Serambi Dakwah

IconMusafir di bumi Ilahi, aku singgah untuk menuntut ilmu untuk meneruskan perjalanan yang masih panjang.....

Memartabatkan Bangsa? Sirah Mana Yang Kalian Contohi?

Perjuangan memartabatkan bangsa tidak saya temui dalam mana-mana sirah perjuangan nabi dan rasul. WaLlahua’lam. Tetapi mungkin di sana terdapat beberapa persamaan dengan apa yang disebut dalam sirah. Antaranya :

1. Nabi Muhammad SAW menyampaikan dakwah kepada Bangsa Arab sahaja, di peringkat permulaan.

2. Nabi Musa AS memperjuangkan bangsa Bani Israel di bumi Mesir.

Pertama

Nabi Muhammad SAW menyampaikan dakwahnya di peringkat permulaan kepada Bangsa Arab sahaja. Walaupun Bilal berasal dari Habsyah, namun Habsyah juga tergolong dalam kepulauan Arab. Begitu juga mereka yang terdiri daripada as Sabiqun al Awwalun yang berketurunan Quraisy. (lihat al Mubarakfuri, Safiurrahman, ar Rahiq al Makhtum, ms 56)

Cuma, apa yang ingin dijelaskan di sini, Nabi SAW memulakan gerak kerja dakwahnya bukan dengan memartabatkan bangsa Arab. Sebaliknya, memahamkan mereka tentang konsep akidah yang menjadi pegangan semua bangsa, dan semua nabi AS. (Sirah Tarbiatul Ummah Wa Bina’ Daulah 4/1) Perkara ini jelas membuktikan Nabi SAW tidak mempropagandakan “bangsa” sebagai tarikan dakwahnya.

http://www.theodora.com/wfb/photos/saudi_arabia/masmak_fortress_saudi_arabia_photo.jpg

Golongan yang memperjuangkan “bangsa” ini cuba mengaitkan dengan sejarah Melaka yang menjadi pusat penyebaran Islam, sebelum diserang Portugis pada 1511 M. Nabi SAW juga ada mengaitkan mereka dengan “agama hanif” yang dibawa oleh Nabi Ibrahim AS ke bumi Mekah satu ketika dahulu.

Namun, agama ini sudah dilupakan oleh masyarakat Arab ketika itu. Perkara ini juga tidak dapat dijadikan hujah, kerana “slogan” yang ingin disampaikan di sini bukanlah “bangsa” itu. Tetapi slogan yang disebut ialah “Islam”. Perlu diingat juga, Bangsa Melayu bukanlah satu-satunya bangsa yang memperjuangkan Melaka.

Sepertimana yang telah saya sebutkan sebelum ini, pada peringkat permulaan, Nabi SAW menyampaikan dakwah kepada individu-individu melihatkan kepada 2 ciri :

1. Kepercayaan

Iaitu, Baginda SAW melihat siapakah yang memberi kepercayaan kepada Baginda SAW. Ini boleh dilihat daripada tingkah laku, amalan dan sebagainya.

2. Kerabat

Baginda SAW juga melihat saudara maranya yang terdekat, yang boleh disampaikan dakwah kepada mereka. Antaranya isterinya sendiri.

(ar Mubarakfuri, Safiurrahman, ar Rahiq al Makhtum, ms 55)

Saya tidak menemui kenyataan yang menyatakan bahawa “Nabi SAW memilih bangsa-bangsa tertentu atau kabilah-kabilah tertentu” sahaja untuk menyebarkan dakwah di peringkat permulaan. WaLlahua’lam.

Kedua

Nabi Musa AS diutuskan kepada Bani Israel, dan baginda AS memperjuangkan hak mereka yang ditindas oleh Firaun dan Qibti yang berada di Mesir. Adakah sejarah ini juga mengaitkan dengan perjuangan memartabatkan bangsa?

Perkara pertama yang perlu disebutkan di sini ialah, Nabi Musa AS cuba mengembalikan hak bangsanya yang ditindas. Tidak sama dengan apa yang terjadi di Malaysia ketika ini. Adakah hak Melayu ditindas sebegitu rupa sehinggakan kita perlu memartabatkan bangsa kita untuk selamat daripada penindasan ini?

Antara hak Bani Israel yang ditindas ialah, mereka diletakkan sebagai “kelas bawahan”. Sesiapa sahaja yang lahir dari perut Bani Israel, mereka dianggap hina. Apa salah mereka? Disebabkan nasionalis yang diamalkan oleh Firaun dan Qibti, akhirnya mereka menindas hak orang lain.

Firaun dan Qibti mengatakan bahawa mereka lebih berhak mendiami bumi Mesir. Tamadun yang dibawa oleh Bangsa Qibti sudah lama bertapak di bumi Mesir. Lalu berdasarkan dalih inilah mereka menindas hak orang lain. Mereka mendakwa bahawa Bangsa Qibti perlu mendapat “hak keistimewaan” berbanding Bani Israel.

Akhirnya, disebabkan perjuangan memartabatkan bangsa yang diamalkan oleh Bangsa Qibti, mereka telah menghalau Bani Israel keluar daripada bumi Mesir, ketika zaman Nabi Musa AS, atau ketika pemerintahan Merenphetah, anak Ramses II. (Sami Abdullah, Tarikh Anbiya War Rusl, 149 – 153)

Firaun dan Bangsa Qibti menolak dakwah Nabi Musa AS untuk berpegang dengan akidah yang satu, tidak membeza-bezakan perbezaan bangsa dan lain-lain. Lalu, Nabi Musa AS melarikan diri bersama Bani Israel yang taat kepadanya, keluar dari bumi Mesir, berhijrah pula ke bumi Palestin.

Sama juga dengan sejarah Nabi SAW. Nabi SAW menyeru supaya Masyarakat Mekah dapat berpegang dengan akidah yang satu, yang tidak membeza-bezakan antara warna kulit dan bangsa atau kabilah. Namun, mereka menolak dakwah tersebut, dan memaksa Nabi SAW berhijrah keluar dari Bumi Mekah, tanahairnya.

Kedua-dua nabi ini, bukanlah memperjuangkan untuk memartabatkan bangsa mereka, sebaliknya memperjuangkan hak mereka sebagai penduduk di situ, dan menyebarkan Tauhid yang satu, yang tidak membezakan antara bangsa.

Dipetik daripada sini

 
 
 
 

Post a Comment 0 comments:

Post a Comment