Serambi Dakwah

IconMusafir di bumi Ilahi, aku singgah untuk menuntut ilmu untuk meneruskan perjalanan yang masih panjang.....

Because he is a Muslim













 
 

PAS dan Gerakan Islam Sedunia

Ulama'-ulama' tanah air sememangnya menjadi rujukan ulama' sedunia. Namun, di Malaysia sendiri, kredibiliti mereka seolah-olah ditidakkan. Video di bawah menunjukkan hubungan gerakan Islam di Malaysia dengan dunia....

 
 

Mustolah Hadis: Gelaran Imam-imam Hadis

Gelaran keahlian Imam-imam Hadis:

a) al-Musnid : orang yang meriwayatkan hadis dengan sanadnya baik menguasai ilmu hadis atau tidak

b) al-Muhaddis : gelaran ini ditujukan kepada mereka yang menguasai ilmu dirayah dan riwayah, mendalami kecacatan dan sanad sesuatu hadis, dia juga menghafal sekurang-kurang 100 buah hadis, mengetahui perawi-perawi hadis dan riwayat yang ada pada zamannya.

c) Al-Hafiz : adalah orang yang menghafal hadis sekurang-kurangnya 100 000 hadis beserta sanad dan matannya. dia menguasai ilmu dirayah dan riwayah. Jumlah hadis yang diketahuinya adalah lebih banyak daripada yang dia tidak ketahui. Dia adalah orang yang dapat mensahihkan sanad dan matan dengan baik serta dapat menjarh (mencela) dan menta’dil (memuji) rawi sesuatu hadis. Contoh al-Hafiz ialah Imam al-Khatib al-Baghdadi, Imam az-Zahabi, al-Iraqi (pentaqiq kitab Ihya Ulumuddin), Ibnu Hajar al-Asqalany, Ibnu Daqiqil Ied

d) Al-Hujjah : hampir sama sahaja dengan al-Hafiz. Cuma mereka menghafal hadis lebih kurang 300 000 buah hadis beserta sanad dan matan. Mereka juga dikatakan lebih mengetahui biograwi rawi dengan baik. Contoh al-hujjah ialah Muhammad Abdullah bin Amr, Imam Sufyan bin uyainah, Imam Tabrani, Imam ad-Darimi

e) Al-Hakim : darjat mereka lebih tinggi daripada al-hujjah. Sangat dalam ilmu mereka tentang hadis sama ada jarh dan ta’dil suatu rawi matan dan sanad dan sebagainya. Contoh al-Hakim ialah Imam Malik, Imam Syafie, Imam Laits bin Saad, Imam Abu Daud dan Imam Tirmizi.


f) Amirul Mukminin fil hadis : ini adalah darjat tertinggi bagi semua imam hadis. Mereka menjadi sumber utama dalam dunia hadis. Mereka berfungsi seperti khalifah yang menyampaikan sunnah. Contoh amirul mukminin dalam hadis ialah Imam Bukhari, Imam Muslim, Imam Ahmad, Imam Sufyan ats-sauri, Imam Ishaq. Sesetengah buku mencatatkan bahawa Ibnu Hajar al-Asqalany juga termasuk golongan ini.

 
 

Sudikah Engkau Menjadi Isteri Keduaku?

Oleh `Izzat Anwari bin Hasni

“Awak sudi jadi isteri kedua saya?” tanya Fikri tegas dan yakin.

Tiba-tiba mata Fatimah merah, air mata mula bergelinang di kelopak bawah.

“Tak sangka awak sudah beristeri! Awak jahat! Sanggup mempermainkan hati saya. Awak ingat saya tiada maruah? Hah!” pekik Fatimah dengan suara tersekat-sekat.

Mata Fikri liar melihat kiri kanan, mungkin ada sesiapa yang memandang perlakuan dia dan Fatimah. Bukan takutkan pandangan manusia, tetapi lagak Fatimah langsung tidak selari dengan penampilannya.

“Saya ingat kita lama berkawan, awak masih bujang. Tapi rupa-rupanya…” Fatimah mula sebak.

“Tak. Maksud saya – ”

“Sudah! Jangan bermulut manis lagi. Cukup!” potong Fatimah dengan kasar.

“Awak nampak macam alim, tapi sanggup menipu saya. Dan awak sanggup melamar saya menjadi isteri kedua awak. Awak ingat saya ni siapa?” suara Fatimah semakin tinggi, setinggi egonya.

Fikri diam seribu bahasa. Dia sudah tahu `Fatimah’ di sebalik Fatimah yang dia kenal selama ini.

Fatimah bergegas dari situ sambil mengelap air mata dengan tudung labuhnya berwarna kuning. Dalam hatinya, Fikri seolah-olah menghinanya apabila memujuknya untuk bermadu.

Fikri muram. Namun masih terselit kekecewaan di sudut hatinya. Kekasih hatinya belum bersedia rupa-rupanya.

“Ada hikmah,” bisik hati kecil Fikri, sekecil pandangannya terhadap Fatimah.

Hujung minggu berjalan seperti biasa. Program-program dakwah menyibukkan jadual Fikri sebagai seorang muslim yang beramal dengan apa yang diyakininya. Duitnya banyak dihabiskan untuk memenuhi tuntutan dakwah yang seringkali memerlukan pengorbanan yang tidak berbelah bahagi. Namun, hatinya tegas dan yakin bahawa inilah jalannya. Jalan yang membawa dia menemui Tuhannya dengan hati yang tenang serta bahagia di hari kelak.

Keyakinan serta keaktifan Fikri berdakwah sedikit sebanyak memenangi hati gadis-gadis dalam jemaahnya. Malah, Fikri dilihat sebagai calon suami yang bakal memandu keluarganya nanti ke arah memperjuangkan agama yang dianutinya sejak sekian lama. Sudah terlalu ramai muslimah yang menaruh hati padanya, namun, Fatimah terlebih dahulu rapat dan memenangi hati Fikri. Bagi Fatimah, Fikri seperti pelengkap kepada dirinya. Namun, hanya sehingga saat Fikri melamarnya menjadi isteri kedua.

Fikri masih lagi aktif dalam dakwah meskipun hubungannya dengan Fatimah nampak seperti tiada jalan penyelesaian. Dia mahu berbaik dengan Fatimah, namun sikap Fatimah yang keras dan kurang memahami erti dakwah membantutkan usaha Fikri tersebut. Bagi Fatimah, Fikri tak ubah seperti lelaki lain.

Gerak kerja dakwah Fikri berjalan seperti biasa. Siangnya ke hulu ke hilir memenuhi program serta amal jariah kepada masyarakat. Malamnya sibuk dengan mesyuarat dengan sahabat-sahabat seangkatannya. Fikri semakin percaya jalan dakwahnya, sama sekali dia tidak akan berganjak dari jalan ini hatta datang ancaman sebesar gunung sekalipun. Dia terlalu matang, jauh sekali daripada pemikiran pendakwah lain yang
semudanya.

Namun, Allah s.w.t. Maha Mengetahui lagi Maha Pemurah. Sekali lagi Dia menghantar seorang perempuan bagi menguji Fikri, sama ada dia menjadi pemangkin atau perencat bagi dakwah Fikri.

Suatu petang dalam suatu program dakwah di sebuah madrasah, Fikri dikejutkan dengan luahan ikhlas dari sahabat lamanya, Nusaibah. Fikri sekali lagi gusar takut-takut Nusaibah tidak dapat menjadi sayap kiri perjuangannya selepas berumahtangga nanti. Isteri pertamanya sudah pasti membawa Fikri menemui Tuhannya, namun, Nusaibah yang kurang dikenalinya adakah sama seperti Fatimah atau tidak?

Fikri bercelaru, tetapi tidak bermakna lamaran Nusaibah ditolak. Dia meminta sedikit masa untuk memikirkan keputusan tersebut.

Setelah merisik pemikiran Nusaibah daripada beberapa sahabat terdekatnya, Fikri berjumpa dengan Nusaibah bertemankan sahabat baiknya. Dengan tegas dan yakin, sekali lagi Fikri mengulangi soalan yang pernah ditanya kepada Fatimah.

“Awak sudi jadi isteri kedua saya?” tanya Fikri tanpa segan silu.

“Sudi,” jawab Nusaibah ringkas.

“Er, betul ke ni?” tergagap Fikri menerima jawapan Nusaibah yang tenang dan yakin.

Nusaibah mengangguk kepalanya sedikit. Langsung tiada rasa takut mahupun kecewa apabila lamaran sebagai isteri kedua yang dilafazkan oleh Fikri.

“Kenapa saya?” tanya Fikri ingin tahu.

“Saya ingin membantu gerak kerja dakwah awak,” jawab Nusaibah yakin tetapi sedikit malu.

“Baiklah,” jawab Fikri tersenyum.

Akhirnya, Fikri dikurniakan sayap kiri yang sangat membantu dalam gerak kerja dakwahnya selama ini.

Setelah seminggu mendirikan rumahtangga bersama Nusaibah, Fikri terasa dakwahnya semakin laju. Jadualnya senang, pakaiannya dijaga, makannya disedia. Malah, Nusaibah sangat membantu gerak kerja Fikri semampu mungkin. Setiap kali turun ke lapangan untuk berdakwah, Fikri membawa Nusaibah untuk membantu kerja dakwah seadanya.


Kadang-kala letih menyinggah Nusaibah. Suaminya terlalu kerap keluar berdakwah, seperti mesin yang tiada hayat. Namun, inilah yang dia yakini sebelum berkahwin dengan Fikri. Membantu suami melancarkan gerak kerja dakwah. Nusaibah juga berjaga-jaga takut dirinya pula yang menjadi pembantut atau penghalang dakwah suaminya.

“Abang, saya nak tanya boleh?” sapa Nusaibah dalam kereta sewaktu dalam perjalanan ke sebuah program dakwah.

“Ye sayang?” jawab Fikri sambil memandu.

“Abang tak pernah pun bawa saya jumpa isteri pertama abang,” luah Nusaibah yang sangat teringin berjumpa dengan madunya.

“Dah sampai sana nanti, kita akan jumpa,” Fikri menoleh sedikit ke arah Nusaibah, sambil tersenyum.

“Yeke? Dia datang program tu rupanya,” jawab Nusaibah riang.

Hatinya berdebar ingin berjumpa madunya yang banyak membantu Fikri dalam gerak kerja dakwah. Di sudut kecil Nusaibah, dia merendah diri kerana usahanya membantu dakwah suaminya hanya sedikit berbanding dengan isteri pertama Fikri yang banyak membantu selama ini. Tidak hairanlah Fikri aktif dalam dakwah sebelum ini.

“Kita dah sampai,” Fikri membuka pintu keretanya sambil memegang beg berisi fail ditangannya.

Fikri berdiri, mengadap ke arah sebuah khemah di hadapan masjid, lalu menoleh ke arah Nusaibah yang berdiri di sebelah kiri kereta.

“Itu isteri pertama abang,” Fikri menuding jari ke arah khemah tersebut.

“Mana bang?” Nusaibah mengecilkan matanya, fokusnya mencari arah jari Fikri.

“Tak nampak pun,” Nusaibah meninggikan sedikit hadapan kakinya.

“Siapa nama isteri pertama abang?” Nusaibah sangat berdebar.

Fikri tersenyum lebar, memandang Nusaibah penuh tenang.

“Perjuangan,” jawab Fikri.

***

“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).”
[QS al-Taubah 9:24]

 
 

Ibtila' di Jalan Dakwah

Perjuangan Islam ini sememangnya telah dijanjikan ibtila' [ ujian\onak duri ] yang bakal merintang disepanjang jalannya. Perit , jerit dan penat lelah dalam menggalas beban amanah perjuangan menjadi sunnah.

Cumanya , sebagai insan yang serba dhaif ini terkadang seperti mahu mengaku kalah . Hanya aqidah perjuangan yang dibina sekian lama masih teguh membentengi diri .

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEidy095wwBs-mwsTMorQRwJGtKqPgXzjpxpUzJ8CBg4zHeikDYixSUOvOZXQbsaOoXDgx7fnF08zMW6xI0DE4p7aayTkUztyUSiIR_pDAcG52zv1v46Edkb0WCwxLKr2a40x_QZrGBeqVk/s400/Kebesaran+Allah.jpg

Lebih menarik , tekanan dan halangan luaran tidaklah menjadikan diri kita lemah , tetapi apabila berdepan dengan ujian dalaman terutama atas apa yang berlaku pada diri kita sendiri sementara orang lain pastinya tidak mengetahui penderitaan yang sedang kita alami .

Terkadang hati pejuang ini akan menangis sendirian melepaskan berat beban yang menindih guna mencari nafas baru dan saki baki kekuatan diri . Mungkin cara ini berkesan untuk meringankan beban perasaan bila berdepan dengan susah sukar perjuangan . Saya masih ingat bagaimana bicara Tuan Guru Hj. Nik Abdul Aziz seketika dulu semasa saya mengunjungi beliau dirumahnya .

Tuan Guru menceritakan pengalaman sewaktu beliau seorang diri menjadi wakil rakyat di Parlimen mewakili PAS . " Terkadang memandu seorang diri ke Kuala Lumpur untuk menghadhiri sidang parlimen dengan keadaan permukaan jalan tidaklah sebaik apa yang kita nikmati hari ini . Demikian juga ke hulu dan ke hilir memenuhi undangan ceramah seorang diri memandu kereta , balik jauh jauh malam . Menangis saya sambil memandu seorang diri , peritnya nak bawa Islam pada masyarakat melayu ketika itu . Sampai di rumah pula , buka saji , makanan tak ada dan isteri sudah nyenyak tidur .."

Kala terasa penat seharian dilapangan , saya segera mengingati cerita Tok Guru , terasa nyaman jiwa dan kembali segar seperti kembali dari satu sessi motivasi . Inilah juga yang diajar oleh Nabi saw : [ dalam satu hadis yang dikeluarkan oleh As Samarqandi dalam musnadnya dari Ato' bin Abi Ribah ]

إذا أصاب أحدكم مصيبة فليذكر مصابه بي فإنها من أعظم المصائب

Apabila seseorang kamu ditimpa musibah maka ingatlah musibah yang turut menimpaku kerana sesungguhnya ia adalah sebesar - besar musibah .

Pastinya jauh langit dan bumi jika dibanding tahap tekanan dan bebanan yang kita hadapi pada hari ini dengan apa yang dihadapi oleh Rasulullah saw sebagai Rasul ulul A'zmi . Namun jelas , tatkala membaca sirah Rasulullah saw , bagai satu tamparan terhadap diri sendiri betapa tidak layak pun kita nak mengeluh dengan sedikit ujian yang kita hadapi .

Jamaludin Al Afghani pernah menganggap ujian seperti buang daerah laksana melancung , penjara seperti istirehat dan dibunuh pula merupakan jalan pintas untuk menemui Allah swt sebagai kekasih yang dirindui . Sungguh dahsyat ibarat ini . Siapakah gerangannya yang mampu menganggap penjara sebagai tempat istirehat dan buang daerah sebagai pakej pelancungan jika ia bukan terdiri dari pejuang - pejuang Islam yang tinggi pergantungannya kepada Allah swt .

Manisnya berjuang apabila kita merasai keperitannya . Seperti lazatnya orang berpuasa setelah ia melalui detik lapar dan dahaga kemudian ia berbuka dihujung hari . Indahnya hidup orang yang mendapat sijil pengajian setelah berpenat lelah saban tahun mencari ilmu . Begitulah manisnya berjuang biar difitnah dan ditohmah . Biar penat dan lelah segala anggota namun dikala ada kesempatan bertelingkuh bermunajat ke hadhrat Ilahi , terasa diri cukup bertuah .

Selamat berjuang buat semua biarpun payah .

Dipetik daripada artikel ini

 
 

Tokoh-tokoh yang terlibat di dalam Hijrah Nabi S.A.W.

Di bawah ini adalah nama beberapa individu yang terlibat secara langsung dalam melancarkan proses perjalanan hijrah:

1) Saidina Ali – seorang anak muda yang berusia 32 tahun lebih muda dari Rasulullah dan merupakan sepupu Baginda, anak kepada Abu Talib bin Abdul Mutalib. Tugas yang dibebankan kepadanya adalah menggantikan tempat tidur Rasulullah pada malam hijrah disaat rumah tersebut dikepung oleh 11 pemuka Quraisy termasuk Abu Jahal dan Abu Lahab.

2) Saidina Abu Bakar – beliau lahir dua tahun setelah kelahiran Rasulullah SAW. Beliau terlibat dalam hijrah ke Habsyah (Ethopia) sebelum hijrah ke Madinah. Dalam hijrah ke Madinah, Rasulullah SAW memilih beliau sebagai teman dalam perjalanan.

http://asubja.files.wordpress.com/2009/06/img_0136.jpg

3) Abdullah bin Abu Bakar – beliau adalah anak Saidina Abu Bakar yang ditugaskan sebagai intel untuk mencari maklumat dan menyampaikan maklumat kepada Rasulullah SAW yang bersembunyi di Gua Thur selama 3 hari sebelum meneruskan perjalanan ke Madinah. Abdullah mendengar apa sahaja perbicaraan penduduk Mekah (tentang mereka) di siang hari dan pada petangnya, menyampaikan info tersebut kepada mereka. Setiap malam (dalam tempoh 3 hari tersebut), Abdullah tidur di gua bersama mereka dan pulang pada waktu Subuh.

4) Asma’ binti Abu Bakar – beliau juga adalah anak kepada Saidina Abu Bakar. Tugasannya adalah menghantar makanan ke Gua Thur setiap hari. Sangat menakjubkan kerana saat itu ia sedang hamil tua, namun mampu mendaki gunung yang tidak mampu didaki oleh semua orang. Asma’ digelar ‘Zatun Nitaqain’ artinya ‘pemilik dua ikat pinggang’ kerana ia memotong kain ikat pinggangnya untuk mengikat mulut kantung makanan tersebut.

5) Amir bin Fuhairah – beliau adalah mantan hamba kepada Abu Bakar. Beliau diberi tugasan supaya membawa kambing-kambing peliharaannya ke padang pasir pada waktu siang bagi menghilangkan jejak kaki Abdullah dan Asma’ dan pada waktu petang membawa kambing ke gua Thur untuk diperah susunya.

6) Abdullah bin Uraiqith – beliau adalah seorang Musyrik yang mempunyai keahlian dalam menunjuk jalan di padang pasir. Sekitar 4 bulan sebelum berangkat berhijrah, Rasulullah dan Abu Bakar menyerahkan dua ekor unta kepadanya untuk dipelihara untuk kegunaan tunggangan berhijrah nanti. Sampai masanya beliau bertemu Rasulullah dan Abu Bakar dengan membawa unta tersebut untuk berhijrah.

Ertinya, kita dibenarkan meminta bantuan pihak non-Muslim dalam beberapa hal yang mereka ada kepakaran, syaratnya mereka itu boleh dipercayai, tidak akan khianat atau membocor rahsia.

Maka, setiap umat Islam khasnya mereka yang mengintima’kan diri bersama perjuangan Islam berkewajipan memberikan sumbangan, pengorbanan (tenaga, masa dll) serta kepakaran yang kita ada untuk membantu urusan agung ini. Jangan ada yang menyebut, ‘maaf, saya tiada ilmu..maaf, saya tak pandai berceramah’ dan lain-lain. Kerana membantu Islam sangat banyak jalannya.

Wallahu'alam

 
 

Tarawih: Jangan Berbalah

Tazkirah disampaikan oleh Dr Asri Zainal Abidin



Semoga Ramadhan ini lebih baik daripada tahun lepas. Selamat berpuasa!!!!

 
 

Sheikh Mustafa Sabri Afendi: Mufti Penentang Sekular

[sabri.jpg]

Sheikh Mustafa Sabri Afendi (gambar atas) salah seorang mufti bagi Kerajaan Turki Uthmaniyyah yang menyaksikan secara langsung detik-detik akhir jatuhnya Khilafah Islam ini. Beliau lahir pada tahun 1869 dan meninggal dunia pada tahun 1954. Beliau diangkat menjadi mufti pada tahun 1920 iaitu di era pemerintahan Khalifah Muhammad VI (gambar bawah) (1918-1922). Beliau adalah Khalifah yang ke 36 dalam pemerintahan Turki Uthmaniyyah. Selepas beliau, adalah Khalifah Abdul Majid II (1922-1924).

[mhmdvi.jpg]

Sheikh Mustafa saat itu lantang mengkritik gerakan Sekular di bawah pimpinan Mustafa Kamal Attaturk. Akhirnya beliau di buang negeri pada tahun 1922 dan menuju ke Mesir bersama para pengikutnya. Khalifah Muhammad VI tidak mampu berbuat apa-apa lagi dalam hal ini kerana pemerintahan Turki sudah mula dikuasai oleh gerakan Sekular, Freemason dan sebagainya. Bahkan, Khalifah Muhammad VI juga yang melantik Mustafa Kamal Attatuk sebagai Pemeriksa Umum Tentera Kerajaan Turki Uthmaniyyah pada April 1919 dan diberi kepercayaan mentadbir tentera di kawasan Anadhol (Mustafa Kamal Attaturk memang sangat dipercayai saat itu sehingga berjaya mengelabui mata para ulama’ di Turki).

Selepas sistem khilafah ditumbangkan pada tahun 1924, Kerajaan Turki Sekular dengan Presidennya yang pertama, Mustafa Kamal menunjukkan sikap ‘lunaknya’ dengan menawarkan pengampunan kepada Sheikh Mustafa Sabri dan 150 pengikutnya. Beliau meninggal dunia di Mesir pada tahun 1954.

Antara kenyataan Sheikh Mustafa Sabri yang paling penting diberi perhatian adalah “memisahkan agama dengan politik, adalah jalan paling mudah untuk menjadi KAFIR !!!”.