilkan karya sastera. Durrah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada tahun 20 Hijrah.
Huzaifah bin Al-Yaman antara sahabat nabi yang sangat masyhur. Bapanya bernama “Husail bin Jabir Al-‘Absi Al-yamani”. Beliau merupakan “sohib As-Sir” atau penjaga rahsia nabi SAW. Memandangkan beliau adalah manusia yang disebut sebagai “penjaga rahsia nabi SAW”, menyebabkan banyak nama-nama para munafiq berada ditangan beliau. Semuanya ini disebabkan kepercayaan yang diberikan oleh Nabi kepada beliau.
Pernah suatu hari, Umar bin Al-Khattab bertanya kepada Huzaifah, apakah nama beliau antara yang tersenarai sebagai orang munafiq. Lalu dijawab oleh Huzaifah, bahawa Umar bukan dari kalangan mereka[1].
Disebabkan beliau menyimpan rahsia-rahsia nabi, menyebabkan beliau pernah menyebut;
والله إني لاعلم الناس بكل فتنة هي كائنة فيما بيني وبين الساعة
“Demi Allah, sesungguhnya aku adalah manusia yang paling banyak mengetahui dengan setiap fitnah yang akan berlaku diantaraku dan hari kiamat”
Beliau diberikan kelebihan oleh Allah, bahawa mempunyai firasat yang sangat tinggi, sehinggakan beliau mempu menafsirkan wajah manusia tentang apa yang terkandung dalam hati mereka.
Antara kehebatan firasat Huzaifah adalah, boleh dikatakan, permukiman Kufah adalah dibuka oleh Huzaifah. Ini kerana, ramai dari pemukiman Kufah berasal dari Madyan yang ketika itu ditimpa penyakit yang tidak diketahui punca. Bagi memastikan pemindahan itu tidak membawa penyakit, terlebih dahulu Umar bin Al-Khattab menghantar Huzaifah bin Al-Yaman untuk menyelidiki keadaan di situ. Huzaifah pergi ke tempat tersebut bersama seorang kawannya, iaitu Salman bin Ziyad.
Sesampai di Kufah yang ketika itu adalah padang pasir yang kosong. Menghirup udara disitu, terus difirasatkan oleh Huzaifah sebagai tempat yang tidak ada penyakit, menyebabkan disitulah bermulanya permukiman orang Arab Madyan tinggal di Kufah.
Bapa beliau yang bernama Husail bin Jabir Al-‘Absi Al-Yamani juga beragama Islam, beliau syahid dalam peperangan Uhud ekoran tersilap bunuh oleh salah seorang sahabat nabi kerana menyangka ianya adalah musyrik. Huzaifah merasa sedih dengan kejadian tersebut.
Berita pembunuhan tersilap itu dikhabarkan kepada Nabi Muhammad SAW, menyebabkan Nabi SAW dibayar diyat kepada Huzaifah. Bayaran Diyat itu diterima oleh Huzaifah, tetapi tidak digunakan untuk kegunaan peribadinya, bahkan dibahagikan kepada kaum muslimin. Keadaan inilah, menyebabkan baginda SAW bertambah sayang kepada Huzaifah.
Beliau mempunyai ketaatan kepada Rasulullah S.A.W. yang terlalu tinggi, hatta sanggup menggadaikan nyawa. Pernah berlaku dalam kejadian peperangan Ahzab (nama lain : Khandak), Nabi SAW melantik beliau menjadi pencari rahsia kuffar dengan menyelinap masuk bagi menyelidiki dan mengetahuai rahsia yang wujud dikalangan tentera kuffar. Kerja itu adalah berat, tetapi diterimanya dengan hati terbuka.
Semasa sedang menuju secara sembunyi-sembunyi ke tempat kumpulan Kuffar itu, dengan pertolongan Allah, angin kencang datang menyebabkan api pelita terpadam. Dengan terpadamnya api pelita yang mengakibatkan kegelapan, diambil kesempatan oleh Huzaifah untuk masuk dalam perkumpulan tentera kuffar.
Abu Sufyan sebagai panglima perang kuffar bimbang perkumpulan mereka dimasuki musuh, menyebabkan mengarahkan agar tentera itu memegang tangan kawannya masing-masing, lalu bertanya nama. Mendengar arahan itu, Huzaifah dengan cepat memegang tangan orang kelilingnya lalu bertanya tentang nama mereka.
Dalam keadaan gelap itu, kedengaran suara Abu Sufyan menyebut bahawa puak Yahudi Quraizah telah mengkhianati mereka menyebabkan mereka terpaksa berundur, lebih-lebih lagi dengan kedatangan angin tiupan yang terlalu kuat sehingga memporak perandakan kekuatan pertahanan mereka.
Huzaifah meninggal dunia di Madyan (sekarang : Lubnan) pada tahun 36 hijriyyah dalam umur yang terlalu tua. Beliau meninggal dunia selepas mendapat berita pembunuhan terhadap Saidina Usman bin Affan.
Semasa hampir dengan saat meninggal dunia itu, dia meminta agar sahabat-sahabat menunjukkan kepadanya kain kafan yang digunakan untuk mengkafankannya. Apabila dibawa kepadanya, dilihat kain itu jenis yang elok, lalu diminta agar kain untuk dikafankannya itu bukan kain yang jenis mahal.
Semasa saat dia mahu menghembuskan nafasnya yang terakhir, para sahabat terdengar ucapannya seperti berikut;
“selamat datang wahai Maut; kekasih tiba di waktu rindu; hati bahagia tak ada keluh dan sesalku”
Wallahu 'Alam
[1] Siyar Al-‘Alam wa An-Nubala’ : 2/364.
Kisah Tufail Bin 'Amru al-Dusi.
Kisah Tufail menunjukkan keberanian beliau mendengar seruan Rasulullah dan membuat pertimbangan seadilnya selepas mendengar seruan dan ajaran Rasulullah walaupun pada awalnya, beliau dimomokkan oleh Kabilah Quraisy.
Beliau ialah seorang penyair dan pemimpin qabilahnya yang berpengaruh di Yaman. Beliau datang ke Mekah dan disambut oleh dengan hormat oleh penduduk Mekah.
Mereka berkata,
"Engkau datang ke negeri kami, berwaspadalah terhadap seorang lelaki di kalangan kami. Dia menjadi masalah kepada kami. Dia telah memecah-belahkan masyarakat kami dan menganggu urusan kami. Kata-katanya seperti sihir. Boleh memisahkan ayah dan anaknya. Memecah-belahkan sesama saudara mara, suami dengan isteri. Kami bimbang kalau-kalau dia dapat mempengaruhimu dan kaummu seperti yang berlaku kepada kami. Jangan bercakap dengannya dan jangan mendengar cakapnya walaupun sedikit."

.
Tufail menceritakan,
"Demi Allah, mereka terus-menerus memperingatkan aku dengan perkara itu sehingga aku mengambil keputusan tidak mahu mendengar dan bercakap dengannya. Bahkan aku menyediakan kapas penyumbat telinga supaya cakap-cakapnya tidak sampai kepadaku. Apabila aku pergi ke masjid, tiba-tiba aku lihat dia (Rasulullah) bersembahyang di sisi Ka'abah. Aku berdiri berhampiran dengannya. Allah tidak mahu yang lain melainkan mendengarkan kepadaku sebahagian dari kata-katanya. Aku mendengarnya dan aku dapati kata-katanya yang baik. Aku pun berfikir sendiri, alangkah tidak baiknya, demi Allah kalau aku tidak membuat pertimbangan sendiri. Aku seorang penyair, aku boleh menilai baik dan buruk. Apakah yang menghalangku untuk mendengar dari lelaki ini apa yang diucap olehnya. Kalau baik aku menerimanya, kalau buruk aku menolaknya."
"Aku tidak berbuat apa-apa sehingga dia (Rasulullah) beredar pulang ke rumahnya. Aku pun mengikut dari belakang, sehingga dia masuk ke rumahnya. Aku pun masuk untuk menemuinya. Lalu aku ceritakan kisah kedatanganku dan bagaimana orang memberi amaran supaya aku jangan bertemunya dan aku menyumbat kapas ke telingaku. Seterusnya aku mendengar sebahagian dari kata-katanya ketika bersembahyang di sisi Ka'abah."
Aku pun berkata lagi kepadanya (Rasulullah),
"Sila bentangkan kepadaku tentang ajaranmu"
.
Dia menerangkan tentang Islam kepadaku dan membaca al-Quran. Maka demi Allah, aku tidak pernah mendengar kata-kata yang lebih baik darinya serta perkara yang lebih adil darinya. Aku terus menganut Islam dan mengisytiharkan syahadah yang sebenar. Aku berkata kepadanya,
"Sesungguhnya aku seorang yang berpengaruh di kalangan kaumku, aku akan pulang kepada mereka dan mengajak mereka kepada Islam. Berdoalah kepada Allah agar Dia mengurniakan kepadaku suatu tanda yang menjadi bukti kepada Islam"
Lalu Rasulullah pun berdoa.
Sumber: Buku Fiqh Harakah karangan
Haji Abdul Hadi Awang (Jilid 1, hlm 198-199)
.
Meskipun Islam mendapat perlindungan di Habsyah, tetapi ianya tidak sesuai menjadi pengkalan yang kuat. Sebaliknya suasana semenanjung Tanah Arab sahaja yang berkesan untuk dijadikan pengkalan. Perjalanan Rasulullah ke Ta'if bukan sembarangan. Tidak sekadar hanya mengajak manusia kepada Islam tetapi mencari pengkalan dakwah selain dari Mekah. Apabila mendapat tentangan daripada penduduk Ta'if, Rasulullah pulang jua ke Mekah.
Apabila Zaid bin Harithah mengetahui hasrat Rasulullah untuk pulang ke Mekah, beliau bertanyakan Rasulullah, bagaimana Rasulullah hendak memasukinya dan menghadapi orang Musyrikin yang telah menghalau Baginda. Ini kerana, Zaid menyedari betapa bahaya dan besarnya cabaran yang akan dihadapi.
Dengan tegas Rasulullah menjawab,
"Wahai Zaid, sesungguhnya Allah akan menjadikan apa yang kamu lihat pasti ada kelapangan dan ada jalan keluar dan Allah pasti menolong agama-Nya dan memenangkan nabi-Nya"
Jawapan itu menampakkan keyakinan hati Rasulullah kepada Allah. Ini kerana, Rasulullah memahami bahawa urusan menegakkan Islam itu bukanlah semata-mata kemahuan hatinya, tetapi yang lebih besar ialah urusan dari Allah. Allah pasti tidak akan membiarkannya begitu sahaja atau mensia-siakannya. Lainlah kalau apa yang diperjuangkan itu tidak ada kena mengena dengan agama Allah.
.
Tahun dukacita yang dimaksudkan di sini ialah tahun di mana berlaku kematian Abu Talib, bapa saudara Rasulullah yang sentiasa melindungi baginda, serta Khadijah, isteri kesayangan Rasulullah.
.
Menurut pendapat kebanyakan Ulama ahli Sunnah wal-Jamaah, Abu Talib mati di dalam syirik, yakni seperti yang diriwayatkan peristiwa kematiannya oleh ulama-ulama Hadith.
Al-Bukhari meriwayatkan bahawa, Nabi berkata kepada bapa saudaranya,
"Hai bapa saudara kesayanganku, katakanlah Lailahaillah, kalimah yang membolehkan aku berhujah untukmu di sisi Allah."
Tiba-tiba, Abu Jahal dan Abdullah bin Abi Umaiyah yang berada di situ berkata pula kepada Abu Talib,
"Hai Abu Talib, adakah engkau mahu meninggalkan agama Abdul Muttalib?"
Mereka terus-menerus menekan Abu Talib dengan kata-kata itu, sehingga Abu Talib kekal dalam agama pegangan Abdul Muttalib.
.
Menurut Ibnu al-Qayyim Rahimatullah, selepas tiga hari wafatnya Abu Talib, wafat pula isteri Rasulullah yang dikasihi, bernama Khadijah. Ini menambah lagi kesedihan dan dukacitanya Rasulullah kerana mengingatkan peranannya yang besar dalam perjuangan Islam. Khadijahlah yang menenangkan hati baginda ketika cemas menerima wahyu yang pertama serta menjadi orang yang pertama beriman.
Ketika Rasulullah menghadapi tentangan dari kaumnya, Khadijahlah yang meringankan bebanan serta menanggung bersama kesusahan yang dihadapi.
.
Rasulullah bersabda,
"Tidak sekali-kali diganti oleh yang lebih baik darinya. Sesungguhnya ia beriman kepadaku ketika semua orang yang menjadi kafir. Ia percaya kepadaku ketika semua orang yang menjadi kafir. Ia percaya kepadaku ketika orang lain membohongiku. Ia menolongku dengan hartanya ketika tiada siapa pun memberi pertolongan kepadaku. Allah mengurniakan anak kepadaku dengannya sedangkan aku tidak mempunyai anak dengan isteri-isteri yang lain"
.
Ibrah (pengajaran)
Peristiwa yang menyedihkan itu tidaklah sia-sia sahaja atau semata-mata untuk mengeruhkan keadaan. Ia mempunyai hikmah dan pengajaran yang sangat besar.
.
Peristiwa ini berlaku, bagi memurnikan pergantungan diri kepada Allah Subhanallah semata-mata sehingga tiada pergantungan harapan kepada yang lain daripada-Nya di kalangan makhluk. Walaupun peranan Khadijah dan perlindungan Abu Talib memberi peluang kepada dakwah untuk lebih bebas, tetapi tiada siapa yang boleh membuat alasan bahawa perjuangan Islam ini berjaya dengan bantuan dan peranan orang ini dan orang itu.
.
Jadi kewafatan Khadijah dan Abu Talib memberi makna agar di dalam menegakkan Islam itu, kita hendaklah LEBIH mengutamakan pertolongan Allah, walaupun adanya peranannya serta pertolongan makhluk.
Namun, ini tidak bermakna jasa para pejuang Islam terdahulu tidak boleh dikenang.
.
Seringkali berlaku di kalangan pendokong gerakan Islam (jemaah Islam), mereka yang lemah iman terperangkap di dalam pujuk rayu yang menyebabkan lupanya kepada kekuatan dan pertolongan Allah. Lalu, mengadakan uslub yang terlalu longgar mengenai pergantungan kepada aqidah dengan berlindung disebalik sebab-sebab kemanusiaan mengatasi anasir Rabbaniyyah di dalam menjayakan cita-cita dakwah Islamiyyah.
Akhirnya, mereka hanyut ke dalam arus yang memesongkan dari mencapai kurniaan Allah, kepada matlamat semata-mata untuk mendapat kedudukan dan mencari keridhaan makhluk dengan memilih jalan yang difikirkan mudah kononnya untuk kepentingan Islam.
.
Baginda Rasulullah pernah melihat perjanjian al-Fudul yang dimeterai di rumah Abdullah bin Jad'an.
Perjanjian ini ialah diantara qabilah-qabilah Quraisy dari Bani Hashim, Bani Muttalib, Bani Asad bin Abdul 'Uzza, Zahrah bin Kallab dan Taym bin Murrah.
.
Isi perjanjiannya ialah, mereka berjanji akan memberi pertolongan kepada orang-orang yang dizalimi di Mekah dan berusaha untuk membasmi kezaliman di Mekah. Sama ada kezaliman itu ke atas penduduk asal Makkah , juga kepada orang - orang asing yang berurusan di Kota Makkah.
.
Ianya tercetus apabila berlaku penindasan yang dilakukan oleh al- Ashi bin Wai'l , seorang yang kaya raya dan ternama di Kota Makkah membeli barang dagang seorang badwi tetapi enggan membayarnya .
.
Si Badwi ini mengadu kepada beberapa kabilah seperti Makhzum , Abd daar dan A'di bin Kaab tetapi mereka menolak untuk membantu malah lelaki Badwi ini diherdik . Lalu Badwi ini akhirnya nekad memanjat Bukit Qubais sewaktu matahari mula muncul sementara orang - orang Quraisy sedang berhimpun dihadapan Kaabah lantar ia berteriak :
.
"Wahai golongan yang menyaksikan orang yang dizalimi hartanya di Kota Makkah , ia datang dari kampung halaman yang jauh . Orang - orang ihram dengan kusut , belum menyempurnakan umrahnya . Wahai orang yang sedang berkumpul di Hijr Ismail dan Hajar aswad . Sesungguhnya Tanah Haram hanya diduduki oleh orang terhormat dan tidaklah layak tanah haram ini didiami oleh orang - orang yang selalu berbuat dosa."
.
Setelah mendengar ucapan tersebut , Zubair Abdul Mutallib bangun lantas berkata : Perkara ini tidak boleh dibiarkan , lalu mereka berkumpul di rumah Abdullah bin Jud'an dan memeterikan satu perjanjian untuk membasmi kezaliman
.
Rasulullah sangat kagum dengan perjanjian itu walaupun ianya berlaku di zaman jahiliyyah. Baginda bersabda,
"Sesungguhnya aku telah menyaksikan suatu perjanjian bersama-sama bapa-bapa saudaraku di rumah Abdullah bin Jud'an yang lebih aku kasih dari unta yang merah dan kalau aku diajak kepadanya di zaman Islam, nescaya aku menyahutnya"
(Diriwayatkan oleh Ahmad, Ibn Ishak, dan al-Hamidy)
.
Betapa kegembiraan lahir dari wajah Rasulullah s.a.w. Ini menunjukkan sikap menentang kezaliman meskipun terhadap kaumnya sendiri. Semangat inilah yang mencetuskan semangat perjanjian al-Fudul itu.
.
Di sana, adalah menjadi dasar Islam menentang setiap kezaliman walaupun di mana sahaja ianya berlaku.
.
Ibrah:
1. Pentingnya menentang kezaliman. Namun, sekarang, ramai yang mengambil endah tidak endah terhadap perkara ini. Fikirkan betapa ramai rakyat Malaysia khususnya dan umat Islam diseluruh dunia amnya yang ditindas dan dizalimi. Terlalu banyak. Namun, kita masih berdiam diri. Kenapa?
.
.
2. Rasulullah mengiktiraf perjanjian dengan kaum Quraisy yang masih jahiliyyah untuk kepentingan yang diiktiraf Islam seperti menentang kezaliman. Sabda Nabi s.a.w, "....Kalau aku diajak kepadanya di zaman Islam, nescaya aku menyahutnya"
.
Di bawah ini adalah nama beberapa individu yang terlibat secara langsung dalam melancarkan proses perjalanan hijrah:
1)
Saidina Ali – seorang anak muda yang berusia 32 tahun lebih muda dari Rasulullah dan merupakan sepupu Baginda, anak kepada Abu Talib bin Abdul Mutalib. Tugas yang dibebankan kepadanya adalah menggantikan tempat tidur Rasulullah pada malam hijrah disaat rumah tersebut dikepung oleh 11 pemuka Quraisy termasuk Abu Jahal dan Abu Lahab.
2)
Saidina Abu Bakar – beliau lahir dua tahun setelah kelahiran Rasulullah SAW. Beliau terlibat dalam hijrah ke Habsyah (Ethopia) sebelum hijrah ke Madinah. Dalam hijrah ke Madinah, Rasulullah SAW memilih beliau sebagai teman dalam perjalanan.
3)
Abdullah bin Abu Bakar – beliau adalah anak Saidina Abu Bakar yang ditugaskan sebagai intel untuk mencari maklumat dan menyampaikan maklumat kepada Rasulullah SAW yang bersembunyi di Gua Thur selama 3 hari sebelum meneruskan perjalanan ke Madinah. Abdullah mendengar apa sahaja perbicaraan penduduk Mekah (tentang mereka) di siang hari dan pada petangnya, menyampaikan info tersebut kepada mereka. Setiap malam (dalam tempoh 3 hari tersebut), Abdullah tidur di gua bersama mereka dan pulang pada waktu Subuh.
4)
Asma’ binti Abu Bakar – beliau juga adalah anak kepada Saidina Abu Bakar. Tugasannya adalah menghantar makanan ke Gua Thur setiap hari. Sangat menakjubkan kerana saat itu ia sedang hamil tua, namun mampu mendaki gunung yang tidak mampu didaki oleh semua orang. Asma’ digelar ‘Zatun Nitaqain’ artinya ‘pemilik dua ikat pinggang’ kerana ia memotong kain ikat pinggangnya untuk mengikat mulut kantung makanan tersebut.
5)
Amir bin Fuhairah – beliau adalah mantan hamba kepada Abu Bakar. Beliau diberi tugasan supaya membawa kambing-kambing peliharaannya ke padang pasir pada waktu siang bagi menghilangkan jejak kaki Abdullah dan Asma’ dan pada waktu petang membawa kambing ke gua Thur untuk diperah susunya.
6)
Abdullah bin Uraiqith – beliau adalah seorang Musyrik yang mempunyai keahlian dalam menunjuk jalan di padang pasir. Sekitar 4 bulan sebelum berangkat berhijrah, Rasulullah dan Abu Bakar menyerahkan dua ekor unta kepadanya untuk dipelihara untuk kegunaan tunggangan berhijrah nanti. Sampai masanya beliau bertemu Rasulullah dan Abu Bakar dengan membawa unta tersebut untuk berhijrah.
Ertinya, kita dibenarkan meminta bantuan pihak non-Muslim dalam beberapa hal yang mereka ada kepakaran, syaratnya mereka itu boleh dipercayai, tidak akan khianat atau membocor rahsia.
Maka, setiap umat Islam khasnya mereka yang mengintima’kan diri bersama perjuangan Islam berkewajipan memberikan sumbangan, pengorbanan (tenaga, masa dll) serta kepakaran yang kita ada untuk membantu urusan agung ini. Jangan ada yang menyebut,
‘maaf, saya tiada ilmu..maaf, saya tak pandai berceramah’ dan lain-lain. Kerana membantu Islam sangat banyak jalannya.
Wallahu'alam
Setelah Sultan Abdul Hamid II diturunkan dari jawatan khalifah dan Islam dibuang secara rasmi dari perlembagaan Turki, maka bermulalah Turki memakai sistem Republik dengan seorang yang menjadi Presiden. Dibawah ini adalah senarai presiden-presiden Turki bermula dari tahun 1924 – 2009 :
1) 1924-1938 : Mustafa Kamal Attaturk ( lahir 19 Mei 1881 – meninggal 10 Nov 1938 )2) 1938-1950 : Ismet Inonu3) 1950-1960 : Celal Bayar4) 1960-1966 : Cemal5) 1966-1973 : Cevdet Sunay6) 1973-1980 : Fahri Koruturk7) 1980-1989 : Ahmet Kenan Evren8) 1989-1993 : Turgut Ozal9) 1993-2000 : Suleyman Demirel10) 2000-2007 : Ahmed Necdet Sezer11) 2007-2009 : Abdullah Gul & Recep Tayyib Erdogan ( Perdana Menteri )Catatan: Abdullah Gul & Recep Tayyib Erdogan adalah pimpinan dari parti yang berhaluan Islam di Turki iaitu Parti Keadilan dan Pembangunan Turki (AK Party). AK Party adalah lanjutan dari parti Islam sebelum itu iaitu Parti Refah ( 60-an ) dan Sa’adat yang diasaskan oleh Prof.Najmuddin Erbakan. Parti Refah pula adalah lanjutan dari Parti Milli Salamat. Usaha mengembalikan nilai-nilai Islam dan Syariat mula digerakkan oleh AK Party dengan penuh hemat berikutan kondisi Turki yang masih berbau sekular khasnya para pemimpin tertinggi tentera yang menguasai Turki. Pelbagai pendekatan digunakan oleh AK Party agar usaha mereka dapat diteruskan secara konsisten.
Sebagai contoh, mereka berdua dengan berani menampilkan isteri yang bertudung di khalayak ramai setelah pengisytiharan kemenangan pada tahun 2007 yang lalu. Kini, larangan memakai tudung dicabut semula dari undang-undang Turki sehingga menimbulkan keresahan kepada para Sekularis. Pengajian-pengajian Islam mula mendapat tempat semula dan universiti-universiti Islam mula berperanan.

Walaubagaimanapun, usaha-usaha yang baik dan berani dari gerakan Islam di Turki ini jangan sampai menjadikan kita lupa bahawa disana terdapat beberapa perkara yang perlu kita perhatikan. Ianya adalah soal sejarah kebangkitan, kegemilangan sehingga keruntuhan yang mengundang impak yang pelbagai baik positif ataupun negatifnya. Antara lain, kita juga mesti mengkaji secara bersungguh dan serius mengenai punca-punca mengapa semudah itu kerajaan Islam ditumbangkan. Teruskan kajian, pembacaan, diskusi dan sebagainya bagi meneliti segala anasir yang menjadi ‘bom jangka’ yang meletupkan Khilafah sedahsyat itu. InsyaAllah, sekurang-kurangnya pasti kita akan bertemu dua unsur iaitu dalaman dan luaran.
Mungkin, penulis tidak berhajat untuk mengemukakannya disini kerana ia memerlukan tempoh yang agak lama, pembacaan yang teliti dan fakta yang meyakinkan untuk dipaparkan. Namun, sekadar ‘menjentik’ sedikit agar kita terus melihat punca-punca ini dengan satu harapan agar ianya tidak berulang lagi dan persiapan dibuat untuk menghadapi situasi ini. Sebagai contoh, kita akan melihat betapa liciknya permainan dari Gerakan Freemasonry yang dinaungi Yahudi, peranan Negara-negara Eropah, rancangan Salib, kelemahan sebahagian khalifah-khalifah sendiri, fahaman kebangsaan yang tidak bertunjangkan Aqidah yang meragut fikrah umat Islam Turki sehingga membenci khalifah yang bukan berasal bangsa Turki, peranan Syiah serta kelemahan dari umat Islam sendiri dan lain-lain lagi.
Berikutnya, penulis mengutip sedikit catatan dari buku Gerakan Freemasonry-Musuh Dalam Menghancurkan Islam iaitu mengenai kesan-kesan kejatuhan Kerajaan Turki Uthmaniyyah yang dibahagikan kepada 2 kategori iaitu negatif dan positif.
Kesan Negatif :1) Negara umat Islam menjadi lemah dan dijajah satu persatu.
2) Umat Islam berpecah dengan dahsyat mengikut negara masing-masing, identiti bangsa dan ideologi masing-masing.
3) Berlaku gejala riddah moden dengan pelaksanaan undang-undang Barat dan kebanggaan kepadanya dengan I’tiqad, ucapan dan perbuatan kufur.
4) Kerosakan dalam kehidupan : pemerintahan dan politik, ekonomi, pendidikan dan tarbiyah, sosial dan kemasyarakatan.
Kesan positif :1) Kemunculan ulama’-ulama’ yang sedar yang menggerakkan Harakah Islamiyyah di negara masing-masing.
Alhamdulillah, disebalik tragedi berat yang menimpa dan mencabut izzah ummah ini, Allah s.w.t menyusun beberapa hambanya yang beriman dan bertaqwa untuk terus berjuang mengembalikan semula kemuliaan Islam yang tercalar. Sejak dunia Islam gelap tanpa berbapa, tanggal 1924, para ulama’-ulama’ yang sedar mula menyusun langkah, mengatur pergerakan, berbincang, berfikir siang dan malam, menangis mengadu kepada Allah akan ujian yang mencabar ini sehinggalah kesepakatan diputuskan agar sekularisasi dihadapi secara organisasi, jama’ah, kesatuan atau harakah.
Sheikh Bediuzzaman Said An-Nursi memulakannya di Negara Turki dengan Jama’ah An-Nur, diikuti dengan Ikhwan Muslimin di Mesir dan pelbagai lagi harakah-harakah yang tumbuh segar bagai cendawan semata-mata ingin melihat cahaya Islam kembali bersinar.
Muhammad II (Bahasa Arab: محمد الثانى) juga dikenali dengan Muhammad al-Fatih (الفاتح) atau “Si Penakluk” dilahirkan pada 30 Mac 1432 di Edirne dan meninggal dunia pada 3 Mei 1481 di Hünkârcayırı, berdekatan Gebze. Baginda adalah Sultan yang memerintah Empayar Uthmaniyyah dalam masa singkat iaitu dari tahun 1444 ke 1446 dan kemudian dari tahun 1451 ke 1481. Baginda menakluk Constantinople pada umur 21 tahun yang membawa kepada kehancuran Empayar Byzantine.
Biografi
Muhammad II dilahirkan di Edirne yang pada masa itu ibu kota kerajaan Uthmaniyyah pada 30 Mac 1432. Bapanya adalah Sultan Murad II (1404–51) ibunya Huma Hatun, anak perempuan Abd’Allah dari Hum. Muhammad al-Fatih merupakan seorang sultan yang mementingkan kekuatan dalaman dan luaran para tenteranya. Mempunyai kepakaran dalam bidang ketenteraan, sains, matematik dan menguasai enam bahasa (bahasa Turki, Greek, Hebrew, Arab, Parsi dan Latin) pada ketika berumur 21 tahun. Seorang pemimpin yang hebat, warak dan tawaduk selepas Sultan Salahuddin Al-Ayubbi (pahlawan Islam dalam Perang Salib) dan Sultan Saifuddin Muzaffar Al-Qutuz (pahlawan Islam dalam peperangan di Ain Jalut menentang tentera Mongol). Malah sifat-sifat baginda dan tenteranya telah diisyaratkan oleh Rasulullah S.A.W:
“ Constantinople akan ditakluki oleh tentera Islam. Rajanya (yang menakluk) adalah sebaik-baik raja dan tenteranya (yang menakluk) adalah sebaik-baik tentera."
Baginda menaiki takhta ketika berusia 19 tahun dan memerintah selama 30 tahun (1451 ? 1481). Baginda merupakan seorang negarawan ulung dan panglima tentera agung yang memimpin sendiri 25 kempen peperangan. Baginda mangkat pada 3 Mei 1481 kerana sakit gout. Ada ahli sejarah berpendapat Baginda mangkat diracun.
Pendidikan
Baginda menerima pendidikan yang menyeluruh dan bersepadu. Di dalam bidang keagaman, gurunya adalah Syeikh Shamsuddin Al Wali dikatakan dari keturunan Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq ra. Di dalam ilmu peperangan pula, Baginda diajar tentang tektik peperangan, memanah dan menunggang kuda oleh panglima-panglima tentera. Di dalam bidang akademik pula, Baginda adalah seorang cendekiawan ulung di zamannya yang fasih bertutur dalam 7 bahasa iaitu Bahasa Arab, Latin, Greek, Serbia, Turki, Parsi dan Hebrew. Di dalam bidang Ilmu Pemerintahan pula, ayahanda Baginda , Sultan Murad II, dengan tujuan mendidik, semasa pergi bersuluk ke Pulau Magnesia, telah melantik Baginda yang baru berusia 12 tahun memangku jawatan Khalifah.
Dalam usia semuda ini Baginda telah matang menangani tipu helah musuh. Keperibadian Baginda sentiasa bersifat tawadhu’ dan rendah diri . Semasa membina Benteng Rumeli Hissari, Baginda membuka baju dan serbannya, mengangkat batu dan pasir hingga ulamak-ulamak dan menteri-menteri terpaksa ikut sama bekerja Baginda seorang yang sentiasa tenang, pendiam, berani, sabar, tegas dan kuat menyimpan rahsia pemerintahan. Baginda sangat cintakan ulamak dan selalu berbincang dengan mereka tentang permasalahan negara.
Persiapan Awal Membebaskan Konstantinople
Selama 2 tahun selepas menaiki takhta, Baginda mengkaji pelan Kota Costantinople setiap malam bagi mengenal pasti titik kelemahannya. Baginda juga mengkaji sebab-sebab kegagalan kempen-kempen terdahulu serta berbincang dengan panglima-panglima perangnya tentang strategi yang sesuai untuk digunakan. Baginda mengarahkan dibina peralatan perang termoden seperti meriam besar yang boleh menembak bom 300 kg sejauh 1 batu. Benteng Rumeli Hissari dibina di tebing sebelah Eropah, lebih kurang 5batu dari Kota Constantinople di mana Selat Bosphorus adalah yang paling sempit. Ia dibina bertentangan dengan Benteng Anadolu Hisar di tebing sebelah Asia yang telah dibina oleh Sultan Bayazid Yildirim dahulu. Benteng ini mengawal rapi kapal-kapal yang melintasi Selat Bosphorus. Perjanjian damai dibuat dengan pihak Wallachia, Serbia dan Hungary untuk memencilkan Constantinople apabila diserang nanti.
Baginda membawa bersama para ulamak dan pakar motivasi ke medan perang bagi membakar semangat jihad tenteranya. Sebaik sahaja menghampiri dinding kubu Kota Constantinople, Baginda mengarahkan dilaungkan Azan dan solat berjemaah. Tentera Byzantine gentar melihat 150,000 tentera Islam bersolat di belakang pemimpin mereka dengan laungan suara takbir memecah kesunyian alam.
Misi Menawan Konstantinople
Hari Jumaat, 6 April 1453M, Muhammad II atau disebut juga Mehmed bersama gurunya, syaikh Aaq Syamsudin, beserta orang kanannya, Halil Pasha dan Zaghanos Pasha merencanakan penyerangan ke Byzantium dari berbagai penjuru benteng kota tersebut. Dengan berbekal 150.000 ribu pasukan dan meriam buatan Urban -teknologi baru pada saat itu- Muhammad II mengirim surat kepada Paleologus untuk masuk Islam atau menyerahkan penguasaan kota secara damai atau perang. Constantine Paleologus menjawab tetap mempertahankan kota dengan dibantu oleh Kardinal Isidor, Pangeran Orkhan dan Giovanni Giustiniani dari Genoa.
Kota dengan benteng 10m-an tersebut memang sulit ditembus, selain di sisi luar benteng pun dilindungi oleh parit 7m. Dari sebelah barat melalui pasukan altileri harus merobohkah benteng dua lapis, dari arah selatan laut Marmara pasukan laut harus berhadapan dengan pelaut Genoa pimpinan Giustiniani dan dari arah timur armada laut harus masuk ke selat sempit Golden Horn yang sudah dilindungi dengan rantai besar hingga kapal perang ukuran kecil pun tidak dapat melepasi. Berhari-hari hingga berminggu-minggu benteng Byzantium masih utuh, kalaupun runtuh dengan adanya celahan-celahan, pasukan Constantine mampu mempertahankan celah tersebut dan dengan cepat menumpuk kembali hingga tertutup. Usaha lain pun dicuba dengan menggali terowongan di bawah benteng, cukup menimbulkan kepanikan kota, namun juga gagal. Hingga akhirnya sebuah idea yang terdengar bodoh dilakukan hanya dalam semalam. Salah satu pertahanan yang agak lemah adalah melalui selat Golden Horn yang sudah dirantai. Ide tersebut akhirnya dilakukan, iaitu memindahkan kapal-kapal melalui darat untuk menghindari rantai penghalang, hanya dalam semalam dan 70-an kapal dapat memasuki wilayah selat Golden Horn.
Keajaiban Tentera Othmaniyyah
Sultan Muhammad Al-Fatih telah menemui satu kaedah luar biasa untuk membawa kapalnya masuk ke perairan Tanjung Emas. Kaedah yang tidak pernah terfikir oleh mana-mana tentera sebelumnya untuk melakukannya. Beliau telah memanggil tenteranya dan menyarankan kepada mereka supaya membawa kapal-kapal itu masuk ke perairan Tanjung Emas melalui jalan darat! Malam itu juga, tentera Othmaniyyah dengan semangat dan kekuatan luar biasa telah berjaya menarik 70 kapal dari pantai Besiktas ke Galata melalui bukit yang begitu tinggi dengan jarak melebihi 3 batu! Sesungguhnya kejadian ini sangat luar biasa dan di luar bayangan manusia hingga ke hari ini.
Pagi 22 April itu, penduduk Costantinople dikejutkan dengan laungan takbir dan nasyid para mujahidin di Tanjung Emas. Tiada siapa yang dapat membayangkan bagaimana semua itu boleh berlaku hanya pada satu malam. Bahkan ada yang menyangka bahawa tentera Al-Fatih mendapat bantuan jin dan syaitan! Yilmaz Oztuna di dalam bukunya Osmanli Tarihi menceritakan bagaimana seorang ahli sejarah Byzantine berkata,
“Tidaklah kami pernah melihat atau mendengar hal ajaib seperti ini.Muhammad Al-Fatih telah menukar darat menjadi lautan, melayarkan kapalnya di puncak gunung dan bukannya di ombak lautan. Sesungguhnya Muhammad Al-Fatih dengan usahanya ini telah mengatasi Alexander The Great!” Costantine telah bermesyuarat dengan para pemimpin kerajaan Byzantine tentang strategi seterusnya, tetapi mereka gagal mencapai kata sepakat. Costantine menolak cadangan supaya beliau sendiri pergi mendapatkan pertolongan daripada umat kristian di Eropah bahkan tetap dengan keputusannya untuk mempertahankan Costantinople hingga ke titisan darah yang terakhir.
Serangan Besar-besaran Mujahidin
Dengan kedudukan tentera Othmaniyyah yang sudah semakin mantap, Sultan Muhammad Al-Fatih telah melancarkan serangan besar-besaran ke benteng terakhir Byzantine. Tembakan meriam yang telah memusnahkan sebuah kapal dagang di Tanjung Emas, menyebabkan tentera Eropah yang lain lari ketakutan. Mereka telah meninggalkan pertempuran melalui kota Galata. Semenjak kejayaan kapal mujahidin memasuki perairan Tanjung Emas, serangan dilancarkan siang dan malam tanpa henti. Laungan takbir “Allahu Akbar, Allahu Akbar!” yang mengisi ruang angkasa Costantinople telah memberikan semacam serangan psikologi kepada penduduk kota berkenaan. Seakan mendengar panahan petir, semangat mereka terus luntur dengan ancaman demi ancaman kalimah tauhid tentera Al-Fatih itu.
Dalam masa yang sama, Al-Fatih dan tenteranya sentiasa mengejutkan mereka dengan seni perang yang baru sehingga menggawatkan pertahanan tentera salib itu. Ketika ribut yang ada belum reda, penduduk Costantinople menyedari bahawa tentera Islam telah mengorek terowong untuk masuk ke pusat kota. Ketakutan melanda penduduk sehingga mereka curiga dengan bunyi tapak kaki sendiri. Merasakan yang bila-bila masa sahaja tentera ‘Turki’ akan keluar dari perut bumi berikutan dengan pembinaan terowong itu.
Usaha Damai Terakhir
Sultan Muhammad Al-Fatih yakin bahawa kemenangan semakin hampir. Kecintaannya kepada Costantinople yang dijanjikan oleh Rasulullah SAW, mendorong beliau untuk terus berusaha agar Costantine menyerah kalah tanpa terus membiarkan kota itu musnah. Sekali lagi beliau menghantar utusan meminta Costantine supaya menyerahkan Costantinople secara aman. Apabila utusan berkenaan sampai kepadanya, Costantine telah berbincang dengan para menterinya. Ada yang mencadangkan supaya mereka menyerah kalah dan ada pula yang mahukan pertahanan diteruskan hingga ke penamat. Costantine akhirnya bersetuju dengan pandangan kedua lantas menghantar maklum balas dengan katanya,
“… syukur kepada Tuhan kerana Sultan mahukan keamanan dan bersedia menerima pembayaran jizyah. Akan tetapi Costantine bersumpah untuk terus bertahan hingga ke akhir hayatnya demi takhta… atau mati sahaja dan dikuburkan di kota ini!”.
Apabila jawapan Costantine ini diterima, Al-Fatih menjawab,
“Baiklah… tidak lama lagi akan terhasil bagiku di Costantinople itu sama ada takhta atau keranda…!”. Perbincangan dilakukan oleh Al-Fatih tentang strategi seterusnya. Pelbagai kemungkinan dipertimbangkan dan akhirnya keputusan dibuat untuk meneruskan rancangan menawan Costantinople sebagaimana yang telah disusun.
Konstantinopel Menjadi Islambul
Setelah ditaklukan nama Konstatinopel diubah menjadi Islambul yang bererti “Kota Islam”, tapi kemudian nama ini diubah menjadi Istanbul seperti yang biasa kita dengar sekarang. Sejak saat itu ibu kota khilafah Bani Uthmani beralih ke kota ini dan menjadi pusat peradaban Islam dan dunia selama beberapa abad. Sebab kota ini kemudian dibangun dengan segala bentuk keindahannya, percampuran antara seni Eropa Timur dan Arab. Gereja dan tempat ibadah non muslim dibiarkan tetap berdiri, tidak diganggu sedikit pun. Sementara khalifah membangun gedung dengan seni bina yang tidak kalah cantiknya dengan gedung-gedung sebelumnya. Sepintas kalau kita lihat gedung peninggalan peradaban masehi sama saja dengan bangunan masjid. Ia jugalah yang mengganti nama Konstantinopel menjadi Islambol (Islam keseluruhannya) .
Kini nama tersebut telah diganti oleh pengkhianat ummah, Mustafa Kamal Ataturk menjadi Istanbul. Nama Muhammad Al-Fatih tersemat sebagai perwira, tetapi bagaimana dengan kita? Perwira Ummat?