Serambi Dakwah

IconMusafir di bumi Ilahi, aku singgah untuk menuntut ilmu untuk meneruskan perjalanan yang masih panjang.....

Tinggalkan rumahmu di belakang


Duduk sahaja di rumah -setelah beruzlah di masjid- adalah lebih teruk lagi dan tidak langsung menggambarkan sifat seorang muslim. Sahabat-sahabat Rasulullah S.A.W. membantah keras orang yang bersembunyi di rumah sambil bersenda gurau dengan isterinya dan anak-anaknya, meninggalkan dakwah, amar makruf dan nahi mungkar. Mereka ini mengosongkan tempat mereka dalam barisan mujahidin yang sepatutnya dipenuhkan untuk menentang taghut.

Para perawi telah meriwayatkan kepada kita dari seorang sahabat Rasulullah S.A.W. yang telah dijamin masuk syurga, iaitu Talhah bin Ubaidillah al-Quraisyi r.a. Beliau telah berkata: “Cukup jadi keaiban pada seseorang bila dia duduk diam di rumahnya.”

Imam al-Ghazali, beliau berkata: “Ketahuilah, setiap orang yang hanya duduk di rumahnya, walau di mana pun dia berada sebenarnya telah melakukan kemungkaran. Bagaimana mereka boleh duduk saja-saja tanpa membimbing manusia, tidak mengajar mereka dan tidak membawa mereka kepada kebaikan. Walhal, di luar sana, sebahagian besar manusia masih jahil tentang syariat hinggakan syarat-syarat sembahyang."

Da’i Islam pada hari ini mesti menjadi pengembara di pelusuk kota, kampung, negeri untuk menyampaikan seruan Islam kepada manusia.Cubalah kamu saksikan, apakah jawapan baginda apabila seorang badwi bertanya tentang rukun Islam. Bila Rasulullah saw menjawab, orang badwi tersebut berkata: “Tidak aku tambah atau aku kurangkan sesuatupun darinya.” Orang badwi tersebut ketika memulakan soalannya berkata: “Hai Muhammad, utusanmu telah datang kepada kami dan telah menyatakan kepada kami bahawa kamu mengatakan bahawa kamu adalah utusan Allah?” (Sahih Muslim, ms 32)

Jelaslah bahawa utusan Rasulullah telah pergi menemui mereka sebagai da’i. Manusia perlu dilawati. Barangsiapa yang hanya menunggu orang ramai datang kepadanya, orang itu bukanlah da’i. Inilah dia bentuk dakwah yang ingin mencapai matlamatnya.

Ia perlu bergerak dan bermula, pagi mahupun petang, dengan perbualan dan perkataan yang benar. Sikap duduk dan mengharap tidak akan sampai ke mana. Jika tidak, mundar-mandirlah sahaja di tempat kamu, dan kamu tidak akan sampai ke mana-mana.

“Seorang lelaki dari hujung negeri datang dengan berlari-lari (bersegera) katanya:“Hai kaumku,
ikutlah utusan-utusan itu.” (Yasin 36:20)

Kata Ibnu Hubairah: “Aku perhatikan sebutan ‘dari hujung negeri’. Kedua-dua lelaki di dalam ayat tersebut datang dari jauh kerana ingin melaksanakan ‘amar makruf. Keduanya tidak duduk diam di rumah dengan alasan jauh perjalanan.”

Terfikirkah da’i pada hari ini untuk merasa susah dalam memikul tugas dakwah yang memerlukan pergerakan seharian yang jauh? Pernahkah dia terfikir bahawa kesusahan ini telah dilalui oleh salafussoleh dari kalangan da’i golongan awal-awal Islam? Sifat-sifat mereka dinukilkan di dalam al-Quran yang memaparkan siri pengembaraan dan perjalanan mereka ke tempat-tempat yang jauh hanya semata-mata untuk mengembangkan dakwah dan melaksanakan amar makruf nahi mungkar.


Perbincangan tentang kesan Facebook ("FB").
1. Kesan baik: Dapat sampaikan maklumat kpd kawan-kawan, dapat nasihati melalui mesej FB
2. Kesan buruk jangka panjang: Daie sudah merasa cukup untuk amar makruf nahi mungkar melalui status FB dan 'link' FB. Disebabkan rasa cukup ini, mereka menjadi lesu dalam medan dakwah yang sebenar, iaitu masyarakat sebenar (bukan komunikasi alam maya). Contoh: nak ajak mad'u ke program, sudah tidak lagi berlaku dengan menziarahi rumah mad'u dan bersama mad'u, Daie hari ini sudah merasa cukup dengan mengajak melalui tag-tag di FB.

 
 
 
 

Post a Comment 0 comments:

Post a Comment