“Sesungguhnya di kalangan manusia ada yang menjadi kunci-kunci pembuka kebaikan dan penutup keburukan. Dan di kalangan manusia ada pula yang menjadi kunci-kunci pembuka keburukan dan penutup kebaikan. Maka beruntunglah orang yang Allah jadikan kunci-kunci kebaikan di tangannya dan celakalah bagi orang-orang yang Allah jadikan kunci-kunci keburukan di tangannya”. (Ibnu Majah, Dari Anas R.a dihasankan oleh Al-albani)
Jadilah pemegang kunci kebaikan kerana ia akan mendapat keredaan Allah dan balasan syurga. Jadilah hamba Allah yang soleh dengan menunaikan kewajipan dan menghindari kemungkaran serta mengajak orang lain juga menjadi sepertinya. Golongan ini sentiasa mempromosi kebaikan dan perkara yang diredai oleh Allah SWT. Orang ramai akan mencarinya bila mempunyai sesuatu keperluan berupa kebajikan malah dia bersedia untuk membantu orang lain dengan senang hati tanpa upah dan ganjaran.Memadailah ganjaran di sisi Allah di akhirat kelak.
Jangan jadi golongan yang kedua iaitu pemegang kunci keburukan. Golongan ini melakukan kejahatan malah turut mendorong orang lain untuk melakukannya. dia mempromosi perbuatan maksiat dan dosa. Dia mendapat dosa malah turut memikul dosa orang yang mengikutinya. Sebagaimana sabda Nabi saw yang bermaksud :
“Sesiapa yang memulakan satu sunnah yang baik di dalam Islam dia akan memperolehi ganjarannya dan ganjaran orang yang melakukannya selepasnya dengan tidak kurang sedikitpun ganjaran mereka. Dan sesiapa yang memulakan satu sunnah yang buruk di dalam Islam dia akan menanggung dosanya dan dosa orang yang melakukannya selepasnya dengan tidak kurang sedikitpun dosa-dosa mereka.” (Imam Muslim )
Hindarilah diri dari menjadi pemegang kunci kejahatan ini kerana dosa yang bertimbun-timbun terpaksa dipikul akibat menjadi ikutan oleh orang lain. Era IT yang serba canggih pada masa kini ramai benar pemegang kunci keburukan boleh dilihat di laman blog-blog dan laman sosial. Terdapat individu muslim yang menjadikan blog peribadi mereka sebagai sumber dosa dan maksiat. Dia meletakkan gambar-gambar yang mendedahkan aurat, separuh bogel, promosi filem dan video lucah, cerita-cerita berunsurkan fitnah dan gosip yang tidak berasas malah turut mempromosikan artis-artis kafir dan musyrik serta memujanya secara melampau-lampau. Bukan sedikit pengunjung blognya. Entah berapa ‘bukit’ dosa yang terpaksa dia pikul akibat memegang kunci kejahatan itu.
Namun Alhamdulillah tidak kurang juga mereka yang ‘celik hati dan akhirat’ memilih untuk memegang kunci kebaikan. Mereka berkongsi ilmu agama dan ilmu keduniaan yang bermanfaat yang boleh dikongsi oleh orang lain. Sungguh beruntung mereka ini. Mereka mendapat pahala dengan sebab orang lain mengambil faedah dari blog-blog mereka. golongan ini akan terus mendapat pahala selagi ilmunya dimanfaatkan walaupun telah meninggal dunia sebagaimana maksud hadis nabi saw. Semoga Allah merahmati dan membimbing kita agar menjadi pemegang kunci kebaikan dan menjauhkan kita dari menjadi pemegang kunci keburukan. Mudah-mudahan Allah membimbing kita ke jalan yang diredaiNya.
Hendaklah kita mengajar kebaikan kepada orang lain.
Dengan pengajaran yang dilakukan akan memberi kesempatan kepada ramai orang lain untuk menerima dan menimba kebaikan.
Firman Allah dalam Surah Ali Imran ayat 104 yang bermaksud: “Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyerukepada kebaikan.”
“Barang siapa yang menunjukkan (seseorang) kepada kebaikan, maka ia akan mendapat pahala seperti pahala orang yang mengerjakannya.” - (Hadis Riwayat Muslim).
Senantiasa mempelajari dan mengkaji kebaikan
Seseorang yang mempelajari dan mengkaji ilmulayak disebut sebagai kunci pembuka kebaikan. Dengan belajar maka pada akhirnya ia akan terdorong untuk mengajarkan kebaikan yang dipelajarinya.
“Sebaik-baik orang dikalangan kamu adalah orang yang mempelajari Al Quran dan mengajarkannya kepada orang lain” – (HR Bukhari) .
Dengan belajar, seseorang akan menghidupkan kembali ilmu gurunya yang mungkin hampir mati.
Sentiasa mengamalkan kebaikan
Seseorang yang mengerjakan kebaikan akan dianggap kunci pembuka kebaikan kerana dengan mengamal kebaikan bererti ia memberikan contoh dan teladan kepada orang lain agar ikut mengerjakan kebaikan juga. Mengajar dengan contoh teladan lebih berkesan daripada mengajar dengan lisan.
Abu Darda’ berkata: “Tidaklah kamu dianggap sebagai orang alim sehingga kamu mengamalkan ilmumu”.
Sentiasa mendukung proses belajar dan mengajar pelbagai bidang kebaikan.
Sekiranya seseorang tiada kesempatan untuk belajar dan tidak mampu mengajar maka hendaklah ia menjadi orang yang memberi kemudahan kepada orang-orang yang mengajar dan belajar untuk melakukan kebaikan.
Firman Allah yang bermaksud:
“Dan tolong menolonglah kamu dalam mengerjakan kebaikan dan ketaqwaan.” (Al Maidah: 2)
Memberikan bantuan atau kemudahan kepada sesiapapun yang hendak mengamalkan kebaikan.
“Barangsiapa yang menyiapkan perbekalanuntuk orang yang berperang di jalan Allah maka ia akan mendapatkan pahala orang yang berperang.” (Muttafaqun ‘alaih).
Menjadi penggembira dan memperlihatkan sikap bersahabat kepada penyeru kebaikan.
Seorang yang hadir dalam sebuah majlis kebaikan, meskipun hanya ikut-ikutan dan tidak serius melakukannya, juga layak dianggap sebagai kunci pembuka kebaikan sehingga layak mendapat keampunan dan rahmat Allah.
Dalam sebuah hadis Qudsi Allah berfirman:
“Saksikanlah olehmu bahawa Aku telah mengampuni mereka semuanya,” Malaikat berkata: “Diantara mereka ada si fulan, ia bukan sebahagian daripada mereka, kerana sebenarnya ia datang untuk suatu keperluan.” Allah berfirman:”Sesungguhnya Aku juga telah mengampuninya. Kerana mereka adalah suatu kaum yang barangsiapa duduk bersama mereka, maka tidak akan mengalami kesengsaraan.” (HR Muslim).
Rujukan: Fakhruddin Nursyam, Lc, Syarah Lengkap Arba’in Da’awiyah – Teladan Aplikatif Dakwah Rasulullah, Bina Insani Press Solo, September 2006
Sumber
2 years ago
Post a Comment 0 comments: