Serambi Dakwah

IconMusafir di bumi Ilahi, aku singgah untuk menuntut ilmu untuk meneruskan perjalanan yang masih panjang.....

Menentang kezaliman: Peristiwa perjanjian Al-Fudul

Baginda Rasulullah pernah melihat perjanjian al-Fudul yang dimeterai di rumah Abdullah bin Jad'an.
Perjanjian ini ialah diantara qabilah-qabilah Quraisy dari Bani Hashim, Bani Muttalib, Bani Asad bin Abdul 'Uzza, Zahrah bin Kallab dan Taym bin Murrah.
.
Isi perjanjiannya ialah, mereka berjanji akan memberi pertolongan kepada orang-orang yang dizalimi di Mekah dan berusaha untuk membasmi kezaliman di Mekah. Sama ada kezaliman itu ke atas penduduk asal Makkah , juga kepada orang - orang asing yang berurusan di Kota Makkah.
.
Ianya tercetus apabila berlaku penindasan yang dilakukan oleh al- Ashi bin Wai'l , seorang yang kaya raya dan ternama di Kota Makkah membeli barang dagang seorang badwi tetapi enggan membayarnya .
.
Si Badwi ini mengadu kepada beberapa kabilah seperti Makhzum , Abd daar dan A'di bin Kaab tetapi mereka menolak untuk membantu malah lelaki Badwi ini diherdik . Lalu Badwi ini akhirnya nekad memanjat Bukit Qubais sewaktu matahari mula muncul sementara orang - orang Quraisy sedang berhimpun dihadapan Kaabah lantar ia berteriak :
.
"Wahai golongan yang menyaksikan orang yang dizalimi hartanya di Kota Makkah , ia datang dari kampung halaman yang jauh . Orang - orang ihram dengan kusut , belum menyempurnakan umrahnya . Wahai orang yang sedang berkumpul di Hijr Ismail dan Hajar aswad . Sesungguhnya Tanah Haram hanya diduduki oleh orang terhormat dan tidaklah layak tanah haram ini didiami oleh orang - orang yang selalu berbuat dosa."
.
Setelah mendengar ucapan tersebut , Zubair Abdul Mutallib bangun lantas berkata : Perkara ini tidak boleh dibiarkan , lalu mereka berkumpul di rumah Abdullah bin Jud'an dan memeterikan satu perjanjian untuk membasmi kezaliman
.
Rasulullah sangat kagum dengan perjanjian itu walaupun ianya berlaku di zaman jahiliyyah. Baginda bersabda,
"Sesungguhnya aku telah menyaksikan suatu perjanjian bersama-sama bapa-bapa saudaraku di rumah Abdullah bin Jud'an yang lebih aku kasih dari unta yang merah dan kalau aku diajak kepadanya di zaman Islam, nescaya aku menyahutnya"
(Diriwayatkan oleh Ahmad, Ibn Ishak, dan al-Hamidy)
.
Betapa kegembiraan lahir dari wajah Rasulullah s.a.w. Ini menunjukkan sikap menentang kezaliman meskipun terhadap kaumnya sendiri. Semangat inilah yang mencetuskan semangat perjanjian al-Fudul itu.
.
Di sana, adalah menjadi dasar Islam menentang setiap kezaliman walaupun di mana sahaja ianya berlaku.
.
Ibrah:
1. Pentingnya menentang kezaliman. Namun, sekarang, ramai yang mengambil endah tidak endah terhadap perkara ini. Fikirkan betapa ramai rakyat Malaysia khususnya dan umat Islam diseluruh dunia amnya yang ditindas dan dizalimi. Terlalu banyak. Namun, kita masih berdiam diri. Kenapa?
.
.
2. Rasulullah mengiktiraf perjanjian dengan kaum Quraisy yang masih jahiliyyah untuk kepentingan yang diiktiraf Islam seperti menentang kezaliman. Sabda Nabi s.a.w, "....Kalau aku diajak kepadanya di zaman Islam, nescaya aku menyahutnya"
.
Sumber: Fiqh Al-Harakah karangan Haji Abdul Hadi Awang (Jilid 1, hlm 53-54) dan blog Ustaz Nasarudin Hassan.

 
 
 
 

Post a Comment 0 comments:

Post a Comment