Maksud mustolah hadis ialah ilmu yang berkaitan istilah-istilah hadis seperti hadis hasan, hadis dhaif, hadis sahih, hadis sahih lizatih, hadis sahih lighairi, hadis mauquf, hadis marfu dan sebagainya.
2) Takrif al-Hadis
Hadis bermaksud apa-apa yang datang daripada Rasulullah s.a.w sama ada perkataan, perbuatan, percakapan, sifat akhlak dan juga sifat kejadian sama ada sebelum baginda diutus menjadi rasul ataupun selepasnya.
3) Pengertian as-Sunnah
Dari segi bahasa as-Sunnah bermaksud jalan atau cara hidup sama ada terpuji ataupun tercela. Dari segi istilah, para ulama hadis mengatakan takrifnya adalah sama dengan hadis. Lawan bagi as-sunnah adalah bid’ah
4) Pembahagian Sunnah
a) Sunnah qauliyah (percakapan). Ianya mengandungi kata-kata Rasulullah sama ada dalam bentuk nasihat, amaran dan sebagainya. Contoh termudah sunnah qauliyah ialah hadis tentang niat.
Nabi s.a.w bersabda : setiap amalan bergantung kepada niatnya dan setiap seseorang memperoleh apa yang dia niatkan (H/R Bukhari)
b) Sunnah fi’liyah (perbuatan). Ianya mengandungi perbuatan-perbuatan Rasulullah seperti tatacara bersolat, berpuasa, zakat, haji dan sebagainya. Contoh adalah mafhum hadis :
Adalah Rasulullah s.a.w bertakbir 4 kali dalam solat jenazah (H/R Bukhari)
c) Sunnah taqririyah (pengakuan). Ianya mengandungi pengakuan Rasulullah s.a.w terhadap beberapa perbuatan tanpa ada sebarang bantahan. Contohnya perbuatan Khalid memakna dhab dihadapan Rasulullah.
Rasulullah s.a.w tidak memakan dhab tapi tidak melarang Khalid dan bila Rasulullah ditanya adakah ianya haram baginda menjawab tidak (H/R Bukhari)
d) Sunnah khalqiah (kejadian). Ianya menerangkan tentang sifat-sifat fizikal Rasulullah. Contohnya hadis yang menerangkan bahawa Rasulullah s.a.w tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu rendah (H/R Bukhari)
e) Sunnah khuluqiah (akhlak). Ianya menerang tentang akhlak-akhlak Rasulullah.
Contohnya ialah hadis yang menerangkan bahawa Rasulullah s.a.w adalah manusia yang paling pemalu berbanding perempuan yang belum berkahwin yang berselindung dibalik tabir (H/R Bukhari)
5) Perbezaan antara hadis dan atsar
Ulama berbeza pendapat tentang perngertian hadis dan atsar. Ada yang mengatakan bahawa hadis dan atsar mempunyai makna yang sama dan ini adalah pendapat imam Muslim, Imam tahawi dan imam tabari. Ulama lain pula mengatakan bahawa hadis adalah apa-apa yang disandarkan kepada Rasulullah s.a.w tetapi atsar adalah apa-apa yang disandarkan kepada selain nabi s.a.w seperti sahabat, tabi’in dan tabi’ tabi’in.
6) Peranan sunnah dalam Islam
a) menguatkan nas-nas al-Quran
b) berfungsi menerangkan nas-nas yang bersifat umum seperti nas solat. as-sunnah menerangkan tatacara bersolat
c) as-sunnah membatasi (taqyid) nas al-Quran yang bersifat mutlak (tidak terbatas)
d) as-Sunnah berfungsi menguatkan hukum yang terdapat asasnya dalam al-Quran
Post a Comment 0 comments: