Terlalu ramai yang menghantar pesanan ringkas ‘sms’, email, telefon dan bertanya kepada saya berkenaan Pelaburan Swiss Mutual Fund atau swiss cash atau yang sepertinya, sehingga memaksa saya memperuntukan sedikit waktu saya bagi menulis jawapan ringkas ini. Saya sedar sebenarnya amat sukar bagi meringkas jawapan kerana setiap penerangan hanya akan mampu difahami sekiranya si pembaca mempunyai asas Shariah dan instrument kewangan moden yang memuaskan.
Saya telah menyemak investment plan bagi pelaburan Swiss mutual Fund dan mendapati bahawa ia adalah sebuah pelaburan beroreintasikan system konvensional dan Riba yang terlarang. Ia amat nyata apabila tiada satu pun maklumat di dalam web tersebut yang memberitahu bahawa pelaburannya ditadbir urus menurut kehendak Shariah, tiada juga disebut nama-nama penasihat Shariah.
Sebagaimana diketahui oleh korporat dan umum; Syarikat, Badan pelaburan dan pengurus kewangan di Barat sentiasa bersifat professional dalam iklannya bagi menonjolkan apa jua jenis dan kelebihan yang ada pada mereka. Justeru, jika mereka mengurus secara Islam, sudah pasti mereka akan menghebahkan dengan jelas bahawa mereka adalah sebuah syarikat pelaburan yang menurut prinsip-prinsip Shariah, di samping itu, suatu kemestian bagi sesebuah syarikat pelaburan untuk menyiarkan nama-nama panel penasihat Shariahnya bagi menarik keyakinan orang ramai. Bagaimanapun, jika di lihat di dalam web pelaburan swiss ini, tiada satu pun yang menonjolkan imej ini, malah apa yang saya perolehi menunjukkan ia amat bertentangan dengan ciri-ciri pelaburan Islam samada dari sudut penggunaan ‘terminologi’ pelaburannya, mahupun bentuk cara ia menjana keuntungan.
Lebih jelas dari itu, jika pembaca meninjau kepada ruangan “Frequently Asked Questions” (FAQ) yang terdapat di dalam web mereka juga tiada satu perkataan dan soalan pun yang berkaitan tentang keislaman produk mereka ini. Semua ini, tanpa perlu mengkaji dengan lebih dalam pun sudah mampu diketahui akan tidak menepati Shariahnya pelaburan mereka ini.
a) Hedging (Lindung Risiko Perubahan Nilai matawang): Ia biasanya digunakan oleh industri import eksport yang melibatkan penggunaan matawang yang berbeza. Ia digunakan bagi memastikan perubahan nilai matawang tidak memberi kesan amat buruk kepada pembeli jika nilai yang yang dguna (cth ringgit) jatuh teruk. Yang mana jika ini berlaku, pihak pembeli terpaksa menanggung kos berkali ganda. Justeru, salah satu cara yang biasa digunakan adalah ‘hedging’. Instrument ‘hedging’ ini juga boleh digunakan untuk mendapatkan keuntungan dalam perdagangan spekulasi matawang. Menurut Fatwa oleh ulama Shariah antarabangsa, ‘hedging’ hanya dibenarkan bagi tujuan pertama di atas (iaitu untuk melindungi penjual dan pembelian asset sebenar dari risiko perubahan nilai matawang sahaja).
Ia adalah salah satu resolusi Persidangan Kewangan & Perbankan Islam Al-Barakah bernombor 6/27 dari persidangannya yang keenam tarikh 2-6 Mac 1990 bertempat di Algeria. Adalah amat jelas, ‘hedging’ merupakan salah satu instrument yang diguna oleh pelaburan swiss ini bagi mendapatkan keuntungan. Secara terang-terang boleh kita simpulkan, pelaburan ini pasti akan terlibat dengan elemen perjudian, spekulasi berlebihan yang bersifat judi serta tidak menurut bentuk yang diterima oleh Shariah, iaitu hanya untuk tujuan menghalang risiko dan bukannya mencari keuntungan.
b) Forex (Foreign Exchange) atau yang lebih dikenal dengan Perdagangan Mata wang Asing; Ia merupakan suatu jenis perdagangan/transaksi yang memperdagangkan matawang suatu negara terhadap matawang negara lainnya yang melibatkan pasar-pasar matawang utama di dunia selama 24 jam secara berterusan.
Benar, memang FOREX matawang adalah diharuskan, tetapi keharusannya tertakluk kepada sejauh mana ia menurut garis panduan yang dikeluarkan dari hadith Nabi yang sohih. Iaitu :-
Dalam menukar wang dengan wang, Nabi telah menyebut garis panduan yang mesti dipatuhi iaitu : Ditukar (serah dan terima) dalam waktu yang sama ia disebut dalam hadis sebagai "yadan bi yadin". Dalam bahasa Inggerisnya adalah "on the spot basis". Ia datang dari hadis :’
الذهب بالذهب , والفضة بالفضة , والبر بالبر , والشعير بالشعير , والتمر بالتمر , والملح بالملح , مثلاً بمثل , سواء بسواء , يداً بيد , فإذا اختلفت هذه الأصناف فبيعوا كيف شئتم
Ertinya : Emas dengan Emas ( ditukar atau diniagakan) , perak dengan perak, gandum dengan gandum, tamar dengan tamar, garam dengan garam mestilah sama timbangan dan sukatannya, dan ditukar secara terus ( pada satu masa) dan sekiranya berlainan jenis, maka berjual-belilah kamu sebagaimana yang disukai” ( Riwayat Muslim, no 4039 no hadith , 11/9 ) .
Untuk makluman : FOREX dalam matawang yang diuruskan oleh konvensional tidak menjaga syarat ini maka ini menjadi Riba Nasiah. Ini kerana kebanyakan FOREX yang dijalankan oleh institusi Konvensional adalah ‘Forward FOREX’ atau Forex yang menggunakan ‘Value forward’ ( nilai masa hadapan) yang mempunyai tergolong dalam Riba Nasiah. Forex yang menggunakan nilai ‘Forward’ ini sememangnya diketahui mampu menghasilkan untung yang lebih berbanding spot dalam kebanyakan keadaan jika tepat penggunaannya.
Mestilah terdapat serah terima atau disebut “qabadh” dalam Islam secara benar “hakiki” atau “hukmi” pada waktu yang sama. Masalah dalam implementasi FOREX adalah bertangguh dalam penyerahan dari kedua-dua pihak. Tatkala itu aqad menjadi batal (Radd al-Muhtar ala ad-durr, 4/531).
Untuk makluman : FOREX yang diuruskan oleh konvensional juga tidak menjaga syarat ini lalu ia batal dan termasuk dalam bab menjual sesuatu sebelum memilikinya yang di haramkan oleh Nabi SAW.
Selain itu, FOREX juga amat terdedah kepada unsur spekulasi berlebihan yang boleh menyebabkan ia termasuk dalam katergori perjudian. Walaubagaimanapun, tidak di nafikan unsur ini agak sukar untuk di tetapkan kadarnya.
Tidak saya nafikan, bahawa terdapat sesetengah Bank-bank Islam juga ada yang melakukan forex ini setelah mendapatkan kelulusan Majlis Penasihat Shariah mereka, kebanyakan mereka melakukan FOREX jenis SPOT dan bukannya jenis ‘Forward’ ; apa yang pasti, sudah tentu majlis Shariah telah meletakkan beberapa syarat dan bukannya secara bebas begitu sahaja. Berkenaan pelaburan swiss yang diuruskan oleh badan Konvensional, maka sudah tentu ia tidak meletakkan sebarang perhatian kepada syarat-syarat yang di tentukan Shariah.
Pemain-pemain forex kelihatan bersungguh cuba mempertahankan keharusannya, pelbagai fatwa di momokkan kepada saya, fatwa dari Jabatan Mufti Perak, fatwa seorang penasihat Shariah sebuah bank Islam dan lain-lain. Hakikatnya, semua fatwa keharusan adalah tertakluk kepada syarat di atas dan bukannya secara mutlak. Secara mudah, bagi saya anda perlu memastikan siapa yang menguruskan transaksi ‘permainan’ forex anda, adakah sebuah institusi kewangan Islam atau konvensional?; Jika institusi kewangan Islam, penasihat Shariah akan menanggung tanggungjawab, justeru, ia adalah harus bagi orang awam selagi penasihat Shariah ini mengatakannya harus.
Bagaimanapun dalam hal pelaburan Swiss yang menggunakan FOREX sebagai instrumennya ini, ia sudah ternyata sebagai sebuah institusi kewangan konvensional dan kapitalis. Sesebuah institusi kewangan konvensional sudah pasti akan menggunakan instrument forex tanpa sebarang ikatan syarat yang ditetapkan Shariah di atas. Tanpa syarat itu, transaksi antara matawang dengan matawang secara tangguh akan menghasilkan ‘Riba an-Nasiah’ yang diharamkan secara sepakat oleh seluruh Ulama Islam. Ia juga adalah keputusan Panel Penasihat Shariah dunia yang bernaung di bawah nama Accounting & Auditing Organization For Islamic Institutions (AAOIFI). Antara panel penasihat Shariahnya adalah Syeikh Mufti Taqi Uthmani, Prof. Dr. Syeikh Wahbah Zuhayli, Prof. Dr. Syeikh Siddiq Dharir, Syeikh Abdullah al-Mani’, Dr. Abd Sattar Abu Ghuddah, Syeikh Dr. Nazih Hammad, Syeikh Dr. Hussain Hamid Hassan, Syeikh Nizam Ya'quby, Dr. Mohd Daud Bakar, Syeikh Al-Ayashi al-Sadiq Faddad, Syeikh Dr. Ajil Nashmi dan ramai lagi
c) SWAP : Ia adalah satu perjanjian atau kontrak di antara dua pihak bagi pertukaran bertempoh bagi sesuatu asset kewangan yang khusus, asset material atau kadar faedah. Dalam beberapa kes jualan komoditi atau jualan matawang secara tangguh, ia dibuat tanpa sebarang pertukaran sebenar. (AAOIFI Shariah Standard, hlm 358)
Hukumnya menurut Fatwa kumpulan Ulama Fiqh Antarabngsa yang pakar dalam hal kewangan Islam : Haram kerana contractnya melibatkan pertukaran matawang secara bertangguh, ia adalah riba nasiah. Di sebutkan di dalam keputusan Penasihat Shariah AAOIFI :- “ SWAPS are not permitted in the forms in which they are practiced in commodity exchange” ( AAOIFI Shariah Standard, hlm 358 )
d) Options : takrifnya adalah : Satu kontrak yang mana hak diberikan (tetapi tidak menjadi kewajiban) untuk membeli atau menjual sesuatu item yang dipersetujui ( samada dalam bentuk saham, komoditi, matawang, indeks dan hutang) pada harga yang ditentukan. Tiada kewajiban bagi penempah untuk memenuhi tuntutan kontrak bagi yang membeli item yang ditempah, tetapi penjual hak item itu, wajib memenuhi tuntutan kontrak. ) (AAOIFI Shariah Standard, hlm 356).
Saya tahu takrifnya memeningkan pembaca, tetapi ia memang sukar untuk diterangkan menggunakan ayat-ayat ringkas tanpa contoh panjang lebar. Secara kesimpulan, ia juga instrumen konvensional yang diharamkan kerana ia bercanggah dengan beberapa konsep dan panduan Shariah iaitu :-
Menjual sesuatu sebelum memilikinya secara benar. Ia diharamkan berdasarkan hadis : "Jangan kamu membeli ikan dalam air, karena sesungguhnya jual beli yang demikian itu mengandung penipuan". (Hadis Ahmad bin Hambal dan Al Baihaqi dari Ibnu Mas'ud)
Unsur ‘Gharar Fahish’ (ketidak tentuan) dan perjudian yang besar. Ia timbul kerana si pembeli berhasrat untuk membeli sesuatu asset pada satu harga ditetapkan cth RM 100, dengan ramalan bahawa harga asset itu akan naik pada masa hadapan kepada RM 200. Untuk itu, si pembeli akan membyaar bayaran pendahuluan RM 10, tetapi si pembeli mempunyai hak untuk membatalkan pembeliannya jika didapati bahawa harga ramalannya tidak tercapai.
Ia juga terlibat dalam jual beli pada masa hadapan (forward) yang tidak sah menurut syara'.
Ia adalah Riba, jika item yang dijual beli adalah hutang dan matawang.
Ia juga bertentangan dengan syarat serah terima atau disebut “qabadh” dalam Islam secara benar “hakiki” atau “hukmi” pada waktu yang sama. Tatkala itu aqad menjadi batal ( Radd al-Muhtar ala ad-durr, 4/531).
Hukum Options di sebutkan oleh majlis Penasihat Shariah AAOIFI “ Options are not permitted neither with respect to their formation not trading” ( Shariah Standard, hlm 357)
e) Futures ; Menurut The encyclopedia of Britanicca, futures adalah :- “ Satu kontrak komersial yang dibuat bagi melakukan pembelian atau jualan satu asset dalam satu kuantiti yang khusus dan pada tarikh akan datang yang khusus” ( Britannica Encyclopedia, 1988, 5/65)
Ia dibenarkan oleh Shariah dengan syarat kontrak komersial yang dibuat itu hanya janji dari satu belah pihak “unilateral promise from one side”. Jika syarat ini tidak dipatuhi maka kontrak itu tidak sah menurut Shariah kerana :-
Ia dianggap aqad / kontrak jual beli pada masa akan datang. Untuk pengetahuan pembaca, Islam tidak membenarkan aqad jual beli di meterai hari ini bagi transaksi pada masa akan datang; ia tidak sah menurut Shariah. Ia menjadi semakin ketara tidak sah apabila kedua-dua pihak tidak menyerahkan apa-apa, samada asset ataupun bayarannya. ( ‘Aqd al-Bai’, Syeikh Mustafa Az-Zarqa, hlm 36)
Ianya tidak boleh sama sekali dilakukan antara matawang kerana ia akan menjadi Riba an-Nasiah (riba sebab bertangguh serah-terima). Tetapi inilah salah satu cara yang terbaik bagi pihak konvensional bagi mendapatkan untung.
Ia akan tergolong dalam jualan hutang dengan hutang “ Bai’ ad-Dayn bi ad-Dayn” yang di haramkan oleh Nabi SAW kerana faktor ‘gharar’ atau ketidak tentuan yang amat tinggi. ٍ Sebuah hadith yang lemah menyebut : “ Nabi SAW melarang dari menjual secara hutang dengan hutang” (Riwayat Ad-Dar Qutni, al-Hakim dan Al-Hakim mengatakannya sohih menurut syarat Bukhari dan Muslim). Bagaimanapun menurut Syeikh Prof Dr Muhydin Qurra Ali Dhaghi, pengharaman jual beli hutang dengan hutang adalah diharamkan melalui dalil Ijma’. (Dalil ijma; ini boleh dirujuk di dalam Naylul Awtar 5/177). Pengharamannya juga telah di putuskan di dalam resolusi persidangan ke-16, Persidangan Kesatuan Ulama Fiqh Sedunia pada 5-10 /1/2002.
Apabila transaksi ‘futures’ ini dilakukan oleh sebuah Institusi Kewangan Konvensional, sudah tentu ia tidak akan menjaga displin Islam di atas, kerana itu ianya di haramkan. Malah unsur perjudian dan ketidaktentuan juga amat tinggi. Seorang ilmuan Shariah menulis :-
“ Considering the case of the basic exchange contracts, it may be noted that the third type of contract where settlement by both the parties is deferred to a future date is forbidden, according to a large majority of jurists on grounds of excessive gharar. Futures and forwards in currencies are examples of such contracts under which two parties become obliged to exchange currencies of two different countries at a known rate at the end of a known time period. For example, individuals A and B commit to exchange US dollars and Indian rupees at the rate of 1: 22 after one month. If the amount involved is $50 and A is the buyer of dollars then, the obligations of A and B are to make a payments of Rs1100 and $50 respectively at the end of one month. The contract is settled when both the parties honour their obligations on the future date.
Traditionally, an overwhelming majority of Sharia scholars have disapproved such contracts on several grounds. The prohibition applies to all such contracts where the obligations of both parties are deferred to a future date, including contracts involving exchange of currencies. “
Keputusan Majlis Penasihat Shariah dunia bagi AAOIFI menyebut dalam fatwanya : “Futures is not permitted according to the Shariah to undertakes futures contracts either through their formation or trading” (Shariah Standard, hlm 356)
f) Guaranteed Capital (jaminan wang modal tidak lupus) : Keistimewaan ini adalah tidak sah menurut SELURUH ULAMA EMPAT mazhab. Ini kerana dalam konsep Pelaburan Islam yang dikenali sebagai Mudarabah dan Musyarakah, tiada sebarang jaminan dari pengusaha bahawa modalnya terjamin. Menurut Mazhab Maliki dan Syafie menganggap kiranya terdapat dalam kontrak mana-mana pelaburan mudarabah yang mana pihak pengurus menjamin bahawa modal tidak akan lupus walau apapun keadaan berlaku (samada akibat kelalaian atau tidak), maka aqad atau kontrak itu terBATAL. (Hashiyah Ad-Dusuqi, 5/284 ; Mughni al-Muhtaj, As-Syarbini, 3/419 ). Manakala menurut Mazhab Hanafi dan Hanbali, syarat seperti ini terbatal dan kontrak adalah sah ( Bada’ as-Sanai, al-Kasani, 5/115 ; Al-Insaf, Al-Mardawi, 5/313 ) ;
Bagaimanapun pelaburan Swiss Mutual Fund ini sudah pasti lebih teruk lagi, kerana ia langsung tidak menggunakan kontrak pelaburan yang diurus menurut Shariah. Pastinya kontrak pelaburan seperti ini adalah batal menurut empat mazhab dan segala keuntungan yang diterima adalah tidak sah.
Menurut Shariah, hanya dua jenis jaminan modal di izinkan dalam aqad Mudarabah iaitu :-
>> Jaminan modal dikembalikan jika pihak ‘mudarib’ ( pengurus pelaburan) mengkhinati mana-mana isi kontrak, kecuaian yang jelas dalam pengurusan dan yang sepertinya.
>> Jaminan dari pihak ketiga dan bukannya pihak pengurus pelaburan (mudarib)
Malangnya, kedua-dua ini tidak termasuk dalam aqad pelaburan swiss.
g) Guaranteed Fixed Return : Ia tidak ubah seperti ‘Fixed Deposit’ : Fixed deposit adalah satu jenis pelaburan yang menjamin pulangan atau keuntungan dalam bentuk yang telah ditentukan secara pasti sejak awal lagi. Sebagai contoh, jika anda meletakkan duit pelaburan sebanyak RM 10,000 bagi tempoh 5 bulan, anda pasti akan diberi pulangan samada jumlah tertentu (seperti RM 5,000) atau kadar pulangan yang pasti (12 %) dari jumlah pelaburan anda. Ia telah sepakat seluruh ulama sebagai haram kerana Riba. Kaedah Fiqh menyebut : Al-Gunm Bi al-Gurmu (profit is by taking risk)ertinya : “(Bagi mendapatkan) Keuntungan (hasil pelaburan) mestilah dengan menhadapi risiko” (Some Observations on the Question of RIBA and the Challenges Facing Islamic Banking, Ibrahim F I Shihata). Justeru sebarang pelaburan dengan jaminan pulangan adalah bertentangan dengan kaedah di atas tadi.
Selain itu, sebarang pelaburan yang mempunyai elemen seperti ini adalah sebenarnya pinjaman dengan riba. Jaminan pulangan ini menjadikan ia berteraskan konsep pinjaman wang dengan faedah (interest) yang dijamin. Ia adalah haram.
h) “Equity” dan “commodities”: pastinya apabila ia di urus secara konvensional, ia akan terlibat dengan unsur-unsur perjudian.
i) Companies / pelaburan dalam syarikat-syarikat kukuh dengan jual beli saham: Sebarang syarikat yang ingin diletakkan duit pelaburan sepatutnya disemak dan disahkan terlebih dahulu oleh Panel Penasihat Shariah. Ia amat penting bagi menentukan samada syarikat itu menjalankan aktiviti yang menurut nilai Islam atau tidak. Apabila tiada sebarang panduan seperti Pelaburan Swiss ini, sudah tentu pelaburannya akan dibuat dalam apa jua syarikat, tidak kira yang terlibat dengan judi, arak, pelacuran dan lain-lain. Syarikat seperti ini sememangnya amat diminati kerana pulangannya lumyaan seperti genting di Malaysia. Bagi sebarang pelaburan di luar Negara, semua syarikat yang dilabur sepatutnya mesti disemak samada ia diluluskan oleh Dow Jones Islamic atau tidak. SIla rujuk web dow jones Islamic di http://www.investaaa.com/ atau http://www.djindexes.com/mdsidx/index.cfm?event=showHome
Kesimpulannya, AMAT SUKAR UNTUK SAYA menyokong keterlibatan Muslim dalam pelaburan jenis ini, tiada satu pun yang dibuat terbukti dan ditonjolkan diurus tadbir secara Islamik oleh Badan Pengurusan Pelaburan Swiss ini. Semuanya terlibat riba dan perjudian, maka semua untungnya samada riba atau tidak halal satu sen pun, walaupun pulangan lumayan beratus ratus peratus tetapi ia adalah haram , HARAM DAN HARAM...MANIS DI DUNIA, PAHIT DI BARZAKH DAN AKHIRAT.
Keputusan-keputusan di atas adalah menurut keputusan Majlis Penasihat Shariah oleh Accounting & Auditing Organization For Islamic Institutions atau OIC Interntional Fiqh Academy (Majma Fiqh Islami) yang dianggotai oleh ahli-ahli pakar Shariah sedunia.
Oleh: Dr Zaharuddin
Post a Comment 1 comments:
Menurut saya bisnis forex sama dengan dagang jual beli dimana ada penjual dan pembeli dengan barang yang dibeli adalah nilai tukar pasangan mata uang. saya sendiri sekarang melakukan tarding di broker octafx yang memberikan saya pilihan deposit dengan minimal deposit hanya 5$ dan juga bonus deposit 50%
June 18, 2015 at 3:50 PM