Tarbiyah berasal daripada perkataan Arab yang membawa erti penjagaan, pengasuhan dan pendidikan. Tarbiyah Islamiyah pula ialah penjagaan, pengasuhan dan pendidikan berasaskan sumber al-Quran al-Karim dan Sunnah Rasulullah SAW. Sumber-sumber ini adalah sumber-sumber rabbani. Dengan sumber inilah generasi sahabat dididik oleh Rasulullah SAW sehingga berjaya melahirkan generasi rabbani yang mendapat jolokan dan pujian daripada Allah seperti yang disebutkan di dalam al-Quran al-Karim :
Kamu adalah sebaik-baik ummah yang dikeluarkan untuk manusia. Kamu menyuruh berbuat kebaikan, melarang berbuat kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah. (Ali ‘Imran: 110)
Peranan Tarbiyah Islamiyah.
Tarbiyah memainkan peranan penting dan berkesan dalam kebangkitan, pembangunan dan kemajuan sesuatu masyarakat. Maju atau mundur sesuatu masyarakat bergantung kepada maju atau mundur tarbiyah masyarakat tersebut. Oleh itu tarbiyah perlu diberi keutamaan dalam perancangan pembangunan sesuatu masyarakat. Sejarah Rasulullah SAW sendiri menjelaskan bahawa tarbiyah menjadi faktor utama untuk membangunkan manusia yang mampu menyelesaikan sebarang masalah yang timbul.
Titik Tolak Tarbiyah Islamiyah.
Di dalam ‘Tarbiyah ar-Ruhiyah’, Said Hawa menjelaskan bahawa asas dan titik tolak didikan Islam adalah iman. Dr Abdul Karim Zaidan pula di dalam ‘Usul ad-Dakwah’ menghuraikan dengan panjang lebar mengenai peraturan asas pembentukan masyarakat Islam. Katanya, asas pembentukan masyarakat dalam Islam ialah aqidah Islam yakni tauhid Rububiyatillah dan tauhid Uluhiyatillah. “Setiap manusia dituntut meyakini aqidah ini supaya ia mengetahui hakikat diri dan letak duduknya manusia itu dalam hidup supaya faham mengapa manusia itu dijadikan, memahami hubungan dan pimpinan akal fikiran manusia, tindak lakunya dan segala aktivitinya dihubungkan dengan Allah swt,” tulis beliau.
Sehubungan itu, Muhammad Shadid dalam ‘Manhaj al-Quran fi-tarbiyah’ telah menyingkap kembali sejarah dengan menjelaskan bahawa Rasulullah SAW adalah utusan Allah SWT. Baginda adalah contoh utama dan qudwah hasanah serta pelaksana manhaj al-Quran.
Baginda adalah pendakwah yang amat faham tentang dakwahnya dan murabbi (pendidik) yang dianugerahkan segala sifat sebagai murabbi. Baginda mengajak sahabatnya dan orang ramai beriman kepada Allah, menghubungkan mereka dengan al-Quran dan memberi kefahaman bahawa al-Quran adalah arahan daripada Allah SWT untuk dilaksanakan. Arahan itu hanya akan diterima oleh hati yang beriman. Oleh itu, menurut Said Hawa, pemusatan perlu diberi kepada proses pendidikan untuk memastikan lahir titik tolak yang betul.
Tarbiyah Imaniyah Dalam Semua Aspek.
Iman tidak boleh dipisahkan daripada sebarang kegiatan hidup manusia. Setiap pekerjaan yang dilakukan hendaklah dibina dan didorong oleh iman kepada Allah SWT. Dengan itu, barulah pekerjaan itu dikira sebagai ‘ubudiyah (ibadah) kepada Allah SWT.
Menurut Mustafa Masyhur, ibadah yang sahih (betul) lahir daripada aqidah yang baik. Perkataan ibadah itu mempunyai sifat kesyumulannya dan merangkumi segala urusan hidup, tidak terbatas kepada sembahyang, puasa, zakat dan haji sahaja kerana risalah dan tugas manusia dalam hidup ini ialah beribadah kepada Allah. Hidup seluruhnya ialah ibadah kepada Allah.
Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada Aku. (Al-Zariyat: 56)
Oleh itu setiap muslim mestilah bersungguh-sungguh merealisasikan pengertian ini dengan niat yang betul dalam setiap pekerjaan mereka. Dengan itu, barulah makan minum, ilmu dan amalan, riadah dan perkahwinan menjadi wasilah (jalan) mentaati Allah. Rumah menjadi mihrab (tempat beribadah kepada Allah). Begitu juga sekolah, kolej, kilang, tempat perniagaan, kebun, ladang, sawah, padang permainan, malah dunia seluruhnya menjadi tempat beribadah kepada Allah SWT. Dengan perkataan lain, segala usaha dan perkataan yang terbit daripada seorang muslim merupakan ibadah kepada Allah.
Dengan itu hubungan sentiasa wujud antara hamba dengan Penciptanya dalam semua aspek kehidupan. Semua urusan dirujuk kepada syariat Allah SWT. Hubungan hati manusia dengan Allah pada setiap masa adalah asas utama bagi melaksanakan tarbiyah Islamiyah dengan berkesan.
Aspek rabbani dalam tarbiyah Islamiyah adalah aspek yang paling penting kerana matlamat pendidikan Islam ialah melahirkan insan mukmin dalam pengertian sebenar iaitu insan yang memiliki iman yang menguasai hati dan fikiran, lahir dalam bentuk amalan dan tindakan. Allah berfirman :
Sesungguhnya orang yang beriman ialah orang yang beriman kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka tidak ragu-ragu, mereka berjihad dengan harta dan jiwa mereka di jalan Allah. (Al-Hujurat: 15)
Tunggak tarbiyah rabbaniyah ialah hati yang subur, sentiasa berhubung dengan Allah SWT, yakin akan menemui-Nya, mengharapkan rahmat-Nya dan takut akan azab-Nya. Jiwa yang hidup inilah yang menjadi tumpuan Allah swt untuk dicampakkan nur kepadanya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
Sesungguhnya Allah tidak melihat pada rupa bentuk kamu tetapi Dia melihat kepada hati dan amalanmu.
Pada hari di mana tidak berguna harta dan anak pinak kecuali mereka yang balik kepada Allah dengan hati yang (sejahtera).
Tarbiyah Islamiyah berusaha menghidupkan jiwa supaya tidak mati, memakmurkannya supaya tidak binasa dan melembutkannya supaya tidak keras kerana hati yang keras dan akal yang beku merupakan satu kemungkaran yang perlu diminta perlindungan Allah SWT daripadanya.
Wallahu A’lam.
Post a Comment 0 comments: