Serambi Dakwah

IconMusafir di bumi Ilahi, aku singgah untuk menuntut ilmu untuk meneruskan perjalanan yang masih panjang.....

Saad bin Muadz: Pemimpin Bani Aus yang Mengejar Syahid

Perihal Diri

Nama penuh beliau adalah Sa'ad bin Mu'adz bin Nu'man bin Imri'ul Qais al-Ausi al-Ansari. Beliau adalah dari Bani Aus dari Madinah. Beliau merupakan kawan baik kepada Umaiyah bin Khalaf. Lahir pada tahun 590 Masihi dan beza umur di antara beliau dengan Nabi S.A.W. adalah 19 tahun. Beliau memeluk Islam setahun sebelum Hijrah.

Kisah Pengislaman 

Selepas selesai Bai'atul Aqabah yang pertama, maka Nabi S.A.W. mengutuskan bersama kumpulan yang berbai'ah ini dutanya yang pertama ke Yathrib. Tujuannya adalah untuk mengajar orang-orang Islam di sana tentang syariat-syariat Islam serta memperdalamkan kefahaman mereka terhadap agama ini. Duta ini juga berperanan menyebarkan Islam kepada mereka yang masih dalam kesyirikan. Untuk tujuan ini, baginda S.A.W. memilih seorang anak muda iaitu Mus'ab bin Umayr al-'Abdary.


Pada suatu hari, Mus'ab dan As'ad bin Zurarah (orang Islam di Madinah) pergi ke kampung Bani 'Abd al-Asyhal dan kampung Bani Zafar. Mereka masuk ke sebuah kebun Bani Zafar dan duduk di atas telaga Maraq. Mu'adz dan Usayd bin Hudayr adalah dua ketua kaum dari Bani 'Abd al-Asyhal yang pada masa itu masih syirik. Maka, apabila mereka berdua mendengar hal tersebut, berkatalah Sa'ad kepada Usayd:

"Pergilah kami kepada dua orang ini yang datang hendak memperbodohkan orang-orang kita yang lemah, dan halanglah mereka, serta larangi mereka agar jangan datang ke kampung kita. As'ad bin Zurarah itu adalah sepupuku sebelah ibu. Kalau tidak kerana itu sudah tentu aku sendiri yang akan pergi."

Usayd pun mengambil tombaknya lalu mara ke arah Mus'ab dab As'ad. Apabila As'ad melihat kedatangan Usayd, dia berkata kepada Mus'ab: "Orang ini adalah ketua kaumnya. Dia datang kepadamu, maka cubalah tanamkan kebenaran agama Allah dalam dirinya."

Kata Mus'ab: "Kalau dia sudi duduk maka aku akan berbicara dengannya."

Lalu Usayd pun sampai lalu berdiri di hadapan mereka. Katanya: " Mengapa kamu berdua datang ke tempat kami? Adakah kamu hendak memperbodohkan orang-orang kami yang lemah? Kalau sayangkan diri, maka sila jauhkan diri daripada kami."

Maka Mus'ab pun berkata: "Sudikah tuan duduk sebentar untuk mendengar? Kalau tuan puas hati tuan boleh menerimanya, dan kalau tuan tidak senang, tuan boleh halang apa yang tuan tidak senang itu."

Lalu Mus'ab menceritakan kepadanya tentang Islam dan membacakan ayat al-Quran. Lantas Usayd terpegun dengan keindahan agama ini lalu mandi, membersihkan pakaian, kemudian mengucap syahadah dan bersolat dua rakaat.

Lalu Sa'ad pula mendatangi Mus'ab. Perkara yang hampir sama berlaku lalu Sa'ad juga memeluk Islam.

Sa'ad terus mendatangi kaumnya lalu menyeru mereka kepada Islam. Lalu tidak seorang pun lelaki dan wanita di kalangan kaumnya melainkan semuanya masuk Islam, kecuali seorang lelaki yang bernama al-Usayrim. Beliau masuk Islam agak lewat iaitu semasa peperangan Uhud.

Perang Badar

Di dalam peperangan Badar, Sa'ad bin Mu'adz dipertanggungjawabkan sebagai pemegang bendera bagi pasukan Ansar.

Sebelum tercetusnya peperangan Badar, Rasulullah S.A.W. mengadakan sidang perbincangan ketenteraan untuk mendapatkan pendapat para sahabat. Tiga orang pemimpin Muhajirin iaitu Abu Bakar as-Siddiq, Umar bin al-Khattab dan al-Miqdad bin 'Amru menyatakan kesediaan mereka berperang. Justeru, Rasulullah S.A.W. ingin sekali mendengar pandangan pemimpin Ansar kerana pernanjian Aqabah tidak memestikan mereka berperang di luar kampung mereka.

Lalu Sa'ad bin Mu'adz berkata kepada Rasulullah S.A.W.:

"Boleh jadi engkau bimbang orang-orang Ansar berpandangan mereka berhak tidak membantumu kecuali di kawasan kampung halaman mereka sahaja. Sebagai mewakili orang Ansar, aku nyatakan kepadamu, pergilah ke mana yang kamu suka, hubungilah siapa yang kamu suka dan putuslah hubungan dengan siapa yang kamu suka, ambillah harta kami sebanyak mana yang kamu suka, berilah kepada kami apa yang kamu suka, tetapi kami lebih suka engkau mengambil daripada kami berbanging engkau meninggalkannya untuk kami. Apa sahaja yang diperintahkan kepada engkau, maka urusan kami tetap mengikut perintahmu. Demi Allah, jika engkau bergerak sehingga sampai ke Bark al-Ghimad, nescaya kami akan bergerak maju bersamamu. Demi Allah, kalau engkau bentangkan lautan ini kepad akami lalu rngkau seberanginya, nescaya kami akan menyeberanginya bersamamu."

Perang Ahzab


Dalam perang Ahzab (Syawal 5H), di mana Bani Qurayzah menunjukkan pengkhianatan mereka, Sa'ad terkena terjahan panah pada tangannya sehingga menyebabkan urat lengannya terputus. Lalu dia berdoa yang diakhiri dengan:

"Janganlah Engkau matikan aku melainkan sehingga aku merasa tenteram dengan pembalasan terhadap Bani Qurayzah."

Perang Bani Qurayzah

Sa'ad tidak menyertai perang Bani Qurayzah (Zulkaedah 5H) kerana kecederaan yang dialaminya dalam perang Ahzab. Maka, ketika hendak diputuskan hukuman bagi bani Qurayzah yang merupakan dahulunya sekutu kaum 'Aus, maka, dipanggil Sa'ad untuk menjatuhkan hukuman bagi mereka. Lalu Sa'ad menjatuhkan hukuman bunuh terhadap semua lelaki, wanita dan anak pinak dijadikan tawanan dan harta benda mereka dibahagikan. Rasulullah memuji keputusan Sa'ad.

Kematian

Setelah selesai urusan Bani Qurayzah, maka termakbullah doa seorang hamba yang soleh. Setelah selesai urusan Bani Qurayzah, lukanya mulai pecah dan terpancarlah darah sehingga mengalir. Perkara ini disedari Bani Ghifar dan mereka mendapati Sa'ad telah meninggal dunia kerana luka parahnya.

Berkenaan kematian Sa'ad ini, Nasbi S.A.W. bersabda: "Arasy al-Rahman bergoncang kerana kematian Sa'ad bin Mu'adz." (Bukhari & Muslim)

Kesimpulan

Begitulah kehidupan seorang yang apabila telah melekat dengan kuat keyakinan kepada agama Allah, tiada yang lebih berharga melainkan mati di jalan perjuangan Islam. Moga kita dapat mencontohi keazaman dan kesungguhan Sa'ad bin Mu'adz r.a.

Rujukan: Al-Rahiq al-Makhtum (Sirah Nabawiyyah S.A.W.)

 
 
 
 

Post a Comment 0 comments:

Post a Comment