.
Meskipun Islam mendapat perlindungan di Habsyah, tetapi ianya tidak sesuai menjadi pengkalan yang kuat. Sebaliknya suasana semenanjung Tanah Arab sahaja yang berkesan untuk dijadikan pengkalan. Perjalanan Rasulullah ke Ta'if bukan sembarangan. Tidak sekadar hanya mengajak manusia kepada Islam tetapi mencari pengkalan dakwah selain dari Mekah. Apabila mendapat tentangan daripada penduduk Ta'if, Rasulullah pulang jua ke Mekah.
Apabila Zaid bin Harithah mengetahui hasrat Rasulullah untuk pulang ke Mekah, beliau bertanyakan Rasulullah, bagaimana Rasulullah hendak memasukinya dan menghadapi orang Musyrikin yang telah menghalau Baginda. Ini kerana, Zaid menyedari betapa bahaya dan besarnya cabaran yang akan dihadapi.
Dengan tegas Rasulullah menjawab,
"Wahai Zaid, sesungguhnya Allah akan menjadikan apa yang kamu lihat pasti ada kelapangan dan ada jalan keluar dan Allah pasti menolong agama-Nya dan memenangkan nabi-Nya"
Jawapan itu menampakkan keyakinan hati Rasulullah kepada Allah. Ini kerana, Rasulullah memahami bahawa urusan menegakkan Islam itu bukanlah semata-mata kemahuan hatinya, tetapi yang lebih besar ialah urusan dari Allah. Allah pasti tidak akan membiarkannya begitu sahaja atau mensia-siakannya. Lainlah kalau apa yang diperjuangkan itu tidak ada kena mengena dengan agama Allah.
Sumber: Buku Fiqh Harakah karangan Haji Abdul Hadi Awang (Jilid 1, hlm 176-177)
Post a Comment 0 comments: