Serambi Dakwah

IconMusafir di bumi Ilahi, aku singgah untuk menuntut ilmu untuk meneruskan perjalanan yang masih panjang.....

Sudahkah layak kita bergelar Dai'e




Dalam mengemudi bahtera perjuangan kita di bumi ini, harus kita pastikan kompas dan hala tuju kita sentiasa benar. Oleh itu, ahli gerakan Islam perlu sentiasa diingatkan tentang manhaj dakwah dan tidak terawang-awang dalam merencanakan program dakwah.

Ramai dikalangan para dai'e masa kini belum memahami hala tuju dakwah sehingga mereka menyangka bahawa tanggungjawab dakwah itu telah tertunai dengan menyampaikan ceramah di mimbar, menulis artikel atau menghangatkan perbincangan di ruang maya. Ada juga yang menyangka bahawa puncak kesempurnaan ahli sebuah gerakan dakwah adalah menjadi pengarah atau pekerja yang aktif dalam setiap program. Mereka ini melihat kerja dakwah dari sudut pandang yang sempit, terkongkong dalam definisi tamrin dan program semata-mata.

Sedangkan hakikat dakwah itu meluas dan sebati dalam kehidupan seorang muslim tanpa mengira tempat dan masa. Inilah perkara pokok dalam manhaj sepertimana yang telah diterangkan oleh Fathi Yakan dalam bkunya Bagaimana Kita Menyeru Kepada Islam.

Kita hanyalah berada dipinggiran medan dan belum layak bergelar dai'e jika ruang lingkup dakwah kita hanya berpusat pada tugas yang dijalankan dalam program yang dirancang sahaja. Sedang di luar program, kita masih dalam kesedaran yang lesu untuk menasihati rakan serumah sendiri, membina hubungan mesra dengan rakan sekelas, mengadakan usrah secara konsisten apatah lagi mengubah suasana keluarga sendiri yang jauh dari Islam.

Kencang dakwah kita kencang bertempat, seolah-olah kewajipan dakwah juga tertakluk kepada tempat-tempat dan masa-masa tertentu sahaja. Oleh yang demikian, sebagai jurutera-jurutera dakwah, marilah kita kembali menelaah kompas hala tuju kita.


Pengertian yang sebenar tentang tugas beramal dalam Islam seharusnya menjadi darah daging kita yang bertugas di lapangan ini. Apabila pengertian ini telah melekat sebati dalam jiwa, kita bukan sahaja akan menjadi ahli strategi dan penggerak kepada program Islam. Malahan kita sepanjang masa akan berusaha menjadi pengamal Islam yang punya akhlak yang unggul yang lidahnya berbahasa dengan kalimah Islam yang sejahtera, hatinya luhur dengan kefahaman Islam yang sebenar, dan minda yang tidak lelah memikirkan cara yang berhikmah untuk menyebarkan Islam ke seluruh alam. Demikian kaca mata kita dalam memahami manhaj dakwah.

Wahai pejuang-pejuang Islam, muhasabah. Sudahkah kita bergelar dai'e? Atau hanya sekadar nama, tanpa amal yang benar-benar mampu membuktikannya?

 
 
 
 

Post a Comment 0 comments:

Post a Comment