Serambi Dakwah

IconMusafir di bumi Ilahi, aku singgah untuk menuntut ilmu untuk meneruskan perjalanan yang masih panjang.....

Berkenaan Harakah Islamiyyah

Syarat – Syarat Harakah Islamiah

Ketika melalui satu program tarbiah beberapa tahun yang lalu, saya teringat antara pengisian yang disampaikan adalah mengenai syarat-syarat sebuah Harakah Islamiyyah. Syarat-syarat inilah yang sedikit sebanyak boleh dijadikan ukuran atau penilaian untuk kita menerima sesebuah organisasi atau pertubuhan yang memakai nama Islam itu sebagai Harakah Islamiyyah (Gerakan Islam).

Antaranya adalah:

a) Perlembagaan atau sumber rujukannya yang tertinggi adalah Al-Qur’an dan Hadith.

b) Amar Ma’aruf dan Nahi Mungkar dijalankan secara serentak – maksudnya gerakan ini bukan hanya mengambil amar ma’aruf, tetapi meninggalkan nahi mungkar atau sebaliknya.

c) Dakwah adalah program utama mereka – maksudnya setiap gerak kerja mereka semata-mata dilakukan untuk mengembalikan manusia kepada Allah dan mengenal Islam.

d) Melaksanakan jihad dan siasah – maksudnya gerakan Islam mestilah sentiasa terkehadapan dalam menangani isu-isu ummah dan melibatkan diri dengan siasah iaitu berusaha untuk memerintah.

Walaubagaimanapun, saya akur bahawa disana terdapat pelbagai kriteria yang dibuat oleh para ulama’ ul ‘Amilin (ulama’ yang bekerja/berjuang untuk Islam) tentang syarat-syarat sebuah Harakah Islamiyyah. Antaranya, Ust Fathi Yakan yang menulis buku Apa Ertinya Saya Menganut Islam. Didalamnya juga dibahaskan mengenai kewujudan organisasi Islam yang pelbagai rupa bentuk seperti memperjuangkan ekonomi Islam, akhlak Islam, ibadah dan kesufian, politik Islam dan sebagainya.

Pun begitu, amat sukar untuk ditemui organisasi Islam yang memperjuangkan Islam yang syumul iaitu dari pelbagai sudut dan perkara dalam Islam yang melayakkan mereka digelar Harakah Islamiyyah. Sebab itu, untuk menilainya, kita mesti kembali kepada gerakan Islam yang dilancarkan oleh Rasulullah. Orientasinya kembali kepada 2 perkara yang berupa tugasan dakwah dan siasah, kerana memang dakwah adalah tugas umat Islam dan Islam perlu diberi kuasa memerintah dengan pendekatan Siasah (politik).

Hadaf dan Ghayah Harakah Islamiyyah

Kalimah ini sering kita dengar dan rata-ratanya cukup memahami. Sekadar ulangan sahaja. Hadaf boleh difahami sebagai objektif jangka masa pendek dan ghayah adalah objektif jangka masa panjang. Maka, hadaf kita boleh dipelbagaikan seperti untuk membentuk individu Muslim, Baitul Muslim, Masyarakat Muslim, Negara Islam serta Khilafah Islam dan lain-lain lagi yang terbatas di dunia. Adapun Ghayah kita kita sudah tentu semata-mata untuk mencari keredhoan Allah sebagaimana yang sering kita laungkan ‘Allah Ghayatuna’ iaitu Allah matlamat kami!.

Tiada khilaf lagi bahawa matlamat kita sudah jelas baik jangka masa panjang mahupun jangka masa pendek. Tinggal lagi, kita hanya berhadapan dengan masalah pendekatan, cara, metode, kaedah, wasilah atau manhaj pergerakan.

Ketika kita membicarakan soal keperluan mengembalikan system Khalifah, ada sebahagian organisasi Islam yang beranggapan kita perlu melalui pendekatan ceramah, seminar, edaran risalah, kempen dan seumpamanya. Disisi lain, ada yang mengambil pendekatan untuk memasuki wilayah politik sebagai parti politik Islam untuk mengambil alih kuasa dari mereka yang tidak berminat melaksanakan Islam. Ada juga yang mengambil pendekatan agresif dengan demonstrasi berpanjangan dengan nama Revolusi baik bersenjata atau tidak. Semua ini kita namakan sebagai pendekatan untuk mencapai matlamat yang sama iaitu mengembalikan ‘izzah Islam.

Harakah Islamiyyah dan Demokrasi

Saat ini, kita hampir-hampir kecewa dengan sikap segelintir kelompok yang sering melakukan ‘serangan-serangan’ sesama gerakan Islam semata-mata berbeza pendekatan. Apabila ada Harakah Islamiyyah yang menyertai area demokrasi, bergerak sebagai parti politik Islam, terlibat dengan pilihanraya dan semumpamanya, maka sangat ringan lidah kita mendakwa tindakan ini adalah bid’ah, tidak syar’ie, Rasulullah tidak pernah buat dan segala macam lagi. Lebih dari itu, menghukum berdosa kerana terlibat dengan demokrasi yang dibuat oleh orang kafir.

Secara peribadi, saya tidak akan menjelaskan disini tentang Demokrasi kerana terlalu banyak buku-buku yang telah membicarakannya. Antaranya buku Islam dan Demokrasi karangan Tn.Guru Hj.Abdul Hadi Awang. InsyaAllah, penjelasan didalamnya mampu menguraikan kekusutan. Benarkah demokrasi datang dari Barat dan jika dari Barat (kafir) adakah tidak boleh digunakan langsung oleh umat Islam untuk menghadapi pihak musuh yang juga menggunakan senjata demokrasi, sejauhmana kita boleh mengambil manfaat dari demokrasi, apakah dalil-dalil yang mengharuskan menggunakan demokrasi, apakah maksud ( Muwajahah bis Silmiyyah) dan (Muwajahah bil Quwwah), apakah tidak ada dalam sejarah Islam atau para sahabat yang memakai system yang dibuat oleh orang kafir dan sebagainya. Buku ini telah menjelaskannya. Saranan saya…bacalah.

Bahkan jika dikatakan melibatkan diri dengan demokrasi tidak syar;ie, bagaimana pula dengan Ikhwan Muslimin yang kini terlibat dengan plihanraya Mesir, Hamas dengan pilihanraya Palestin, Jama’ah Islami dengan plihanraya di Pakistan dan lain-lain? Tidak adakah ulama’ didalam mereka yang membahaskan isu ini jika ianya bid’ah atau tidak syar’’ie?

Selain masalah ini, timbul juga pertikaian isu tarbiah organisasi dan perekrutan anggota ke dalam organisasi. Sebagai contoh, ada yang mendakwa merekalah paling baik system tarbiah, paling baik system perekrutan anggota dan seumpamanya.

Pertikaian ini tidak akan selesai dan kita juga meyakini betapa sukarnya untuk menyatukan organisasi-organisasi ini dibawah satu payung. Hanya satu sahaja perkara yang boleh kita sebut iaitu jika mana-mana pihak meyakini pendekatannya baik dan efektif, ya silakan diikuti. Namun, sikap menafikan, memperlecehkan, merendah-rendahkan dan memburuk-burukkan organisasi Islam lain, bukanlah cara yang terbaik. Jika anda tidak mampu berdemonstarsi, jangan perlekehkan peranan orang yang sanggup berdemonstrasi. Jika anda tidak mampu berceramah, jangan nafikan peranan dakwah melalui ceramah dan sebagainya. Didalam 10 nasihat Al-Banna, salah satunya adalah beliau melarang untuk menyerang dan memburuk-burukkan mana-mana organisasi khasnya yang memperjuangkan Islam.

Jalankan tugas masing-masing dengan pendekatan yang diyakini, hentikan menafikan peranan mana-mana gerakan Islam jika kita mahu melihat Hadaf dan Ghayah kita tercapai. Titik utamanya adalah keikhlasan kepada Allah. Itulah yang boleh menyelamatkan sikap kurang baik diatas disaat kita terpaksa menghadapi gerombolan tentera Ahzab moden yang terlalu ramai.Wallahua’alam.

Sumber

 
 
 
 

Post a Comment 0 comments:

Post a Comment