Serambi Dakwah

IconMusafir di bumi Ilahi, aku singgah untuk menuntut ilmu untuk meneruskan perjalanan yang masih panjang.....

Sejarah Perjuangan Islam di Tanah Melayu: Sebelum 1955

“Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: “Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!”
(Fussilat: 33)

Muqaddimah

Adalah menjadi satu perkara yang tidak mungkin dapat disangkal akan kewajipan setiap muslim untuk menafkahkan dirinya dalam perjuangan Islam. Setiap yang ingin dirinya digelar sebagai pejuang sewajarnya menyoal dirinya sendiri setiap saat dan waktu “Apakah yang telah aku lakukan untuk Islam?”.


https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjeJwB6IbvsvFheS7sXloWVqoBt47wr_SELJe1NiN9Uv2JBz_VCp4Am934fKUlJrfa2GgKG7A1rg8DLD59JLzWcgNtjl1FNQgPXW8EwKSQmvgo6TImvTe85JjLjz3ygclvr2sYWIlhBdBM/s400/sejarah+tanah+melayu_resized.jpg

Dari konteks Malaysia, untuk meihat masa depan perjuangan Islam maka sudah tentulah tidak dapat tidak harus disorot dari segi sejarah. Ini kerana sejarah sudah tentu menjadi cermin kepada masa yang akan mendatang. Dalam memperkatakan mengenai sejarah perjuangan Islam di Malaysia, saya akan lebih menumpukan perbincangan kepada perjuangan Islam melalui politik khususnya PAS. Bukan saya bermaksud untuk menafikan harakah atau jemaah Islam yang tidak melibatkan diri dengan politik, namun kaitan politik secara tidak langsung dengan aktiviti gerakan Islam khususnya di Malaysia sama sekali tidak boleh dinafikan. Tambahan pula, poltik adalah tumpuan utama setiap rakyat terbanyak pada masa lalu, kini dan akan datang. Bagi memudahkan perbahasan, saya membahagikan kronologi perjuangan politik Islam di Malaysia kepada 4 peringkat :

1. Sebelum 1955

2. 1955 – 1983

3. 1983 – 1997

4. 1998 – hari ini

Perjuangan Islam di Tanah Melayu Sebelum 1955

Fakta : Perjuangan Islam di Tanah Melayu bermula semenjak kedatangan Islam di Tanah Melayu yang masih merupakan polemik di kalangan ahli-ahli sejarah. Namun seara khususnya kebangkitan para ulama’ di beberapa buah negeri di Tanah Melayu untuk menentang penjajah adalah merupakan titik tolak kepada kemaraan golongan agama dalam arena politik. Dari sudut yang lain, kebangkitan perjuangan Islam adalah selari kalaupun tidak lebih awal dari kebangkitan nasionalisme. Sebelum gerakan kemerdekaan berlaku secara menyeluruh, Tanah Melayu sudah digegarkan dengan kebangkitan Abdul Rahman Limbong di Terengganu, Tok Janggut di Kelantan dan beberapa lagi penentangan yang dipelopori oleh golongan ulama’. Walaupun kebangkitan ini berlaku di merata-rata tempat, namun kesedaran menyeluruh untuk membebaskan diri dari penjajah masih belum berlaku.

http://60.52.177.36/~cepol/Gambar/LOGO-UMNO/583px-LogoUMNO_svg.png

Namun, penjajahan Jepun merubah senario ini. Pada tahun 1945, Dr. Burhanuddin Helmi memperkenalkan pemikiran politik Islam melalui penubuhan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). Seterusnya ekoran dari gagasan Malayan Union pada tahun 1946, orang-orang Melayu mula bersatu melalui seruan “Hidup Melayu” di bawah kepimpinan seorang tokoh nasionalisme, Dato’ Onn bin Jaafar. Pada awalnya, tokoh-tokoh ulama berada di bawah payung UMNO bersama dengan Dato’ Onn untuk memperjuangkan kemerdekaan lebih-lebih lagi apabila Hizbul Muslimin diharamkan oleh British pada tahun 1948. Penyertaan golonagn ulama pada masa itu bukanlah menunjukkan persetujuan mereka dengan dasar nasionalis tetapi kerana mereka melihat adalah lebih penting untuk mewujudkan penyatuan terlebih dahulu (Mohamad Fauzi Zakaria, Aqidah Yang Menggoncang Dunia : Pemikiran Sayyid Qutb. Hal. 197). Namun, akibat beberapa pertembungan pendapat dengan pimpinan UMNO yang secara rasminya beraliran nasionalis sekular, tokoh-tokoh ulama beramai-ramai keluar dari UMNO untuk menubuhkan Persatuan Ulama yang terpisah dari UMNO pada tahun 1951. Beberapa bulan kemudian, ia bertukar nama menjadi Persatuan Islam Se-Tanah Melayu (PAS) di mana Tuan Haji Ahmad Fuad menjadi Yang diPertuanya yang pertama. PAS seterusnya menyertai pilihanraya pada tahun 1955 namun gagal untuk membentuk kerajaan persekutuan.

http://www.fahnenkontor24.de/FOTW/images/m/my%7Dpis.gif

Ulasan : Perjuangan Islam pada masa Tanah Melayu masih bergegar dengan tuntutan kemerdekaan tidak dapat meyakinkan rakyat bahawa perjuangan mereka adalah yang terbaik. Tambahan pula pada masa tersebut, rakyat masih dihantui dengan kekejaman Bintang Tiga dan masih terngiang-ngiang dengan penindasan oleh tentera Jepun. Oleh yang demikian, mereka memilih untuk mengambil jalan selamat iaitu dengan mengundi pihak yang boleh memerikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu. Pihak terdekat yang dimaksudkan ialah UMNO. Ini sama sekali tepat dengan kehendak penjajah British yang seboleh-bolehnya mahukan pihak yang akan memerintah bekas tanah jajahan mereka akan terus menjalankan dasar-dasar pro-penjajah. Kerana itulah, Hizbul-Muslimin telah diharamkan oleh pihak penjajah pada tahun 1948. Namun, dalam masa yang sama kegagalan pihak ulama’ untuk merebut peluang tampil ke hadapan juga merupakan satu faktor perjuangan Islam ditolak oleh kebanyakan rakyat pada masa itu. Tambahan pula, perjuangan yang dipelopori oelh golongan ini masih bercampur-gaul dengan ideologi kebangsaan. Seandainya pihak ulama’ mampu membentuk satu barisan alternatif bersama dengan barisan kepimpinan bangsa-bangsa yang lain, besar kemungkinan perjalanan sejarah politik di Malaysia akan berubah.

http://adiphone.googlepages.com/PAS.png

 
 
 
 

Post a Comment 1 comments:

Anonymous said...

assalamualaikum,,,
maaf..ingn saya bertanya di sini,apa nama penuh penulis artikel ini?saya perlukan nama beliau sebagai rujukan artikel saya kerana saya ,menggunakan site ini sebagai salah satu rujukan saya untuk artikel saya...thanks..wslm

October 25, 2013 at 9:30 PM

Post a Comment