Serambi Dakwah

IconMusafir di bumi Ilahi, aku singgah untuk menuntut ilmu untuk meneruskan perjalanan yang masih panjang.....

Abu Ubaidah bin Al-Jarrah : Pemegang Amanah Umat Beriman

Nama sebenarnya adalah ‘Amir bin ‘Abdullah bin al-Jarrah al-Fihri al-Quraisy al-Makki. Beliau salah seorang sahabat yang dijamin masuk Syurga, memiliki wajah yang berseri, tampan orangnya tinggi lampai, tidak gempal dan berjambang nipis. Beliau mudah mesra, tawaddhu' dan pemalu. Namun, di saat yang genting beliau bagaikan singa yang mencari mangsa. Kualiti iman dalam dirinya dapat kita ketahui melalui sabda Baginda Nabi S.A.W, “Sesungguhnya setiap umat mempunyai orang kepercayaan, dan orang kepercayaan umat ini adalah Abu Ubaidah bin al-Jarrah.”  (Riwayat al-Tirmizi)

Abdullah bin ‘Umar pernah menjelaskan perwatakan Abu Ubaidah ini, “Tiga lelaki Quraish yang paling berseri wajahnya, paling baik akhlaknya, dan paling teguh sifat malunya; Jika mereka berkata kepadamu, mereka tidak berdusta. Jika kamu berkata kepada mereka, mereka tidak akan mendustakannya. Mereka adalah Abu Bakr, Uthman bin ‘Affan dan Abu Ubaidah bin al-Jarrah.”

Manakala diriwayatkan yang dinayatakan oleh Saidatuna Aishah R.A.H, beliau berkata, “Rasulullah S.A.W pernah ditanya, Siapa yang engkau cintai (dari golongan laki-laki)?”

Baginda menjawab, “Abu Bakar.” 

Lalu ditanyakan kepada Baginda lagi, “Kemudian siapa?” 

Baginda menjawab, “Abu Ubaidah bin al-Jarrah.” (riwayat al-Tirmizi dan Ibnu Majah). Dalam riwayat lain mengatakan bahawa Umar al Khattab.

Abu Ubaidah bin al-Jarrah dilahirkan di Makkah, di dalam sebuah rumah keluarga suku Quraish yang dihormati dan disegani oleh pemuka kabilah masyarakat Arab. Meskipun demikian, Abu Ubaidah juga tergolong di dalam golongan yang paling awal memeluk Islam, agama yang menjadi ancaman kepada masyarakat Arab jahiliyyah ketika itu. Abu Ubaidah memeluk Islam sehari selepas pengislaman Abu Bakar dan ini adalah hasil daripada dakwah Abu Bakar kepada Abu Ubaidah.



Pengislaman Abu Ubaidah disaksikan Abdul Rahman bin ‘Auf, Uthman bin Maz’un dan al-Arqam bin Abi al-Arqam yang telah mengucapkan syahadah di hadapan Rasulullah S.A.W. Maka, ini bermakna Abu Ubaidah adalah golongan yang bersama Rasulullah daripada awal hingga akhir perjuangan mereka di Makkah. Seperti mana yang kita ketahui, pada waktu itu mereka ditimpa pelbagai seksaan disebabkan ajaran yang dibawa oleh Baginda Nabi.

Kehidupan Abu Ubaidah tidak jauh berbeza dengan kebanyakan sahabat lainnya, diisi dengan perjuangan menegakkan Islam. Ketika Baginda Rasulullah mengizinkan umat Islam berhijrah ke Habsyah, beliau turut serta berhijrah ke sana bersama rombongan Muslim yang lain di saat gelombang kedua kekejaman musyrikin Quraish demi menyelamatkan aqidahnya.

Walaupun Abu Ubaidah menghadapi pelbagai dugaan di Makkah, namun boleh dikatakan dugaan paling mencabar yang dihadapinya adalah ketika perang Badar di mana dugaan ini benar-benar melampaui jangkaan dan khayalan. Ketika peperangan itu, Abu Ubaidah menyerang musuh-musuh dengan begitu hebat sekali dengan perwatakan pahlawan mencari syahid dan tidak takutkan mati. Semangat kepahlawanan beliau telah menggerunkan tentera Musyrikin sehingga mereka berwaspada dan cuba mengelak daripada bertempur dengan Abu Ubaidah.

Dalam pada jumlah tentera Quraish yang ramai itu, ada seorang sahaja yang benar-benar ingin bertempur dan mengekang semangat kepahlawanan Abu Ubaidah itu. Keadaan ini menyebabkan Abu Ubaidah cuba mengelak daripada bertempur dengan lelaki tersebut. Setiap serangan oleh lelaki itu, Abu Ubaidah mengelak dengan segera. Lelaki itu tidak berputus asa dan dia menyekat kemaraan Abu Ubaidah dengan menghunuskan pedang ke arah Abu Ubaidah sehingga tiada pilihan lain lagi untuk beliau mengelak. Dalam keadaan terpaksa, dia menetak lelaki tersebut dan membuatkan badan lelaki itu tersungkur ke bumi. Lelaki yang jatuh menyembah bumi itu adalah ‘Abdullah bin al-Jarrah, ayah kepada Abu Ubaidah.

Allah menurunkan firman-Nya terhadap tindakan nekad Abu Ubaidah terhadap bapanya sendiri :



“Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih-mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan RasulNya, sekalipun orang-orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka, ataupun keluarga mereka. Mereka (yang setia) itu, Allah telah menetapkan iman dalam hati mereka, dan telah menguatkan mereka dengan semangat pertolongan daripadaNya; dan Dia akan memasukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka tetap kekal di dalamnya. Allah redha akan mereka dan mereka redha (serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya. Merekalah penyokong-penyokong (agama) Allah. Ketahuilah! Sesungguhnya penyokong-penyokong (agama) Allah itu ialah orang-orang yang berjaya.” (Al Mujadilah:22)

Ketika Abu Ubaidah di medan perang Uhud, beliau adalah salah seorang sahabat yang melindungi Rasulullah S.A.W. Mereka mempertahankan Nabi seolah-oleh dada dan tubuh mereka tembok yang menghalang panah dan tombak musuh. Apabila peperangan tamat, gigi kacip Rasulullah patah, kulit dahinya terkoyak dan dua mata rantai baju perisai Baginda terbenam di pipinya. Abu Bakar datang untuk mencabutnya namun Abu Ubaidah berkata, “Biarlah saya yang mencabutnya.”

Abu Bakr berundur dan memberikan laluan kepada Abu Ubaidah kerana bimbang jika dicabutnya mata rantai itu dengan tangan ia akan menyakitkan Rasulullah. Abu Ubaidah berusaha mencabutnya tetapi beliau menggunakan gigi kacipnya dengan cara menggigitnya sehingga mata rantai itu tercabut dan mengakibatkan sebahagian giginya lerai ke bumi.

Abu Bakr as-Siddiq R.A berkata, “Abu Ubaidah merupakan manusia rongak yang berakhlak mulia.” (rujuk dalam Siyar A'lam an Nubala')

Sepeninggalan Rasulullah S.A.W, Umar bin al-Khattab R.A mengatakan kepada Abu Ubaidah bin al-Jarrah di hari Saqifah, “Hulurkan tanganmu! Agar saya baiah kamu, kerana saya mendengar Rasulullah S.A.W bersabda; Dalam setiap kaum terdapat orang yang jujur. Orang yang jujur di kalangan umatku adalah Abu Ubaidah.”

Lalu Abu Ubaidah menjawab, “Saya tidak mungkin berani mendahului orang yang dipercayai oleh Rasulullah S.A.W menjadi imam kita di waktu solat (yakni Saidina Abu Bakr as-Siddiq R.A), oleh sebab itu kita sayugia memilih Abu Bakr menjadi khalifah sepeninggalan Rasulullah S.A.W.”

Di sisi lain tentang kehebatan sahabat yang satu ini adalah kezuhudannya. Ketika kekuasaan Islam telah meluas dan kekhalifahan dipimpin oleh Umar bin al-Khattab R.A hampir-hampir membebaskan Baitul Maqdis daripada belenggu Rom, Umar telah mengadakan kunjungan dan singgah ke khemah Abu Ubaidah. Namun, tidak terlihat sesuatu pun di dalamnya yang berharga kecuali pedang, perisai dan pelana tunggangannya.

Umar pun lantas berujar kepada Abu Ubaidah, “Wahai sahabatku, mengapa engkau tidak mengambil sesuatu sebagaimana orang lain mengambilnya?”

Beliau menjawab, “Wahai Amirul Mukminin, ini sahaja sudah cukup menyenangkan.”

Abu Ubaidah bin al-Jarrah menyertai dalam semua peperangan Islam, bahkan selalu mempunyai kesempatan besar untuk mengumpul kekayaan dalam setiap peperangan tersebut. Beliau berangkat membawa pasukan menuju negeri Syam, dengan izin Allah beliau berhasil menakluki semua wilayah di negeri tersebut.

Ketika wabak taun merebak di negari Syam sehingga menyebabkan ramai nyawa yang terkorban akibat penyakit itu, Khalifah Umar bin Al-Khattab mengirim surat dengan tujuan memanggil kembali Abu Ubaidah, sahabat kepercayaannya. Namun, Abu Ubaidah menyatakan keberatannya sesuai dengan isi surat yang dikirimkannya kepada khalifah yang berbunyi, “Saya tahu tujuan Amirul Mukminin terhadap saya. Beliau ingin saya terus hidup sedangkan tiada siapa yang boleh kekal hidup. Sesungguhnya saya merupakan sebahagian anggota tentera Islam. Oleh itu saya tidak ingin menjaga diri saya daripada bencana (taun) yang telah menimpa mereka. Saya tidak akan berpisah meninggalkan mereka sehingga Allah membuat keputusan-Nya untuk menyelamatkan saya dan mereka. Sama ada Dia mencabut nyawa atau menyelamatkan kami. Maka apabila surat ini sampai kepadamu, gugurkanlah tuntutanmu terhadap saya. Izinkan saya untuk terus kekal di sini.”

Tatkala Umar bin al-Khattab membaca surat tersebut, air mata beliau mengalir. Lalu para sahabat yang ada bersamanya bertanya, “Apakah Abu Ubaidah telah meninggal dunia wahai Amirul Mukminin?”
“Tidak, tetapi beliau mahu menjemput kematian,” jawab Umar teresak-esak.

Setelah beberapa hari, Abu Ubaidah diserang penyakit taun. Sedang beliau nazak bertarung dengan penyakit tersebut, beliau berpesan kepada tentera-tenteranya.

“Saya berpesan kepada kamu semua, jika kamu menurutinya, kamu akan sentiasa memperolehi kebajikan. Dirikan solat, tunaikan zakat, berpuasalah di bulan Ramadhan, bersedekahlah, tunaikan Haji dan Umrah, salinglah berpesan dan memberi nasihat kepada pemimpinmu. Jangan kamu memperdayakan mereka. Jangan kamu dilalaikan oleh dunia. Lantaran jika seseorang mampu hidup 1000 tahun sekalipun, dia tetap akan menemui kematian seperti yang kamu lihat saya sekarang. Sesungguhnya Allah Taala telah menjanjikan kematian kepada anak Adam. Oleh itu mereka pasti mati. Manusia yang paling bijak ialah mereka yang paling taat kepada Tuhannya dan paling banyak melakukan amalan sebagai persediaan untuk hari kebangkitan.”

Kemudian Abu Ubaidah berpaling kepada Mu’az bin Jabal, “Wahai Mu’az, imamkan mereka (menjadi ketua).”

Apabila Abu Ubaidah meninggal dunia, Mu’az pun bangun di hadapan rakyat dan berucap, “Wahai manusia, sesungguhnya kamu telah ditimpa kesedihan disebabkan kematian lelaki ini. Demi Allah! Saya tidak pernah kenal lelaki yang lebih berhati mulia dan jauh daripada hasad dengki, terlalu cinta dengan mati dan paling menunaikan tanggungjawab berbanding lelaki ini. Doakanlah kerahmatan untuknya, pasti Allah akan merahmati kamu semua.”

Abu Ubaidah al Jarrah meninggal dunia pada tahun 18 Hijriah di Jordan dalam wilayah Syam. Jenazahnya dikebumikan di kawasan yang pernah dibebaskannya daripada kekuasaan Rom dan Parsi. Ketika itu beliau berumur 58 tahun.

 
 
 
 

Post a Comment 1 comments:

Haffzone said...

akhi kalo blh nyatakan sumber boleh, dri kitab mna, or penulis..
ana suka bca blog enta..

May 19, 2013 at 8:28 PM

Post a Comment