Serambi Dakwah

IconMusafir di bumi Ilahi, aku singgah untuk menuntut ilmu untuk meneruskan perjalanan yang masih panjang.....

Ibrah dari Tahun Dukacita


.
Tahun dukacita yang dimaksudkan di sini ialah tahun di mana berlaku kematian Abu Talib, bapa saudara Rasulullah yang sentiasa melindungi baginda, serta Khadijah, isteri kesayangan Rasulullah.
.
Menurut pendapat kebanyakan Ulama ahli Sunnah wal-Jamaah, Abu Talib mati di dalam syirik, yakni seperti yang diriwayatkan peristiwa kematiannya oleh ulama-ulama Hadith.
Al-Bukhari meriwayatkan bahawa, Nabi berkata kepada bapa saudaranya,

"Hai bapa saudara kesayanganku, katakanlah Lailahaillah, kalimah yang membolehkan aku berhujah untukmu di sisi Allah."

Tiba-tiba, Abu Jahal dan Abdullah bin Abi Umaiyah yang berada di situ berkata pula kepada Abu Talib,

"Hai Abu Talib, adakah engkau mahu meninggalkan agama Abdul Muttalib?"

Mereka terus-menerus menekan Abu Talib dengan kata-kata itu, sehingga Abu Talib kekal dalam agama pegangan Abdul Muttalib.
.
Menurut Ibnu al-Qayyim Rahimatullah, selepas tiga hari wafatnya Abu Talib, wafat pula isteri Rasulullah yang dikasihi, bernama Khadijah. Ini menambah lagi kesedihan dan dukacitanya Rasulullah kerana mengingatkan peranannya yang besar dalam perjuangan Islam. Khadijahlah yang menenangkan hati baginda ketika cemas menerima wahyu yang pertama serta menjadi orang yang pertama beriman.
Ketika Rasulullah menghadapi tentangan dari kaumnya, Khadijahlah yang meringankan bebanan serta menanggung bersama kesusahan yang dihadapi.
.
Rasulullah bersabda,

"Tidak sekali-kali diganti oleh yang lebih baik darinya. Sesungguhnya ia beriman kepadaku ketika semua orang yang menjadi kafir. Ia percaya kepadaku ketika semua orang yang menjadi kafir. Ia percaya kepadaku ketika orang lain membohongiku. Ia menolongku dengan hartanya ketika tiada siapa pun memberi pertolongan kepadaku. Allah mengurniakan anak kepadaku dengannya sedangkan aku tidak mempunyai anak dengan isteri-isteri yang lain"
.
Ibrah (pengajaran)
Peristiwa yang menyedihkan itu tidaklah sia-sia sahaja atau semata-mata untuk mengeruhkan keadaan. Ia mempunyai hikmah dan pengajaran yang sangat besar.
.
Peristiwa ini berlaku, bagi memurnikan pergantungan diri kepada Allah Subhanallah semata-mata sehingga tiada pergantungan harapan kepada yang lain daripada-Nya di kalangan makhluk. Walaupun peranan Khadijah dan perlindungan Abu Talib memberi peluang kepada dakwah untuk lebih bebas, tetapi tiada siapa yang boleh membuat alasan bahawa perjuangan Islam ini berjaya dengan bantuan dan peranan orang ini dan orang itu.
.
Jadi kewafatan Khadijah dan Abu Talib memberi makna agar di dalam menegakkan Islam itu, kita hendaklah LEBIH mengutamakan pertolongan Allah, walaupun adanya peranannya serta pertolongan makhluk.
Namun, ini tidak bermakna jasa para pejuang Islam terdahulu tidak boleh dikenang.
.
Seringkali berlaku di kalangan pendokong gerakan Islam (jemaah Islam), mereka yang lemah iman terperangkap di dalam pujuk rayu yang menyebabkan lupanya kepada kekuatan dan pertolongan Allah. Lalu, mengadakan uslub yang terlalu longgar mengenai pergantungan kepada aqidah dengan berlindung disebalik sebab-sebab kemanusiaan mengatasi anasir Rabbaniyyah di dalam menjayakan cita-cita dakwah Islamiyyah.
Akhirnya, mereka hanyut ke dalam arus yang memesongkan dari mencapai kurniaan Allah, kepada matlamat semata-mata untuk mendapat kedudukan dan mencari keridhaan makhluk dengan memilih jalan yang difikirkan mudah kononnya untuk kepentingan Islam.
.
Sumber: Buku Fiqh Harakah karangan Haji Abdul Hadi Awang (Jilid 1, hlm 159-167)

 
 
 
 

Post a Comment 1 comments:

Anonymous said...

Alhamdulillah terima kasih atas perkongsiaan yang bermanfaat

March 17, 2023 at 4:03 PM

Post a Comment