Serambi Dakwah

IconMusafir di bumi Ilahi, aku singgah untuk menuntut ilmu untuk meneruskan perjalanan yang masih panjang.....

Pendapat-pendapat Ulama Mengenai Taadud Jamaah

1.1. Pendapat Harus Bersyarat.

1.1.1.Lajnah Kajian Ilmiah dan Fatwa.

“Setiap peribadi umat dan jamaah seperti jamaah Tabligh, Persatuan Pelajar-Pelajar Muslim, Ikhwan Muslimun, Jamaah Belia Muslimin, Jamaah Ansar Sunnah Muhamadiyyah, Persatuan Syar’ie Penghayatan Kitab dan Sunnah Muhammadiah dan sebagainya tidak ma’sum (terpelihara daripada kesilapan) . Bahkan kadang-kadang silap dan kadang-kadang betul. Setiap jamaah memiliki kebaikan-kebaikan dan keburukan-keburukan pada hukum-hakam yang diseru dan disebarkan dijalan dakwahnya sehingga kepada apa yang diiktiqadkan , diamalkan dan dibina untuk membimbing dan memindah manusia kepada dakwahnya.”(8)

ULASAN.
Pendapat ini telah ditangani oleh Sheikh Abdullah bin Qaun, Sheikh Abdullah bin Qadyan, Sheikh Abdul Aziz bin Afifi dan Sheikh Abdul Aziz bin Baz. Pendapat ini dikemukakan lanjutan daripada soalan yang dikemukakan kepada pihak lajnah untuk mengetahui kebenaran di antara Jamaah Tabligh dan Persatuan Pelajar-Pelajar Muslimin di Arab saudi. Beberapa teguran telah disampaikan oleh pihak lajnah terhadap jamaah tersebut. Beberapa penilaian terhadap fatwa ini perlu dibuat :-

i. Fatwa ini dikeluarkan di negara Arab Saudi yang mengamali Islam sebagai rujukan negara. Fatwa ini tidak sesuai untuk dilaksanakan di negara yang mengamalkan ideologi Sekularisme. Kaedah fekah ”Berubah hukum-hakam dengan berubahnya zaman dan keadaan”
ii. Lajnah ini tidak menyebut hujjah pengharusan penubuhan taadud jamaah. Di samping itu, pihak lajnah telah menyebut keburukan-keburukan jamaah Tabligh dan persatuan-persatuan pelajar muslimin Arab Saudi dengan tidak menyatakan jamaah manakah yang sewajarnya diintima’kan.


1.1.2. Ustaz Mustaffa Masyhur (Mursyidul Am Ikhwan Muslimun Mesir)

[Al-Marhum  telah meninggal dunia pada 29 Oktober 2002,  menjadi Mursyidul Am Ikhwan yang ke-5]
“Adapun kewajipan dan pendirian kami tentang jamaah-jamaah dan organisasi-organisasi (selain Ikhwan Muslimun) ialah apa yang diperluaskan oleh agama kami (Islam) daripada sifat kasih sayang, mawadah, nasihat-menasihati, bantu-membantu di atas asas kebajikan dan takwa dan mengelak perselisihan dan pertelingkahan serta berusaha untuk bersatu kerana melaksanakan firman Allah (9)

واعتصموا بحبل الله جميعا ولا تفرقوا
Maksudnya : “ Dan berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah (ugaa Allah) dan janganlah kamu bercerai berai .”
(surah Ali Imran : 103)

ULASAN

Inilah pendirian yang diungkapkan oleh Al-Imam Hasan Al-Banna di dalam Risalah Muktamar Ke-5. Pendapat taklidi ini perlu dikaitkan dengan syarat-syarat dan batas-batas yang disebut oleh Al-Imam di dalam muzakirahnya yang bertajuk ,(موقف الاحوان المسلمين من غيرهم) “Pendirian Ikhwan Muslimin terhadap pihak lain”(10);

i. Setiap anggota Ikhwan Muslimin semestinya mengenali matlamat Ikhwan Muslimun dengan sempurna dan menjadikan satu miqyas di antara Ikhwan Muslimun dan manusia.

[miqyas bermaksud kayu ukur, alat pengukur, alat untuk dibuat pertimbangan]

ii. Setiap manhaj yang tidak menyokong Islam dan tidak berpusat pada usul-usul umum Islam , tidak akan membawa kepada kejayaan.

iii. Setiap organisasi yang mentahqiqkan satu aspek daripada aspek-aspek manhaj Ikhwan Muslimin dengan kerja-kerjanya, hendaklah disokong oleh anggota Ikhwan Muslimin pada aspek ini.

[mentahqiq bermaksud berusaha merealisaskin, menjadi nyata]

iv. Kewajipan pada anggota Ikhwan muslimin menyokong mana-mana organisasi yang mereka yakini , bahawa organisasi tersebut tiak mengingkari matlamat Ikhwan Muslimin pada satu masa daripada satu masa.

v. Organisasi -organisasi yang memberi manafaat menuju ke matlamat Ikhwan Muslimin dengan menguatkannya dan tidak melemahkannya.

vi. Ikhwan Muslimun mengalu-alukan setiap fikrah yang menyeru untuk mentauhidkan usaha-usaha muslimin di seluruh pelusuk dunia dan menyokong fikrah kesatuan Islam sebagai satu kesan daripada kesan-kesan kesedaran Timur.

vii. Ikhwan Muslimun bersifat ikhlas kepada setiap organisasi Islam dan berusaha untuk mendekatkan (mentaqribkan ) di antara setiap organisasi dengan berbagai cara. Anggota Ikhwan Muslimun hendaklah mengira bahawa kasih sayang di antara muslimin merupakan asas yang baik untuk membangunkan muslimin. Ikhwan akan menolak setiap organisasi yang mengaburi makna Islam seperti Qadyaniah Dan Bahaiyyah.

Pendapat ini telah diperjelaskan oleh Al-Ustaz Said Hawwa:

” Daripada kaedah yang disebut oleh Al-Imam Hasan Al-Banna, kami menyedari bahawa berbilang-bilang pertubuhan mungkin boleh ditubuhkan dan berada di satu negara. Pertubuhan-pertubuhan ini mungkin parti politik semata-mata, mungkin pertubuhan-pertubuhan kebajikan, mungkin pertubuhan di bawah naungan sheikh ilmuan atau pertubuhan di bawah naungan sheikh tarbawi atau selain daripada itu, daripada pertubuhan-pertubuhan yang dihimpunkan di atas Sifat Islamiyyah”.(11)

Adakah pertubuhan-pertubuhan yang dimaksudhan oleh Al-Imam Hasan AlBanna dan Al-Ustaz Said Hawwa yang dibenarkan kemunculannya boleh digolongan sebagai Jamaah Islamiah dan Hizbullah yang layak untuk diintima’kan ? Penilaian terhadap ciri-ciri Hizbullah perlu diambil kira untuk memahami pandangan ini.

1.1.3. Dr. Solah Sowi.

“Sesungguhnya taadud jamaah yang diterima di lapangan amal Islami terkini ialah taadud takhasus dan berjenis-jenis (تعدد تخصص وتنوع), bukan taadud pertentangan dan perlawanan (تعدد تضاد وتناقض) Adapun taadud yang memecahkan wala‘ umat di antara pertubuhan-pertubuhan, meretakkan barisan dan laknat-melaknati di antara manusia merupakan wabak dan kecelakaan yang mengubah waqi’ kepada fitnah dan menghamparkan jalan kepada pendapat untuk menyendiri (beruzlah) daripada semua”.(12)

ULASAN

Dr. Solah Sowi telah mengemukakan beberapa penetapan dan syarat untuk membolehkan taadud untuk diterima. Ertinyanya, jika syarat-syarat ini tidak mampu dilaksanakan dan diterima pakai , maka taadud tidak akan dibenarkan sama sekali. Syarat-syarat itu ;

i. Kesatuan usul-usul dan mazhab Itiqadiah (mazhab Ahli Sunnah Wa Jamaah).
ii. Terbatas kekhilafan di ruang-lingkup furu’ dan masalah ijtihadiyyah.
iii. Mengekalkan kesatuan, kesejahteraan dan ukhuwah.
iv. Takamul (sempurna-menyempurnakan) di antara pihak lain
v. Kesatuan pendirian politik dan jihad.

Harakah Islamiah ialah harakah jihad. Ia berdiri pada mulanya untuk mengubah suasana jahiliyyah dan melaksanakan sistem Islam . Di dalam usaha ini semestinya harakah Islamiah terlibat di dalam beberapa peperangan juz’iyyah dan syumuliyyah untuk menghadapi musuh-musuh Islam dan pelawan undang-undang Allah. Dr. Solah sawi telah menambah dengan katanya

“Perkara ini menetapkan dengan menyandarkan satu syarat khas iaitu mentansiqkan (penyelarasan) di antara golongan-golongan ini pada masalah yang besar dan isu-isu berhadapan dengan musuh Islam.”(13)

1.1.4. Dr. Yusof Al-Qardawi

“Tiada halangan taadud jamaah yang beramal untuk Islam, selama-mana keuzuran untuk mewujudkan kesatuan dengan sabit kelainan matlamat-matlamat, kelainan manhaj-manhaj, kelainan kefahaman-kefahaman dan kelainan thiqah terhadap setengah yang lain, berdasar taadud takhasus dan berjenis (تعدد تنوع وتخصص) dan bukan taadud pertentangan dan perlawanan (تعدد تضاد وتناقض). Semuanya hendaklah berdiri di dalam satu saf pada setiap perkara yang mengembalikan kewujudan Islam, Aqidah Islamiah, Syariah Islamiah dan umat Islam.”(14)


“Kelahiran jamaah-jamaah lanjutan daripada penilaian terhadap perlunya amal jamai’. Amal jamai’ untuk menolong Islam, membebaskan tanahair, menyatukan umat dan meninggikan kalimah Allah adalah suatu yang fardhu dan daruri. Kefarhduan yang diwajipkan oleh Islam dan daruri yang dimestikan oleh waqi’ Amal jamai bererti membentuk Jamaah-jamaah atau parti-parti untuk menegakkan kewajipan ini. “(15)

ULASAN

Dr. Yusof Al-Qardawi telah menganggap pendapat yang mengharamkan taadud jamaah sebagai fatwa kosong dan terasing daripada agama Allah. Beliau juga telah menyatakan beberapa dalil yang menunjukkan keharusan menubuhkan jamaah-jamaah. Hujjah–hujjahnya telah disebut di dalam kitabnya(16) “

i. Kaedah fekah :-
الاصل فى الاشياء والتصرفات المتعلقة بعادات الناس ومعاملاتهم الاباحة
(Asal pada perkara-perkara dan urusan-urusan yang berkait dengan adat-adat dan muamalat manusia adalah harus.)

ii Nas-nas Al-Quraan dan hadis.

Firman Allah Taala :
وتعاونوا على البر والتقوى ولا تعاونو على الاثم والعدوان
Maksudnya : “Tolong menolonglah kamu untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu tolong-menolong pada melakukan dosa dan permusuhan.”
(surah al-Maidah : 20)

Firman Allah Taala :
واعتصموا بحبل الله جميعا ولا تفرقوا
Maksudnya : “Dan berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah (ugama Islam) dan janganlah kamu bercerai berai.”
(surah Ali Imran : 103)

Sabda Rasulullah ;
المؤمن للمؤمن كالبنيان يشد بعضه بعضا
Maksudnya : “Seorang mu’min dengan mu’min yang lain seperti bangunan yang teguh meneguh di antara satu sama lain.”
(riwayat Bukhari dan Muslim)

Sabda Rasulullah :
يد الله مع الجماعة ومن شذ شذ فى النار
Maksudnya ; “Tangan Allah bersama jamaah Islam dan sesiapa yang menyendiri daripada jamaah, dia akan keseorangan di dalam neraka.”
(riwayat Tarmizi)

“Sunnah Rasulullah telah menyeru kepada satu jamaah dan kesatuan dan melarikan daripada kedagangan dan perpecahan. Sunnah Rasul menyeru kepada ukhuwah dan mahabah dan menjauhkan daripada permusuhan dan marah-memarahi.”(17)

[kedagangan bermaksud terasing dan mengasingkan diri daripada umum, kelainan]

Kaedah yang dikemukakan menunjukkan bahawa penubuhan jamaah Islam adalah harus pada asalnya selama mana tiada dalil yang mengharamkan. Kaedah fekah (18) iaitu

الاصل في الاشياء الاباحة مالم يدل الدليل على التحريم

Di sana wujudnya dalil-dalil yang mengharamkan pepecahan dan menuntut kesatuan.

Ayat-ayat dan hadis-hadis yang disenaraikan tidak menunjukkan secara jelas dan terang akan keharusan menubuhkan jamaah-jamaah tanpa syarat tetapi lebih jelas dan zahir akan tuntutan supaya menubuhkan satu jamaah sahaja supaya tidak berlaku jenayah perpecahan dan terlaksana kefardhuan kesatuan.(الاتحاد فريضة والتفرق جريمة)

1.2. Pendapat Yang Tidak Mengharuskan Taadud.

1.2.1. Al-Ustaz Fathi Yakan.

“Lapangan Islam telah menyaksikan kelahiran harakah-harakah, tanzim-tanzim , persatuan-persatuan dan golongan-golongan Islam di atas ruang lingkup yang luas. Meskipun setengah orang berpendapat dan mengira demikian (taadud jamaah) satu fenomana sihat, sesungguhnya di sepanjang kafahaman syara’ untuk amal islami, penentuan sahih bagi maslahah Islamiayyah dan tindakan susulan terhadap apa yang berlaku, saya mengira taadud jamaah sebagai fenomena berpenyakit dan bahaya serta diperingatkan dengan akibat-akibat yang dahsyat yang tidak diketahui penghujungnya melainkan Allah.”(19)

ULASAN

Al-Ustaz Fathi Yakan tidak mengharamkan secara mutlak taadud jamaah tetapi melihat kepada kesan-kesan negatif dan bukti-bukti waqi menunjukkan bahawa taadud jamaah tidak mendatangkan faedah untuk amal Islami. Al-Ustaz Fathi Yakan telah membawa hujjah-hujjah kefardhuan dan daruri kesatuan amal Islami . Di antaranya ;(20)

i. Kesatuan Amal Islami pada sudut kefardhuan syara’.

Asal di dalam syariat Islam ialah kesatuan amal Islami dan bukan berbilang-bilang. Kesatuan ini dikira fardhu pada syara’ dengan beberapa sebab .

a) Dalil asal menunjukkan umat Islam bersatu kerana banyak nas-nas yang menyeru kesatuan umat Islam.Firman Allah Taala;
ان هذه أمتكم أمة واحدة وانا ربكم فاعبدون
Maksudnya : “ Sesungguhnya ini umat kamu, umat yang satu. Dan Aku tuhan kamu, maka sembahlah kepadaKu.”
(surah al-Anbiyaa’ : 92)

b) Dalil asal daripada nas-nas yang menggalakkan kesatuan dan larangan kekhilafan.Firman Allah Taala ;

ولا تكونوا كالذين تفرقوا واختلفوا من بعد ماءهم البينت واولئك لهم عذاب عليم
Maksudnya : “Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan nasrani) yang telah bercerai berai dan berselisihan (dalam ugama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata. Dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar.”
(surah Ali Imran : 105)

Sabda Rasulullah :من فرق فليس منا
Maksudnya ; “Sesiapa yang memecah-belahkan, dia bukan daripada kami.”
(riwayat Tabari)

c) Dalil asal hadis yang meminta supaya iltizam pada satu jamaah sahaja , bukan jamaah-jamaah. Di antaranya, sabda rasulullah ,

ستكون هنات وهنات فمن اراد ان يفرق امر هذة الامة وهي جميع فاضربوه بالسيف كائنا ما كان
Maksudnya : “Akan berlaku bala demi bala , sesiapa yang menghendaki untuk memecah-belahkan urusan umat ini, sedang mereka telah berhimpun di atas perkara itu, maka pancunglah dia dengan pedang selama mana dia terus berada di atas yang demikian itu.”
(riwayat Muslim)

ii. Kesatuan amal Islami adalah daruri pada sudut haraki berasaskan kepada beberapa sebab. Di antaranya ,

a) Perubahan Islam melazimkan pembentukan kesatuan kekuatan Islam di jalan dan langkah yang satu. Ketiadaan kesatuan melambatkan operasi Islam untuk menghancurkan jahiliyyah dan memungkinkan kekuatan jahiliyyah terus bertapak.
b) Tekanan sedunia terhadap Islam dan harakah Islamiyyah yang memerlukan kesatuan hala tuju dan penghadapan.
c) Kesatuan parti-parti musuh untuk menghadapi harakah Islamiyyah.


Hujjah-hujjah yang dibawa oleh Dr. Yusof Al-Qardawi untuk mengharuskan taadud, terjawab dengan hujjah-hujjah yang dikemukakan oleh al-Ustaz Fathi Yakan. Walaupun demikian, nas-nas sarih menunjukkan tuntutan penubuhan satu jamaah sahaja untuk penyatuan ummah ini dan bukan berbilang-bilang yang menimbulkan perpecahan.

[nas sarih adalah teks dalil yang nyata, terang dan jelas]

1.2.2. Sheikh Husein bin Muhsin bin Ali Jabir.

“Saya tertarik bahawa taadud jamaah pada umat Islam batil (salah) yang wajib hilang. Sesungguhnya kewajipan pada keyakinan saya, bahawa dicurahkan segala usaha umat seluruhnya di dalam satu bahtera dan satu hala tuju. Isyarat ini berpaling kepada bahtera itu yang wajib menghimpunkan setiap peribadi yang bekerja untuk mengembalikan khilafah kepada umat Islam.”(21)

Sebahagian petikan daripada kertas kerja FENOMENA TAADUD JAMAAH : SATU PENILAIAN
Ustaz Mohd Nor bin Hamzah, (1990an)

Nota Kaki:
[8] maza syarieah al-intima Dr Solah Sowi  m/s 132

[9] wahdatul amal fil katral wahdah- Ustaz Mustafa Mashor m/s 14

[10] durus fil amal al islami- Ust Said Hawa m/s 26-27

[11] Ibid m/s 26

[12] Sila lihat huraian- Dr Solah Sowi Op. Cit.  m/s 325-334

[13] Ibid 325-334

[14] min fikhul dawlah fil islam- Dr Yusof Al- Qardawi  m/s 154

[15] ibd 159

[16] Ibid 159

[17] alsofwatul islamiah bainal ikhtilaf  almashruk waltafrik almazmum-Dr Yusof Al- Qardawi  m/s 34

[18] alashbah wal nazoir- Imam As Sayuti  m/s 60

[21] althoriq ila jamaatul muslimin- Hassan al-banna m/s 21

 
 
 
 

Post a Comment 5 comments:

hanzalah said...

Mcm mane nak isi borang pas ye,saye rase nak bertobat dr ikut tabligh ni,penat la kluar2,kena tggal ank bini

January 3, 2013 at 10:17 AM

JUNDULLAH said...

Bagi alamat email tuan..

December 22, 2013 at 8:15 PM

JUNDULLAH said...

Bagi alamat email tuan..

December 22, 2013 at 8:18 PM

Unknown said...

Salam.boleh tuan share keseluruhan kertas kerja atau hasil kajian dan penilaian sbb saya lihat kertas kerja ni separuh.syukran...dan terdapat kesimpulan atau nas yang diikat secara khusus walaupun dalil tersebut umum.jadi,mohon dishare keseluruhan kertas kerja pembentangan ini.boleh hantar kepada saya kepad alamat email ini.syukran

November 29, 2015 at 3:05 PM

Unknown said...

Dan tiada rujukan dari tulisan usta fathi yakan

November 29, 2015 at 3:07 PM

Post a Comment