Serambi Dakwah

IconMusafir di bumi Ilahi, aku singgah untuk menuntut ilmu untuk meneruskan perjalanan yang masih panjang.....

Showing posts with label Harakah Islamiyyah. Show all posts
Showing posts with label Harakah Islamiyyah. Show all posts

Jamaah Islam dan Taadud Jemaah di Malaysia: Suatu Kajian Berasaskan Fakta Nas dan Sejarah

MUQADDIMAH

Perbahasan tentang jamaah Islam dan taaddud jemaah sering dibincangkan diseluruh dunia Islam, samada dikalangan ulama atau dari manusia biasa. Perbahasan ini pada hakikatnya adalah untuk mencari satu titik pertemuan dan kekuatan dalam mengembangkan Islam.

Malaysia juga tidak ketinggalan dalam memperdebatkan isu Jamaah islam dan taaddud jemaah ini. Ini disebabkan bahawa di Malaysia terdapat beberapa jemaah yang didakwa sebagai jemaah Islam.

Maka dengan demikian, selayaknya perdebatan ini dilihat dari kacamata ilmiyyah beserta waqii di Negara ini, agar ianya mendapat mencari kekuatan dalam usaha hendak mendaulatkan islam.

BAHAGIAN PERTAMA
KEDAULATAN ISLAM MELALUI JAMAAH ISLAM

1. KEWAJIPAN MENDAULATKAN UNDANG-UNDANG ISLAM

Mendaulatkan Islam merupakan tanggungjawab semua manusia yang hidup atas muka bumi ini. Tanggungjawab tersebut bermula dari kejadian Nabi Adam A.S lagi. Ini dinyatakan oleh Allah didalam firman-Nya;


وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً
Maksudnya;
“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi." (Surah Al-Baqarah : 30)

Khalifah yang dimaksudkan adalah seperti yang telah didefinisikan oleh ulama iaitu;


نيابة عن الشارع في حراسة الدين وسياسة الدنيا به
Maksudnya;
“pengganti syari’ didalam menjaga agama dan mentadbir dunia dengannya (agama)”[1].

Dari ini difahami bahawa, penciptaan manusia atas muka bumi ini dinyatakan oleh Allah adalah untuk melaksanakan agama dan mentadbirkan muka bumi ini dengan agama.

Islam telah membuktikan pemerintahannya berasaskan khalifah semenjak zaman Rasulullah SAW sehinggakan tahun 1924, iaitu tahun kejatuhan kerajaan Turki Uthmaniyyah; yang telah dijatuhkan dengan pemikiran sekular yang di dokong oleh seorang bapa pemoden Turki yang bernama Mustafa Kamal At-Tarturk.[2]

Dengan kejatuhan tersebut, umat Islam seluruh dunia hidup dalam keadaan terumbang ambing, disamping kehinaan demi kehinaan datang menimpa yang menyebabkan ulama-ulama Islam terpaksa memikirkan “kaedah dan mekanisma baru” bagi menghadapi kehinaan sedemikian rupa.

Dengan keadaan sedemikian, lahirlah ulama-ulama yang kehadapan dalam menghadapi kelemahan ini seperti As-Syahid Imam Hassan Al-Banna (1906-1949[3]) yang berjaya menubuhkan sebuah gerakan islam yang terkenal di seluruh dunia, iaitu “Al-Ikhwan Al-Muslimun” pada tahun 1928; yang ditubuhkan di suatu daerah di Negara Mesir yang bernama “Ismailiyyah”; yang ketika itu, Imam Hassan Al-Banna baru sahaja berumur 21 tahun[4].


Begitujuga, lahirnya seorang tokoh didalam gerakan islam “Al-Ikhwan Al-Muslimun” yang terkenal juga; bernama As-Syaikh Said Hawa (1935-1989[5]), sebagai penerus perjuangan Al-Ikhwan Al-Muslimun yang diasaskan oleh Imam Hassan Al-Banna. Beliau mempunyai keluasan ilmu dan pengalaman yang semuanya itu boleh diketahui melalui banyak tulisan-tulisan beliau.

Imam Mujahidin Al-Afghanistan As-Syahid Dr Abdullah bin Yusuf Mustafa Azzam atau lebih dikenali dengan nama As-Syahid Dr Abdullah Azzam (1941 – 1989[6]) merupakan salah satu tokoh pejuang Islam yang tidak kurang juga dikenali kehebatannya; beliau telah meninggalkan kehidupannya yang mewah di bumi Jordan dan Pakistan semata-mata mahu mentarbiyyah pemuda-pemuda Islam di lereng-lereng bukit di Afghanistan bagi meneruskan usaha untuk mengembalikan kegemilangan islam ketempatnya yang asal.

Dan banyak lagi tokoh-tokoh pejuang Islam yang lahir setelah kejatuhan kerajaan Osmaniyyah tersebut, yang ini membuktikan kebenaran hadis Nabi SAW yang bersabda;

لَا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي يُقَاتِلُونَ عَلَى الْحَقِّ ظَاهِرِينَ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ
“sentiasa ada dikalangan umatku satu puak/golongan yang terang-terangan berperang di atas kebenaran hingga hari kiamat[7]”

Tidak ketinggalan juga di Negara ini, sebuah jemaah islam yang bernama Hizbul Muslimin di tubuhkan oleh ulama-ulama di Malaysia ketika itu, merupakan anak-anak murid Muhammad Abduh sebagai sebuah gerakan Islam yang berusaha kearah mendaulatkan undang-undang Islam seperti yang dinyatakan oleh Allah didalam surah al-baqarah ayat 30.

Amat menyedihkan, pada 18 Jun 1948, pihak british telah mengharamkan gerakan Islam Hizbul Muslimin melalui akta darurat dan akhirnya dalam tekanan, usaha demi usaha yang dilakukan oleh bekas pendokong-pendokong Hizbul Muslimin sehinggakan tertubuh Parti Islam Semalaysia (PAS).

2. KELAHIRAN JEMAAH ISLAM ADALAH KEWAJIPAN UMAT

Dengan kejatuhan kerajaan Uthmaniyyah di Turki pada tahun 1924 itu, maka bermulakan usaha demi usaha yang dilakukan oleh beberapa tokoh ulama untuk mendaulatkan kembali undang-undang Islam serta menjadikan Islam sebagai agama yang memerintah bukan diperintah.

Usaha tersebut dilihat tidak akan menghasilkan kejayaan jika dilakukan bersendirian, juga tidak mampu di lakukan secara masyarakat ramai, ini disebabkan masyarakat ramai sudah bergelumang dengan pemikiran secular ini di samping fahaman sekular ini tidak didokong oleh individu-individu tertentu, tetapi sudah di kuasai sehinggakan berjaya membentuk dalam bentuk system pemerintahan.

Maka dengan itu, ulama memulakan usaha kearah kedaulatan undang-undang Islam itu dengan menubuhkan jemaah Islam, terdiri dari pendokong-pendokong yang mampu memberi komitmen sepenuhnya untuk usaha kearah kedaulatan Islam tersebut.

Justeru itu, lahirlah Ikhwan Muslimin di Mesir, Jamaat Islami di Pakistan, PAS di Malaysia dan sebagainya. kelahiran semua jemaah Islam ini bukanlah untuk kesenangan dunia atau mencari keuntungan hidup semata-mata, tetapi kelahirannya merupakan tanggungjawab melaksanakan amar makruf, nahi mungkar yang dipertanggungjawabkan kepada seluruh umat Islam yang hidup di atas muka bumi Allah ini.

Amar makruf dengan menjadikan umat Islam beraqidah dengan aqidah Islam yang sebenar dan nahi mungkar adalah menyelamatkan manusia dari fahaman sekular yang merosakan aqidah; yang merupakan punca kerosakan dan kemusnahan kehidupan manusia di dunia.

Firman Allah;


أَفَتُؤْمِنُونَ بِبَعْضِ الْكِتَابِ وَتَكْفُرُونَ بِبَعْضٍ فَمَا جَزَاءُ مَنْ يَفْعَلُ ذَلِكَ مِنْكُمْ إِلَّا خِزْيٌ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ يُرَدُّونَ إِلَى أَشَدِّ الْعَذَابِ وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ
“Apakah kamu beriman kepada sebahagian Al Kitab (Taurat) dan ingkar terhadap sebahagian yang lain? Tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian daripadamu, melainkan kenistaan dalam kehidupan dunia, dan pada hari kiamat mereka dikembalikan kepada siksa yang sangat berat. Allah tidak lengah dari apa yang kamu perbuat” (Surah Al-Baqarah : 85)

3. PAS MELAKSANAKAN TUGAS AMAR MAKRUF, NAHI MUNGKAR

Membaca muqaddimah perlembagaan PAS menyatakan;

“BAHAWA dengan sesungguhnya adalah diisytiharkan, demi untuk menyempurnakan taqwa kepada Allah dan Kebaktian sesame manusia, yang dijadikan bagi menegakkan AL-AMRU BIL MA’RUF WAN NAHYU ‘ANIL MUNKAR dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara, maka inilah diisytiharkan sebuah pertubuhan yang dinamakan “PARTI ISLAM SE-MALAYSIA”[8]

Dari isi muqaddimah perlembagaan PAS, jelas menyatakan bahawa PAS memandang tindakan menghapuskan mungkar dan menyuruh manusia kepada ma’ruf di Negara ini adalah sesuatu yang penting. Kepentingannya tersebut sehinggakan PAS menjadikannya sebagai satu dasar yang termaktub didalam perlembagaan.

Kewajipan melaksanakan Amar Makruf dan Nahi mungkar di nyatakan oleh Allah didalam Firman-Nya;


وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ
“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma'ruf, mencegah dari yang munkar” (Surah At-Taubah : 71)

Melaksanakan amar ma’ruf dan nahi mungkar memerlukan kepada kekuatan dan kuasa, ini kerana, tanpa kekuatan dan kuasa, tindakan melaksanakan amar ma’ruf dan nahi mungkar di ibaratkan seperti “melepaskan batuk di tangga”.

Amar ma’ruf dan nahi mungkar tidak memadai dengan semata-mata dengan menyeru manusia tanpa disertai dengan kekuatan, ini kerana, usaha tersebut akan melahirkan satu “kemandulan” didalam melaksanakan tugasan tersebut.

Berdasarkan kepada hadis, daripada Abu Said berkata;

سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ
“Aku dengar Rasulullah SAW bersabda; barangsiapa yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia menukarnya dengan tangan, sekiranya tidak mampu, maka dengan lidahnya, sekiranya tidak mampu, maka dengan hatinya, dan demikian merupakan selemah-lemah Iman[9]”

Imam An-Nawawi menukilkan kata-kata Qadi Iyadh dalam mensyarahkan hadis ini dengan katanya;


هَذَا الْحَدِيث أَصْل فِي صِفَة التَّغْيِير فَحَقُّ الْمُغَيِّر أَنْ يُغَيِّرهُ بِكُلِّ وَجْه أَمْكَنَهُ زَوَاله بِهِ قَوْلًا كَانَ أَوْ فِعْلًا
“Hadis ini adalah asal (dalil) pada sifat mengubah (dari mungkar kepada ma’ruf). Hak (wajib) kepada pengubah bahawa mengubahnya (maksiat) itu berdasarkan kepada kemampuannya yang dia mampu sehinggakan maksiat tersebut terhapus, samada dengan perkataan atau dengan perbuatan[10]”

Dari kata-kata Qadi Iyad ini menjadi bukti atas tindakan PAS yang berusaha hendak menghapus maksiat syirik yang berlaku dikalangan umat Islam. Kadar kemampuan maksima yang mampu PAS berikan adalah dengan menyertai Pilihanraya bagi mendapatkan kuasa memerintah yang memungkin kepada PAS untuk menghapuskan segala maksiat-maksiat dikalangan manusia di Negara ini, daripada sekecil-kecil maksiat sehinggakan sebenar-besarnya.

Tindakan tersebut telah terbukti hasilnya dikala PAS memerintah Kelantan dan Terengganu yang berjaya mengharamkan Judi, arak, penindasan kepada rakyat dan sebagainya.

4. PAS ADALAH JEMAAH ISLAM DI MALAYSIA

Bagi memastikan sesuatu jemaah itu adalah jemaah Islam ataupun tidak, perlu kepada penelitian disebalik ulasan ulama-ulama yang muktabar terhadap Nas syarak, samada dari Al-Quran dan Hadis Nabi SAW.

Perbincangan berkenaan sesebuah itu jemaah Islam atau tidak adalah bertitik tolak kepada hadis yang dikenali sebagai hadis Huzaifah bin Al-yaman, iaitu kandungan hadisnya seperti berikut;


كَانَ النَّاسُ يَسْأَلُونَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ الْخَيْرِ وَكُنْتُ أَسْأَلُهُ عَنْ الشَّرِّ مَخَافَةَ أَنْ يُدْرِكَنِي فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّا كُنَّا فِي جَاهِلِيَّةٍ وَشَرٍّ فَجَاءَنَا اللَّهُ بِهَذَا الْخَيْرِ فَهَلْ بَعْدَ هَذَا الْخَيْرِ مِنْ شَرٍّ قَالَ نَعَمْ قُلْتُ وَهَلْ بَعْدَ ذَلِكَ الشَّرِّ مِنْ خَيْرٍ قَالَ نَعَمْ وَفِيهِ دَخَنٌ قُلْتُ وَمَا دَخَنُهُ قَالَ قَوْمٌ يَهْدُونَ بِغَيْرِ هَدْيِي تَعْرِفُ مِنْهُمْ وَتُنْكِرُ قُلْتُ فَهَلْ بَعْدَ ذَلِكَ الْخَيْرِ مِنْ شَرٍّ قَالَ نَعَمْ دُعَاةٌ عَلَى أَبْوَابِ جَهَنَّمَ مَنْ أَجَابَهُمْ إِلَيْهَا قَذَفُوهُ فِيهَا قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ صِفْهُمْ لَنَا قَالَ هُمْ مِنْ جِلْدَتِنَا وَيَتَكَلَّمُونَ بِأَلْسِنَتِنَا قُلْتُ فَمَا تَأْمُرُنِي إِنْ أَدْرَكَنِي ذَلِكَ قَالَ تَلْزَمُ جَمَاعَةَ الْمُسْلِمِينَ وَإِمَامَهُمْ قُلْتُ فَإِنْ لَمْ يَكُنْ لَهُمْ جَمَاعَةٌ وَلَا إِمَامٌ قَالَ فَاعْتَزِلْ تِلْكَ الْفِرَقَ كُلَّهَا وَلَوْ أَنْ تَعَضَّ بِأَصْلِ شَجَرَةٍ حَتَّى يُدْرِكَكَ الْمَوْتُ وَأَنْتَ عَلَى ذَلِكَ
“Manusia bertanya Rasulullah SAW berkenaan kebaikkan. Aku pula bertanya kepada baginda berkenaan kejahatan, kerana bimbang menimpa diriku. Aku berkata; Wahai Rasulullah SAW, sesungguhnya kami dalam jahiliyyah dan kejahatan, lalu Allah mendatangkan kepada kami kebaikan ini (islam), maka adakah wujud kejahatan selepas dari kebaikan ini? Menjawab baginda SAW; ya (ada). Aku berkata; adakah wujud kebaikan selepas kejahatan itu? Menjawab baginda SAW; ya (ada), padanya dakhan (perkara yang tidak disukai), aku berkata; apa itu dakhan? Berkata Nabi SAW; kaum yang mencari petunjuk tidak dengan petunjukku, kamu kenal mereka dan kamu ingkari (mereka). Aku berkata; adakah wujud kejahatan selepas kebaikan itu? Menjawab baginda SAW; Ya (ada), iaitu penyeru-penyeru ke Pintu neraka, barangsiapa menyahut seruan mereka, nescaya mereka mencampaknya kedalam neraka. Aku berkata; Wahai Rasulullah SAW, nyatakan sifat mereka kepada kami !! berkata Nabi SAW; kulit mereka serupa dengan kulit kita, bercakap dengan bahasa kita. Aku berkata; apa suruhan kamu sekiranya kami berjumpa dengan mereka? Bersabda Nabi SAW; iltizamkan diri kamu dengan Jemaah Muslimin dan (taat) imam mereka (muslimin. Aku berkata; sekiranya tiada jemaah dari kalangan mereka (muslimin) dan tiada imam? Bersabda Nabi SAW; berenggang dirilah kamu dari puak-puak itu semuanya, walaupun kamu terpaksa mengigit akar pokok sekalipun, hinggalah kamu mati[11]”.

Didalam mensyarahkan hadis ini, Imam Ibnu Hajar menukilkan ulasan Qadhi iyadh; yang mana, Qadi Iyyad memaksudkan dengan “kejahatan” didalam hadis ini adalah kejadian selepas kematian Saidina Osman. Adapun “kebaikan selepas dari kejahatan” yang dimaksudkan dalam hadis ini adalah pemerintahan Umar bin Abdul Aziz. Dan maksud dengan “kamu mengenali mereka dan kamu ingkarinya” adalah pemimpin selepas daripada pemerintahan Umar bin Abdul Aziz, yang mana, ada dari kalangan pemimpin ketika itu yang berpegang kuat dengan sunnah dan ada yang menyeru kepada bidaah dan melakukan kezaliman[12].

Melihat kepada tafsiran Qadhi Iyyad, difahami bahawa “maqasid” atau kandungan nas di sebalik ulasan ini adalah fitnah yang telah menimpa di zaman selepas kewafatan Nabi SAW.

Maka dengan demikian, suruhan nabi SAW beriltizam dengan jemaah muslimin adalah bagi menyelamatkan diri umat islam daripada terjerumus kejurang fitnah yang berlaku di zaman tersebut.

Sesungguhnya sesuatu fitnah itu tidak sama antara satu tempat dengan tempat yang lain, begitujuga masa dengan masa yang lain. Maka dengan demikian, fitnah yang menimpa umat Islam di Malaysia tidak boleh disamakan fitnah yang menimpa umat Islam di Palestine, di Iraq, di Mesir dan sebagainya. Justeru itu, menentukan sesebuah jemaah tersebut adalah jemaah Islam di sesuatu tempat, perlu kepada pemahaman waqii di tempat tersebut.

APAKAH FITNAH UMAT ISLAM DI MALAYSIA?

Membaca sejarah Islam di Negara ini, didapati bahawa Negara ini pernah di perintah mengikut ajaran Islam. Ini di buktikan dengan penemuan batu bersurat di Terengganu yang bertarikh 1303.

Dalam batu bersurat itu, terkandung arahan raja yang memerintah ketika itu yang bernama Raja Mandalika terhadap rakyatnya supaya berpegang kuat dengan ajaran islam dari semua sudut kehidupan. Ianya menyentuh soal langkah mengelakkan berlaku kemungkaran seperti zina dan tidak membayar hutang. Juga hukuman terhadap mereka yang tidak mengikut kehendak syariat yang tidak dibataskan kepada rakyat semata, bahkan terhadap pemerintah juga.[13]


Penggunaan kalimah “Sultan” terhadap raja-raja melayu juga merupakan pengaruh pemerintahan Islam di Negara ini. Ini kerana, penggunaan kalimah “Sultan” pada asalnya adalah identity pemerintahan Islam yang mula di gunakan pada abad ke-10 masehi dengan munculnya kesultanan Seljuq sebagai pemegang tampuk pemerintahan dalam zaman Abbasiah. Kekuasaan Seljuq merupakan satu pembentukan yang berasal dari turki selepas mereka menguasai kota Baghdad, iaitu pusat pemerintahan Khalifah Abbasiah[14].

Kalimah “sultan” juga di gunakan dizaman pemerintahan Uthmaniyyah Turki sebagai ganti kepada penggunaan kalimah Khalifah.

Empayar osmaniyyah merupakan sumber kekuatan inspirasi yang meniup semangat perjuangan di kalangan kesultanan-kesultanan melayu untuk berjuang bagi menghapuskan penjajah yang sering menyerang umat Islam. Ini di buktikan dengan sokongan kesultanan melayu terhadap empayar Uthmaniyyah Turki yang ketika itu menyokong Jerman dalam peperangan dunia pertama[15], pada bulan ogos tahun 1914[16].

Pada tahun 1924, khalifah Uthmaniyyah di Turki telah di jatuhkan oleh seorang tokoh sekular turki yang bernama Mustafa Kamal Art-Tarturk dengan slogan “garbie doegroe” yang memberi maksud “berarak menuju barat[17]” telah memberi tamparan hebat terhadap dunia Islam termasuk alam Melayu. Ini kerana, ketika itu kesultanan-kesultanan Melayu ini mendukung system kekhalifahan yang berpusat di Turki sebagai tunggak kekuasaan di mana mereka ikut berpayung[18].

Dengan kejatuhan khalifah Uthmaniyyah itu, maka bermulalah fitnah sekular didalam sistem pemerintahan dunia Islam, yang tidak terketinggalan menerima fitnah tersebut adalah Malaysia. Maka dengan itu, lahirlah berbagai-bagai gerakan Islam di seluruh dunia Islam, seperti lahirnya Ikhwan Muslimin di Mesir, Jamaat Islami di Pakistan, PAS di Malaysia dan sebagainya.

Melihat suasana di Malaysia kini, fitnah yang paling berbahaya yang sedang menimpa umat Islam bukanlah amalan bidaah dalam perkara furu’, seperti talkin, tahlil dan sebagainya, tetapi fitnah yang paling besar adalah “fitnah syirik sekular” yang sedang menyerang masuk kedalam jiwa-jiwa umat Islam di Malaysia.

Bagi mengatasi perkara tersebut, perlu kepada satu gerakan islam yang dapat menghapuskan kesyirikan ini, yang jika di perhatikan bahawa semua ini tidak mampu di atasi oleh jemaah-jemaah selain dari PAS.

BAHAGIAN KEDUA
BAHAYA TAADDUD JAMAAH

1. MENGAPA TAADDUD JAMAAH BERBAHAYA

Setelah melihat kepada ulasan-ulasan lepas, didapati bahawa PAS merupakan sebuah jemaah Islam yang wajib kepada semua umat Islam menyertainya. Semuanya adalah kerana PAS berusaha kearah kedaulatan dan perlaksanaan Undang-undang islam di Negara ini.

Bagi merealisasikan kejayaan tersebut perlu kepada penyatuan fikrah dan gerak kerja, ini dapat mengelakkan berbagai-bagai fikrah dan berbagai-bagai wala’ dalam melaksanakan tugasan yang penting ini.

Sekiranya sebuah jemaah berijtihad supaya tidak melibatkan diri dalam pilihanraya, sedangkan PAS pula mahu menggunakan pilihanraya, maka ini sudah dapat dilihat bagaimana kecelaruan dalam melaksanakan tanggungjawab yang penting ini.

Maka dengan sebab itulah, tidak hairan Nabi SAW ada bersabda;


عن أبي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ قال قال رسول اللَّهِ (ص) إذا بُويِعَ لِخَلِيفَتَيْنِ فَاقْتُلُوا الْآخَرَ مِنْهُمَا

Maksudnya;
“Daripada Abi Said Al-Khudri berkata : bersabda Nabi SAW : apabila di Baiaah dua orang khalifah, maka hendaklah di bunuh salah satu daripada kedua-duanya[19]”

Daripada hadis ini, terdapat beberapa perbahasan yang seperti berikut;

Perbahasan pertama;

Maqasid disebalik maksud bunuh didalam hadis ini adalah kerana wujudnya dua khalifah yang mewujudkan dua wala’. Maka dengan demikian, Baginda SAW menyuruh bunuh salah satu daripada kedua-dua khalifah tersebut dengan tujuan memudahkan untuk diberi wala’, ini kerana, sekiranya wujud dua baiaah yang mewujudkan dua wala’. Maka dengan demikian, bagaimana hendak memberi wala’ dalam satu masa, yang kadangkala kedua-dua khalifah mempunyai ijtihad yang berbeza.

Perbahasan kedua;

Imam An-Nawawi menyatakan, apabila berlaku dua baiaah, maka khalifah yang wajib diberi wala’ adalah khalifah yang di baiaah terlebih dahulu. Adapun khalifah dibaiaah terkemudian, maka hendaklah dilaksanakan hukuman bunuh kepadanya[20]. Ulasan imam An-Nawawi ini menyamai ulasan yang dikemukakan oleh Imam Al-Qurtubi didalam kitabnya “Jami’ Li Ahkam Al-Quran[21]”

Perbahasan ini dilihat ketika kewujudan khalifah. Adapun dunia Islam kini berada dalam kerangka pemerintahan yang tidak mempunyai khalifah, maka dengan demikian, perbahasan ini perlu kepada “pengecilan skop” untuk di realisasikan kepada realiti jemaah-jemaah islam yang wujud di sesebuah Negara.

Maka dengan itu, maksud disebalik “bunuh khalifah yang terkemudian” adalah dengan membunuh “pemberian wala’” kepada jemaah yang wujud terkemudian, dan wajib memberi wala’ kepada jemaah yang terdahulu.

Memahami perbahasan ini, di fahami bahawa, di Malaysia, jemaah Islam wajib di beri wala’ adalah PAS, ini kerana, PAS adalah jemaah Islam yang tertua di Negara ini, jika dibandingkan dengan jemaah-jemaah islam yang lain.

BENARKAN PAS ADALAH JEMAAH ISLAM YANG TERTUA DI MALAYSIA?

Pada 21 Zulkaedah 1370, bersamaan 24 November 1951, PAS berjaya didaftarkan sebagai satu badan politik yang berdaftar secara rasmi[22].

PAS adalah singkatan nama dari “Parti Islam Se-Malaysia[23]” yang telah di pelopori oleh gerakan Ulama di Malaya. Kelahirannya adalah hasil dari kesedaran politik Islam untuk mendaulatkan Agama Allah di muka bumi ini.

Berdasarkan kepada sejarah, kelahiran PAS berpunca dari beberapa orang agamawan di Negara ini, yang merupakan anak-anak murid kepada As-Syaikh Muhammad Abduh dari Timur tengah.[24] Kelahiran PAS tersebut bermula dengan nama Hizbul Muslimin yang telah diharamkan oleh British melaui akta darurat pada 18 jun 1948.

Selepas dari pengharaman tersebut, ramai dari pemimpin-pemimpin Hizbul Muslimin di tangkap oleh British yang menyebabkan gerakan ulama tersebut terpaksa bergerak “secara rahsia” dengan menyertai bahagian-bahagian agama dan pelajaran pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dengan tujuan untuk menyampaikan mesej agama kepada masyarakat[25].

Hasil dari gerakan ulama “secara rahsia” tersebut, bekas ahli-ahli Hizbul Muslimin telah menyerapkan kefahaman islam kepada masyarakat sehinggakan berjaya mengumpulkan ulama-ulama yang tersebar di Negara ini dibawah satu badan, yang melahirkan satu persidangan Ulama Malaya, yang diadakan di Muar Johor pada 21-22 Febuari 1950[26].

Dengan persidangan tersebut, melahirkan satu lagi persidangan yang sama buat kali keduanya pula pada 23 ogos 1951 bertempat di Kelab Sultan Sulaiman Kuala Lumpur.

Dari persidangan kali kedua tersebut melahirkan satu perlaksanaan usul bagi menubuhkan sebuah organisasi yang didokong oleh golongan ulama-ulama ini; yang diberi nama dengan “Persatuan Ulama Malaya”.


Dengan tertubuhkan persatuan ulama Malaya ketika itu, membayangkan golongan ulama-ulama yang mendokong persatuan ulama Malaya tersebut, keluar dari UMNO sudah tergambar, disamping banyak isu-isu islam yang gagal di atasi oleh UMNO, seperti isu Natrah, sekongkol UMNO dengan British, anjur program Funfair, Loteri dan kaberet UMNO.

Maka dengan demikian, lahirnya satu persidangan ulama Malaya yang tidak dilibatkan oleh Bahagian Agama dan pelajaran UMNO yang menyebabkan nama Persatuan Ulama Malaya bertukar kepada Persatuan Islam SeMalaya, dengan nama ringkasnya PAS[27].

Daripada perbahasan dan fakta sejarah yang dinukilkan ini, membuktikan bahawa PAS adalah sebuah jemaah islam yang tertua di Negara ini, jika dibandingkan dengan jemaah-jemaah yang lain.

Maka dengan demikian, jika di perhatikan segala perbahasan di atas difahami bahawa jemaah Islam yang wajib mengiltizamkan diri adalah PAS, bukan yang lainnya.

2. PENGAJARAN DARI AFGANISTAN UNTUK MEMAHAMI BAHAYA TAADUD JEMAAH

Taadud bermakna “berbilang-bilang”. Berbilang-bilang jemaah merupakan sesuatu yang amat bahaya kepada kesatuan umat Islam, yang kadangkala boleh melahirkan fitnah dimata-mata non muslim.

Ini di buktikan dengan kejadian yang telah berlaku di Afghanistan di zaman peperangan Islam bersama dengan tentera soviet Rusia.

Membaca sejarah Afgahnistan, didapati bahawa peperangan di Afgahnistan di zaman Soviet, gerakan jihad yang menyerang tentera Rusia terdiri dari beberapa jemaah, iaitu adalah seperti berikut;

Jemaah yang di kepalai oleh General Hekmatyar
Jemaah yang dikepalai oleh Prof Burhanuddin Rabbani
Jemaah yang dikepalai oleh Masoud.

Setelah kekalahan Rusia yang menyebabkan mereka keluar dari Afghanistan dalam keadaan hina, Afghanistan di perintah oleh golongan-golongan mujahidin ini, yang melahirkan perebutan kuasa dalam menentukan portfolio masing-masing didalam kerajaan.

Maka dengan demikian, berlakulah beberapa pertelagahan sesama mereka, terutama diantara General Hekmatyar dan Prof. Burhanuddin Rabbani sehinggakan lahirlah satu pergerakan mahasiswa (Taliban) bagi membendung perbalahan ini yang dikepalai oleh seorang ketua pelajar mereka yang bernama Mulla Omar mujahid yang berasal dari Bandar Kandahar, dan ketika itu berumur 33 tahun. Beliau telah bangkit bersama-sama dengan 15 hingga 30 orang pelajar-pelajar agama untuk menyelesaikan perbalahan ini. [28]

Tindakan permulaan Taliban dalam menyelesaikan perbalahan antara General Hekmatyar dan Prof. Burhanuddin Rabbani adalah dengan menghantar rombongan yang terdiri daripada beberapa orang Ulama dan beberapa orang Komander untuk menyelaraskan undang-undang Islam bagi menyempurnakan maksud perjuangan mereka yang sebenar.

Rombongan tersebut tidak dilayan oleh mereka berdua yang menyebabkan Taliban menghantar orang-orang tua yang berjanggut dan berpakaian putih (orang-orang yang dihormati) buat kali keduanya, untuk berbincang lagi bagi menyelaraskan undang-undang Islam dan menghentikan perbalahan diantara mereka.

Tindakan Taliban tersebut menyebabkan golongan Hekmatyar dan Burhanuddin menjadi marah dan mengambil sikap untuk menyerang Taliban. Sikap dari dua golongan ini menyebabkan berlakunya peperangan antara Taliban dengan mujahidin-mujahidin yang pernah berperang menentang Rusia terdahulu[29].

Daripada fakta sejarah Taliban ini sudah cukup untuk digambarkan betapa bahayanya fahaman “Taaddud Jemaah” yang memberi kesan buruk kepada kesatuan umat Islam. Juga, memberi gambaran buruk kepada agama Islam sendiri di mata-mata non muslim.

KESIMPULAN

Melihat segala perbahasan ini, difahami bahawa PAS adalah jemaah Islam yang wajib diiltizamkan diri oleh setiap umat Islam di Negara ini. Jika tidak berbuat demikian, maka orang Islam tersebut dibimbangi berada dikalangan mereka-mereka yang mudah tergelincir ke lurah fitnah yang sedang hebat menyerang aqidah-aqidah umat islam.

Juga, setelah difahami bahawa PAS adalah jemaah Islam, maka tidak selayaknya ahli-ahli PAS yang sudah bersama dengan PAS memberi wala’ kepada jemaah yang lain dari PAS, ini kerana, perbuatan tersebut menyanggahi “maqasid” atau kandungan maksud sabda Nabi SAW;


إذا بُويِعَ لِخَلِيفَتَيْنِ فَاقْتُلُوا الْآخَرَ مِنْهُمَا
“Apabila di Baiaah dua orang khalifah, maka hendaklah di bunuh salah satu daripada kedua-duanya[30]”

Kelemahan didalam sesuatu jemaah islam adalah perkara biasa, tetapi dengan kelemahan tersebut tidak bermakna mesti menubuhkan jemaah islam yang lain. Ini kerana, dengan tindakan sedemikian akan melahirkan kelemahan yang lain pula, yang dengan demikian usaha untuk mencapai matlamat tidak akan kesampaian.

Adalah tidak wajar bagi seorang doctor, apabila dia melihat klinik sahabatnya kekuarangan pakar, lalu dia menubuhkan klinik yang lain dengan harapan untuk melahirkan sebuah klinik yang sempurna. Dengan itu, kliniknya pula menghadapi kekuarangan pakar. Adalah baik baginya kalau dia menggabungkan dirinya dalam klinik yang sudah sedia ada. Kepakarannya dapat di gabungkan dengan kepakaran sahabatnya yang berada di klinik itu.

Mungkin ada dari kalangan mereka menyatakan bahawa, berbilang-bilang jemaah adalah sesuatu yang tidak menjadi kesalahan dengan bukti mereka yang merujuk kepada ulasan Dr Yusuf Al-Qaradhawi didalam bukunya “Fiqh Ad-Daulah”.

Bagi memastikan kebenaran dakwaan ini, perlu merujuk kepada tulisan Al-Qaradhawi sendiri. Setelah dibaca dari tulisan itu secara menyeluruh, didapati bahawa keizinan dari fakta Dr Yusuf Al-Qaradhawi itu adalah sekiranya semua jemaah berada dalam kefahaman dan saling kuat mengkuatkan. Hal ini boleh dirujuk didalam buku karangan Dr Yusuf Al-Qaradhawi sendiri, iaitu buku Fiqh daulah di halaman 253 (terjemahan)[31].

Jika di perhatikan di Malaysia, kewujudan jemaah yang lain tidaklah mengandungi maksud seperti yang dinyatakan oleh Dr Yusuf Al-Qaradhawi. Ini dibuktikan dengan kejadian penglibatan Dato’ Seri Anwar Ibrahim ke dalam UMNO pada tahun 1982, yang rata-rata ulama-ulama didalam ABIM dan JIM ketika itu, yang “memfatwakan” bahawa “harus masuk UMNO” sehinggakan mereka sendiri memperlekeh dengan gerak kerja yang telah dilakukan oleh PAS ketika itu.

Mudah-mudahan dengan tulisan yang terhasil dari kajian yang tidak seberapa ini memberi gambaran sebenar dalam memahami maksud “bahaya di sebalik taaddud jemaah”

Sekian
Wallahualam.

BIBLIOGRAFI

Badai’ As-Suluk Fi Tartib As-Sanai’ : ‘Alauddin Al-Kasani : Dar An-Nasyr : Bairut : 1982 : cetakan kedua

Pendita yang hilang : Mustafa Kamal Atarturk : Ahmadi Al-Aziz : Usnie Publisher : 1998 : cetakan pertama.

30 Pendekar dan pemikir Islam dari masa ke masa : Imam Munawwir : pt. Binailmu : 2006 : cetakan kedua.

Jihad dalam Politik & persoalan Negara Islam mengikut Pandangan Sa’id Hawa : Muhammad Pisol Mat isa : M Khari Enterprise : 2001 : cetakan pertama.

Abdullah Azzam : merintis khilafah yang hilang : Ibnu Ismail : Pustaka Syuhada : 2001 : cetakan kedua.

Sahih Muslim : Muslim bin Hajjaj Abu Al-Husain Al-Qusyairi An-Naisaburi : Dar Ihya’ At-Turath Al-‘Arabi : Bairut : tahqiq : Muhammad Fuad Abdul Baqi : tanpa Tarikh.

Perlembagaan Parti islam Semalaysia (PAS) Pindaan 1993

Syarh An-Nawawi ‘Ala Sahih Muslim : Abu Zakaria Yahya bin Syarf bin Mary An-Nawawi : Dar Ihya at-turath al-arabi : Bairut : 1392 H : cetakan kedua.

Al-Jami’ As-Sahih Al-Mukhtasar (sahih Al-Bukhari) : Muhammad bin Ismail Abu Abdillah Al-Bukhari Al-Ju’fi : Dar Ibni Kathir : Al-Yamamah : bairut : 1407 H : 1987 M : cetakan ketiga.

Fath Al-Bari Syarh Sahih Al-Bukhari : Ahmad bin Ali bin Hajr Abu Al-Fadhl al-‘Asqalani As-Syafii : Dar Al-Ma’rifah : Bairut : Tahqiq : Muhibbuddin : tanpa tarikh

Tradisi Pemerintahan Islam dan Kolonialisme dalam sejarah Alam Melayu : Auni Haji Abdullah : Darul Fikir Sdn Bhd : 2005 : cetakan pertama.

Tok Janggut : pejuang atau penderhaka? : Nik Anuar bin Nik Mahmud : Hazco Print : 2005 : cetakan pertama.

Al-Jami’ Li Ahkam Al-Quran : Abu Abdillah Muhammad bin Ahmad Al-Ansari Al-Qurtubi : Dar An-Nasyr : Kaherah : tanpa tarikh

15 sebab kenapa memilih PAS : Ustaz Idris bin Haji Ahmad : Angkatan Edaran Ent. Sdn. Bhd : tanpa tarikh.

Siapakah Tholiban? (terjemahan) : Fadhal Muhammad bin Nur Muhammad Yusuf Zaei : Pustaka Reka : 2001 : cetakan pertama.

Fiqh Ad-Daulah menurut perspektif Islam (terjemahan) : Dr Yusuf Al-Qaradhawi : Maktabah Al-Qardhawi, Selangor : 1998 : cetakan pertama.

 
 

Tinggalkan rumahmu di belakang


Duduk sahaja di rumah -setelah beruzlah di masjid- adalah lebih teruk lagi dan tidak langsung menggambarkan sifat seorang muslim. Sahabat-sahabat Rasulullah S.A.W. membantah keras orang yang bersembunyi di rumah sambil bersenda gurau dengan isterinya dan anak-anaknya, meninggalkan dakwah, amar makruf dan nahi mungkar. Mereka ini mengosongkan tempat mereka dalam barisan mujahidin yang sepatutnya dipenuhkan untuk menentang taghut.

Para perawi telah meriwayatkan kepada kita dari seorang sahabat Rasulullah S.A.W. yang telah dijamin masuk syurga, iaitu Talhah bin Ubaidillah al-Quraisyi r.a. Beliau telah berkata: “Cukup jadi keaiban pada seseorang bila dia duduk diam di rumahnya.”

Imam al-Ghazali, beliau berkata: “Ketahuilah, setiap orang yang hanya duduk di rumahnya, walau di mana pun dia berada sebenarnya telah melakukan kemungkaran. Bagaimana mereka boleh duduk saja-saja tanpa membimbing manusia, tidak mengajar mereka dan tidak membawa mereka kepada kebaikan. Walhal, di luar sana, sebahagian besar manusia masih jahil tentang syariat hinggakan syarat-syarat sembahyang."

Da’i Islam pada hari ini mesti menjadi pengembara di pelusuk kota, kampung, negeri untuk menyampaikan seruan Islam kepada manusia.Cubalah kamu saksikan, apakah jawapan baginda apabila seorang badwi bertanya tentang rukun Islam. Bila Rasulullah saw menjawab, orang badwi tersebut berkata: “Tidak aku tambah atau aku kurangkan sesuatupun darinya.” Orang badwi tersebut ketika memulakan soalannya berkata: “Hai Muhammad, utusanmu telah datang kepada kami dan telah menyatakan kepada kami bahawa kamu mengatakan bahawa kamu adalah utusan Allah?” (Sahih Muslim, ms 32)

Jelaslah bahawa utusan Rasulullah telah pergi menemui mereka sebagai da’i. Manusia perlu dilawati. Barangsiapa yang hanya menunggu orang ramai datang kepadanya, orang itu bukanlah da’i. Inilah dia bentuk dakwah yang ingin mencapai matlamatnya.

Ia perlu bergerak dan bermula, pagi mahupun petang, dengan perbualan dan perkataan yang benar. Sikap duduk dan mengharap tidak akan sampai ke mana. Jika tidak, mundar-mandirlah sahaja di tempat kamu, dan kamu tidak akan sampai ke mana-mana.

“Seorang lelaki dari hujung negeri datang dengan berlari-lari (bersegera) katanya:“Hai kaumku,
ikutlah utusan-utusan itu.” (Yasin 36:20)

Kata Ibnu Hubairah: “Aku perhatikan sebutan ‘dari hujung negeri’. Kedua-dua lelaki di dalam ayat tersebut datang dari jauh kerana ingin melaksanakan ‘amar makruf. Keduanya tidak duduk diam di rumah dengan alasan jauh perjalanan.”

Terfikirkah da’i pada hari ini untuk merasa susah dalam memikul tugas dakwah yang memerlukan pergerakan seharian yang jauh? Pernahkah dia terfikir bahawa kesusahan ini telah dilalui oleh salafussoleh dari kalangan da’i golongan awal-awal Islam? Sifat-sifat mereka dinukilkan di dalam al-Quran yang memaparkan siri pengembaraan dan perjalanan mereka ke tempat-tempat yang jauh hanya semata-mata untuk mengembangkan dakwah dan melaksanakan amar makruf nahi mungkar.


Perbincangan tentang kesan Facebook ("FB").
1. Kesan baik: Dapat sampaikan maklumat kpd kawan-kawan, dapat nasihati melalui mesej FB
2. Kesan buruk jangka panjang: Daie sudah merasa cukup untuk amar makruf nahi mungkar melalui status FB dan 'link' FB. Disebabkan rasa cukup ini, mereka menjadi lesu dalam medan dakwah yang sebenar, iaitu masyarakat sebenar (bukan komunikasi alam maya). Contoh: nak ajak mad'u ke program, sudah tidak lagi berlaku dengan menziarahi rumah mad'u dan bersama mad'u, Daie hari ini sudah merasa cukup dengan mengajak melalui tag-tag di FB.

 
 

Presiden Morsi dalam Dakapan Umat Sejagat


Penggulingan Presiden Mesir, Dr. Mohamed Morsi daripada kepemimpinannya oleh pihak tentera sememangnya adalah berita sedih bagi demokrasi Arab Spring. Ia menjadi bertambah pilu kepada kumpulan-kumpulan prihatin Palestin di negara ini kerana akan berhadapan dengan laluan sukar untuk masuk ke Gaza.

Penderitaan dialami rakyat Palestin di Gaza ekoran kepungan Rejim Zionis dengan bantuan sekutunya Rejim Mubarak seperti akan kembali berulang. Sudah tentu perjalanan akan datang melalui liku-liku sukar dengan sekatan, dan persoalannya bagaimanakah bantuan hendak disalurkan sekarang?

Kekuasaan di Mesir setelah penggulingan Morsi berada di tangan pihak junta tentera yang begitu komited mempertahankan kepentingan ekonomi golongan atasan dan mencapai matlamat geo-politik

imperialisme Amerika Syarikat (AS) dan Israel. Selepas penggulingan Morsi, tentera Mesir mengarahkan beberapa jentolak memulakan kerja-kerja pemusnahan merobohkan terowong yang menghubungkan laluan Mesir dan Genting Gaza. Seorang saksi berbangsa Arab berkata, jentolak itu kelihatan sejak beberapa hari lalu namun hanya memulakan kerja pemusnahan sejurus rampasan kuasa berlaku.

Terowong antara Mesir dan Gaza itu merupakan laluan utama kepada penduduk 1.8 juta penduduk Gaza sejak pengepungan Israel pada 2006. Morsi sejak awal kempen pencalonan presiden lagi menunjukkan sikapnya yang jelas terhadap isu Palestin, kesetiaannya yang tidak berbelah bagi bersama perjuangan rakyat Palestin di dalam menuntut hak permastautinan dan pembebasan Masjidil Aqsa.

Walaupun Morsi menggalas beban tanggungjawab berat memperbaiki sistem lama yang ditinggalkan puak rejim dan kerja memantapkan kedudukan sosio-ekonomi rakyatnya, namun bantuan dan sokongan kepada Gaza mula ditunjukkan melalui pembukaan sempadan Rafah dan bantuan lain.

Selepas Perjanjian Damai Mesir-lsrael 1979, Rafah dipisahkan oleh Koridor Philadelphia. Selepas Israel berundur, Koridor Philadelphia di bawah kawalan Pihak Berkuasa Palestin (PA) hingga 2007. Selepas Hamas berkuasa pada 2007, Mesir dan Israel menutup pintu sempadan dengan Gaza. Pada 2009, Mesir di zaman rejim Mubarak memulakan pembinaan halangan bawah tanah untuk menyekat terowong sedia ada dan menghasilkan laluan rahsia.

Selepas penyingkiran Morsi, berita tersebut disahut penuh kegembiraan oleh penunjuk perasaan anti-Morsi tanpa memikirkan nasib saudara seagama mereka di Palestin. Sejauh manakah mereka menyedari bahawa kuasa sekarang berada di tangan junta tentera dan bukannya di tampuk pemerintahan yang menang daripada proses pilihan raya.

Morsi yang menggerakkan usaha ke arah membebaskan Mesir daripada cengkaman AS nampaknya tidak disukai pihak tentera dan elit kewangan serta perbankan antarabangsa. Sejak menduduki kerusi pemerintahan, Morsi mengambil pendirian “bebas” daripada cengkaman Barat dengan mengutamakan kepentingan nasional Mesir.

Bersandarkan kepentingan nasional ini, ia telah membawa Morsi ke Tehran menyertai Sidang Kemuncak Negara Berkecuali (NAM) di mana beliau telah mengumumkan sokongan kepada rakyat Syria menentang rejim Bashar Al Assad. Beliau juga mencadangkan pembentukan “Syria Quartet” yang terdiri daripada Mesir, Iran, Turki dan Arab Saudi.

Bagaimanapun pihak Arab Saudi tidak pernah berminat dengan cadangan ini dan memboikot mesyuarat tersebut di Kaherah pada tahun lepas. Bahkan pihak Qatar juga tidak menyukai cadangan Morsi mengadakan mesyuarat melibatkan Tehran.

Jika ditinjau daripada struktur junta tentera sekarang pula majoritinya adalah gabungan menggerunkan kuasa-kuasa reaksioner, termasuk konco-konco bekas Presiden Hosni Mubarak, beberapa ahli politik Islam dan ahli politik liberal yang mempunyai hubungan rapat dengan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF). Tiada seorang pun daripada individu ini berlatar belakang kumpulan akar umbi atau punyai program sosial yang jelas.

Selepas mengambil alih kuasa dari Ikhwan Muslimin, stesen-stesen televisyen dan menahan Morsi, ketua junta tentera, Jeneral Abdul Fatah Khalil Al-Sisi menggariskan peta politik masa depan, termasuk menggantung perlembagaan dan pembentukan kerajaan “teknokratik nasional”. Istilah “teknokratik” dianggap kononnya sebagai membawa imej politik berkecuali iaitu tidak terlibat dalam sebarang kumpulan atau pihak berkepentingan politik.

Namun pada realitinya apa yang dinamakan teknokratik itu terbenam di dalam ruang-ruang reaksioner atau kumpulan anti-pembaharuan yang berhubung rapat dengan pihak-pihak kapitalis perbankan, kewangan dan perniagaan antarabangsa.

Jika kita meneliti selumat-lumatnya skenario kejatuhan Presiden Hosni Mubarak, sebenarnya sedari awal Angkatan Tentera Mesir diperhatikan sepenuhnya memegang inisiatif politik. Buktinya ketika Mubarak dipaksa berundur pada Februari 2011, Mubarak tidak menyerahkan tampuk kekuasaan kepada wakil presiden, Omar Suleiman, sebaliknya diserahkan kepada Dewan Jeneral Angkatan Bersenjata (The High Command of Armed Forces) yang ketika itu dipimpin oleh Jeneral Mohammed Hussein Tantawi sebagai Menteri Pertahanan dalam kabinet Mubarak.

Karakter kerajaan baru sudah dapat dibayangkan terdiri daripada mereka yang bersekongkol dan bersubahat dengan Mubarak. Ini termasuklah ahli politik pembangkang seperti pemimpin Barisan Penyelamat Nasional (National Salvation Front), Hazim al-Bablawi dan bekas Ketua Pegawai Tenaga Atom Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Mohamed El Baradei, pemimpin parti Salafi Al Nour, Mahamoud Badr dan gabungan pembangkang Arab atau Tamarod.

Setiap daripada tokoh ini dipilih bagi menggambarkan tanggapan, mereka mendapat sokongan meluas pelbagai lapisan masyarakat di Mesir. Penyokongnya termasuklah El Baradei sendiri, bekas anggota Ikhwan Abdel Moneim Aboul Fotouh, pergerakan belia 6 April dan kumpulan kiri, Revolusi Sosialis.

Realitinya penggulingan Morsi adalah berita sedih bagi demokrasi Arab Spring dan masa depan yang gelap kepada Mesir yang kembali ke zaman Firaun.

Sumber

 
 

33 Soalan PRU: Anda Bertanya, Tok Guru Menjawab (Bahagian 1)

1. Jika PR menang, DAP jadi PM?

 

2. PAS keldai DAP?

 

3. Isu Hudud di Kelantan dan Kedah

 

 4. Tolak UMNO tapi bersama DAP?

 

 5. Isu Tabung Memali

 

 6. Negara muflis jika PR menang?

 

 7. Isu sembahyang 2 masjid

 

 8. Isu kafirkan orang UMNO 1983

 

 9. Batalkan projek BN Terengganu?

 

 10. Peranan Tok Guru di Marang?

 

 11. Tol dalam pemberian tanah?

 

 
 

Kerjasama PAS dan DAP: Satu Penjelasan


Sejak kerjasama PAS dan DAP menjadi realiti, UMNO dan BN dilihat 'all out' menggunakan isu PAS alat DAP, PAS kuda tunggangan DAP, PAS boneka DAP, PAS menggadai prinsip perjuangan dan 1001 tohmahan dilemparkan kepada PAS dan disogok kepada rakyat khasnya orang-orang Melayu untuk menanam rasa benci dan curiga yang mendalam terhadap PAS.

UMNO dan BN melengkapkan adu dombanya untuk masyarakat Melayu menolak perjuangan PAS secara konsisten dengan "sepanduk" mereka bahawa "PAS berkawan dengan kafir DAP tetapi lawan Melayu UMNO". Secara sentimennya, sebahagian masyarakat melayu yang hanya terdedah kepada maklumat sebelah pihak akan terpengaruh dengan dakyah ini.

Saya tidak menafikan kemungkinan sebahagian pengundi menolak untuk memberi sokongan kepada PAS atas faktor ini, namun ia bukanlah faktor besar dan sebenar justeru unjuran undi sokong yang diperolehi oleh PAS tidak menunjukkan aras menjunam sebaliknya menurun dengan peratus yang kecil sementelah pula ia diukur nilai dalam saingan pilihanraya kecil.

Saya sangat optimis, kiranya PAS diberi laluan serta kemudahan untuk akses dengan media elektronik dan cetak arus perdana bagi menjelaskan segala kekeliruan yang tersimpul secara adil, PAS mampu memberi saingan sengit secara sihat kepada UMNO dan BN lalu memenangi pilihanraya secara gentleman. Malang demokrasi negara kita diurus secara pincang oleh UMNO dan BN selaku pemerintah, lalu memaksa kita bersaing tanpa peluang yang seimbang.

Menjawab persoalan kenapa PAS sedia berhubung, berkawan dan bekerjasama dengan DAP, saya mulakan dengan mengajak seluruh rakyat khasnya umat Islam untuk mengkaji kebijakan Baginda Rasul S.A.W bertindak melalui seerah perjuangan Baginda demi menyelamatkan ummah sekaligus menyalakan obor menerangi kegelapan jahiliyyah. Baginda Rasul telah bertindak sebagai Rahmatan Lil A'lamin (rahmat - naungan kasih buat seluruh alam).

Antara tindakan bestari Baginda Rasul S.A.W ialah Baginda telah mengadakan kerjasama sosial dan politik dengan golongan non-Muslim pada waktu itu untuk tujuan mempertahankan hak dan nenentang kezaliman :

Hilful Mutaiyyibin.

Nabi Muhammad S.A.W pernah menjelaskan mengenai Tahaaluf ini sebagaimana sabda Baginda yang bermaksud, "Aku telah menyaksikan berlakunya perjanjian (tahaaluf) al mutayyibin dan aku tidak ingin memungkirinya walaupun diberi kepada aku unta berwarna merah yang terbaik sekali." (diriwayatkan Imam Ahmad di dalam al Musnad Jil 1. hlmn 190-193)

Perjanjian atau kerjasama (tahaaluf) ini wujud apabila timbul persengketaan di kalangan kabilah dalam merebut kuasa pengawasan Kaabah, hak penyediaan makanan dan ketenteraan serta pengurusan air zam-zam. Lalu mereka berkumpul dan mengadakan perjanjian atau kerjasama (tahaaluf) untuk tidak merampas hak masing-masing.

Hilful Fudhul.

Urutan Perjanjian Mutayyibin, Perjanjian atau kerjasama "fudhul" dimateri untuk menghentikan kezaliman daripada berleluasa di Kota Makkah. Samada Kezaliman itu ke atas penduduk asal Makkah, juga kepada orang-orang asing yang berurusan di Kota Makkah. Mereka berkumpul di rumah Abdullah bin Jud'an lantaran beliau seorang yang sangat dihormati dan yang paling tua dikalangan mereka.

Sabda Rasulullah S.A.W maksudnya, "Aku telah menyaksikan di Rumah Abdullah bin Jud'an, adanya satu perjanjian atau kerjasama - fudhul - yang aku tidak akan membatalkannya sekalipun aku diberikan seekor Unta Merah. Dan sekiranya perjanjian atau kerjasama itu diajak semula pada masa Islam, maka aku akan menyetujuinya."

Diriwayatkan oleh Ibnu Ishak dari Muhammad bin Zaid bin Muhajir. Hadis ini bertaraf Mursal namun tidak terjejas kerana tadlis Ibn Ishaq. Ibnu Ishaq tidak melakukan kecurangan (tadlis) di sini melainkan beliau telah menyebutkan sanadnya.



Al Imam Suhaili menyebut bahawa Hilful Fudhul adalah sebaik-baik perjanjian atau kerjasama yang pernah di dengar dan perjanjian yang paling mulia dikalangan bangsa Arab. Ianya tercetus apabila berlaku penindasan yang dilakukan oleh al-Ashi bin Wai'l, seorang yang kaya raya dan ternama di Kota Makkah membeli barang dagang seorang badwi tetapi enggan membayarnya.

Mengenai kisah Hilful Fudhul ini, suka saya tarik perhatian semua kepada satu analogi :

Saya tinggal di kawasan taman perumahan. Suatu malam rumah saya diceroboh pencuri (waliyazubillah - sebagai contoh). Sejurus saya sedar, saya dapati wang saya hilang sebanyak RM 134.000. Pencurinya seorang perempuan tetapi lariannya ligat dan pantas, lalu saya berteriak, "Tolong! Tolong! Perempuan itu curi wang saya!" Tiba - tiba jiran - jiran saya yang terdiri orang India beragama Hindu namanya Balendran (sekadar contoh) dan juga orang Cina beragama Kristian namanya Vincent (sekadar contoh), malah ramai lagi jiran saya turut keluar mengejar pencuri tersebut sekalipun mereka terdiri dari pelbagai bangsa dan agama yang tidak serupa dengan saya.

Hasrat mereka mahu membantu saya untuk mengejar dan menangkap pencuri itu. Rupa-rupanya bulan lepas rumah mereka juga diceroboh oleh pencuri yang sama. Ada yang lesap RM 100.000 satu malam begitulah juga yang lain dengan jumlah yang tidak sedikit. Mereka sama-sama nekad mahu menangkap pencuri itu. Mereka berkumpul di hadapan rumah saya di Jalan Raja Laut (sekadar contoh), lalu mereka melafazkan ikrar untuk bekerjasama bagi mengejar dan menangkap pencuri tersebut demi memelihara keamanan dan kesejahteraan Taman perumahan kami.

Kendati pun saya seorang Muslim dan mereka yang menghulur tangan untuk bekerjasama menangkap pencuri licik itu pula terdiri kalangan non-Muslim, Islam membenarkan saya memateri perjanjian kerjasama untuk menangkap pencuri profesional itu. Bodohlah saya yang baru kehilangan RM 134.000 dek kerana pencuri perempuan itu, tiba-tiba saya menolak kerjasama yang dihulurkan oleh non-Muslim yang juga mahu menangkap pencuri yang sama, semata-mata kerana mereka bberbangsa Cina, India dan pula tidak Islam. Saya tidak akan belajar sampai ke Mesir untuk jadi sebodoh itu.

Kenapa UMNO dan BN marah sangat PAS bekerjasama dengan DAP? Bagaimana pula dengan UMNO sendiri yang berselimut TOTO dengan MCA dan MIC? Bukankah MCA itu juga Cina dan MIC itu India? Atau ada yang lebih Cina dari MCA dan terlebih India dari MIC ? Perangai UMNO ini tidak ubah sebagaimana kata pepatah arab yang diterjemahkan sebagai, "Dia pukul aku dia yang menangis, dia fitnah aku dia yang mengadu."

Begitu juga orang tua-tua pernah bisik pada saya, UMNO ini "Bagai paku dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih". Tetapi lain pula kata orang muda pada saya mengenai UMNO ini. Kata mereka, "Paku sana paku sini, serpihnya balik atas dia juga".

Siapa sebenarnya menjadi alat dan boneka? Bukankah UMNO menjadi alat dan binatang tunggangan dalam Barisan Nasional?

UMNO pernah menang besar dan memiliki majoriti kerusi berbanding parti Gerakan di Pulau Pinang satu ketika dahulu, tetapi malangnya UMNO menyerahkan kerusi Ketua Menteri kepada parti Gerakan. Bukankah UMNO menjadi alat dan boneka kepada pihak lain?

Tulisan: Ustaz Nasrudin Tantawi

 
 

Mengapa Kemenangan Tidak Tiba Lagi?


Sabda Rasulullah saw :

و من أبي عبد الله خباب بن الأرت رضى الله عنه قال شكونا إلى رسول الله صلى الله عليه وسلم وهو متوسد بردة له في ظل الكعبة فقلنا : ألا تستنصرلنا ؟ ألا تدعولنا ؟ فقال : قد كان من قبلكم يؤخذ الرجال فيحفر له في الأرض فيجعل فيها ثم يؤتى بالمنشار فيوضع على رأسه فيجعل نصفين و يمشط بأمشاط الحديد ما دون لحمه و عظمه ما يصده ذلك عن دينه و الله ليتمن الله هذا الأمر حتى يسير الراكب من صنعاء إلى حضر موت لا يخاف إلا الله و الذئب على غنمه و لكنكم تستعجلون

Maksudnya: Dari Abi Abdullah Khabbab bin al Arat Rha. telah berkata : Kami telah mengadu kepada Rasulullah saw sedang Rasulullah saw pada waktu berbaring di bawah naungan Kaabah berbantalkan serban. Maka kami bertanya: Apakah Tuan tidak berdoa memohon kemenangan bagi pihak kita? Adakah tidak Tuan berdoa bagi pihak kita?

Maka berkata Rasulullah SAW: Sesungguhnya orang - orang sebelum kamu, ditangkap seorang lelaki lantas digali lubang lalu ia ditanam di dalamnya, kemudian dibawa datang gergaji lalu digergaji kepalanya sehingga terbelah dua dan disikat badannya dengan sikat besi sehingga meluruhkan daging dan tulangnya, namun demikian itu tidak memalingkan ia dari agamanya.

Demi Allah. Nescaya Allah menyempurnakan urusan ini ( agama Islam ) sehinggalah musafir dari Sana'a ke Hadhra Maut tidak lagi takut melainkan hanya kepada Allah , akan tetapi kamu adalah golongan yang gopoh.
(Riwayat Imam Bukhari)

Keghairahan untuk meraih kemenangan perlu ditenangkan seraya kita merujuk kepada manhaj perjuangan Nabi kita Muhammad SAW bagaimana baginda SAW membina kemenangan.

Hadis yang saya bawa sebagai renungan kita pagi ini memaparkan bagaimana sikap Nabi saw di saat berhadapan dengan keadaan yang sangat kritikal, apabila para sahabat rhm. sering diseksa dengan dahsyat oleh kuffar musyrikin.

Antara mereka ialah Khabbab al Arat yang disalai oleh musyrikin di atas bara api dan dikelar jasadnya dengan besi panas sehingga masak dan luluh daging jasadnya. Kesan penyiksaan tersebut meninggalkan parut yang sangat hodoh pada diri Khabbab. Satu ketika Khabbab rha inilah yang pergi bertemu Nabi SAW yang sedang beristerehat di tepi Kaabah lantas bertanya: Apakah Tuan tidak berdoa kepada Allah agar kita menang?

Sahabat sekalian:

Yang bertanya ialah insan yang berjuang malah menghadapi penyiksaan dahsyat oleh musuh dengan begitu tabah sekali. Yang bertanya ialah sahabat yang sanggup mempertaruhkan nyawa untuk pertahankan prinsip dan pegangan agama. Insan yang bertanya ialah sahabat yang telah mewaqafkan dirinya untuk Islam dan perjuangan suci ini, tiba - tiba..

Nabi SAW menjawab bahawa orang terdahulu lebih teruk menerima penyiksaan dari musuh-musuh Allah SWT sehingga ada yang digergaji kepalanya sehingga terbelah dua dan jasadnya disikat dengan sikat besi sehingga bercerai daging dari tulangnya namun mereka tetap mempertahankan agamanya.

Maka kamu yang datang meminta-minta agar di doakan kemenangan, biarpun kamu sangat perit berhadapan dengan kezaliman musuh, kamu adalah golongan yang gopoh dan tidak sabar menanti kemenangan yang dijanjikan Allah SWT .

Sifat Kemenangan

Kemenangan adalah suatu yang dianugerah oleh Allah. Ianya ( kemenangan ) tidak boleh dicipta oleh kita dengan maksud tiada kemenangan buatan kita selain ia anugerah Allah dan tiada shortcut untuk mencapai kemenangan. Demikianlah sunnatullah terhadap kemenangan atau nusrah yang dijanjikan buat mereka.

Pengertian lain yang senada dengan maksud perbahasan ini ialah betapa tidak sekali-kali tidak kita memetik buah yang belum masak.


Sebagai analogi yang boleh saya bentangkan sebagai renungan kita bersama ialah bagaimana situasi seekor anak ayam yang masih berada di dalam cengkeram telur sebelum ia dilahirkan ke bumi yang ganas ini .

Anak ayam di dalam cengkerang telur tersebut , mahu tidak mahu ia terpaksa menunggu satu tempoh matang ia menetas dan akhirnya hidup untuk membesar seperti ayam yang lain. Andai kata anak ayam ini tidak sabar untuk menetas demi melihat alam yang indah ini lalu ia cuba untuk memecahkan cengkerang telur dari dalam dengan paruhnya yang masih muda, nescaya usahanya itu gagal dan sia-sia.

Sikap tidak sabar ibunya juga boleh membawa padah kiranya tidak sabar ingin melihat anak kesayangannya lahir atau menetas lalu ia memecahkan cengkerang telur itu dengan paruhnya yang kuat, maka keluarlah anaknya tetapi tidak mampu bertahan lama kerana belum masanya yang matang bagi ia hidup. Anak ayam itu akan mati binasa angkara sikap gopoh ibunya.

Syarat Kemenangan

Saya kira demikianlah perihal perjuangan yang kita dokong ini. Walaupun kita ini bukanlah anak ayam yang masih lemah tetapi kita mesti sabar menanti detik kemenangan yang bakal di anugerahkan oleh Allah swt setelah kita berjaya mendatangkan syarat-syarat kemenangan dengan baik dan berkesan.

Kita mesti mengambil sunnatullah dalam perjuangan suci ini dengan kita gigih berjuang, ikhtiar melepasi segala cabaran, ikhlas dan istiqamah dalam mengenderai perjuangan, tabah mendepani ujian serta halangan dan berkorban apa jua sebagai taruhan buat perjuangan mulia ini.

Jangan sekali-kali kita menerobos keluar dari landasan sunnatullah ini kerana tidak sabar hendak menang dengan hanya kita melihat riak-riak kemenangan yang tidak pasti tetapi sarat dengan janji-janji manis kemenangan kononnya.

Saya sudah menjangkakan, jika kita berfikir demikian pasti ada orang kata inilah golongan yang masih berminda pembangkang bukan minda pemerintah.

Kita bukan tidak mahu kemenangan , tetapi kita mestilah melihat kepada beberapa persoalan bersama jawapannya terlebih dahulu .

Pertama : Untuk apa kemenangan itu mahu dicapai? apakah ia bermaksud memberi kemenangan kepada Islam?

Kedua : Bersediakah kita dengan kemenangan? apakah kemenangan itu kelak tidak menjadi fitnah kepada kita dan perjuangan yang didokong ini?

Ketiga : Bagaimana kemenangan itu dicapai? apakah ia tidak melanggar batas syara' dan prinsip amal islami? kerana sudah tentu kaedah Islam ialah Matlamat tidak menghalakan cara.

Semua persoalan diatas mesti dijawab dengan hati yang jujur, jiwa yang tulus dan aqal yang ikhlas mengenai bagaimana situasi kita terhadap kemenangan yang ingin dicapai.

Ulama' seperti Tukang Tolak Kereta Buruk

Kita pasti sahaja tidak mahu mengulangi sejarah pejuang-pejuang Islam dan para Ulama' al mujahidin sewaktu mereka menentang penjajah dan menuntut kemerdekaan negara. Setelah mereka berjuang mempertaruhkan tenaga, darah dan nyawa mereka akhirnya apabila negara tersebut mencapai kemerdekaan, golongan sekular yang mengambil alih pemerintahan negara.


Inilah yang berlaku ke atas ulama' pejuang kita di Indonesia. Tengku Daud Baerueh pernah berulang kali ( 3 kali ) bertanya kepada Sukarno, Untuk apa kita menentang Belanda? soalan ini ditimbulkan setelah Sukarno berhempas pulas memujuk Tengku Daud Baerueh membantunya menentang penjajahan Belanda setelah menyedari Tengku mampu menggerakkan ummat Islam amnya dan pemimpin-pemimpin mereka khasnya.

Sukarno juga berulang kali menjawa bahawa kita mahu merdekakan negara kemudian didirikan syariat Islam di atas tanah tinggalan penjajah. Berpuas hati dengan jawapan tersebut, Tengku telah mengerahkan seluruh anak-anak muridnya serta guru-guru pasentren untuk bangkit menentang Belanda.

Akhirnya apabila Indonesia mencapai kemerdekaan, bukan sahaja Tengku diketepikan dan dipenjara malah Sukarno tidak melaksanakan Islam di Indonesia sebagaimana yang dijanjikan. Tengku dipenjara sehingga ia hanya dibebaskan di akhir pemerintahan Suharto.


Negara kita juga menyaksikan sejarah yang sama. Setelah nyawa ditaruhkan oleh Tuan Guru Hj. Hassan bin Munas, Ustaz Abu Bakar al Baqir dan Tuan Guru Hj. Abdul Rahman bin Limbung untuk menentang Inggeris, akhirnya negara merdeka menyaksikan golongan sekular yang mengambil alih pemerintahan negara.

Ulama' hanya menjadi golongan yang diajak untuk menolak kereta buruk. Apabila kereta telah hidup , ia terus meluncur laju ke hadapan tanpa sempat mengucapkan terima kasih pun sebaliknya yang ditinggalkan ialah asap hitam berkepul dari ekzos kereta buruk tersebut.

Tiada Short Cut dalam Mencapai Kemenangan

Short cut bagi mengusahakan kemenangan buat perjuangan kita yang murni ini , ia mungkin boleh tercapai tetapi ia hanyalah sebuah kemenangan yang rapuh dan fragile.

Short cut hanya laluan yang sering digunakan oleh golongan musta'jilun ( gopoh ) yang mungkin berjuangnya tidaklah setara mana tetapi angin nak menang kelihatan berganda-ganda volumenya.


Pengalaman ditangkap, dipenjara, dimaki hamun, di ISA dan pelbagai penyiksaan tentu sahaja belum menyamai siksaan yang dialami oleh Khabbab al Arat yang telah dikelar jasadnya dengan besi panas. Bayangkanlah, betapa insan pejuang seperti Khabbab al Arat itu masih disifatkan oleh Nabi saw sebagai gopoh, maka apalah halnya kita hari ini yang masih tidak setahap mana pengorbanan untuk Islam.

Bukan bermakna kita tidak mahu menang dan selesa pula menjadi orang yang kalah, tetapi kita doakan agar kemenangan yang kita capai tidak menjadi fitnah kepada diri dan perjuangan Islam ini. Apa yang lebih jelas ialah kita berjuang dan berkorban sehabis daya dan upaya guna memastikan Islam berdaulat di atas tanahair kita dengan mengambil sunnatullah dalam perjuangan ini.

Antara sunnatullah dalam perjuangan ini:

Firman Allah swt:

لو كان عرضا قريبا و سفرا قاصدا لتبعوك و لكن بعدت عليهم الشقة
Jika sekiranya ( perjuangan ) ini suatu capaian hasil yang dekat dan perjalanan yang singkat nescaya mereka ( musyrikin ) akan mengikut engkau , akan tetapi ( perjuangan ) ini jauh perjalanannya dan dirasakan sukar ke atas mereka .

demikian juga Firman Allah swt :

و اذ يمكر بك الذين كفروا ليثبتوك أو يقتلوك أو يخرجوك و يمكرون و يمكر الله و الله خير الماكرين
dan ingatlah ketika orang - orang kafir merancang untuk memenjarakan kamu , membunuh kamu dan menghalau kamu keluar daerah , mereka merancang dan Allah swt juga merancang dan Allah swt sebaik - baik perancang .
(Surah al Anfaal: 30)

Jauh perjalanan, sukar halangannya, dipenjara, dibunuh dan dihalau adalah 5 item sunnatullah yang mesti ditempuh melengkap manhaj perjuangan ini.

 
 

Hudud: Tuntutan Politik atau Tuntutan Akidah?

 
 

PAS, Islam dan Demokrasi


PAS merupakan sebuah parti yang memperjuangkan Islam menjadi amalan dan teras kepada masyarakat di Malaysia. Menjadikan Islam sebagai teras perjuangan bermakna menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai rujukan utama dalam merancang perjalanan dan menentukan tindakan yang ingin diambil. Ulama pula menjadi teraju utama perjuangan PAS kerana merekalah yang lebih hampir kepada Al-Quran dan As-Sunnah, dan merekalah yang selayaknya memimpin sebuah gerakan Islam.

Islam adalah panduan, Islam juga adalah matlamat dan cita-cita perjuangan PAS. Sepertimana yang disebut oleh Saidina Omar R.A:

“Kita adalah kaum dimuliakan oleh Allah dengan Islam. Sekiranya kita mencari kemuliaan selain daripada Islam, Allah akan menghinakan kita.”


Islam tidak memerlukan teras tambahan kerana kesempurnaan kandungan yang ada pada Islam. Dibimbangi, tokok tambah yang dibuat, diambil pula daripada sumber yang tidak Islamik, menjejaskan hala tuju perjuangan Islam itu sendiri. Firman Allah Taala di dalam Al-Quran:

“Pada hari ini Aku (Allah) telah sempurnakan bagi kamu Agama (Deen = cara hidup) kamu, dan Aku cukupkan ke atas kamu nikmat-nikmatKu, dan Aku redha Islam menjadi Agama (Deen = cara hidup) bagi kamu.” (Surah Al-Maidah, 5 : 3)

Menjadikan Islam sebagai teras juga membawa makna matlamat utama perjuangan ialah mencari keredhaan Allah. Berjuang bukan kerana jawatan dan kedudukan, sebaliknya berjuang sehingga sanggup berkorban harta dan nyawa semata-mata untuk mencari keredhaan Allah dan meninggikan kalimah Allah yang Maha Tinggi. Misi Islam ialah beramal kerana Allah, Dialah yang lebih layak menjadi tempat rujukan dan menjadi pemutus dalam setiap tindakan hamba-hambaNya.

Dahulu, Tanah Melayu pernah menjadikan Islam dan segala undang-undang yang terdapat di dalamnya sebagai perlembagaan dan sumber rujukan utama. Namun, pencerobohan dan penjajahan oleh imperialis barat telah mengganggu-gugat kedudukan Islam sehinggalah pada hari ini, rakyat Malaysia sendiri lupa akan asal-usul juga sejarah yang pernah dilakarkan oleh ulama silam. Imperialis Barat bukan sahaja datang membawa misi untuk menjajah Tanah Melayu, bahkan mereka membawa doktrin dan ideologi yang memisahkan masyarakat, khususnya pentadbiran di Tanah Melayu ini daripada Islam.

Konsep demokrasi yang diperkenalkan juga merupakan antara doktrin yang berjaya mereka terapkan di dalam amalan pentadbiran Kerajaan Malaysia. Sungguhpun begitu, PAS menggunakan ruang yang ada untuk terus memastikan agenda Islam dapat diperjuangkan dalam suasana demokrasi. Malah bersama-sama dengan Pakatan Rakyat memastikan keadilan dan demokrasi dapat ditegakkan kembali di Malaysia. Ini kerana, demokrasi selagi tidak melampaui batas, adalah diterima dan boleh menjadi platform yang baik untuk memperjuangkan Islam. Hasilnya, Kerajaan Negeri Kelantan terus aman dan berkembang dan dipimpin dengan Islam menjadi teras utama kerajaan.


Demokrasi pula merujuk kepada kuasa rakyat dan penyertaan ramai dalam membuat sesuatu keputusan. Konsep majoriti merupakan asas kepada demokrasi. Dalam konteks negara demokrasi, parti yang mendapat lebih banyak undi akan terpilih sebagai parti pemerintah. Semua parti politik yang menyertai pilihanraya di Malaysia, menerima hakikat ini. Sekalipun proses demokrasi di Malaysia tidak begitu menjamin hak semua rakyat, khususnya parti politik, kita perlu bersetuju bahawa proses demokrasi ini adalah proses terbaik untuk memastikan keharmonian politik dan sosial di Malaysia.

Begitupun, Islam tidak boleh disamaertikan dengan proses Demokrasi. Kebenaran Islam tidak bergantung kepada ramainya penyokong. Apalagi hukum-hakam dalam Islam, bukanlah subjek yang boleh dipertimbangkan melalui suara majoriti. Namun, situasi dalam negara demokrasi memerlukan sokongan ramai untuk memastikan Islam berjaya ditegakkan. Maka menjadi tanggungjawab semua umat Islam di Malaysia tidak kira dari parti Umno Barisan Nasional, lebih-lebih lagi dari parti PAS untuk memperjuangkan Islam melalui lunas-lunas demokrasi.

Islam merupakan agama Allah. Ia disampaikan oleh para Nabi dan Rasul, melalui proses yang pelbagai. Namun, ia bukanlah suatu yang boleh dipertimbangkan untuk diterima atau ditolak, sebaliknya menjadi tanggungjawab setiap individu muslim untuk melaksanakan Islam dalam kehidupan.

PAS sebagai sebuah parti politik mengambil bahagian dalam pilihanraya, sebagai tanda penerimaan dan persetujuan bahawa Malaysia sebuah negara yang demokratik. PAS juga berkeyakinan penuh bahawa melalui jalan demokrasi ini, PAS mampu mencapai matlamatnya memaknakan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara. Walaupun bersetuju untuk menyertai proses demokrasi, tetapi PAS perlu kekal sebagai parti Islam yang tulen. Menggabungkan diri dalam perjuangan Islam sahaja sudah cukup indah dan sempurna tanpa menyamakannya dengan mana-mana bentuk ideologi dan pemikiran.


PAS sebagai sebuah parti politik tidak pernah menjadikan Islam sebagai bahan dagangan politik untuk mendapatkan kuasa, apa lagi menjadikan Islam sebagai mangsa demokrasi sehingga isi kandungannya boleh dipisah-pisahkan sesuka hati. Sebaliknya, PAS komited menjadikan Islam sebagai teras perjuangan dan menjadikan Malaysia ini Negara yang berkebajikan adalah selaras dengan misi ini.

Bahkan Allah Taala melantik seluruh umat manusia, tidak terkecuali walau seorangpun, sebagai khalifah yang menjadi wakil pemerintahan di muka bumi. Bermakna, manusia seluruhnya memikul tanggungjawab untuk memakmurkan dan memelihara dunia ini dengan penuh keharmonian dan keadilan.

Muhammad Ismi Mat Taib
Penolong Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat
SUMBER

 
 

Taadud Jamaah - Jamaah Umum dan Khusus


2.1.Ulama yang berpendapat bahawa taadud jamaah (adalah) harus dengan beberapa syarat (sebenarnya) bagi meraikan suasana dan kenyataan (baca: realiti) taadud yang telah berlaku di negara-negara umat Islam. Sebagaimana yang disebut oleh Dr. Yusof Al-Qardawi :”Taadud jamaah ialah suatu fenomena yang difardhukan. Lenyapnya kefardhuan yang besar daripada kefardhuan Islam yang mewajibkan kewujudan fenomena ini. [Kefardhuan besar yang telah lenyap mungkin bermaksud kefardhuan pelaksanaan syariat Islam di peringkat kenegaraan dan pentadbiran]


Apabila kita kembali ke zaman yang pertama Islam iaitu zaman kenabian yang suci dan zaman Khalifah Rasyidiin yang menghimpunkan seluruh Muslimin. Kita tidak mendapati melainkan satu jamaah sahaja di bawah kepimpinan yang satu iaitu jamaah muslimin di bawah kepimpinan yang satu bagi Rasulullah S.A.W. dan kepimpinan Khalifah Rasyidah yang satu sehingga lenyapnya Khilafah Rasyidah yang dibai’ahkan dengan bai’ah syara’ daripada muslimin muka bumi ini. Maka ulama’, dua’t, muslihiin, lagi mukhlisin bangkit dengan dakwah untuk beramal kerana Islam. Oleh kerana itu, lahirnya jamaah yang berbilang-bilang……”(22)

Sudah tentu jamaah-jamaah yang wujud tidak sanggup untuk membubarkan jamaah mereka . Walaupun demikian, syarat-syarat yang dikemukakan perlu difahami dengan sejelasnya agar tidak dipergunakan untuk beralasan bagi mewujudkan jamaah yang baru. Mafhum daripada kenyataan-kenyataan ulama yang membenarkan taadud bersyarat, taadud jamaah tidak sewajarnya berlaku apabila syarat-syarat yang digariskan tidak terlaksana.

Syarat-syarat penting untuk membenarkan taadud ;

2.1.1. Syarat Pertama;
Taadud Takhasus dan berjenis (تعددتنوع وتخصص ) dan bukan taadud pertentangan dan perlawanan (تعدد تضادوتناقض).

Di dalam memahami syarat ini, kita perlu meneliti pada dua sudut :

Sudut Pertama ;

ini telah digunakan oleh Ibnu Taimiyyah di dalam kitabnya اقتضاد الصراط المستقيم.

اختلاف التنوع وهو على وجوه منه ما يكون كل واحد من القولين او الفعلين حقا مشروعا
.
“iaitu perselisihan tanawu’ ialah perselisihan di atas beberapa sudut yang setiap daripada dua pendapat atau perbuatan itu berada di atas hak syara’ (kehendak syara’).” [23]

واما اختلاف التضاد فهو القولان المتنافيان اما فى الاصول واما فى الفروع عند الجمهور
.
“Iaitu perselisihan bertentangan (tudhod) ialah dua pendapat yang bertentangan samada pada usul atau pada cabang di sisi jumhur ulama.”

Lafaz ini digunakan pada (istilah) kekhilafan fekah dan usul. Penggunaan lafaz ini didalam amal Islami perlu diperjelaskan dengan teliti bagi menyelamatkan daripada kecelaruan tindakan dan perlaksanaan amal jamai. Ahli lughah menyebut bahawa تنوع صار انواعا iaitu menjadi berjenis-jenis. (نوع ) ialah setiap juzu’  daripada sesuatu dan setiap bahagian daripada setiap sesuatu.(24) Dan ia lebih khusus daripada lafaz (الجنس) yang merupakan asal . (الجنس) pada istilah ahli mantiq ialah apa yang menunjukkan ke atas umum daripada perkara yang berlainan daripada jenis-jenisnya.(25)

الجنس – طبقة فى التصنيف فوق النوع مباشرة فى عمومتها

ialah satu peringkat daripada pembahagian yang berada di atas jenis (النوع) secara langsung pada sudut umumnya.(26)

Al-Ustaz Fathi Yakan ditanya maksud taadud takhasus atau (تعدد تنوع) . Beliau menjawab bahawa

(تحافظ على الخصوصيات دون ارغام الا اذا ارادت المجموعة ان تنتقل من واقع الى واقع ).
“setiap kumpulan (jamaah) memelihara urusan-urusan khusus baginya tanpa menghina atau mengeji golongan lain melainkan apabila satu kumpulan (jamaah) itu mahu berpindah daripada satu kedudukan kepada kedudukan lain.”(27) Taadud takhasus pada jamaah ialah berbilang-bilang jamaah kerana perbezaan penekanan pada perkara tertentu atau lapisan masyarakat tertentu. Seperti satu jamaah hanya khusus pada aspek politik, satu jamaah yang khusus pada aspek tarbiyyah atau satu jamaah yang khusus pada peringkat pelajar atau sebagainya.

Taadud takhasus (khas) harus berlaku apabila tiadanya jamaah umum. Apabila jamaah umum telah wujud, maka akan berlakunya pertembungan dan pertentangan pada matlamat-matlamat, manhaj dan sebagainya di antara jamaah umum dan jamaah takhasus, bila ketiadaan wala’ dan kerjasama. Pertentangan ini akan menyebabkan terabainya pengamalan arahan Allah dan tidak menepati syarat-syarat yang digariskan oleh ulama yang mengharuskan taadud.

Sudut Kedua;

Ciri-ciri jamaah umum dan jamaah takhasus perlu dibezakan dengan jelas agar setiap pecinta perjuangan Islam dapat memilih jamaah yang sebenar untuk diintima’kan.

Ciri-ciri jamaah umum (28) :

i. Bercirikan hizbullah yang disebut di dalam al-Quraan.(29)

Firman Allah Taala :
ياايها الذين ءامنوا من يرتد منكم عن دينه فسوف يأتى الله بقوم يحبهم ويحبونه أذلة على المؤمنين أعزة على الكافرين يجاهدون فى سبيل الله ولا يخافون لومة لائم ذلك فضل الله يؤتيه من يشاء والله واسع عليم . انما وليكم الله ورسوله والذين ءامنوا الذين يقيمون الصلاة ويؤتون الزكاة وهم راكعون . ومن يتول الله ورسوله والذين ءامنوا فان حزب الله هم الغالبون.
Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman ! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari ugamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan dia, mereka pula bersifat lemah-lembut tehadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut dengan celaan orang yang mencela. Yang demikian itu, adalah limpahan kurnia Allah yang diberikan kepada sesiapa yang dia kehendakinya, kerana Allah Maha kuasa limpah kurnianya lagi Maha meliputi pengetahuannya. Sesungguhnya Penolong kamu hanya Allah dan Rasulnya dan orang-orang yang beriman yang mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat sedang mereka ruku’ (tunduk menjunjung perintah Allah. Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan Rasulnya serta orang-orang yang beriman itu penolongnya (maka berjayalah dia) kerana sesungguhnya golongan (yang berpegang kepada ugama Allah) itulah yang tetap menang.”
(surah al-Maidah : 54-56)

Firman Allah Taala ;
لا تجد قوما يؤمنون بالله واليوم الاخر يوادون من حاد الله ورسوله ولو كان ءاباءهم او اخوانهم او عشيرتهم أولئك كتب فى قلوبهم الايمان وايدهم بروح منه ويدخلهم جنت تجرى من تحتها الانهار خلدين فيها رضي الله عنهم ورضوا عنه أولئك حزب الله الا ان حزب الله هم المفلحون.
Maksudnya : ” Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tegamak berkasih sayang dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan Rasulnya, sekalipun orang-orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka atau saudara-saudara mereka atau keluarga mereka. Mereka yang setia itu Allah telah menetapkan iman di dalam hati mereka dan telah menguatkan mereka dengan semangat pertolongan daripadanya dan dia akan memasukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka tetap di dalamnya. Allah redha akan mereka dan mereka redha akan pemberian ni’matnya. Merekalah penyokong-penyokong ugama Allah. Ketahuilah sesungguhnya penyokong-penyokong ugama Allah itu ialah mereka yang berjaya.”
(surah al-Mujadalah : 22)


i. Ciri-ciri harakah Islamiyyah pada sudut mabda’ (prinsip).(30)
a) Rabaniyyah
b) Kesejatian.(ذاتية)
c) Terkehadapan (تقدمية)
d) Syumul.
e) Jauh daripada kedudukan-kedudukan khilaf fekah.

Jamaah umum ialah hizbullah yang disebut oleh al-Ustaz Said Hawa; (حزب الله على الكمال والتمام) “Hizbullah yang berada di atas kesempurnaan.” Iaitu apabila peribadi-peribadi yang membentuk teori yang sempurna pada sudut thaqafah, tarbiyyah, tanzim, harakah dan perancangan.(31) Hizbullah hanya satu sahaja tidak berbilang. Penubuhan jamaah takhasus yang tiada memberi wala’ dan ikatan kepada jamaah umum akan menyebabkan perpecahan dan pertentangan pada belbagai aspek. Sebagai contoh, jamaah umum telah menggariskan manhaj dan uslub tarbiyyah, tetapi diwaktu yang sama jamaah takhasus tarbiyyah akan menyusun manhaj dan uslub tabiyyah yang tersendiri dan terpisah yang akan mencetuskan pertembungan dan pertentangan. Ringkasnya, jamaah takhasus diharuskan wujud selama mana jamaah umum tiada supaya tidak berlaku pertentangan dan perpecahan.

2.1.2. Syarat Kedua :
Tolong-Menolong dan Bantu-Membantu di Atas Perkara yang disepakatkan.
Perkara-perkara yang disepakatkan kewajipannya oleh para ulama.

a) Memusnahkan jahiliyyah dan ideologi sesat.
Firman Allah Taala ;
أفحكم الجاهلية يبغون ومن أحسن من الله حكما لقوم يوقنون
Maksudnya : ” Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hakam jahiliyyah ? Padahal tiada sesiapa pun yang boleh membuat hukum yang lebih baik daripada Allah bagi kaum yang yakin.”
(surah al-Maidah : 50)

Di antara ideologi sesat ialah sekularisme yang dipertahankan oleh kebanyakan parti-parti memerintah. Dr. Yusof Al-Qardawi telah menyebut : “Tetapi dimaklumi bahawa sekularisme telah menjadi istilah tertentu dan terbatas yang bererti pemisahan agama (ad-din) daripada negara, mencabut ad-din daripada kehidupan dan al-Quraan daripada kekuasaan. Ini adalah perkara yang ditolak kerana negara yang tiada Islam tidak akan diterima oleh Muslim. Ad-din yang tiada negara tidak dikenali oleh Islam. Ia (Islam) berhajat kepada pemerintahan untuk melaksanakan pengajaran-pengajaran Islam dan menegakkan hududnya….“.(32) Di Malaysia, penilaian pada sudut keilmuan dan waqi’ membuktikan Barisan Nasional/UMNO bukan parti atau jamaah Islam bahkan parti sekularisme dan nasionalisme yang sesat dan jauh daripada kebenaran Islam. Penentuan ini sewajibnya menjadi salah satu perkara yang perlu disepakatkan oleh jamaah Islam di Malaysia dan seluruh dunia.

b) Amar ma’ruf dan nahi mungkar.

Di samping kemungkaran perjualan arak, perjudian, mu’amalat riba, gejala murtad, merampas harta rakyat dan sebagainya, ialah kemungkaran terbesar iaitu kesyirikan kepada Allah pada sudut perundangan dan kehakiman. Firman Allah ;
ان الشرك لظلم عظيم
Maksudnya : “Sesungguhnya kesyikiran itu adalah kezaliman yang paling besar.”

Kemungkaran kezaliman ini perlu dibasmi oleh jamaah Islam kerana membimbangi amaran Rasulullah dengan sabdanya ;
اذا رأيت أمتى تهاب ان تقول للظالم يا ظالم فقد تودع منهم
Maksudnya : Apabila engkau melihat umatku takut untuk berkata kepada orang zalim, Wahai orang yang zalim !, Maka diucapkan selamat tinggal daripada mereka .”
(riwayat Imam Ahmad bin Hanbal)

c) Tegakkan negara Islam dan laksana Syariat Islam.

Banyak dalil-dalil al-Quraan, hadis, tabiat Islam dan pandangan-pandangan ulama yang menyatakan kewajipan mewujudkan negara Islam yang melaksanakan syariat Islam yang menyeluruh di atas dasar hidayah. Kewajipan ini tidak boleh dipertikaikan oleh muslim mukhlis, bahkan ia menjadi perkara yang diketahui daripada agama dengan daruri (ma’lum minaddin biddhoruri). Dr. Yusof Al-Qardawi menyebut : ”Bagi pandangan saya, sesungguhnya wajib ke atas ahli agama Islam tidak membiarkan perkara-perkara politik kepada sekularis-sekularis, golongan komunis dan lain-lain yang membenci Islam atau jahil tentang Islam atau tidak memandang penting terhadap urusan muslimin. Sebenarnya, bahawa perkara politik daripada perkara penting. Di mana tidak sewajarnya ditinggalkan kepada mereka. Sedang di tangan mereka pedoman krisis pendidikan, media, thaqafah, perundangan dan seluruh aspek kehidupan yang meletakkan kefahaman-kefahaman, perasaan-perasaan, taklid-taklid dan sistem-sistem mereka (yang sesat itu).”(33)

d) Bersatu menghadapi kesatuan-kesatuan musuh Islam peringkat negara dan dunia.
Gerakan zionis, freemason, kristianisasi, gerakan (pelampau) hindu dan berbagai-bagai pertubuhan dunia yang mengancam umat Islam. Musuh Islam tempatan iaitu Barisan Nasional dan DAP pastinya tidak membenarkan pemerintahan Islam dan cita-cita PAS tercapai. [Catatan: penulisan ini berdasarkan realiti dan situasi tahun 1990an, yang banyak sudah berubah di Malaysia pada hari ini. Pendekatan semasa amat berbeza dengan kenyataan yang dibuat ini, namun kami beramanah memaparkan teks asal]

e) Berjihad untuk meninggikan kalimah Allah.
Jihad yang paling afdhal ialah
افضل الجهاد كلمة حق عند سلطان جائر
Maksudnya :’Sebaik-baik jihad ialah ucapan yang banar di sisi pemerintah yang zalim.”

Ini diantara perkara yang disepakatkan oleh para ulama dan semestinya disepakatkan oleh jamaah-jamaah Islam. Kesepakatan ini tidak cukup dengan ungkapan persetujuan bersama tanpa bantuan dan pertolongan di antara satu sama lain. Oleh itu, Dr. Yusof Al-Qardawi telah menyebut; “Dari sini, adalah wajib ke atas setiap pendakwah Islam yang sedar untuk mengambil peringatan bagi memusatkan tempat-tempat kesepakatan sebelum setiap perkara. Dan mengangkat syiar tolong-menolong pada perkara yang disepakatkan (Sesungguhnya tolong-menolong itu fardhu dan daruri. Fardhu yang diwajibkan oleh Islam dan daruri yang dimestikan oleh waqi’..”.(34) Tetapi betapa banyak jamaah sanggup melihat jamaah lain diganyah dan diserang serta bersendirian menghadapi musuh Islam dan mengemukakan isu-isu negara atau antarabangsa yang disepakatkan.


2.1.3. Syarat Ketiga ;

Tiada unsur-unsur perpecahan dan perbalahan.

Setiap jamaah hendaklah memiliki akhlak-akhlak di dalam fiqh khilaf sehingga tidak menimbulkan perselisihan dikeji. Dr. Yusof al-Qardawi telah menyebut bahawa perselisihan dikeji itu ialah ;(35)
a) Perkara yang disebabkan melampau dan mengikut hawa nafsu.
b) Perselisihan yang membawa kepada perpecahan kesatuan, permusuhan umat, perbalahan puak-puak

Kekhilafan fekah dan perkara ijtihadiyyah juga akan mendatangkan perselisihan mazmum, apabila ia membawa kepada perpecahan dan permusuhan. Ulama Islam dahulu sanggup meninggalkan pendapatnya dan mengamalkan pendapat ulama lain untuk menjaga kesatuan Islam. Al-Alamah Waliyyullah Dahlawi telah menceritakan ;” Bersama ini, setengah di kalangan mereka (ulama) bersembahyang dibelakang setengah ulama yang lain. Seperti yang berlaku bahawa Abu Hanifah Rahimahullah Taala dan sahabat-sahabatnya , Imam Shafei’ dan lain-lain rahimahumullah telah bersembahyang dibelakang imam-imam Madinah daripada Ulama malikiyyah dan lain-lain, meskipun mereka tidak membaca Bismillah dengan terang dan perlahan.”(36)

Pengamalan perkara khilaf fekah tidak memberi ruang mutlak kepada seorang itu melakukan apa sahaja berdasarkan kehendaknya sehingga melupakan kesan kepada umat dan Islam. Keluasan beramal dengan perkara ijtihadi hendaklah diikat di dalam ruang batas kasih sayang dan penyatuan.Penerimaan taadud mazhab hasil daripada kekhilafan perkara ijtihadi dan furu’ diterima oleh umat Islam selama mana menepati ciri-ciri yang disebut oleh Dr. Solah Sawi. Empat ciri-ciri yang wujud di dalam taadud mazhab.(37)
a) Kesatuan usul-usul dan mazhab-mazhab I’tiqadiyyah.
b) Terhad kekhilafan di dalam ruang lingkup cabang-cabang dan masalah-masalah Ijtihadiyyah.
c) Kekalnya kasih sayang, pemeliharaan daripada dosa dan berukhuwwah Islam.
d) Faedah tercapai daripada taadud ini dan membentuk keluasan kepada umat Islam.

Kewujudan taadud jamaah dengan beralasankan kekhilafan ijtihadi dan uslub membuahkan kesan perpecahan dan unsur-unsur perbalahan yang tiada penghujungnya. Negara Afghanistan yang telah merdeka daripada Soviet Union dan bonekanya terus dilanda perpecahan dan pertelingkahan yang tiada penyelesaiannya. Setiap jamaah tidak sanggup untuk menerima dan membiarkan jamaah Islam yang lain berkuasa dan memerintah Afghanistan. Perselisihan taadud jamaah Afghanistan (lah) yang membawa kepada penumpahan darah umat.(!)

Dr. Yusof Al-Qardawi mengitiraf penyakit perpecahan dan marah-memarahi ini dengan katanya ; “Dan di antara penyakit-penyakit harakah Islamiyyah masa kini ialah perpecahan dan perselisihan yang kita saksikan di antara golongan-golongan dan jamaah yang berbilang-bilang. Setiap jamaah berpendapat bahawa ia sahaja jamaah muslimin bukan jamaah daripada sebahagian muslimin. Kebenaran hanya berada padanya dan tiada pada jamaah lain melainkan kesesatan ……Di kalangan mereka tidak berkata demikian dengan lidah berbahasa, (tetapi) berkata dengan lidah keadaan (لسان الحال ). Dan seolah-olah permusuhan pecah-belah di lautan umat berpindah ke lautan harakah…..” (38)

Al-Ustaz Fathi Yakan berkata “Kalau taadud jamaah selamat daripada taasub, bertahktanya ruh ukhuwah di antara golongan-golongan tersebut, berlakunya suasana tolong-menolong, tafahum (faham-memahami) dan penyelarasan di antara mereka, maka itulah kehendak dan meringankan kesukaran, tetapi perkara yang berlaku sebaliknya sama sekali. Taadud tidak mendatangkan melainkan menambahkan perbalahan dan tidak menyebabkan melainkan tersebarnya kedengkian dan kebencian di antara muslimin yang akan menyibukkan mereka dengan bantah-membantah terhadap amalan…...”(39)

Siapakah yang hendak dipersalahkan dengan penyakit perpecahan yang berlaku pada lautan harakah ini ? Unsur-unsur permusuhan dan perpecahan menjadi suatu realiti yang tidak boleh dipertikaikan oleh insan berfikiran dan celik matanya melainkan mereka yang buta dan taasub dengan sikap dan pengamalan di dalam lautan kejahilan Unsur-unsur perpecahan ini timbul bersama kewujudan taadud jamaah yang tidak memenuhi syarat-syarat perlaksanaan taadud..

2.2. Ulama yang berpendapat bahawa taadud Jamaah tidak sewajarnya berlaku dengan berdalilkan nas-nas al-Quraan dan hadis yang menyeru kesatuan di bawah teduhan satu jamaah dan melarang perpecahan dan penilaian yang tepat terhadap fenomena dan realiti berpenyakit daripada taadud jamaah yang berlaku di seluruh dunia. Inilah pendapat yang lebih kuat berasaskan keputusan hukum berdalilkan firman Allah Taala ;

ولتكن منكم أمة يدعون الى الخير ويأمرون بالمعروف وينهون عن المنكر واولئك هم المفلحون ولا تكونوا كالذين تفرقوا واختلفوا من بعد جاءهم البينات واولئك لهم عذاب عليم
Maksudnya : “Dan hendaklah ada di antara kamu satu kaum yang menyeru kapada kebajikan, menyuruh berbuat baik, dan mencegah kemungkaran. Dan janganlah kamu menjadi seperti orang Yahudi dan nasrani yang telah bercerai berai dan berselisihan sesudah datang kepada kamu keterangan-keterangan yang jelas nyata. Dan mereka yang bersifat demikian akan beroleh azab seksa yang besar.”
(surah Ali Imran : 104-105)

Ulama-ulama muktabar seperti Al-Alamah Rasyid Ridha, Dr. Wahbah Zuhaili dan lain-lain menafsirkan ummah (امة) ialah (الجماعة) satu jamaah .

Sebahagian petikan daripada kertas kerja FENOMENA TAADUD JAMAAH : SATU PENILAIAN
Ustaz Mohd Nor bin Hamzah, (1990an)

Nota kaki:

[22] haula qodhoya al islam wal ‘asr – Dr Yusof Al-Qardawi m/s 18

[23]sila lihat huraian “fahmul islam fil usul ‘isyrin” -Ust Jumaah Amin m/s 141-142

[24]al qomus almuhit- m/s 6920

[25]almukjam alwasit m/s 140

[26]al mu’jam al’arabi al asasi  m/s 369

[27] adhwa’ attajarrubah anniyabiyah al islamiah fi lubnan,- Ust Fathi Yakan, kitab ketiga m/s 282

[28] Sila lihat tambahan Tuan Guru Hj Harun Taib Op. Cit. m/s 99-112

[29] Sila lihat tambahan Ust Said Hawa Op. Cit. m/s 29

[30] ma za yakni intimaa lil islam  m/s 113-116

[31] Sila lihat tambahan Ust Said Hawa Op. Cit. m/s 14

[32]Dr Yusof Al-Qardawi Op. Cit. m/s 149

[33] Ibid m/s 135

[34] Dr Yusof Al-Qardawi Op. Cit. m/s 149

[35] Ibid m/s 92-94

[36] HujjatulLah al Balighah, WaliyulLah al Dahlawi, Juzu’ pertama, m/s159

[37] Dr Solah Sawi  Op. Cit. m/s 236

[38] Ainal Kholal – Dr Yusof Al-Qardawi m/s 37-38

[39] Ust Fathi Yakan Op. Cit. m/s 24