Serambi Dakwah

IconMusafir di bumi Ilahi, aku singgah untuk menuntut ilmu untuk meneruskan perjalanan yang masih panjang.....

Anjakkan cara kita memahami "tarbiyah"

Soal tarbiyah merupakan satu pencarian yang kritikal bagi remaja khususnya mahasiswa pada era arus perdana sekarang. Lebih-lebih lagi bila ianya diisukan dengan persoalan jemaah mana yang perlu diberi intima' (pengabunggan diri).

Tarbiyah kami lebih mantap, sufi lagi haraki dan mendekati sunnah nabi s.a.w adalah antara dakwaan yang acap kali diulang siar. Lebih mencuit hati ada yang dengan kenyataan bahawa dakwah mereka lebih ikhwan atau seakan-akan Partai Keadilan Sejahtera (PKS) di Indonesia.

Mengapa sandaran sebegini dijadikan hujah dalam menggalas bebanan khalifah di bumi Allah Taala? Sedangkan strategi, wasilah dan pendekatan untuk mencuit hati mad'u itu sesuatu yang fleksibel juga bergantung kepada waqie' lokaliti setempat.

Apabila menyentuh persoalan tarbiyah, ramai yang akan merujuk pandang kepada model Ikhwan Muslimin. Alasannya, mereka terlebih dahulu mengenal asam garam dalam dunia dakwah Islamiyah. Hinggakan ramai yang melupakan jalan yang pernah dirintis ulama', para murabbi, dan kaum muslimin sebelum wujudnya Ikhwan Muslimin di Mesir.

Bagi penulis Ikhwan adalah satu model bukan satu-satunya model yang ada.
Para ulama di zaman kegemilangan ilmu Islam melalui tarbiyah dan akhirnya mentarbiah.Mereka punyai metod tersendiri dalam mendidik masyarakat menghayati agama. Bagaimana cekalnya mereka melakarkan kecemerlangan dalam sejarah kebangkitan Islam dengan penyuburan ilmu dan amal perlu dicungkil kembali.

Dakwah tidak hanya bertumpu kepada sekelompok manusia yang sudah dicampak oleh Allah Taala ke dalam hatinya minat kepada Islam. Anda hanya akan syok sendiri berprogram dengan mereka sebegini.

Dalam konteks Malaysia sahaja kita dihadapkan dengan latar mad’u yang pelbagai. Daripada pendokong agama sehinggalah musuhnya, daripada mukmin yang sudah indah Iman dan amalnya sehinggalah muslim yang fajir lagi lemas dalam lautan maksiat, daripada yang memegang kad pengenalan Islam hinggalah yang ingin menukarnya kepada status yang lain, bahkan dakwah kita didepani dengan tanggungjawab memperkenalkan agama kepada hampir separuh penduduk yang belum mengenal syahadah.

Dakwah dan tarbiah sewajibnya dibawa kepada segenap lapis masyarakat yang kenal huruf untuk dibaca sehinggalah yang tidak mampu mengeja.

Kita menzalimi para petani dan nelayan sekiranya dakwah hanya ditumpukan kepada golongan profesional, dan kita menzalimi mereka yang jahil sekiranya hanya berlegar seruan Islam di kalangan mereka yang bijak pandai. Bahkan kita menzalimi mereka yang fajir sekiranya hanya seronok bersama mereka yang sudah baik akhlak di ruang legar masjid dan halaqah usrah.

Ramai yang menganggap usrah adalah tarbiyah, dan tidak ada tarbiyah tanpa adanya usrah.
Hakikatnya, usrah hanya sebahagian dari program tarbiyah. Penulis sangat setuju dengan kenyataan bahawa generasi terdahulu ada metod tarbiyah mereka sendiri. Generasi pondok dan gerakan sufi juga telah melaksanakan program tarbiyah kepada masyarakat bersesuaian dengan keadaan dan suasana ketika itu.

Begitu juga program tarbiyah kepada warga kampung, para nelayan, mat-mat rempit dan bohsia. Mestikah mereka mengikut usrah sepertimana kita? Tidak adakah bentuk tarbiyah yang lebih sesuai dengan tahap intelektual dan nature mereka? Tidak bolehkah kuliah-kuliah dan ceramah-ceramah agama difikirkan dan distrategikan agar menarik hadirin sebegini? Inilah hakikat yang cuba dinafikan oleh sesetengah kita.

Khalid al Walid bila memeluk Islam terus diberi tanggungjawab oleh Nabi SAW untuk mengetuai peperangan. Maka kepatuhan dan ketaatan beliau dalam memikul tugas tersbut adalah suatu bentuk tarbiyah yang diberikan Nabi SAW kepada beliau. Atau bolehkah kita katakan Khalid tidak menjalani proses tarbiyah yang mantap kerana tidak masuk usrah?

Kesimpulannya , tarbiyah itu pelbagai bentuk dan perlu dilaksanakan mengikut suasana dan latar belakang mad'u. Matlamatnya satu iaitu kefahaman dan penghayatan Islam. Jika mad'u faham dan menghayatinya maka tercapailah sasaran walaupun dia tidak ditamrinkan.

wallahualam

 
 
 
 

Post a Comment 0 comments:

Post a Comment