Serambi Dakwah

IconMusafir di bumi Ilahi, aku singgah untuk menuntut ilmu untuk meneruskan perjalanan yang masih panjang.....

Bolehkah Doa Qunut Nazilah Berseorangan?

Beberapa minggu lepas, ana ditanya oleh beberapa rakan tentang hukum membaca Qunut Nazilah seorang diri di dalam solat fardhu. Alhamdulillah, bertemu dengan jawapannya pagi ini. Terdapat beberapa pandangan ulama' tentang hal ini.

http://cache.daylife.com/imageserve/0eUI5gnbAsdGI/610x.jpg

Pendapat pertama: Pendapat yang masyhur dalam mazhab Hanbali: Tidak boleh membaca qunut nazilah kecuali hanya pemimpin utama umat Islam di dalam sesebuah negara Islam (Rujuk: Al-Syarh al-Kabir 4/136)

Pendapat kedua: Pendapat mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan satu riwayat dari mazhab Hanbali: Doa qunut ini boleh dibaca oleh semua imam yang menjadi imam solat jemaah. (Rujuk: Hashiyah Ibn ‘Abidin 2/390, al-Istizkar 5/175, al-Majmu’ 3/461, al-Insaf 4/136)

Pendapat ketiga: Satu riwayat dalam mazhab Hanbali, pendapat yang dipilih oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah dan satu pendapat daripada Syeikh Ibn ‘Uthaimin: Setiap orang yang menunaikan solat fardhu boleh membaca doa qunut ini, sama ada imam, makmum atau pun yang solat bersendirian. (rujuk: Majmu’ al-Fatawa 23/111)

Pendapat keempat: Satu pendapat di kalangan ulamak mazhab Hanbali dan Ibn ‘Uthaimin: Doa qunut ini adalah khas dengan izin pemimpin, jika pemimpin memberi arahan, maka ia dibaca. (Rujuk: al-Furu’ 1/484)

Pendapat yang lebih tepat (rajih):

Pendapat yang rajih -Allah lebih mengetahui- ialah pendapat yang ketiga (satu pendapat dari Imam Ahmad dan yang dipilih oleh Syeikh al-Islam) iaitu doa qunut boleh dibaca oleh semua orang yang sembahyang; imam, makmum dan juga yang sembahyang secara berseorangan. Pendapat inilah yang dipilih oleh Syeikh Ibn Baz.

Pendapat ini berdasarkan dalil hadis riwayat al-Bukhari (maksudnya): “Solatlah kamu seperti mana kamu melihat aku solat”. Hadis ini secara jelas menunjukkan bahawa perbuatan Nabi saw di dalam solat adalah disyariatkan untuk semua kaum muslimin secara umum. Tidak ada pula dalil lain yang mengkhususkan bahawa qunut nazilah ini hanya boleh dibaca oleh imam sahaja atau pemimpin utama umat Islam.

Malah terdapat riwayat lain yang menunjukkan beberapa orang sahabat yang turut membaca qunut ini sedangkan mereka bukanlah pemimpin utama umat Islam ketika itu. Antaranya ialah Abu Hurairah, Anas, Ibn Abbas, al-Barra’, Muawiyah dan lain-lain lagi.

Sumber: Soaljawab Agama

 
 
 
 

Post a Comment 0 comments:

Post a Comment