Ruba’i bin Amir, panglima tentera Muslim berkata di hadapan Rustum, raja Parsi dengan catatan emas berikut:
“Kami datang untuk membebaskan manusia dari perhambaan sesama manusia, kepada menjadi hamba kepada Allah SWT, dan mengeluarkan mereka dari kesempitan dan kezaliman agama-agama kepada keluasan dan keadilan Islam.”
Seorang yang menjalankan tugas-tugas dakwah ini dipanggil sebagai pendakwah, atau dalam bahasa Arabnya disebut sebagai da'ie. Siapakah sebenarnya da'ie ini? Adakah ustaz-ustaz sahaja yang layak digelar da'ie? Berdirilah di hadapan cermin dan tunjuklah kepada imej di dalam cermin itu. Ya, aku adalah da'ie. Kita semua adalah da'ie.
“Dan orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain, mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan dan mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya, mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah, sesungguhnya Allah Maha Perkasa, lagi Maha Bijaksana”
(at-Taubah: 71)
Adakah kita mahu mendapat rahmat Allah? Adakah kita mahu tergolong dalam golongan yang telah Allah nukilkan dalam kitab yang agung? Adakah kita ingin nama kita disebut-sebut di langit? Marilah kita bersama-sama memburu serta berusaha menjadi golongan yang Allah sebutkan ini.
Seorang da'ie perlulah mempunyai mata lebah. Bagaimanakah yang dikatakan dengan mata lebah itu? Mata lebah sentiasa mencari-cari bunga yang harum, walaupun di celahan sampah sarap. Janganlah pula seorang da'ie itu mempunyai mata lalat, iaitu walaupun berterbangan di taman bunga, masih mencari-cari tahi dan sampah sarap sahaja.
Seorang da'ie perlulah melihat orang ramai (mad'u) dengan mata lebah. Dalam usaha dakwah ini, seorang da'ie perlulah cerdik untuk mencari kebaikan pada diri mad'u mereka. Walaupun mad'u ini dipalit seribu kejahatan, tetapi seorang da'ie akan berusaha mencari kebaikan mad'u itu, seterusnya mengembangkan potensi kebaikan mad'u itu dan dalam masa yang sama, cuba untuk memperbaiki kelemahan serta keburukan mad'u tersebut.
Jangan jadi seperti lalat. Walaupun berhadapan dengan orang yang baik-baik, dia terus melihat keburukan orang lain. Impaknya, beliau sering memfokuskan kesalahan dan kelemahan dan tidak pula memuji kebaikan orang lain. Orang seperti ini akan dijauhi malah mungkin dibenci oleh masyarakat. Bagaimana orang seperti ini boleh menjadi da'ie yang berkesan?
Mari menjadi da'ie bermata lebah.
Diambil daripada: http://alternatethunder.blogspot.com/
Post a Comment 0 comments: