Pendapat yang paling tepat diantara dua pandangan di kalangan para ulamak ialah tidak ada solat sunat rawatib sebelum solat Jumaat (qabliah Jumaat). Tetapi dibolehkan kepada seseorang itu apabila dia datang ke masjid untuk solat sunat sebanyak mana yang dikehendakinya secara dua rakaat-dua rakaat. Ini berdasarkan hadis Nabi saw yang bermaksud:
“Solat (sunat) di waktu malam dan siang adalah secara dua rakaat-dua rakaat”. – (Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan ahli sunan yang lain dengan sanad yang hasan, dan asalnya terdapat di dalam al-Sahih dengan tidak disebutkan perkataan “siang”).
Pendapat ini adalah berdasarkan apa yang disebutkan oleh Nabi saw di dalam hadis-hadis Baginda yang menyatakan bahawa apabila seseorang itu datang ke masjid pada hari Jumaat, maka dia boleh menunaikan sembahyang sunat sebelum keluarnya imam (untuk menyampaikan khutbah). Nabi saw pula tidak menetapkan jumlah rakaatnya samada dua atau empat atau pun lebih daripada itu. Maka semuanya adalah baik, dan sekurang-kurangnya ditunaikan dua rakaat solat tahiyat al-masjid.
Ada pun selepas daripada solat Jumaat, disunatkan untuk seseorang itu menunaikan solat sunat (ba’diah) sekurang-kurangnya dua rakaat dan paling banyak adalah empat rakaat. Ini berdasarkan hadis Nabi saw yang bermaksud:
“Sesiapa di kalangan kamu yang sembahyang (sunat) selepas daripada solat Jumaat, maka sembahyanglah sebanyak empat rakaat” – Hadis riwayat Muslim.
Nabi saw pula menunaikan solat dua rakaat di rumahnya selepas daripada solat Jumaat.
(Kitab Majmu’ Fatawa wa al-Maqalat oleh al-Syiekh al-‘Allamah Abd al-Aziz bin Abdullah bin Baaz, jil. 12, ms: 386)
Post a Comment 0 comments: